Monday, May 16, 2016
Berkurangnya Nilai-Nilai Murni Dalam Kehidupan Kita
Amalan hormat menghormati adalah satu perkara yang harus kita amalkan dalam
kehidupan harian kita, lebih-lebih lagi bila bercampur dengan masyarakat.
Seperti di dalam pengankutan awam, selalu kita dengar dan baca di media
sosial kisah pengajaran atau kempen mengenai budaya hormat menghormati di dalam
pengankutan awam.
Utamakan mereka yang lebih memerlukan, tetapi rupanya rakyat Malaysia
masih sedikit mempunyai kesedaran dalam hal ini.
Dikisahkan sebuah cerita oleh seorang pengguna Facebook bernama Muhamad Safwan MY tentang seorang
lelaki warga tua yang tidak dipedulikan orang ramai semasa menaiki LRT;
Semalam, saya ada mesyuarat dengan pihak Petrosains di Menara Kembar
Petronas(KLCC). Saya telah bertolak kira-kira jam 8.30 pagi, meredah jalan yang
mempunyai pelbagai ragam pemandu, sambil mendengr berita pagi dengan penuh
perhatian sambil melayan muzik di aplikasi Spotify.
Saya ambil keputusan untuk naik LRT dari Bandar Puteri Puchong untuk ke
KLCC, bermakna saya perlu tukar ke RapidKL dari Puchong, transit di Sri
Petaling di Star LRT dan transit yang seterusnya di Masjid Jamek ke KLCC.
Seperti biasa, tren akan dipenuhi dengan ratusan penumpang yang duduk,
berdiri dan memegang palang besi untuk untuk mengelakkan mereka jatuh.
Bila sampai di stesen Bukit Jalil, seorang wanita mengandung masuk dan saya
terus menawarkan tempat duduk kepadanya kerana tiada lagi tempat duduk yang
kosong. Saya sumbat earphone ke telinga untuk layan lagu.
Apabila tiba di stesen LRT Sungai besi, lebih ramai penumpang mulai amsuk
ke gerabak kami termasuklah seorang pak cik tua.
Dia kelihatan memakai kain batik lama yang agak lusuh, seluar panjang dan
memakai sepasang selipar itu melangkah masuk dengan perasaan dan wajah yang
amat hampa sekali.
Saya memangdang kiri dan kanak untuk mencari tempat duduk kosong, tetapi
malangnya tiada tempat duduk yang kosong.
Lelaki berkenaan dilihat
berdiri di sana sambil memegang tiang besi di tengah gerabak, saya hanya
senyum dan menyambung membaca berita di telefon.
Sebaik tiba di stesen Chearas, Seorang penumpang lelaki muda berdiri untuk
turun dan meninggalkan tempat duduk itu kosong.
Saya segera menghalang seorang lelaki lain yang cuba mahu merebut kerusi
itu dan menawarkannya kepada pakcik tua tadi dan kemudian berlaku sesuatu di
luar jangkaan.
"Uncle, mari duduk di sini. You sudah lama berdiri,"
"Tak perlu. Saya 60 tahun dan masih kuat untuk kelihatan bodoh
memegang tiang besi ini sementara generasi muda kita sedang duduk dengan selesa
sambil mendengar muzik mereka.
"Mentaliti apa yang orang muda sekarang pakai? Tiada seorang pun yang
menawarkan tempat duduk pada saya hanya kerana saya kelihatan buruk atau kerana
saya lelaki tua, bukannya wanita tua?
"I dulu kerja askar menjaga negara tapi sekarang saya sedih tengok
orang Malaysia langsung takde hati perut mahu offer a seat. Bukan mahu minta
simpati, tapi bagilah empati sikit. Saya bukan orang bodoh. Saya memang
perhatikan je semua orang, Selepas tiga stesen, masih tiada yang mahu
menawarkan saya tempat duduk. Tak apalah nak, pakcik masih boleh berdiri lagi.
Ini tazkirah pagi untuk semua orang dalam gerabak ini. Saya akan keluar di
stesen seterusnya," katanya.
Luahan berkenaan membuakan orang ramai di dalam gerabak berkenaan menoleh
ke arahnya, ada antara mereka rasa bersalah telah mula berdiri dan menawarkan
tempat duduk itu kepada dua wanita berusia yang telah berdiri sekian lama. Yang
selebihnya hanya memandang kami.
Saya ingatkan, saya sudah menunjukkan contoh kepada mereka dengan membantu
menawarkan tempat duduk saya kepada wanita hamil. Saya ingatkan dengan
melaksanakan tanggungjawab sosial itu boleh memberikan contoh kepada yang lain
agar melakukan perkara yang sama terhadap golongan yang berusia pakcik dan
makcik berusia 60 tahun.
Saya ingat saya sudah melakukan perkara yang betul namun saya gagal untuk
menyedarkan orang lain ke arah lebih positif dan gagal menyuarakan perkara yang
betul.
Saya percaya kebanyakan daripada kita menilainya terlalu awal. Hakikatnya
dia seorang lelaki Melayu yang cukup prihatin untuk meneliti trend dan sikap
dalam masyarakat kita sendiri.
Pakcik itu telah mengajar saya satu pengajaran yang bermakna iaitu salah
tetap salah walaupun semua orang melakukannya dan benar tetap benar walaupun
tiada sesiapa yang melakukannya.
Jika anda anda seorang yang prihatin dan menjunjung tinggi nilai-nilai
murni, marilah kita membantu seberapa ramai orang yang mungkin. Bersama-sama
kita mewujudkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai pentingnya
mempunyai secubit rasa empati dan rasa ingin membantu orang lain.
- Siakapkeli.my
Friday, March 18, 2016
Renungan – Kenapa Cepat Marah?
Mari kita bermuhasabah diri, kenapa kita cepat marah atau cepat naik darah
atau baran? Sebelum mendidik hati supaya tidak cepat marah, kita perlu tahu puncanya
supaya mudah ditangani atau dirawat.
Di antara punca cepat marah yang biasa ialah:
1. Tidak dapat mengawal
emosi
Orang yang cepat marah adalah orang yang tidak dapat mengawal emosi dan
membiarkan perasaan marah menguasai dirinya. Orang yang cepat marah mudah
diperbodoh-bodohkan atau dimain-mainkan oleh orang lain, iaitu dengan tidak
keruan dan tidak lagi berfikir panjang.
2. Kurang sabar
Hati yang kurang sabar selalu cepat saja melenting apabila berhadapan
dengan kata-kata atau tindakan-tindakan pihak lain mencabar kesabarannya. Oleh
itu, perlulah dilatih hati supaya lebih bersabar dan berfikir berulang-ulang
kali sebelum mengeluarkan kata-kata kesat bagi memuaskan hati yang sedang
marah.
Orang yang kurang sabar mengidap sesuatu penyakit yang kronik atau orang
yang kemahuan/kehendak yang tidak kesampaian juga boleh menyebabkan seseorang
itu cepat marah atau baran.
3. Ego, bangga diri, riak
dan merasa diri lebih hebat daripada orang lain
Orang yang cepat marah juga disebabkan oleh ego. Orang ini akan rasa
tercabar apabila dipersenda-sendakan. Ia akan rasa kalah dan tidak dihormati.
Orang yang mempunyai sifat-sifat ego, bangga diri dan riak merasa dirinya lebih
hebat daripada orang lain. Oleh itu, ia akan cepat marah sebab ia tidak mahu
dipandang rendah, benci apabila tidak dihormati, merasa terhina apabila
terjumpa orang yang lebih hebat daripadanya. Marah sebegini biasanya wujud
dalam bentuk emosi tidak puas hati.
4. Berfikiran negatif
Orang yang berfikiran negatif ialah orang yang memandang buruk terhadap
sesuatu, bersangka buruk pada orang lain serta bertanggapan buruk terhadap apa
jua perkara. Orang seperti ini cepat marah kerana dihatinya tidak wujud istilah
maaf. Ia tidak mahu memberi maaf dan malu untuk meminta maaf kerana merasa ia
saja yang betul, walaupun kadang-kadang dalam hati kecilnya mengaku akan kelemahan
diri, tapi disebabkan ego diri atau takut maruah tercabar, ia tiak akan minta
maaf walaupun berada di pihak yang salah.
5. Berdendam
Jika seseorang itu masih menyimpan perasaan dendam atau irihati kepada
seseorang lain, ia akan cepat naik darah atau marah walaupun hanya disebabkan
oleh kesilapan yang sedikit, yang pada mata kasar boleh dimaafkan saja.
Waallahuaklam
Posted in: RenunganMonday, January 18, 2016
Gambar-Gambar Yang Memberi Motivasi
Gambar atau foto boleh menimbulkan
banyak erti bagi yang dapat menikmatinya, baik menunjukan suatu ekspresi dan
seni maupun memberi makna tersirat, berikut beberapa foto yang boleh dijadikan
motivasi hidup, yang memberikan nilai untuk tidak pernah menyerah atau putus
asa akan suatu keadaan dan dapat berfikir positif dalam menjalani kehidupan,
selamat menikmati dan merenungi. Semoga bermanfaat.
Rancang sebelum melaksana sesuatu, agar kita tidak
buntu untuk menyiapkannya.
Dalam hidup, kita harus dapat mencari kesukaan dari hanya memikir akan kesulitan.
Dalam hidup ini, setiap orang memerlukan sahabat, seperti di dalam gambar ini. Ketika kamu susah, maka aku akan menjadi penolong. Ketika aku susah, dia akan menjadi pnolong. Syukur kalau dapat sahabat sebegini.
Harus terima kenyataan, kamu tidak boleh puaskan hati semua orang.
Kadangkala hidup ini ringan atau
berat, bergantung dari jalan yang
kamu pilih.
Kadangkala, yang menghulurkan tangan belum tentu benar-benar ingin menolongmu.
Mungkin suatu hari, kamu merasa hari itu terberat buat
dirimu, tetapi mungkin boleh jadi ia adalah hari penghasilan terbesar buat dirimu.
Pantang menyerah,
jika dapat bertahan sedikit lagi pasti berhasil.
Tanpa tindakan, maka sikap malas akan tertanam dalam diri.
Tanpa impian, maka kejatuhan akan berakar dalam diri. Semakin lama, akarnya
semakin mendalam. Sampai suatu hari hendak berdiri pun sangat susah.
Untuk bekerjasama, kita harus melepaskan ego dan saling menghormati.
Baru lah kita sama-sama menikmati hasilnya.
Walaupun mempunyai banyak sumber, tidak penting kalau tak
tahu cara menggunakannya, dan
selamanya kamu tidak akan pernah merasa cukup.
Posted in: MotivasiMonday, September 28, 2015
Format dan Instrumen Contoh UPSR 2016
Bermula
tahun 2016, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format
baru, dimana murid Tahun 6 akan menghadapi bentuk dan format yang agak berbeza.
Pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memaklumkan bahawa Format dan
Instrumen Contoh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2016 telah
disediakan untuk rujukan awam.
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Bahasa Cina
- Bahasa Tamil
- Matematik SK
- Matematik SJKC
- Matematik SJKT
- Sains SK
- Sains SJKC
- Sains SJKT
-
KPM
Posted in: UPSRTuesday, September 1, 2015
Berfikir dan Bertindak
Dalam kehidupan harian berfikir dan
bertindak merupakan amalan yang berkait rapat dengan ciri peribadi dan kejayaan
dalam hidup apatah lagi dalam konteks kepimpinan dan pengurusan. Amalan
berfikir dan bertindak mempengaruhi peribadi seseorang. Orang yang berfikir
sebelum bertindak berkemungkinan besar berjaya. Namun nilai fikir dan bila masa
perlu atau boleh bertindak selepas berfikir juga menyumbang kejayaan tindakan.
Ada orang bertindak tanpa atau kurang
berfikir. Tindakan seperti ini dipanggil melulu, terburu-buru atau sembrono.
Tindakan seperti ini juga dikatakan tindakan orang tidak bijak, tidak matang,
keanak-anakan malah boleh dikatakan tidak siuman, Bertindak yang saya maksudkan
boleh jadi dalam bentuk lisan, tulisan dan perbuatan. Orang sedemikian juga sering
kali mudah terlajak-laku, kata atau bicara. Dikatakan terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata rosak binasa. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut
badan merana. Apakah fenomena seperti ini semestinya benar dalam konteks
pengurusan dan kepimpinan moden?
Orang yang bertindak tanpa berfikir atau
singkat fikiranya tidak semestinya salah hasilnya, Namun apakah yang memandu
atau mendorongnya melakukan tindakan itu? Bolehkah misalnya tangan atau mulut
melakukan sesuatu tanpa didahului otak yang berfikir sekurang-kurangnya
mencetus idea jikapun tidak menimbang baik dan buruk apa yang hendak dilakukan?
Jawapannya boleh kerana selain akal manusia dibekalkan nafsu, perasaan,
kepercayaan (iman), tindakan pantulan (refleks), ilham, nurani dan kemuliaan seperti
karomah dan wahyu (bagi para Nabi).
Bagaimana kita boleh menjelaskan
keadaan dimana seorang yang boleh dengan pantas menjawab persoalan atau
menyelesai masalah atau mengambil keputusan yang sukar seolah-olah orang itu
bertindak tanpa berfikir atau berfikiran singkat. Sebenarnya orang itu mungkin
telah berfikir tetapi mengambil masa yang singkat atau pantas sepantas kilat
sebelum bertindak. Hal ini kerana akal dijadikan Tuhan daripada nur atau cahaya
yang kelajuannya bergerak ialah 3.8 kali sepuluh kuasa sembilan meter sesaat.
Orang yang mampu berfikir dan bertindak dengan pantas sebenarnya bukan sahaja
telah melalui pendidikan, latihan, amalan atau pengalaman yang panjang tetapi
mengguna segenap potensi, pancaindera dan bantuan yang diperoleh.
Mengikut Mintzberg (1973) dalam the
nature of managerial work, ada tiga cara orang membuat keputusan untuk
bertindak. Pertama, lihat dahulu sama ada dengan pandangan mata atau pandangan
hati yang dipanggil ‘insight’. Bergantung kepada maklumat luaran, pengalaman atau
gerak hati masa diambil sebelum bertindak berubah-ubah. Cara membuat keputusan
seperti ini dipanggil induktif.
Kedua, berfikir dahulu menggunakan otak
atau akal fikiran. Proses yang berlaku dalam kotak fikiran atau fakulti akal
ialah diagnose, design, deside and do.
Orang itu memerlukan maklumat seperti fakta, data, statistik, teori, dasar dan
peraturan untuk dijadikan panduan membuat diagnosis, mereka bentuk keputusan
sebelum membuat keputusan dan bertindak. Kaedah ini dipanggil membuat keputusan
secara deduktif.
Ketiga, buat atau bertindak dahulu
kemudian baru lihat atau fikir akan kesan atau akibatnya. Pastinya kesan atau
akibatnya juga bergantung kepada pengetahuan dan kemahiran sedia ada serta
pengalaman dalam bidang yang berkaitan. Selalunya orang seperti ini tidak takut
membuat kesilapan tetapi belajar daripada kesilapan dia memperbaikinya untuk
membuat yang lain sehingga berjaya. Kaedah bertindak seperti ini dipanggil
iteratif.
Townsend menyarankan pemimpin yang
berjaya yang tidak boleh atau sukar dipertikai keputusanya melangkaui alasan
munasabah adalah pemimpin yang boleh mengguna lima tenaga dalaman iaitu nilai
(values), fikiran (thought), emosi, perhubungan (relationship) dan perubahan
(transformation).
Untuk mengambil jalan pertengahan
marilah kita berfikir sebelum membuat keputusan untuk bertindak supaya orang
tidak tertunggu-tunggu keputusan kita atau sebelum tindakan ditinggal masa.
Sebaliknya janganlah pula terburu-buru apabila mengambil tindakan ditakuti
tersalah langkah atau tindakan kita separuh masak. Banyak panduan ke arah ini
boleh dibaca dan dipelajari.
- drjamiladimin
Posted in: RenunganTuesday, August 25, 2015
Renungan: Berhati-hati Menerima Pandangan
Seekor arnab melihat gagak yang sedang
bersenang lenang hinggap di dahan pokok sambil berbunyi bising tanpa haluan.
Timbul rasa iri hati, arnab bertanya gagak sama ada boleh atau tidak dia duduk
bersenang-senang di bawah dahan pokok tempat gagak hinggap.
Tanpa banyak soal gagak membolehkan
arnab berbuat apa yang dia suka. Gagak sememangnya tiada apa-apa kepentingan
terhadap arnab. Dia tidak kisah apapun akan terjadi kepada arnab,
Maka arnab pun duduklah bersenang
lenang di bawah pokok itu tanpa berbuat apa-apa sehingga tidak menyedari
kehadiran pemburu yang sememangnya datang secara perlahan. Gagak yang duduk di
tempat tinggi menyedari kehadiran pemburu segera pergi tanpa mengendahkan
keselamatan arnab yang akhirnya menjadi habuan pemburu.
Nasib arnab lebih kurang sama dengan
nasib ayam belanda yang merasakan dirinya rendah kerana tidak boleh terbang dan
hinggap di pohon yang tinggi. Dia mengadu nasib kepada lembu. Lembu memberi
nasihat agar ayam belanda itu makan najisnya yang banyak khasiat.
Ayam belanda mengambil nasihat lembu
menyebabkan dia mendapat kekuatan setelah hari demi hari makan najis lembu
sehingga dia boleh memanjat pokok dari dahan yang rendah ke dahan paling
tinggi. Apabila sampai ke dahan paling tinggi dia berasa seronok tetapi tidak
lama kerana pemburu dengan mudah menembaknya jatuh untuk dijadikan hidangan.
Posted in: RenunganSaturday, August 1, 2015
Beban Kerja Guru Dikaji Semula - Mahdzir
Bebanan kerja yang ditanggung lebih
500,000 guru di seluruh negara akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak
menjejaskan tugasan hakiki mereka sebagai pendidik. Perkara itu dinyatakan
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada sidang media selepas
menghadiri majlis meraikan beliau sebagai Menteri Pendidikan yang baharu
berkuat kuasa Selasa lalu. Beliau berkata, perkara yang akan dikaji hanya
membabitkan kerja-kerja di luar tugasan hakiki seorang guru yang sebelum ini
banyak menimbulkan rungutan.
"Ada rakan-rakan saya dalam
kalangan guru bercakap mengenai perkara ini, jadi saya rasa perkara ini perlu
dikaji supaya kita lebih jelas permasalahan sebenar yang dihadapi mereka dalam
isu ini. Kita akan cuba semak apakah bebanan yang dimaksudkan dan peratusannya...kajian
ini tidak membabitkan tugasan hakiki guru, cuma kerja-kerja lain di luar tugas
hakiki mereka," katanya di sini, hari ini.
Mahdzir selain itu mengesahkan tidak
ada sebarang perubahan dari segi dasar pendidikan akan dilakukan pada masa ini kerana
dasar sedia ada masih relevan mengikut keadaan semasa.
"Selama ini dasar pendidikan tetap
sama sejak tahun 60-an, 70-an dan hingga sekarang, cuma yang berlaku adalah
penambahbaikan terhadap dasar itu mengikut kesesuaian zaman," katanya.
- bharian
Posted in: Perkhidmatan GuruMonday, June 22, 2015
KURSUS I-THINK SECARA LUAR TALIAN 2015
Bahan kursus luar talian bagi i-THINK
2015 telah boleh dimuat turun untuk digunakan. Pengguna harus juga mempunyai
pelayan web IE (Inernet Explorer) versi 10 dan ke atas apabila menggunakan
bahan ini. Sila klik di pautan ini untuk proses muat turun: http://www.moe.gov.my/v/ithink.
Senarai bahan kursus I-Think Secara Luar Talian 2015
(Klik pada gambar untuk muat
turun)
Sebelum memulakan instalasi, rujuk Panduan Instalasi Aplikasi Kursus I-ThinkLuar Talian terlebih dahulu.
- KPM
Posted in: Kementerian Pendidikan MalaysiaTuesday, June 2, 2015
20 Tips Pembelajaran Yang Berkesan
Pelajar yang mengamalkan cara belajar
yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang
belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua
puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia
peperiksaan.
1 – Tidak mensia-siakan masa
Seorang pelajar yang cemerlang
menggunakan masa yang terluang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta
sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan
objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.
2 – Membawa buku ke mana sahaja anda pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap
ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan
diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh
dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya
belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
3 – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk
mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal
pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat
yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut
dengan azam untuk berjaya.
4 – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat
nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa
yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa
ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan
menjadi lebih mudah.
5 – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang
anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat.
Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka
sahaja buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap
hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda
peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu
mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.
6 – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa
untuk menjawab contoh-contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya
dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya.
Pelajar yang hanya tumpu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang
kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.
7 – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus
diulang sebanyak yang mampu. Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang
telah dibaca/dibuat, biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya.
Semakin banyak anda membaca atau ulangkaji, semakin tinggi keyakinan diri anda
untuk lulus dengan cemerlang.
8 – Sentiasa bertanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna
setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah
faham, anda masih boleh bertanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan
anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai
orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.
9 – Berikan tumpuan pada pelajaran/tajuk yang lemah
Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris
atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih
mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka.
Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol
dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham,
tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.
10 – Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu
belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat
seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan
berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana
tolong-menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.
11 – Menjadi model dalam rumah
Jadikan diri anda sebagai contoh kepada
adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti
yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk
mereka, semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa
yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.
12 – Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun
peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini
akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam
akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Banyakkan
masa ulangkaji setiap hari.
13 – Belajar mengikut rentak sendiri
Jangan membandingkan diri dengan
pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mengenal rentak
sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa,
pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang
akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan, dapatkan tuisyen atau
bantuan guru.
14 – Persiapan minda sebelum ulangkaji
Lelapkan mata untuk beberapa minit dan bayangkan
apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang
hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda
kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama
keluarga? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan
keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan
sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik
dan berkualiti.
15 – Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan
mengganggu tumpuan waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda, “saya
tidak relakan masa depan saya tergadai oleh hal yang remeh-temeh.” Sebaik
pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas. Layankan semua
gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh mainkan muzik untuk menjadikan
suasana belajar lebih menyeronokkan (jika sesuai).
16 – Rancangkan jadual ulangkaji
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan
peperiksaan. Sebulan sebelum peperiksaan, anda perlu siap ulangkaji. Pastikan
setiap tajuk dibaca/diulangkaji, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan
dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika
anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkan
pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini
sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang,
pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari
tersebut.
17 – Belajar menyesuaikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau
kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji.
Kadang-kadang, kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada.
Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda.
Beritahu diri anda, “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas
saya kerana saya seorang yang tahan lasak dan bersemangat.”
18 – Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan
anda tidak suka belajar, anda perlu berani berkata “tidak” dan menolak mereka
dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda
tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan
merosakkan masa depan sendiri.
19 – Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana
tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah.
Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam
keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti
akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan
berhenti.
20 – Terokai bakat dan minat
anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan,
peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat
dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan
dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada
keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan,
peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong
kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna
pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai
hala tujuan yang nyata.
Kesimpulan - Belajar adalah suatu seni.
Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda
mempunyai beberapa kekurangan. Semoga catatan ini menguatkan ikhtizam anda
untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran. Selamat maju
jaya.
Posted in: MotivasiSunday, May 31, 2015
Beri Ruang Guru Laksana Amanah
Guru;
Apabila disebut saja perkataan ini secara tidak langsung akan mengimbas kembali
memori mengenai sesuatu yang sangat terkesan di dalam minda dan hati kita.
Ada
yang apabila disebut perkataan ini, akan terpacul di mindanya gambaran sekolah.
Ada juga apabila disebut perkataan ini tergambar di ingatannya wajah guru yang
pernah mendidiknya.
“Masa
ayah kat sekolah dulu cikgu suruh berdiri tengah panas sebab lupa buat kerja
rumah.” Dialog seperti ini hampir kebanyakan daripada kita dengar daripada ibu,
ayah atau datuk kita yang mengimbas kembali zaman dan kenangan persekolahan
mereka satu ketika dulu. Pendek kata, setiap orang pasti ada memori ‘indah’
atau tidak dapat dilupakan bersama guru mereka.
Perkataan
‘guru’ ini umpama ‘keramat’ yang pasti tersemat dalam sanubari kita hingga
bila-bila. Setiap daripada kita pasti pernah melalui zaman persekolahan
hinggalah ke universiti.
Sepanjang
hidup kita, pasti pernah melalui proses menuntut ilmu daripada mereka yang
dipanggil guru ini. Pasti ada sesuatu yang istimewa dengan profesion ini
hinggakan dunia mengkhaskan satu hari yang digelar ‘Hari Guru’ pada 16 Mei
setiap tahun.
Memang
sukar untuk dinafikan betapa rapatnya kehidupan kita pada hari ini dengan jasa
guru sebelum ini. Profesion seorang peguam, arkitek, jurutera, doktor dan
sebagainya pada asalnya dibentuk oleh guru dari zaman persekolahan lagi.
Kita
mampu membaca dan mengira, pasti juga hasil daripada tunjuk ajar guru. Tiada
manusia yang mampu membaca dan mengira jika tiada guru yang sanggup mengajar
mereka mengenal satu demi satu huruf dan mengajar kita formula demi formula
untuk mengira.
Saya
terkenang zaman persekolahan dulu. Ketika bersekolah di Sekolah Menengah Agama
Izzuddin Shah, Ipoh antara subjek yang sangat saya tidak gemar adalah mata
pelajaran Matematik.
Memang
satu ketika saya berasakan subjek berkenaan adalah yang paling sukar di dunia
untuk saya fahami. Setiap kali ujian atau peperiksaan, saya antara pelajar yang
mendapat markah terendah dalam kelas. Hinggakan saya berasa benci atau ‘alergik’
dengan mata pelajaran ini.
Sampai
saya masuk ke tingkatan lima, subjek Matematik kelas saya ketika itu diajar
oleh guru penolong kanan yang terkenal dengan sifat tegasnya. Setiap kali
subjek Matematik, semua murid diminta fokus dengan apa yang diajar olehnya.
Jangan
sekali-kali cuba melihat buku rujukan atau membuat perkara lain ketika dia mengajar,
nescaya akan ada ‘objek’ terbang yang hinggap di muka atau kepala.
Formula
yang diajarnya pula luar daripada kebiasaan. Formulanya tidak dapat ditemukan
dalam mana-mana ‘kitab’ matematik.
Apa
yang menghairankan, akhirnya kami pasti menemukan jawapan sama dengan cara
perkiraan yang menggunakan cara ‘standard’ walaupun jalan kiranya agak
istimewa.
Namun
kadangkala guru saya ini agak pelik. Pelik kerana membuat kelas tambahan pada
waktu yang luar daripada kebiasaan. Kadang-kadang buat selepas Subuh. Ada waktu
dibuat pada waktu petang (di mana waktu petang adalah waktu pelajar asrama
bermain) dan adakalanya pada hari bercuti.
Memang
saya dan kawan agak tertekan ketika itu untuk membiasakan cara luar biasa yang
diamalkan oleh guru Matematik saya ini.
Namun
selepas beberapa bulan, saya mula berminat dengan subjek Matematik dan teruja
untuk menjawab soalan latihan. Hasilnya, saya dapat merasakan ada peningkatan
daripada ujian ke ujian dan akhirnya saya berjaya melepasi markah gagal.
Alhamdulillah,
daripada sering mendapat gred ‘D’ dan ‘E’, saya berjaya mendapat gred A pada
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun berkenaan dan sehingga kini
saya masih terhutang budi dengan beliau kerana membantu ‘mengeluarkan’ saya
dari zon bahaya ini.
Begitu
juga dengan guru subjek lain ketika itu yang bersungguh-sungguh membantu kami
untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun sama. Hingga kini, jika ada peluang
pasti saya akan menziarah mereka setiap kali menjelang Syawal.
Namun
akhir-akhir ini, hati ini sering tersentak setiap kali membaca laporan akhbar
mengenai mereka yang bernama ‘guru’. Tersentak apabila membaca berita ada murid
yang kurang adab dan tidak menghormati guru mereka.
Begitu
juga dengan sesetengah ibu bapa yang terlalu ‘protektif’ terhadap anak mereka
sehinggakan langsung tidak boleh disentuh oleh guru di sekolah. Malah ada juga
yang mengeluarkan kenyataan di media seolah-olah memandang rendah profesion
yang mulia ini.
Ada
pula yang sanggup membuat laporan polis hanya kerana perkara remeh-temeh.
Justeru tidak hairanlah kita menghadapi dilema masalah sosial yang serius dalam
kalangan remaja akhir-akhir ini.
Pada
saya, kita mungkin perlu memberikan golongan guru ini sedikit ruang dan tidak
terlalu menekan mereka dalam usaha mereka mendidik anak kita ini. Insya-Allah,
saya berasakan setiap guru pasti mahu melihat setiap anak didiknya menjadi ‘manusia’
pada masa hadapan.
Bak
kata Saidina Ali, “Jika kamu mahu melihat bagaimana masa hadapan sesebuah
bangsa (negara), maka lihatlah anak-anak muda mereka ketika itu.”
-
hmetro
Posted in: Perkhidmatan Guru
Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.























