Friday, August 31, 2012

Friday, August 17, 2012

SALAM AIDIL FITRI 2012


Sempena 1 Syawal yang bakal menjelang tiba, admin ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam yang menyambutnya. Semoga anda bergembira berjumpa sanak saudara dan mengeratkan lagi silaturrahim.

Dengan pertambahan kenderaan dimusim perayaan ini, jalan raya pasti sesak oleh itu berhati-hatilah ketika memandu. Patuhilah segala peraturan jalan raya demi keselamatan anda, keluarga dan orang lain.

Buat semua pelajar yang akan menduduki UPSR 2012, di samping keterujaan menyambut hari raya yang jatuh pada masa cuti persekolahan ini, jangan lupa untuk mengulangkaji pelajaran. Ingat raya boleh saja disambut banyak kali tapi UPSR hanya sekali!

Mata kadang-kadang salah melihat,
Lidah kadang-kadang salah berucap,
Hati kadang-kadang salah menduga,
Maaf andai ada salah dan silap.
SELAMAT  HAR RAYA

Tuesday, August 14, 2012

Keputusan SPM Ulangan Khamis Ini

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara.

-- BERNAMA

Saturday, August 11, 2012

Permohonan Masuk Politeknik Sesi Disember 2012

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Borang permohonan memasuki politeknik Kementerian Pengajian Tinggi bagi sesi Disember tahun ini akan mula dijual pada 13 Ogos ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar (K) Md Nor Yusof berkata sebanyak 20,500 tempat ditawarkan di 30 politeknik seluruh negara bagi pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sijil politeknik kementerian itu.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 23 Sept, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata para pelajar boleh memperoleh nombor pin di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional dengan harga RM10.60 dan membuat permohonan secara online di www.politeknik.edu.my.

"Pelajar yang telah membeli nombor pin untuk kemasukan sesi Jun 2012 tetapi gagal untuk mendapat tempat di politeknik, boleh menggunakan nombor pin yang sama untuk memohon semula bagi sesi Disember ini," katanya.

-- BERNAMA

Friday, August 3, 2012

Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Januari 2012," katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya.

- Bernama

Monday, July 30, 2012

MARKAH PRA PERCUBAAN JADI MARKAH PERCUBAAN UPSR


Saya telah meninjau laman SAPS (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah), di dalam laman tersebut tercatat pengumuman penting dimana  tertulis 20/07/2012 Pengisian markah untuk Percubaan UPSR telah dibuka. Tarikh akhir memasukkan data adalah pada Jumaat 10/08/2012.”

Merujuk pengumuman tersebut, yang menjadi isu di sini adalah tarikh buka pengisian markah bagi Peperiksaan Percubaan UPSR  adalah 20/07/2012 dan tarikh tutupnya pula adalah 10/08/2012, sedangkan Peperiksaan Percubaan UPSR bagi negeri Terengganu masih belum dijalankan lagi.

Tarikh Peperiksaan Percubaan UPSR 2012 bagi negeri Terengganu seperti surat yang diemelkan adalah bermula 07/08/2012 hingga 09/08/2012 (rujuk gambar keratan emel dibawah). Maka untuk pengisian markah atau untuk tidak ketinggalan bagi pengisian markah Percubaan UPSR di dalam SAPS, saya telah dimaklumkan oleh Penyelaras UPSR Sekolah yang mendapat arahan lisan sahaja semasa menghadiri Program Pelaporan OTI3-Pra Percubaan bertempat BTPN Terengganu pada 26 Julai 2012 baru-baru ini supaya mengambil markah Pra Percubaan untuk diisi sebagai markah Percubaan UPSR dalam SAPS tersebut! 
Tarikh Peperiksaan Percubaan UPSR bagi negeri Terengganu 
(klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas)

Justeru itu, cuba kita bayangkan jika ibu bapa yang prihatin menyemak di bahagian SEMAKAN IBU BAPA dalam SAPS, sudah pasti markah bagi Peperiksaan Percubaan UPSR tidak menepati markah sebenar yang diperolehi oleh anak-anak mereka di dalam Peperiksaan Percubaan UPSR sebenar. Tidakkah situasi ini boleh dijadikan isu oleh ibu bapa berkaitan kerja buat kita?

Ibu bapa boleh menyemak markah peperiksaan anak-anak mereka di sini setelah siap dibuat pengesahan oleh pihak berkenaan (klik pada gambar untuk ke laman SAPS)

Di sini, saya tidak mahu menyentuh cara kerja pihak berkenaan di peringkat JPNT tetapi saya berharap dan mencadangkan pihak berkenaan boleh menyesuaikan atau menyusun semula tarikh peperiksaan tersebut dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya pengisian SAPS bagi negeri Terengganu berjalan selaras dengan jadual yang ditetapkan oleh KPM atau pihak yang mengendalikan SAPS.

Teguran ikhlas ini adalah sebagai keprihatinan saya sebagai penyelaras SAPS peringkat sekolah dan diharap ia diterima secara positif. Kita semua mengharapkan kecemerlangan, justeru itu diharap kerja buat kita juga menunjukkan ciri kecemerlangan selaras dengan hasrat yang kita inginkan. Wassalam.
 

Friday, July 27, 2012

Maklum Balas Akhbar: "JPA Lengah Naik Gred Guru"

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil maklum dan prihatin di atas perkara yang dibangkitkan oleh Hashim Adnan, Presiden NUTP agar JPA menaikkan gred 400 guru yang memperoleh ijazah melalui Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Gred DGA32 dan DGA29 kepada Gred DG41 seperti yang dinikmati 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS).

Untuk makluman, Program Pensiswazahan Guru (PPG) adalah merupakan isu Pertukaran Pelantikan kerana ia melibatkan dua skim perkhidmatan yang berbeza dan bukannya kenaikan gred guru. Isu pelantikan guru adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Pihak JPA hanya terlibat dengan keperluan pewujudan jawatan dan tidak terlibat dengan proses pelantikan guru.

Sehingga 23 Julai 2012, JPA telah meluluskan sebanyak 7,975 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) pelbagai Gred ke jawatan PPPS Gred DG41 di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkuat kuasa 2 Oktober 2010 . Pewujudan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 adalah bagi menampung keperluan penempatan PPPLD yang telah tamat dan memperoleh ijazah di bawah Dasar Pensiswazahan Guru secara PJJ yang dilaksanakan oleh KPM. Kelulusan tersebut telah menyelesaikan isu guru yang telah memperolehi ijazah sebelum tahun 2010 sehingga Disember 2011 dan telahpun lulus temu duga dan diperaku oleh SPP untuk dilantik sebagai PPPS Gred DG41.

Berhubung isu 400 guru yang telah tamat pengajian dan belum diluluskan kenaikan gred oleh JPA dan KPM, KPM kini sedang mendapatkan maklumat daripada NUTP berkaitan sumber data 400 guru tersebut termasuk mengemukakan senarai nama penyandang ke KPM. Untuk makluman sehingga kini, JPA masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM bagi menukar ganti jawatan berhubung kohort baharu guru yang telah tamat PPG.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
26 Julai 2012

Sumber: Jabatan PerkhidmatanAwam (JPA)

KITA TERLALU BANYAK ALASAN

Apakah punca kegagalan? Punca paling besar adalah selalu membuat alasan. Jadi, penyakit yang selalu ada dalam kalangan orang yang gagal adalah orang yang selalu beralasan untuk berjaya dan melaksanakan tugasnya.

Tahukah anda bahawa orang yang bijak tidak menggunakan alasan yang sama yang dibuat oleh orang yang gagal walaupun mereka boleh melakukannya. Kadang-kadang, mereka juga sakit, keletihan, buntu dan tiada idea tetapi mereka tidak menjadikan perkara ini sebagai penamat atau penghalang daripada terus berusaha sebaliknya mereka menjadi lebih ghairah untuk mencari penyelesaiannya.

Suatu perkara yang lebih buruk lagi, orang yang selalu beralasan dengan sesuatu alasan, katakanlah dia selalu beralasan bahawasanya dia tidak sihat, maka sebenarnya dia telah memfokuskan dirinya dalam keadaan sakit dan tidak bermaya. Walaupun, dia tahu itu hanyalah alasan yang dibuat pada sesuatu ketika tetapi dia lupa bahawasanya perkara itu sedang berakar umbi dalam dirinya. Seluruh tubuh sedang berusaha untuk menjadikan dirinya lemah dan tidak bermaya kerana dia telah memikirkan demikian.

Apakah alasan yang sering orang gagal gunakan ?

1. Saya tidak sihat - Ini alasan yang paling banyak sekali digunakan. Bayangkan, kita banyak gunakan alasan ini dan hasilnya kita tidak ke kelas atau tempat kerja berhari-hari. Katakanlah dalam setahun, kita telah menggunakan alasan ini 5 kali bermakna kita telah menghabiskan diri masa kita untuk berada dalam alasan ini selama 5 hari. Dan 5 hari bermakna 5 x 24 jam = 120 jam. Lama tu!

Apakah sakit yang bermasalah? Tidak. Sakit tidak bermasalah tetapi yang bermasalah adalah menggunakan alasan sakit untuk duduk dan berbaring semata-mata tanpa melakukan apa-apa kerja. Anggapkan hari sakit anda seperti hari-hari biasa. Lakukan kerja harian seperti biasa dan abaikan fikiran kita daripada mengingati sakit. Jangan bercakap dengan orang lain tentang sakit dan keadaan anda kerana ianya hanyalah menambahkan lagi kesakitan dan anda lebih tidah bermaya. Syukurlah dengan apa yang anda hadapi sekarang. Berapa lama anda mengecapi nikmat kesihatan sebelum Allah berikan kesakitan? Pastinya kesakitan ini hanyalah sekejap jika dibandingkan dengan kesihatan.

2. Saya tidak cukup pandai - Ini adalah sikap orang yang terlalu merendah diri. Puncanya, anda terlalu memandang rendah terhadap keupayaan diri sendiri dan memandang tinggi keupayaan orang lain. Pandanglah diri kita sebagai insan yang luar biasa dan mempunyai kemampuan yang istimewa yang belum kita cungkilkan lagi. Cari peluang untuk mencungkil bakat yang terpendam itu.

Ingatlah bahawa ilmu bukanlah kuasa atau penyebab seseorang itu berjaya kerana ramai orang yang berilmu tetapi tersungkur di tengah jalan menuju kejayaan. Ilmu adalah potensi kuasa sahaja, sebaliknya yang menjadikannya berkuasa adalah mengaplikasikan ilmu.

3. Saya terlalu muda/ tua - Faktor umur dalam menggapai kejayaan adalah tidak penting. Semua orang mampu berjaya. Tiada istilah terlewat dalam berjaya. Selagi mana anda ada keinginan untuk berjaya maka anda mampu melakukannya. Ramai orang muda yang mengetuai organisasi yang kebanyakan ahlinya adalah orang tua. Yang penting bukan tua atau muda tetapi bagaimana anda menguruskannya dan menghargai orang lain yang lebih tua daripada anda.

4. Saya sentiasa bernasib malang - Siapakah yang tahu nasib anda? Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apakah kerja anda? Usaha dan tawakkal kepada Allah s.w.t. Mengharapkan nasib semata-mata adalah seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba.

Buatlah perubahan. Pasti di sana ada sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki. Tingkatkan diri anda kepada yang lebih baik. Banyakkan membaca dalam bidang yang diceburi serta buat sedikit kajian tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri dalam bidang tersebut serta kelebihan dan kekurangan pihak lain. Insya Allah, pastinya anda akan mendapat peluang yang diharapkan.

Kesimpulannya, janganlah beralasan walaupun alasan itu benar kerana ia hanyalah melemahkan diri anda. Positif dalam berfikir dan bertindak. InsyaAllah, anda pasti berjaya. Jauhilah hati dari disaluti sifat malas!

Thursday, July 26, 2012

TELUSKAH KITA SEBAGAI SEORANG PENILAI


  Buku-buku latihan yang ku hasilkan percuma untuk pelajar-pelajarku dengan niat untuk kecemerlangan berbanding buku-buku dipasaran yang dihasil untuk mendapat keuntungan wang. Insyaallah bahan ini akan dikongsi bersama diblog ini dimasa yang sesuai.

Hari ini Khamis 26 Julai 2011 - Saya diminta membantu pihak pentadbiran sekolah mengisi data berkaitan guru di sekolah memandangkan data bagi program tersebut masih tidak disiapkan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

Di sini bukan isu tugas tersebut yang saya ingin luahkan, walaupun ianya bukan tugas saya tapi atas rasa simpati dan diminta tolong saya tidak keberatan sebab banyak tugas-tugas lain sebelum ini, bila berkaitan dengan komputer/ICT telah saya bantu.

Maka dalam menyiapkan tugas tersebut, saya dibenarkan melihat maklumat berkaitan prestasi bagi semua kakitangan yang dikehendaki. Di sinilah timbul situasi yang sedikit mengugat perasaanku.

Untuk pengetahuan semua, pada tahun lepas 2011, saya telah diberi tanggungjawab mengurus hal-hal berkaitan kurikulum seperti berikut dan bidang tugas lain lagi yang tidak dinyatakan di sini:
-   Menyiapkan data e-pantau (data markah bagi setiap kali peperiksaan dijalankan untuk kutipan PPD)
-       Mengurus program SPPBS (Sistem Pengurusan Peperiksaan Berasaskan Sekolah-KPM)
-       Mengurus SAPS (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah-KPM)
-       Setiausaha Kurikulum Sekolah.
-       Setiusaha Panitia Matematik.
-       Guru Mata Pelajaran UPSR Tahun 6.

Alhamdulillah saya dapat menyiapkan tugasan dengan baik, sempurna dan tepat mengikut masa, malah pencapaian mata pelajaran UPSR yang diajar juga memberangsangkan. Tapi yang mendukacitakan ialah tentang markah prestasi yang memang tidak memuaskan berbanding markah prestasiku tahun sebelumnya (2010 -pada masa itu saya bertugas di sekolah lain sebelum bertukar ke sini). Malah bila dibuat perbandingan dengan guru-guru lain yang tidak banyak dibebankan tugasan, ada yang tidak mengajar pun Kelas UPSR dan ada juga yang mengajar kelas UPSR tapi pencapaiannya merosot berbanding subjek yang saya mengajar (saya yang membuat analisis  markah pelajar tahun tersebut) tapi prestasi mereka lebih tinggi. Subhanallah.

Di sini juga bukan isu APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) yang hendak diluahkan, berilah kepada siapa yang difikir layak mengikut “angin” pentadbir tapi nilailah (beri markah) secara telus dan adil sebab saya perlu bersaing untuk memohon jawatan naik pangkat tapi jika markah prestasi yang rendah, sudah tentu ia menyekat peluang, kebolehan  dan kreativiti untuk  saya tonjolkan. Maka lahirlah pentadbir yang kurang berkebolehan atau tiada kreativiti dalam mengurus sekolah kerana pemarkahan prestasi (80%) adalah markah keseluruhan dari aspek lain yang dinilai.

Ingatlah insan-insan yang diamanahkan tugas sebagai penilai, nilailah dengan ikhlas tanpa ada diskriminasi, pilih kasih, mengikut emosi atau rasa hati kerana sesungguhnya kerja buat kita juga akan dinilai oleh Allah s.w.t jua. Mungkin sebagai penilai kita berasa puas hati atas sedikit kuasa yang kita ada, maka kita boleh saja mengangkat siapa saja yang kita suka tanpa penilaian yang telus. Sesungguhnya untuk mendapat redha Allah, carilah redha sesama manusia terlebih dahulu. Semoga kerja buat kita tidak banyak dipersoalkan oleh orang bawahan kita di dunia ini, seterusnya dipersoalkan di akhirat nanti. Masyaallah.

- Sebelum ini saya ada membuat ulasan yang ada kaitan dengan isu ini DI SINI (klik untuk membacanya).

Wednesday, July 25, 2012

Terengganu Peruntuk RM1.2 Juta Untuk Jabatan Pelajaran Negeri Anjur Kursus Intensif


KUALA TERENGGANU, 25 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memberi bantuan segera sebanyak RM1.2 juta kepada Jabatan Pelajaran Terengganu bagi penganjuran kursus intensif untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata langkah itu bertujuan memastikan Terengganu terus mengungguli peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Kita (kerajaan negeri) perlu buat sesuatu supaya terus berjaya dalam bidang pendidikan dan mendahului dalam mencatat keputusan cemerlang bagi kesemua peperiksaan tersebut tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Beliau berkata berdasarkan pencapaian peperiksaan pertengahan penggal baru-baru ini, terutama PMR, kerajaan berpuas hati kerana keputusan yang diperoleh adalah lebih baik.

- BERNAMA

Telefon bimbit di sekolah: Kerajaan perlu tegas

KUALA LUMPUR 24 Julai - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa kerajaan membuat keputusan tegas berhubung cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, selain mengganggu proses pembelajaran, ia juga boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar.

"Langkah membenarkan pelajar membawa telefon bimbit hanya akan menganggu tumpuan mereka pada sesi pembelajaran ketika berada di dalam kelas.

"Langkah itu juga dikhuatiri akan mengundang beberapa masalah lain seperti kecurian, penyalahgunaan dan wujud jurang antara berkemampuan dan kurang berkemampuan dalam kalangan pelajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu yang menegaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Jelas Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara tersebut hanya salah satu cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira perkembangan teknologi terkini.

Mohd. Ali berkata, penggunaan peralatan alat komunikasi itu turut dilihat akan membebankan pihak sekolah daripada aspek kos dan masa.

"Saya bimbang ia akan meningkatkan kos pihak sekolah dalam menyediakan lokar khas untuk menyimpan peralatan elektronik itu kepada pelajar serta menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran," ujarnya.

Justeru jelasnya, kerajaan harus mengkaji perkara tersebut secara mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan agar ia tidak mendatangkan kesan negatif terhadap institusi pendidikan negara.

- UTUSAN ONLINE



Tuesday, July 24, 2012

Cuepacs Cadang Pekeliling Perkhidmatan Awam Disemak Semula



GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya menyemak semula pekeliling perkhidmatan awam yang dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata terdapat beberapa pekeliling perkhidmatan awam yang diamalkan sehingga kini tidak melambangkan perkhidmatan awam yang baik dan mendatangkan kesukaran kepada penjawat awam.

"Banyak dasar yang lama dulu dah tak relevan lagi, pekeliling-pekeliling lama dah tak sesuai lagi...perlu dibuat penambahbaikan seperti yang disebut Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ali Hamsa) iaitu merakyatkan perkhidmatan awam.

"Contohnya, kalau penjawat awam ditawar satu jawatan awam dan dia tidak terima dia kena senarai hitam selama setahun. Ini semua tidak menggambarkan perkhidmatan awam. Ini semua perkara yang sedang kita lihat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini pada Isnin.

Omar berkata pekeliling yang ada sekarang seharusnya selaras dengan dasar semasa kerajaan supaya perkhidmatan awam dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan tidak ketinggalan.

- BERNAMA

Monday, July 23, 2012

ULASAN: PENILAIAN PRESTASI



Bila membaca info berkaitan “Penilai Prestasi: Nilai benda betul dengan betul” yang dipos oleh blog Unit Sekolah Rendah JPNT (klik pada gambar untuk baca info tersebut), saya terpanggil untuk memberi pendapat.

Suatu info yang menarik tapi berapa orangkah pentadbir sekolah iaitu GB atau GPK yang membaca dan seterusnya muhasabah diri terhadap kerja buat mereka berkaitan isu ini.

Pengalaman saya yang bertugas selama 22 tahun tidak termasuk tahun 2012 ini, tiada seorang GB atau GPK negeri Terengganu yang pernah saya berkhidmat di bawah pentadbiran mereka (9 orang GB dari 4 buah sekolah), yang memaklumkan markah penilaian yang dibuat, jauh sekali untuk memaklumkan kelemahan atau kelebihan yang telah dinilai. Malah bila ditanya tentang markah yang diperolehi, ia dianggap sulit dan dipandang serong pula. Subhanaallah.

Seingat saya, hanya sekali sahaja saya dipanggil untuk memaklumkan markah yang diperolehi iaitu semasa saya bertugas di negeri Kelantan (mula-mula diperkenalkan penilaian prestasi).

Saya percaya, dalam hal penilaian ini pasti sudah ada piawaian yang jelas yang perlu diikuti. Bila dilihat pada borang SKT pun penilai perlu berbincang dengan pegawai yang dinilai tapi agak malang sepanjang saya berada di Terengganu tiada seorang penilai pun yang berbuat demikian.

Mengapa keadaan ini berlaku? Adakah prosedur penilaian yang termeterai tidak cukup baik untuk diikuti. Justeru itu berlakulah ketidakpuasan dan ketidak telusan dalam perkara ini. Sudah pasti ada yang tidak kena dengan penilai-penilai ini yang perlu diberi kesedaran atau taklimat untuk memperbaiki proses penilaian ini berjalan dengan baik sebab kita selalu tekankan pegawai yang dinilai perlu menjalankan tugas dengan baik tapi begaimana dengan tugas penilai itu sendiri. Adakah ia sudah baik dan menepati seperti piawaian yang dikehendaki. Ingatlah penilaian kita ini akan juga dinilai oleh Allah s.w.t.

Sebelum saya mengakhiri kata, penilaian ini sudah pasti bersifat subjektif  (bergantung siapa penilainya, ada yang bersifat “pemurah” dan sebaliknya. Ada yang mengikut emosi dan “angin” penilai itu sendiri. Ini dapat dibuktikan bila bertukar sekolah. Walaupun tugas kerja yang lebih banyak tapi prestasinya tetap rendah berbanding dengan sekolah sebelumnya) . Justeru itu diharap pihak-pihak tertentu boleh mencari titik persamaan dalam pemberian markah prestasi oleh penilai2 ini supaya sifat subjektif ini dapat diminimakan dan mencapai standard antara penilai-penilai disetiap sekolah.

Ini adalah pandangan pribadi berdasar pengalaman saya sahaja. Mohon maaf dan terima kasih.

Friday, July 20, 2012

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 2012/1433H

“Sesungguhnya telah datang bulan yang penuh keberkatan, dimana telah difardhukan atas kamu berpuasa. Dibukakan pada bulan itu semua pintu syurga dan dikuncikan padanya semua pintu neraka dan dibelenggu pada bulan itu segala syaitan. Dalam bulan itu, ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.” (HR. Ahmad, Nasai dan Baihaqi dari Abu Hurairah)




WAKTU PERSEKOLAHAN DALAM BULAN RAMADAN TAHUN 2012



Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi