Friday, July 25, 2014
SALAM AIDIL FITRI 2014
Benarkah hari raya itu hari yang besar
dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau keutamaannya. Apakah
hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar?
Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita
menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita
mengisinya? Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir, perabot dan
permaidani? Adakah setiap sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut
baru?
Kita menjamu selera dengan
bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat. Atau adakah di hari
raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap
dengan muzik, nyanyian, joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton
pertunjukan atau show hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api
dan meriam buluh. Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan
bersembahyang hari raya, mengirim
kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan.
Bagi orang Melayu, eid fitr dinamakan
hari raya puasa. Perkiraan dan kira bicara dalam hal ini sangat mudah. Ia
dinamakan hari puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Senang dan mudah.
Ini sebenarnya mudah yang sudah terlebih. Sudah over. Cara mudah memberi nama
ini tidak memberi gambaran atau maksud yang sebenar. Maksudnya tersimpang dan
lari dari apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan
kekeliruan dan salah faham.
Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang tidak mengaji agama tidak tahu
kenapa dan mengapa mereka menyambut hari raya. Mereka juga tidak tahu bagaimana
hari raya patut disambut. Mereka kira hari raya itu ialah hari untuk
berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan
bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat dan dikongkong nafsu mereka.
Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak
dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru.
Bagi yang lebih tua, hari raya jadi
hari nostalgia dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak
balik pada hari raya. Sambutan hari raya sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat.
Ia sudah bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan open-housenya, hari raya
get-togethernya dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini. Para artis
dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari rayanya.
Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid
Fitr. Eid itu maksudnya mengembalikan. Fitr itu fitrah. Jadi Eidil Fitri itu
ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci
dan murni. Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud membersih dan
menyucikan fitrah. Selama sebelas bulan dalam setahun, manusia bergelumang
dengan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan
dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan
rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakanNya satu bulan dalam setahun iaitu
bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu
dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula.
Kerana kalau fitrah sudah rosak dan
kotor, manusia akan lupa Tuhan. Bila Tuhan sudah dilupakan, jiwa manusia akan
mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan.
Manusia yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan.
Keinsanannya sudah rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang
hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan
benci dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya
menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat
nanti akan bakal dicampakkan ke dalam neraka.
Puasa itu mampu membersih dan
menguatkan fitrah. Iaitu puasa yang ada lahir dan batinnya. Puasa yang ada
rohnya. Bukan sahaja kita menahan diri dari makan dan minum dan bersedap-sedap
dengan isteri di siang hari; mata kita, telinga kita dan lidah kita pun ditahan
dari melihat, mendengar dan berkata perkara-perkara yang mungkar. Akal kita
ditahan dari memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang haram dan jahat.
Hati kita ditahan dari merasakan perkara-perkara yang ditegah seperti marah,
hasad dengki, buruk sangka, berdendam dan sebagainya. Nafsu kita dikekang dan
ditahan supaya dia tidak jahat, tidak rakus dan tidak terlalu gilakan dunia.
Di samping puasa, ada banyak lagi
amalan-amalan lain di bulan Ramadhan untuk membantu membersihkan lagi fitrah
kita. Ada solat terawihnya, ada membaca atau tadarrus Qurannya, ada zakat
fitrahnya dan berbagai-bagai lagi amalan sunat yang sangat digalakkan di bulan
Ramadhan seperti beriktikaf dan memberi makan orang yang berbuka puasa. Di sini
kita dapat lihat bahawa fokus eidil fitri ialah pada amalan puasanya di bulan
Ramadhan dan bukan kepada hari rayanya yang disambut pada 1 Syawal. Yang
dibesarkan ialah latihan rohaniah secara berpuasa yang dilakukan dan bukan hari
berbukanya, iaitu hari rayanya.
Bulan Ramadhan adalah bulan berkat dan
penuh rahmat. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Bulan syaitan
dibelenggu. Bulan di mana pahala amalan dan ibadah dilipat gandakan dan doa
diterima. Ia adalah bulan maghfirah dan keampunan. Malahan Tuhan memberi pahala
terhadap ibadah puasa tanpa hisab. Kalau dalam ibadah lain, pahala yang Tuhan
beri itu ada sukatan dan skalanya, tetapi bagi ibadah puasa ini, pahalanya ikut
suka Tuhan. Justeru itu, 1 Syawal sebenarnya ialah hari murung dan hari kesedihan.
Hari berakhirnya bulan berkat dan
bulan rahmat. Hari berakhirnya bulan keampunan. Hari terbuka semula pintu
neraka dan bebasnya para syaitan.
Bermula pada 1 Syawal, dunia akan mula
merobek-robek fitrah kita; mengotori, mencemari dan merosakkannya hinggalah
tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Belum tentu kita dapat temuinya kalau ajal
tidak mengizinkan. Kalau begitu, kenapakah kita gembira sangat pada hari raya.
Tidak ada apa-apa sebenarnya yang kita hendak gembirakan. Tidak ada apa-apa
yang kita hendak sambut.
Tidak ada apa-apa keistimewaan di hari
raya kecuali kita disuruh berbuka dan diharamkan berpuasa. Yang ada hanya
berbanyak-banyak syukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan. Kalau hari raya
disambut dengan penuh pembaziran dan kemewahan, tambahan pula kalau dalam
menyambutnya ada pula kelalaian, maksiat dan kemungkaran, maka pada hakikatnya,
puasa kita selama sebulan itu tidak ada makna apa-apa. Tidak ada apa-apa
kebaikan yang kita dapat.
Jelas bahawa fitrah kita masih kotor dan
rosak. Jiwa kita masih lemah kalaupun tidak mati. Kalau pada 1 Syawal pun,
fitrah kita sudah lemah dan rosak, bagaimanakah mampu kita selamat dalam
mengharung dan menghadapi dunia ini selama sebelas bulan lagi sebelum tiba
Ramadhan akan datang. Kalau hari raya disambut pula dengan bersuka ria,
berpesta, berhibur dan bermewah-mewah, jelas bahawa itu adalah atas tuntutan
nafsu, bukan tuntutan fitrah. Bagaimana pula sebaik selesai kita berusaha
membersihkan fitrah, nafsu kita pula yang mengamuk dan menguasai diri kita.
Sebagai umat Islam yang inginkan kebaikan dunia dan akhirat, kita perlu ubah
fahaman dan pegangan kita tentang hari raya puasa ini.
Kalau boleh kita tukar istilah hari
raya puasa ini kepada istilah yang lebih tepat mengikut kehendak agama. Kita
tukar kepada hari raya fitrah, contohnya; yang selalu juga kita gunakan, yang
bermaksud hari besar fitrah; iaitu hari kita membesar dan mengutamakan fitrah
kita. Setelah kita benar-benar faham apa sebenarnya erti Eidil Fitri, mungkin
kita boleh menyambutnya dengan cara yang lebih tepat dan sesuai.
Ia patut disambut dengan segala
kebaikan yang berpunca dan yang didorong oleh hati atau fitrah yang sudah suci
dan bersih. Pada hari raya fitrah, kita patut membantu dan memberi makan fakir
miskin. Merapatkan silaturrahim. Berziarah dan memberi hadiah. Bermaaf-maafan.
Bertolong bantu. Berkasih sayang dan sebagainya. Hari raya fitrah bukan hari
untuk memuaskan nafsu.
Mata kadang-kadang salah melihat,
Lidah kadang-kadang salah berucap,
Hati kadang-kadang salah menduga,
Maaf andai ada salah dan silap.
SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI
Tuesday, July 22, 2014
Anjakan Minda Pengurus dan Pemimpin Pendidikan
Pimpimlah bukan sekadar
mengarah, tapi bagaimana hendak memimpin
jika tidak berilmu, malah dilantik menjadi
pemimpin pun kerana....
Pengurus dan pemimpin pendidikan
terutama di sekolah seperti pengetua, guru besar, penolong kanan, ketua panatia
dan ketua bidang di zaman transformasi ini perlu membuat anjakan minda (mindset
shift) untuk bukan sahaja kejayaan transformasi organisasi yang dipimpin,
malahan kejayaan individu dan sistem pendidikan seluruhnya.
Sekurang-kurangnya lapan aspek yang
berkaitan dengan cara berfikir dan bertindak kumpulan pemimpin dan pengurus
pendidikan tersebut perlu diubah selaras dengan perubahan gaya kepimpinan dan
pengurusan global di luar bidang pendidikan. Zaman di mana ketua bersikap
seolah-olah dia sahaja yang tahu dan betul, orang lain tidak tahu, sentiasa
salah dan mesti mengikut kehendaknya telah berlalu dan tidak relevan lagi.
Berikut disarankan lapan perkara atau cara berfikir dan bertindak yang perlu
diubah oleh pemimpin dan pengurus pendidikan abad ke-21.
Daripada Berfokus Masalah Kepada Berfokus Penyelesaian
Sebagai pemimpin sememangnya kita
sering menghadapi banyak masalah dan cabaran. Sikap yang diserlahkan seorang
pemimpin melalui cara berfikir dan bertindak apabila menghadapi masalah
berbeza-beza mengikut dan sekaligus menggambarkan kekuatan daya kepimpinannya.
Pemimpin yang lemah apabila menghadapi masalah dan cabaran, fikiran dan
tindakannya berlegar sekitar mencari apa dan siapa yang menjadi punca masalah,
mengapa masalah timbul dan menyesali keadaan atau tindakan orang lain yang
menyebabkan masalah timbul tanpa cuba memahami isu sebenar dan cara mengatasi
atau menyelesaikan masalah.
Pemimpin yang berjaya dan berkesan
seringkali tidak menganggap isu atau masalah yang dihadapi terutama dari
sesuatu perubahan sebagai masalah, sebaliknya sebagai peluang baginya belajar
menyelesaikan masalah itu dengan cara yang berbeza dari kebiasaan. Pemimoin
seperti ini tumpuan pemikiran dan tindakannya adalah mencari jalan penyelesaian
sama ada secara individu atau jemaah bersama rakan dalam organisasi
pimpinannya. Dia akan mencari peluang mempengaruhi sesiapa sahaja yang
dipimpinnya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Pelbagai cara digunakan
yang matlamatnya ialah menyelesaikan masalah tanpa bising menyalahkan orang
lain yang didakwa menyebabkan masalah tersebut.
Daripada Menetapan Matlamat Kepada Orang Lain Kepada Menjajarkan Matlamat
Bersama
Sememangnya setiap pemimpin perlu ada
maltamat (goal) untuk diri dan organisasinya. Dia perlu tahu ke mana hala tuju
kehidupan dan pekerjaannya dan organisasi yang dipimpinnya. Namun untuk
mencapai matlamat diri dan organisasi, dia tidak sepatutnya menyuruh (dictate)
orang lain berbuat sesuatu mengikut kehendaknya semata-mata tanpa memikirkan
kesukaran atau masalah yang dihadapi orang yang disuruh.
Ada kalanya matlamat organisasi telah
ditetapkan dengan perancangan yang baik oleh pemimpin sebelumnya atau pihak
atasan yang lebih tinggi daripadanya. Tidak perlu sebenarnya untuk dia menetapkan
matlamat organisasi yang baru melainkan dia hanya perlu membuat penjajaran
(alignment) kepada pelaksanaan perancangan untuk mencapai matlamat yang dikongsi bersama anggota dalam
organisasi.
Dalam merancang matlamat organisasi,
pemimpin abad ke-21 tidak membuatnya secara bersendirian atau sentiasa mengikut
kehendaknya semata-mata. Pandangan dan buah fikiran orang ramai termasuk pakar
dalam bidang berkenaan perlu diambil kira. Apabila percanggahan atau perbezaan
pendapat berlaku, penjajaran dalam bentuk kata sepakat perlu diperoleh.
Daripada Memberi Nasihat Kepada Menimbulkan Kesedaran
Pemimpin alaf baru tidak menganggap
dirinya serba tahu sehingga dia mendakwa hanya layak memberi nasihat dan tidak
layak untuk menerima nasihat apatah lagi tunjuk ajar. Sebanyak mana kita
belajar, seluas mana pengalaman kita dan sejauh mana kita telah lalui liku-liku
hidup pasti ada lagi perkara yang tidak kita ketahui. Kadang-kadang kita
menyangka kita tahu dan mengambil tindakan yang betul tentang sesuatu perkara namun
kerap kali sangkaan kita meleset kerana apa yang kita ketahui selalunya
terbatas kepada konteks, masa, maklumat dan situasi tertentu sahaja.
Oleh itu, untuk mengajak dan
mempengaruhi orang lain mencapai matlamat organisasi yang kita pimpin, lebih
baik kita menimbulkan kesedaran mereka tentang pentingnya kita memikir,
merancang dan mengambil tindakan yang strategik secara bersama untuk proses
pembetulan dan penambahbaikan kepada dasar dan strategi sedia ada. Banyak cara
boleh diteroka untuk menimbulkan kesedaran warga organisasi yang bukan dalam
bentuk nasihat. Antaranya, coaching dan mentoring, pembelajaran dan pembangunan
(learning and development) dan pembangunan profesional berterusan
(continuous professional
development atau CPD). Kesemua kaedah tersebut boleh mendatangkan kesedaran
kendiri warga organiisasi tanpa perlu terlalu memberi nasihat berulang-ulang
yang boleh membosankan.
Daripada Tahu Semua Hal Kepada Rasa Ingin Tahu
Sebagai ketua, perbanyakkan menyoal
daripada menjawab. Soalan atau permintaan juga boleh dijawab atau direspons
dengan soalan. Sebagai contoh, soalan permintaan “Tuan, bolehkah saya bercuti
esok?” boleh dijawab “Mengapa anda hendak bercuti?”. Banyak lagi contoh soalan
yang boleh dijawab dengan soalan.
Menjawab soalan dengan jawapan atau
memberi jawapan atau penyelesaian kepada permasalahan menggambarkan orang yang
yang disoal atau dikemukakan masalah atau diminta pendapat, tahu semua hal.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, zaman seseorang mendakwa serba tahu
telah berakhir. Satu perkara kita tahu, puluhan perkara malahan mungkin ribuan
lagi yang kita tidak tahu walaupun dalam perkara yang sama.
Oleh itu, sebagai pemimpin mahupun
pengikut adalah lebih baik kita timbulkan rasa ingin tahu dengan lebih lanjut
sebelum membuat keputusan tentang sesuatu walaupun mungkin kita telah tahu
konsekuennya. Peribahasa dont leave the
stone unturn sangat baik diamal sebelum membuat keputusan.
Daripada Mengarah dan Mendesak Kepada Mempengaruhi
Pemimpin yang hanya pandai mengarah,
mengerah, memerah dan memarah akan berakhir dengan pengikut mengatakan porah kepadanya. Gambaran ini sesuai
bagi seorang yang pemimpin yang mengarah dan mendesak dalam gaya kepimpinannya.
Pemimpin sedemikian, terutama di sekolah dikuatiri boleh menjejaskan keberkesanan
sekolah yang sekaligus kemenjadian murid kerana guru dan staf yang boleh
bertindak negatif ekoran tindakan yang pasti tidak disukai.
Pemimpin sekolah sedemikian seringkali
dikaitkan dengan pemimpin yang lemah, kurang berhemah dan seperti tidak pernah
mengikuti latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan sebelum atau sepanjang
perkhidmatannya. Pemimpin yang pernah mengikuti kursus kepimpinan dan
pengurusan pendidikan seperti National Professional Qualification for
Educational Leadership (NPQEL) atau lain-lain kursus anjuran Institut Aminudin
Baki (IAB) pasti tahu bahawa definisi memimpin ialah usaha mempengaruhi orang
lain dalam lingkungan kepimpinannya untuk mencapai matlamat organisasi.
Maksud mempengaruhi ialah mengajak,
memujuk, memupuk dan menanamkan rasa suka untuk bekerja bersamanya bagi
mencapai hasrat atau visi organisasi dengan bahasa dan kaedah yang baik. Selain
mempengaruhi, memimpin juga membawa konotasi membuat perubahan (change) dari kurang
baik kepada lebih baik. Dalam pendidikan, Dato’ Dr Amin Senin, Timbalan Ketua
Pengarah Pelajaran Malaysia menyarankan bahawa istilah memimpin itu sendiri
bermaksud mendidik atau sebaliknya mendidik itu adalah memimpin. Hal ini
bermaksud mendidik ialah proses mempengaruhi orang lain iaitu murid dan orang-orang
di sekitarnya untuk mencapai
objektif pembelajaran supaya perubahan berlaku kepada diri murid itu, sekolah
dan sistem pendidikan negara.
Daripada Mengkritik/Menghukum Kepada Menghargai/Memuji
Kritikan dan hukuman oleh pemimpin ke
atas pengikut tidak dinafikan boleh membawa kebaikan kepada organisasi. Namun
apabila selalu digunakan oleh pemimpin kepada pengikutnya boleh menyebabkan
pengikut demotivated. Kritikan selalunya digunakan pemimpin ke atas pengikut
yang rendah mutu kerja dan hasilnya. Hukuman pula ialah natijah yang diterima
pengikut apabila kerja dan hasil kerjanya tidak mencapai jangkaan ketua atau
organisasi. Kritikan juga merupakan hukuman. Malahan kadang-kadang hukuman
berbentuk kritikan lebih berat kesannya daripada bentuk yang lain.
Oleh kerana kritikan dan hukuman selalu
dikaitkan dengan kesan yang negatif, ramai yang tidak suka sama ada orang yang
menerima kritikan dan hukuman atau orang lain di sekelilingnya atau pakar
pengkaji bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Mereka lebih cenderung
untuk menerima penghargaan, pengiktirafan atau pujian. Sememangnya, tiada siapa
yang gemar kepada kelemahan, kekurangan dan kesilapan. Namun selain melakukan kesilapan,
seseorang itu pasti banyak juga melakukan kebaikan kepada organisasi. Adalah
lebih baik kita perbanyakkan menghargai, mengiktiraf dan memuji kerja atau hasil
kerja seseorang terutama orang bawahan kita apabila membuat kerja dengan baik
daripada mengkritik atau menghukum kesilapan kecil yang selalunya tidak
disengaja.
Orang yang sering dihargai dan dipuji
akan besar jiwanya. Sebaliknya orang yang sering dikritik dan dihukum kecil
jiwa dan harga dirinya. Orang yang besar jiwa dan harga dirinya juga akan
menghasilkan mutu kerja yang tinggi dan besar keuntungan yang diperoleh
organisasi. Oleh itu sebarkan penghargaan dan pujian. Kesilapan kecil lupakan
dan maafkan sahaja.
Daripada Mengurus Kepada Mengupaya
Mengurus ialah proses mengekalkan
(maintain) kecekapan dan keberkesanan organisasi. Untuk mengekal kecekapan dan
keberkesanan organisasi ketua perlu aktif merancang, mengorganisasi, mengawal
dan memimpin kumpulannya dengan pelbagai cara dan gaya pengurusan. Selalunya
pihak yang menerima kesan daripada gaya dan cara pengurusan seseorang ketua
ialah pengikut. Ketua yang mengurus selalunya aktif sedangkan pengikut pasif
menerima arahan ketua tanpa atau kurang diberi pengupayaan (empowerment)..
Kepimpinan abad ke-21 adalah kepimpinan
yang mengutamakan pengupayaan daipada pengurusan. Pemimpin yang mengupayakan
pengikutnya adalah pemimpin yang memberi kepercayaan untuk membuat perubahan
tanpa perlu terlalu disuruh dan diawasi. Dia cukup memberi garis panduan dan
motivasi kepada pengikut untuk bekerja bersungguh untuk mencapai matlamat
organisasi. Namun mengikut Ibrahim Bajunid, pengupayaan perlu didahului dengan
pembolehdayaan (enablement) melalui kursus dan latihan.
Daripada Menyediakan Penyelesaian Kepada Meneroka Kemungkinan
Walaupun pemimpin abad ke-21 memberi
tumpuan atau fokus kepada penyelesaian masalah, namun dia tidak cenderung untuk
menawarkan apatah lagi menyediakan jawapan atau penyelesaian kepada masalah.
Sebaliknya dia lebih cenderung untuk meneroka kemungkinan untuk mencari jalan
bagi bukan sahaja mengatasi atau menyelesaikan masalah malahan mendapat
keuntungan yang lebih besar.
Pemimpin seperti ini selalu dikaitkan
dengan pemimpin yang kreatif dan inovatif serta berani mencuba dan mengambil
risiko. Mereka selalunya berfikiran terbuka dan berlapang dada terhadap sesuatu
yang baharu. Berbekalkan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman serta
bantuan tenaga muda, yang lebih kreatif, kritis dan inovatif, pemimpin seperti
ini mampu membawa perubahan besar kepada organisasi.
- Dr.Jamil Adimin
Posted in: PendidikanSaturday, June 28, 2014
Jadual Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa 1435H/ 2014M
Selamat menjalani ibadah puasa pada
tahun ini. Alhamdulillah, ketemu lagi ramadhan bulan yang penuh dengan
keberkatan.
Di sini disertakan Jadual Waktu Imsak
Dan Berbuka Puasa Tahun 1435H/ 2014M bagi seluruh daerah/zon negeri-negeri seluruh Malaysia.
Jadual Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa Tahun 1435H/2014M ini diambil dari laman http://apps.islam.gov.my.
Untuk muat turun Jadual Waktu Imsak Dan
Berbuka Puasa Tahun 1435H/ 2014M, boleh klik link di bawah:
1. Negeri Sabah
4. Negeri Johor
11. Negeri Selangor
12. Negeri Perak
14. Negeri Kedah
15. Negeri Perlis
Selamat menunaikan ibadah puasa. Semoga
mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa.
Posted in: AgamaFriday, June 27, 2014
Mengapa Allah Tidak Mengurniakan Pada Setiap Manusia Untuk Selalu Berbuat Baik Saja?
Beberapa waktu yang lalu ada teman yang
bertanya, "Mengapa iman manusia (biasa seperti kita) itu kadang naik
kadang turun?" Kemudian ada juga yang bertanya, "Mengapa Allah tidak
mengurniakan pada setiap manusia untuk selalu berbuat baik. Apa susahnya bagi
Allah Yang Maha Berkehendak untuk menjadikan manusia ini untuk bertaqwa
semuanya, sehingga tidak akan ada azab dari-Nya."
Saat itu saya hanya boleh menjawab
bahawa semua itu sudah menjadi fitrah bagi manusia biasa seperti kita ini. Ya,
kerana kita ini manusia biasa, bukan malaikat yang kadar ketaatannya tetap
terjaga, pun bukan nabi yang kadar keimanannya semakin tinggi.
Siang tadi secara tidak sengaja saya
mencari tulisan dari Imam Ja'far Shadiq yang kurang lebih sebagai berikut,
"Bayangkan seseorang yang (mempunyai) tubuh sihat dan aqidah benar serta
berada dalam kehidupan yang selesa, sementara orang lain menyiapkan keperluan
hidupnya tanpa usaha dan amal. Apakah seorang yang berakal dengan nalurinya
akan rela dan mahu menerima keadaan orang di atas yang tanpa usaha apapun
memperoleh ganjaran dan pahala? Meraih pahala dan ganjaran merupakan sebuah
kenikmatan tersendiri bagi orang yang bersalah."
Bertolak dari kalimat mulia tersebut
saya cuba kaitkan dengan realiti di kehidupan kita. Misalnya saja kita kaitkan
dengan para pelajar yang sedang menempuh ujian. Apa susahnya seorang guru atau
penilai untuk memberikan nilai tinggi dan meluluskan semua siswanya. Hanya beri
saja jawapan dan hasilnya pelajar akan lulus semua, walaupun tanpa belajar atau
bahkan tidak perlu susah payah datang tiap hari untuk mengikuti pelajaran.
Bisa juga kita umpamakan dengan sebuah
kejohanan sukan. Dalam pertandingan Piala Dunia misalnya, boleh saja setiap
pasukan yang akan bertanding diberi saja piala. Mereka tidak perlu bersusah
payah berlatih dan bertanding. Mereka hanya perlu membentuk pasukan dan
kemudian pasukan tersebut akan mendapat piala secara percuma tanpa usaha dan
bertanding untuk mendapatkan piala tersebut.
Dari kedua-dua contoh tersebut kita
dapat menilai bahawa hasil ujian bagi pelajar ataupun piala bagi pasukan
tersebut bukan hanya tidak bernilai, akan tetapi tidak akan ada kenikmatan dan
kebanggaan saat menerima hasil ujian atau piala tersebut. Semua itu kerana
dalam mendapatkannya tidak ada usaha yang perlu dilakukan.
Akan tetapi jika hasil kelulusan atau
piala tersebut tidak diberikan kepada semua pelajar atau pasukan, mereka akan
berjuang lebih keras lagi untuk meraih kejayaan. Seorang pelajar akan belajar
lebih giat agar bisa lulus. Sebuah pasukan akan berlatih dan bertanding
sebaik-baiknya untuk mendapatkan piala. Mereka akan terpacu dan percaya bahawa
setiap ganjaran yang akan diterimanya seiring dengan usaha yang dilakukannya.
Mereka akan merasakan kenikmatan,
kebanggaan, dan kebahagiaan saat menerima ganjaran tersebut. Seorang pelajar
akan merasa puas bahawa hasil jerih payahnya dalam menuntut ilmu berbuah hasil
baik dan kelulusan. Begitu juga sebuah pasukan akan merasakan indah yang luar
biasa saat memenangi sebuah perlawanan yang semua itu diraih atas hasil kerja
keras mereka.
Kembali kita kaitkan dengan kadar
ketaatan manusia, Allah sudah berjanji bahawa balasan bagi hamba-Nya yang
bertaqwa adalah syurga yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan. Tapi bukan
hanya di situ sahaja yang ingin Allah berikan pada hamba-Nya. Allah
menginginkan hamba-Nya merasakan kenikmatan berlipat ganda pada hamba-Nya yang
bertaqwa.
Syurga itu sendiri sudah nikmat,
seperti kelulusan atau piala tadi. Tapi Allah masih menambah kenikmatan dengan
memberikan kesempatan bagi kita untuk berlumba-lumba menggapai syurga tersebut.
Dengan demikian jika kita menginginkan kenikmatan berlipat ganda di syurga-Nya,
kita harus meraihnya dengan memperbanyakkan amal soleh.
Semoga setiap usaha yang kita lakukan
diredhai Allah dan membawa kita pada kenikmatan yang berlipat-ganda di syurga
nanti.
Amin Ya Robbal'alamin.
Posted in: RenunganSaturday, June 14, 2014
Pentaksiran Tingkatan Tiga Bermula 1 Julai Ini

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga
(PT3) yang menggantikan peperiksaan berpusat awam Penilaian Menengah Rendah
(PMR) akan bermula 1 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan
berkata ia dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah
dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, di mana murid-murid perlu menyiapkan kerja
kursus berdasarkan tajuk yang diberi dalam tempoh berkenaan.
Ujian lisan meliputi kemahiran
mendengar dan bertutur bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
pula akan diadakan pada 6 hingga 29 Ogos.
Seterusnya, murid-murid terlibat akan
menduduki ujian bertulis pada 12 hingga 17 Oktober bagi mata pelajaran Bahasa
Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup
Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun dan
Bahasa Iban.
"Bagi tahun pertama, kita sedar
ada pihak yang belum faham dengan sistem ini. Kita nak masukkan kemahiran
berfikir yang lebih tinggi selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat
global.
"Sebab itu cara pelaksanaan di
awal-awal ini agak berbeza tapi akan stabil beberapa tahun akan datang,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Amal Bukit Damansara di
Pusat Komuniti Bukit Damansara di sini, Sabtu.
Muhyiddin berkata menerusi PT3, pelajar
terlibat akan dinilai mengikut Band iaitu Band Satu bagi pencapaian yang lemah
sehingga Band Enam bagi pencapaian cemerlang.
Tahun 2014 merupakan tahun pertama
pelaksanaan PT3 menggantikan peperiksaan PMR, selaras dengan pengenalan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjurus kepada sistem pentaksiran
pendidikan yang lebih holistik. "Semua guru Tingkatan Tiga telah dilatih
memandangkan kini mereka perlu mengajar secara berbeza.
Kita harap semua pihak khususnya ibu
bapa tidak ragu-ragu dan beri peluang untuk sistem ini dilaksanakan," kata
Muhyiddin.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi
peringkat permulaan, Lembaga Peperiksaan Malaysia akan membantu pihak sekolah
mengolah soalan peperiksaan dan seterusnya sekolah boleh memilih daripada bank
soalan yang disediakan itu bagi menyediakan kertas peperiksaan.
Bagi mengelakkan timbulnya isu
sekolah-sekolah mengambil kesempatan menaikkan prestasi masing-masing,
Muhyiddin berkata guru-guru dan pemeriksa dari sekolah lain akan diminta
menilai keputusan PT3 sesebuah sekolah supaya dapat diselaraskan.
Dalam pada itu, timbalan perdana
menteri sekali lagi menegaskan pelaksanaan PT3 adalah untuk melihat pencapaian
pelajar sejak dari awal, dan membolehkan pelajar yang lemah dibantu untuk
menjadi lebih cemerlang pada pentaksiran akhir.
"Ibu bapa juga boleh datang ke
sekolah pada bila-bila masa untuk melihat pencapaian anak-anak," katanya.
Tambahnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) dan Sarana PIBG telah dan akan terus memberi penjelasan kepada waris
murid berhubung pelaksanaan PT3.
- BERNAMA
Posted in: PendidikanFriday, June 13, 2014
Renungan: Himpunan Hadis Nabi SAW Mengenai Keadaan Akhir Zaman
Dicatat
Hadis-hadis Nabi SAW mengenai keadaan akhir zaman petanda kiamat
untuk renungan bersama.
Orang Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda “Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak,
maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka” (HR
Muslim).
Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas r.a. Beliau berkata,
bersabda Rasulullah SAW “Akan ada pada akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan
ulama yang fasik ” (HR Ibnu Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan
ada pula orang alim yang fasik]
Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau
berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang
mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan
orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura
zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka
lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT
berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu
terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan
menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga
orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (HR Tirmizi).
Pendusta Dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau
berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang
penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang
benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang
amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba
membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah
Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Orang kerdil, hina, dan
tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah).
Kefasikan Berleluasa
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah
(ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman
pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau
seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya
dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda
dunia” (HR Muslim).
Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban r.a. Beliau berkata,
Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari
seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan
mengerumuni bekas hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah
kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari
itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan
mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah
akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya
“Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan
takut mati” (HR Abu Daud).
Namanya Saja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau
berkata, telah bersabda Rasulullah SAW “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana
tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran
kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada
hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit.
Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali
” (HR Al-Baihaqi).
Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.
Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan mengikut jejak
langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta,
sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut
mereka” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan
maksudkan?” Nabi SAW menjawab “Siapa lagi?” (HR Muslim).
Ulama Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a.
Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan
aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para
ulama sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan
lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang
Arab” (HR Ahmad).
Ulama Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a.
Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Bahawasanya Allah SWT
tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia.
Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila
telah ditiadakan para ulama, orang banyak akan memilih orang-orang jahil
sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka akan
berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain” (HR
Muslim).
Golongan Anti Hadis
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a.
Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di
mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kursi kemegahannya,
lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata “Pegangan
kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran
kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi SAW
melanjutkan sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah
hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah).
Berbangga-Bangga Dengan Masjid
Dari Anas bin Malik r.a. Bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku
bermegah-megah dengan bangunan masjid” (HR Abu Daud).
Tak Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a.
Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman,
pada waktu itu orang banyak berdiri tegak beberapa lama, kerana mereka tidak
mendapatkan orang yang dapat mengimami mereka solat” (HR Ibnu Majah).
Penyakit Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku
mendengar Rasulullah SAW bersabda “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang
pernah menimpa umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit
umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah,
1.Terlalu sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin,
4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi,
6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi” (HR Hakim).
Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau
berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun
kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya
secara langsung, dia akan terkena debunya” (HR Ibnu Majah).
Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau
berkata, bersabda Rasulullah saw, “Akan datang suatu zaman seseorang tidak
mempedulikan daripada mana dia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal
atau pun haram” (Riwayat Muslim).
Banyaknya Sumber Galian
Daripada Ibnu Omar r.a. Beliau berkata
“Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu
adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani
Sulaim dari lombong (galian) mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah!
Emas ini adalah hasil galian kita” Lalu Nabi SAW menjawab “Nanti kamu akan
dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang
yang jahat ” (HR Baihaqi).
Khamar
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a.
Katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku
yang meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil
diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan
mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi”
(HR Ibnu Majah).
Banyaknya Perzinaan
Dari Anas r.a. Beliau berkata “Aku akan
menceritakan kepada kamu sebuah Hadis yang tidak ada orang lain yang akan
menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Di antara
tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak
kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan
mengurus lima puluh orang perempuan” (HR Bukhari Muslim).
Berpakaian Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau
berkata, Rasulullah SAW bersabda ”Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni
Neraka, keduanya belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa)
yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang.
Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu
berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang
unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, malah tidak akan dapat
mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu dari jarak
perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim).
Perilaku Manusia Masa Kini
Dari Aisyah r.a. Dia berkata “Aku
mendengar Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga
seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi
panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang
baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani
melawan orang-orang baik” (HR Thabrani).
Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin al-Khattab r.a.
(dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah
SAW ” Maka khabarkan kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Nabi SAW menjawab,
“Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka
Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya” maka Nabi
SAW menjawab “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang
berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya
menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Riwayat Muslim).
Peperangan Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah r.a, katanya
Rasulullah SAW bersabda “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda
melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat
bertanya “Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Peperangan,
peperangan, peperangan” Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah).
Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah
SAW bersabda “Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai
Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari
emas. Banyak orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan
puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang
terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu” Di dalam riwayat
lain disebutkan “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut
airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja yang hadir di
situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta tersebut” (HR Bukhari
Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang
menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis ini sebenarnya petroleum].
Waktu Terasa Pendek
Daripada Anas bin Malik r.a. Beliau
berkata, Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi kiamat sehingga waktu
terasa pendek, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan
seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu
jam dan satu jam dirasakan seperti satu kilatan api” (HR Tirmizi).
Hilangnya Sifat Amanah
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a.
Katanya, …”Kemudian jadilah orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada
seorang pun yang suka menunaikan amanah, sehingga dikatakan orang bahawasanya
di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat
baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan “Alangkah
tekunnya dia dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik
otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya
seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari & Muslim).
Islam Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a.
Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Islam akan lenyap seperti hilangnya
corak pada pakaian, sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan
dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan
dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran
akan hilang semuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di
permukaan bumi ini darinya walaupun hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada
hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya orang tua, lelaki dan perempuan.
Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan
kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah).
Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau
berkata “Pada suatu hari ketika Nabi SAW sedang berada dalam suatu majlis dan
berbicara dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi)
lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “Bilakah akan terjadi hari Kiamat?”
Nabi SAW terus saja berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi SAW)
mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya”
Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya beliau tidak mendengar pertanyaan
itu” Sehingga apabila Nabi SAW selesai berbicara, beliau bersabda “Di mana
orang yang bertanyakan mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut
“Ya! Saya wahai Rasulullah” Maka Nabi SAW bersabda “Apabila amanah telah
disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa
yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi SAW menjawab “Apabila
urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari
Kiamat” (HR Bukhari).
Kebinasaan Umat Islam
Daripada Ummul Mukminin , Zainab binti
Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah SAW
masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH,
celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir
menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud
seperti ini”, dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya
(jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab
binti Jahsy) lalu bertanya “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di
kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda “Ya,
jikalau kejahatan sudah terlalu banyak” (Riwayat Bukhari & Muslim).
Punca Kebinasaan Seseorang
Dari Abu Hurairah r.a. Beliau berkata,
Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak
akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari
puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain.
Maka apabila zaman itu telah tiba, segala sumber pendapatan tidak dapat
diperoleh kecuali dengan melaksanakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah
SWT. Apabila ini telah terjadi, maka kebinasaan seseorang adalah disebabkan
memenuhi kehendak isteri dan anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan
anak, maka kebinasaannya disebabkan memenuhi kehendak kedua ibu bapanya. Dan
jikalau ibu bapanya sudah tidak ada lagi, maka kebinasaannya disebabkan
mengikuti kehendak keluarganya atau disebabkan mengikuti kehendak jiran
tetangganya” Sahabat bertanya “Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan
engkau itu?” Nabi SAW menjawab “Mereka akan menghinanya dengan kesempitan
hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia telah menceburkan dirinya ke
jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya” (HR Baihaqi).
Perselisihan Yang Banyak
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah
r.a. Beliau berkata “Telah menasihati kami Rasulullah SAW akan satu nasihat
yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu
kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali
maka berikanlah pesanan kepada kami” Lalu baginda pun bersabda “Aku berwasiat
akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat
(kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.
Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat
perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku
dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang
mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah
sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru
(bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah
sesat” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Golongan Yang Selamat
Daripada ‘Auf bin Malik r.a. Beliau
berkata, Rasulullah SAW bersabda “Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi
tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga
dan yang tujuh puluh akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah
menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka
dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di
dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga
golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua akan
masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang selamat?” Nabi SAW menjawab
“Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah).
Orang Asing
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau
berkata, Bersabda Rasulullah SAW “Islam mula berkembang dalam keadaan asing.
Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing” (HR
Muslim).
Kepayahan Orang Yang Beriman
Daripada Anas r.a. Berkata Rasulullah
SAW bersabda ”Akan datang pada manusia suatu zaman di mana orang yang berpegang
teguh di antara mereka kepada agamanya laksana orang yang memegang bara api.
(HR Tarmizi).
Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a
“Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid.
Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. Dan tidak ada di badannya kecuali hanya
selembar selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat
kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan
kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh
ibunya), dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah
sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di
Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda “Bagaimanakah keadaan kamu pada
suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi pada
waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diberikan satu
hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi
(menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab
sahabat “Wahai Rasulullah, tentunya keadaan kami pada waktu itu lebih baik
daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan memberikan perhatian sepenuhnya
kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari
rezeki” Lalu Nabi SAW bersabda “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik
daripada keadaan kamu pada hari itu” (HR Tirmizi).
Golongan Yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a.
Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Sentiasa di kalangan umatku ada
golongan yang sentiasa menang (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah
pada suatu waktu yang dikehendaki Allah SWT. Mereka senantiasa menang. (HR
Bukhari).
Subhanaallah.
- peribadirasulullah
Posted in: RenunganWednesday, June 11, 2014
Jadual Perlawanan Piala Dunia Waktu Malaysia
[Eksklusif]Jadual Perlawanan Piala Dunia Waktu Malaysia
World
Cup 2014 akan bermula pada hari Khamis ini dengan perlawanan pembukaan di
rasmikan pasukan tuan rumah, Brazil dengan menentang Crotia pada pukul 4.00
pagi waktu Malaysia.
Perlawanan
World Cup 2014 ini akan di langsungkan pada waktu berikut:
- 12.00 tengah malam
- 3.00 pagi
- 4.00 pagi
- 6.00 pagi
- 9.00 pagi
Kami
di Stylo Sport ingin berkongsi jadual perlawanan kepada anda semua. Bagi yang
ingin download, sila klik di sini World Cup 2014 Schedule atau World Cup 2014 Waktu Malaysia secara eksklusif!!
Bagi
memudahkan semua peminat sukan bola sepak, Stylo Sport dengan bangganya telah
menukar format jam World Cup mengikut waktu Malaysia seperti di bawah. So,
sediakan mata anda pada waktu-waktu ini.
Posted in: Sukan
Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.








