Tuesday, October 8, 2013

Taklimat Sarana Ibu Bapa Dan Sarana Sekolah Secara Online

Taklimat Penggunaan Modul Sarana Ibu Bapa Dan Sarana Sekolah
Secara Online Peringkat Daerah Kuala Terengganu Tahun 2013

Semalam 7 Oktober 2013, semua sekolah daerah Kuala Terengganu yang terdiri daripada Guru Besar, Setiausaha PIBG dan Guru Data telah berkumpul di Dewan SK Sultan Sulaiman 2 Kuala Terengganu, bagi menghadiri Taklimat Penggunaan Modul Sarana Ibu Bapa Dan Sarana Sekolah Secara Online Peringkat Daerah Kuala Terengganu Tahun 2013.

Agak malang, taklimat yang dijalankan tanpa sebarang dokumen atau modul yang disediakan sebagai rujukan atau panduan diberikan kepada pihak sekolah.

Menariknya, dalam sesi soal jawab terdapat peserta yang memberi pandangan agar pihak PPD dapat mengenengahkan kepada pihak atasan tentang persoalan berikut:
  • Peruntukan kewangan sekolah yang tidak mencukupi dalam menjalankan program-program berkait dengan pendidikan yang perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah.
  • Bertambahnya beban guru dengan tugasan perkeranian.
  • Perlu wujudkan jawatan guru luar norma bagi jawatan Guru Data.
  • Berlakunya ketiadaan guru di sekolah apabila guru menghadiri program temu murni di sekolah lain iaitu sekolah tempat anak mereka belajar.
  • Berlaku masalah ibu bapa yang tidak melengkapkan sarana secara online disebabkan tiada kemudahan internet, tiada kemahiran ICT atau masalah sikap ibu bapa itu sendiri.

Menjawab persoalan yang dikemukakan, pihak PPD tidak dapat memberi jawapan bagi persoalan tersebut. Manakala persoalan masalah ibu bapa yang tidak melengkapkan sarana secara online, pihak PPD menyatakan, ianya akan berbalik kepada guru sekolah sendiri yang perlu melengkapkannya.

Bagi saya, jawapan yang dikemukan tidak profesional dan sekadar menutup kelemahan pelaksanaan program itu sendiri. Jawapan yang dikemukan itu juga dibangkang oleh peserta yang mengemukakan persoalan tersebut, dimana ianya dilihat akan menambah lagi beban guru, malah data yang dikutip tidak telus dan tiada integriti dalam pelaksanaan program tersebut. Malah dilihat, diperingkat PPD hanya ingin melihat data kelihatan lengkap untuk disalurkan ke pihak atasan, walau pun dapatan tersebut tidak menepati prosedur atau hakikat yang sebenar.

Walau bagaimanapun, sehari selepas menghadiri taklimat tersebut, saya dengan persetujuan pihak sekolah telah pun mengadakan taklimat di peringkat sekolah berkaitan Sarana Sekolah kepada guru-guru. Semoga program ini dapat berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu tugasan hakiki sebagai pendidik. Diharap juga persoalan di atas dapat diberi perhatian dan dapat diatasi dengan sebaik mungkin oleh pihak-pihak yang berkenaan.


Taklimat Sarana Ibu Bapa Dan Sarana Sekolah Secara Online
Peringkat Sekolah di Makmal Komputer SK Undang

Portal Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah boleh dilayari dengan mengklik link berikut atau rujuk link yang disediakan dalam ruangan ONLINE LINK: Portal Sarana IbuBapa dan Sarana Sekolah.

Monday, October 7, 2013

Perluas i-Think Ke-10,000 Sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperluaskan program i-Think ke 10,000 sekolah seluruh negara pada tahun depan, bagi melahirkan pelajar yang memiliki kemahiran berfikir aras tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Sufa’at Tamin, berkata, setakat ini 500 sekolah termasuk menengah dan rendah mengikuti program terbabit berbanding 10 projek rintis yang dimulakan pada 2011.

“Bagi memenuhi sasaran ini, seramai 412,000 guru akan diberi latihan dalam talian dan sokongan manakala kira-kira 5.4 juta pelajar akan didedahkan kepada program kesedaran dan jangkauan berkaitan kemahiran berfikir.

“Sehingga kini, sebanyak 766 sekolah rendah dan 234 sekolah menengah yang dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing sudah mengikuti program itu,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang Pertandingan Karnival Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Sejarah Sekolah Showcase i-Think sempena Hari Kemerdekaan 2013 di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Kurikulum KPM, Dr Masnah Ali Muda dan Pengarah Pendidikan Terengganu, Zakaria Ali.

Sebanyak 10 sekolah rintis Showcase i-Think termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Maruddu, Sabah, SMK Convent, Muar dan SMK Gaal, Kelantan menyertai karnival itu.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan pada karnival yang julung kali diadakan itu.

Sufa’at berkata, penerapan program i-Think itu bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

“Melalui program ini, pelajar akan didedahkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi sekaligus menepati hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang berinovatif dan kreatif,” katanya.

- hmetro

Sunday, October 6, 2013

Bincang Keselamatan Sekolah

Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah dan syarikat kawalan keselamatan yang dikenal pasti menyediakan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) kurang memuaskan.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh semalam berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua pihak terbabit dalam masa terdekat bagi membolehkan sistem keselamatan terbaik untuk setiap sekolah.

“Kita akan menerima apa jua pandangan yang dikemukakan secara positif kerana kita mahu wujudkan sistem keselamatan terbaik,” katanya mengulas laporan Ketua Audit Negara yang mendapati Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di 35 sekolah dan asrama di seluruh negara kurang memuaskan.

- hmetro

Thursday, October 3, 2013

Email Palsu: Sekolah Terlibat Diarah Tutup Akaun Gaji

Seremban: Jabatan Pendidikan negeri mengarahkan semua sekolah yang membalas e-mel palsu kononnya dari Jabatan Akauntan Negara supaya segera menutup akaun gaji sedia ada dan membuka akaun baru.

Pengarahnya Kalsom Khalid berkata, tindakan perlu dibuat minggu ini untuk mengelakkan guru serta kakitangan sekolah berdepan masalah pembayaran gaji, bulan ini.

Menurutnya, beberapa sekolah di negeri ini menerima e-mel palsu kononnya dari Jabatan Akauntan Negara yang meminta mereka mengemas kini pangkalan data termasuk nombor akaun gaji kakitangan.

Harian Metro difahamkan, kebanyakan kerani sekolah menerima e-mel dari aminmoe.gov@mail.com yang mempunyai logo Jabatan Akauntan Negara meminta mengemas kini maklumat seperti kad pengenalan, nombor akaun bank dan jenis bank sebelum wang mereka lesap dari akaun masing-masing keesokan harinya. “Terdapat beberapa sekolah membalas e-mel itu, tetapi setakat ini belum timbul sebarang masalah kerana gaji September sudah dibayar.

“Gaji Oktober dibayar lebih awal, mungkin minggu depan.

“Untuk mengelakkan masalah pada gaji bulan ini, guru sekolah terbabit perlu bertindak cepat menutup akaun gaji sedia ada dan membuka akaun baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Sembilan Superintendan Ramli Mohd Nor yang dihubungi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

- hmetro

Lebih 400,000 Calon Duduki Peperiksaan PMR Terakhir

Sebanyak 462,940 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terakhir, di 3,530 pusat peperiksaan di seluruh negara, semalam.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM), peperiksaan itu akan berlangsung selama lima hari berakhir 9 Okt.

Mengikut pecahan, sebanyak 430,146 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (6,024 orang), calon sekolah menengah agama negeri (9,906 orang ) dan calon sekolah swasta (13,637 orang).

Sementara itu, calon persendirian 1,008 orang dan calon sekolah menengah agama rakyat 2,219 orang.

PMR yang diperkenalkan sejak 1992 akan dimansuhkan mulai tahun depan.

Di TERENGGANU, 22,497 calon mengambil peperiksaan itu di 183 pusat peperiksaan di sekolah dan enam di hospital.

Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Husin berkata 158 calon merupakan Calon Berkeperluan Khas (CBK) termasuk mereka yang buta, rabun, pekak dan bisu.

"Bagi calon ini, kita telah sediakan kertas peperiksaan khas seperti kertas peperiksaan cetakan Braille dan cetakan besar serta masa tambahan antara 15 hingga 40 minit diberikan untuk mereka," katanya kepada Bernama.

"Seorang calon dari Hulu Terengganu kita klasifikasikan sebagai calon rabun tiba-tiba, yang mana beliau tidak mengalami apa-apa masalah semasa mendaftar sebagai calon PMR dahulu.

"Tetapi pada dua minggu terakhir ini, beliau disahkan oleh doktor mengalami masalah rabun dan kita kategorikan beliau sebagai calon rabun tiba-tiba dan beliau akan diberikan kertas peperiksaan cetakan besar seperti calon CBK yang lain.

Tinjauan Bernama di sekitar sekolah di bandar raya ini pada hari pertama peperiksaan mendapati, seawal jam tujuh pagi ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk menduduki peperiksaan dan ada di antara mereka yang mahu menunggu di sekolah untuk solat hajat dan membaca surah Yasin sehingga anak mereka selesai menjawab peperiksaan.

- BERNAMA

Monday, September 30, 2013

E-book Beri Kesan Baik Kepada Pelajar Di Terengganu

Usaha kerajaan negeri Terengganu memperkenal penggunaan e-Book di kalangan pelajar sekolah rendah menampakkan kejayaan dengan sesetengah sekolah menunjukkan perkembangan akademik memberangsangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata sebagai contoh kejayaan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga di sini dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas apabila melaksanakan sistem kelas maya secara optimum.

"Apa yang kita lihat, penggunaan e-Book walaupun tidak capai tahap 100 peratus, tetapi ada kemajuan dari segi penggunaan ICT.

"Projek e-Book yang dilaksanakan bukan dalam bentuk perkakasan semata-mata, malah ia mengandungi buku-buku teks, Al-Quran, Fardhu Ain, kamus dan lain-lain perisian persekitaran kelas yang dikenali sebagai kelas maya," katanya.

Dalam keputusan UPSR tahun lepas, kedudukan SK Paya Bunga meningkat apabila gred purata sekolah itu berada pada kedudukan 620 daripada 7,696 berbanding 3,173 daripada 7,617 pada 2008 di peringkat kebangsaan.

"Ini bermakna penggunaan e-Book bukan satu perkara yang membazir dari sudut ilmu dan kebolehan di mana semua sekolah maya yang mengintegrasikan e-Book dalam pengajaran dan pembelajaran, pencapaian UPSR telah meningkat pada 2012," katanya.

Ghazali berkata pada 2009 kerajaan telah mengagihkan e-Book kepada 23,702 pelajar sekolah rendah membabitkan peruntukan lebih RM22 juta dan kepada 23,313 murid dengan peruntukan lebih RM22 juta pada tahun 2010.

Bagi 2011 pula, peruntukan itu membabitkan lebih RM21 juta (23,194 murid), lebih RM20 juta (22,117 murid) pada tahun lepas. Sebanyak RM21 juta pula diperuntukkan tahun ini dengan sedikit penambahbaikan.

- BERNAMA

Friday, September 27, 2013

Renungan: Tertipu Dalam Ibadat?

Suatu hari Hasan al-Basri menyuruh murid-muridnya untuk membantu hajat seseorang. Beliau berkata: "Ajak sekali Thabit al-Bunani bersama kalian."

Apabila Thabit didatangi, beliau tidak dapat pergi bersama kerana tengah beriktikaf.

Hasan berkata: "Tidakkah engkau tahu bahawa membantu hajat seorang Muslim lebih baik daripada melakukan haji sunat?"

Thabit lalu meninggalkan iktikafnya dan turut serta bersama mereka.


Antara Sunat Dan Fardu

Seringkali kita tidak menyedari adanya tangga keutamaan dalam ibadat. Kita beribadat berasaskan selera sendiri sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih baik. Jika benar ibadat kita kerana Allah SWT, semestinya kita melakukan yang paling Allah SWT cintai, bukan yang paling kita sukai.

Pemahaman mendalam tentang tangga keutamaan beramal sangat penting dijadikan pegangan. Antara ibadah fardu dan sunat misalnya, kita mesti dahulukan yang fardu. Sebab amalan fardu lebih Allah SWT sukai daripada amalan sunat.

Dalam hadis Kudsi, Allah berfirman: "Tidaklah seorang hamba mendekat kepadaKu dengan satu ibadat yang paling Aku sukai daripada ia melakukan perkara yang difardukan kepadanya." (riwayat al-Bukhari)

Justeru, sesedap apa pun perasaan kita ketika melakukan ibadah sunat, ia mesti segera ditinggalkan apabila tuntutan fardu telah menjelang.

Mendengar ceramah agama mesti ditinggalkan apabila suami memanggil. Mengaji al-Quran segera dihentikan sementara untuk menyahut seruan ibu bapa. Begitu seterusnya.

Para ulama berkata: "Jika kita berasa sedap dalam ibadat sunat, namun malas melakukan yang fardu, maka itu pertanda kita tertipu dalam ibadat."


Membantu Fakir Miskin

Antara ibadah sunat dan membantu orang yang memerlukan, sebenarnya membantu orang yang memerlukan itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda: "Amalan yang paling baik ialah menggembirakan seorang Mukmin. Engkau memberinya pakaian, memberinya makan dan membantu hajat keperluannya." (riwayat al-Tabarani)

Selain menggembirakan orang lain, perbuatan baik yang kita lakukan akan memberi kedamaian dalam hati kita terlebih dahulu. Senyuman orang yang menerima sedekah kita akan membawa keberkatan dalam hidup kita.

Dan kesyukuran fakir miskin yang menerima bantuan kita akan membuat hidup kita lebih bermakna.

Oleh yang demikian, jangan lewatkan kesempatan melakukan ibadat yang sangat mulia ini. Membantu hajat orang yang memerlukan merupakan amalan ulama terdahulu yang membawa mereka ke darjat yang sangat tinggi di sisi Allah.

Suatu malam, Talhah bin Ubaidillah melihat Umar bin Al-Khattab memasuki rumah seorang wanita. Pada esok harinya, Talhah mendatangi rumah tersebut. Ternyata di dalamnya hanya terdapat seorang nenek tua yang buta dan lumpuh.

Talhah bertanya kepadanya: "Apa yang biasa dilakukan pemuda ini setiap malam di rumahmu?"

Wanita itu menjawab: "Pemuda itu sejak beberapa tahun lepas selalu menjaga keperluanku. Ia membawakan bagiku makanan dan mengeluarkan kotoran daripada rumahku."

Talhah berkata: "Celaka diriku. Adakah aku hendak mencari-cari kesalahan Umar?"

Kisah ini diceritakan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitab Jami' Ulum wal Hikam.

Semoga Allah SWT memberikan kita kemampuan untuk meniru amalan dan ibadat orang-orang soleh yang terdahulu.

Subhanaallah.

Wednesday, September 25, 2013

Profesion Guru Perlu Dimartabat

Profesion keguruan perlu diberi pengiktirafan dan dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi bagi menjadikannya kerjaya rebutan setanding bidang profesional kritikal seperti doktor.

Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Hussein Ahmad, berkata usaha itu perlu bagi memastikan profesion itu mampu menarik penyertaan lebih ramai lulusan cemerlang.
Beliau berkata, antara langkah ialah menawarkan gaji lebih tinggi setimpal beban tugas, selain menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran mencukupi serta berkesan dengan suasana kerjaya terbaik.

“Pengiktirafan ini penting kerana tugas mendidik anak bangsa berat, selain menggalakkan individu cemerlang menjadi guru dan melahirkan lebih banyak idea hebat dalam membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.

Pembelajaran interaktif

“Ini juga akan membantu usaha kerajaan yang meletakkan pencapaian 7A sebagai syarat kelayakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya selepas Forum Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025: Bagaimana Merealisasikannya?’ di Fakulti Pendidikan UM, di sini semalam.

Forum turut disertai dua panel lain, iaitu Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron; serta Profesor (Kurikulum) Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Nagendralingan Ratnavadivel.
Ia dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran UM, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Bakar Nordin.

Nagendralingan berkata, setiap guru sekolah rendah dan menengah perlu lebih bijak mewujudkan suasana pembelajaran interaktif serta aktif dan bukan pasif ketika mengajar.

“Guru harus berfikir dan mengeluarkan pendapat secara terbuka dalam mencari teknik pengajaran lebih menyeronokkan serta menarik minat dan keyakinan pelajar, selagi ia tidak menimbulkan masalah,” katanya.

- bharian

Monday, September 23, 2013

Guru Perlu Berubah Selari Transformasi

Isu mengenai kredibiliti guru tidak pernah selesai walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi memperkukuh dan meninggikan taraf guru pada alaf baru.

Antara pertikaian yang sering dipersoalkan ialah sejauh mana kemampuan golongan itu menjalankan tanggung­jawab serta tekanan dunia pekerjaan yang semakin meningkat.

Biarpun banyak pembaharuan dibuat bagi menangani masalah ‘kelemahan’ guru terutama guru baru, banyak kepincangan yang menyebabkan golongan itu mendapat kritikan.

Persoalannya, apakah kualiti guru baru yang dihasilkan hari ini masih rendah dan jauh daripada piawaian ditetapkan, sekali gus menunjukkan kegagalan institusi me­nyediakan guru berprestasi tinggi?

Apakah sistem yang diguna pakai tidak relevan dan memerlukan pendekatan terkini bagi menyaingi kemajuan pendidikan global?

Atau adakah guru berkenaan yang bermasalah?

Seterusnya, mengapa sebahagian guru baru masih gagal mengaplikasikan ilmu diperoleh di institusi untuk mempertingkatkan kualiti diri sesudah menceburi alam pekerjaan?

Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Ahmad Jazimin Jusoh berkata, kegagalan guru baru mengaplikasi ilmu diperoleh tidak boleh diletakkan di bawah tanggungjawab institusi semata-mata.

Beliau berkata, institusi sudah menyediakan modul lengkap bagi melahirkan kalangan guru terbaik sebelum memasuki pasaran kerjaya.

“Namun, ada sebila­ngan mereka ‘gagal’ meng­aplikasikannya kerana menyangka dunia kerjaya sebenar hanya memerlukan kekuatan teori semata-mata.

“Mereka masih teraba-raba menyesuaikan diri dengan bidang perguruan yang dipilih.

“Mereka juga mungkin beranggapan, dunia pendidikan masih sama seperti dulu sedangkan bidang ini melalui pelbagai transformasi yang memerlukan guru bertindak di luar kepompong lama,” katanya.

Beliau berkata, setiap guru atau bakal guru perlu bersedia menunjukkan tanggungjawab yang dituntut bagi mengelak imej mereka dipertikaikan.

Menurutnya, biar apapun status guru sama ada berpengalaman atau tidak, mereka perlu ‘membiasakan’ diri dengan perubahan dunia pendidikan moden seperti dikehendaki persekitaran semasa.

“Tuntutan untuk berubah atau menerima pembaharuan boleh dijadikan pemangkin guru terus memperbaiki diri atau kelemahan mengajar.

“Ia juga sebagai isyarat memberitahu masyarakat bahawa guru bukan sentiasa ketinggalan dengan cara pengajaran lapuk, tapi sebaliknya mengikuti perubahan semasa.

“Jika ia ditonjolkan, saya yakin isu pertikaian mengenai kemampuan guru masa kini dalam apa jua aspek mampu dikurang­kan, sekali gus mengubah pandangan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, guru perlu komited untuk melaksanakan tugasan dan tidak harus tertakluk pada aspek pengajaran berbentuk tradisional.

“Cara pengajaran seperti itu sudah kurang relevan kini kerana pelajar moden mengkehendaki satu elemen pembelajaran yang berupaya mencabar kemampuan mereka dari pelbagai sudut.

“Jika guru me­ngajar dengan hanya duduk dan berpandukan buku semata-mata, percayalah hanya segelintir kecil pelajar yang mengikuti proses pembelajaran.

“Tapi, jika guru aktif, mempunyai daya tarikan dalam pembelajaran seperti penggunaan bahan interaktif, saya percaya pelajar lebih bersema­ngat dan mampu menguasai pembelajaran dengan baik,” katanya yang tidak menafikan guru baru berdepan masalah ketika memulakan kerjaya.

“Itu tidak dapat dielak kerana mereka belum mempunyai pengalaman mantap dalam pengajaran. Tapi, ia juga bukan alasan untuk tidak berusaha memperbaiki kelemahan.

“Ya benar, mereka ada ilmu yang dipelajari di universiti dan sedikit pengalaman ketika menjalani latihan industri.

“Tapi, berada dalam dunia pendidikan sebenar tidak sama dengan belajar atau menjalani latihan. Jika tidak berusaha, perubahan tidak mungkin boleh berlaku,” katanya.

Pada masa sama, guru baru juga perlu akur mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar guru lama manakala guru lama juga perlu menerima hakikat bahawa cara pengajaran lama perlu berubah.

Menurutnya, konflik pasti timbul andai kata cara pengajaran dan pembelajaran tidak diselarikan dengan perubahan semasa.

“Sekarang abad baru yang memerlukan tindakan aktif, pantas, menarik dan pelbagai lagi pendekatan untuk mendekati pelajar.

“Tetapi, ada lagi guru yang menggunakan pendekatan sehala selain me­ngabaikan penggunaan tek­nologi dalam pengajaran sehingga menimbulkan konflik yang lain pula.

“Cara pengajaran tradisi itu bukan saja dilakukan guru lama, malah ada juga guru baru melakukan perkara sama sedangkan ketika di institusi sudah diajar bagaimana cara pengajaran yang betul,” katanya.

Latihan praktikal yang diterapkan institusi, katanya, hanya sebagai pemangkin kepada bakal guru untuk merasai suasana pekerjaan sebenar, namun tindakan lanjut bergantung kepada usaha guru bagaimana mahu memperbaiki kelemahan atau melonjakkan kemampuannya.

“Sebab itu, guru kena berusaha sendiri untuk mengolah cara pengajaran supaya sesuai dengan kehendak pelajar kerana matlamat akhirnya sudah tentu kepada pelajar.

“Saya tidak salahkan masyarakat sepenuhnya andai kata mereka mempertikaikan kewibawaan guru kerana akui ada guru walaupun sudah lama berkhidmat masih tidak mampu ‘mengikat’ pelajar dengan sesi pembelajaran bagus.

“Justeru, jalan penyelesaian perlu dicari supaya senario ini tidak mengganggu guru lain yang komited melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.

- Harian Metro

Friday, September 20, 2013

Renungan: Manusia Tiada Istimewa Jika Tidak Beri Manafaat

Manusia itu kalau kita kaji, nilai, analisa, di segi fiziknya tidak ada apa-apa keistimewaannya. Kerana pada fizikal manusia itu, ada dua perkara yang negatif;


Pertama: Kelemahan

Kelemahan yang kita maksudkan di sini ialah tubuh atau badan kasarnya tidak ada ketahanan. Ia mudah terdedah kepada bermacam-macam penyakit. Mudah diserang oleh demam, mudah ditimpa sakit kepala. Mudah sakit mata, sakit gigi. Ada penyakit yang lebih berat lagi seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, barah, strok atau angin ahmar dan lain-lain.

Selain itu ketahanan badannya sangat lemah dibandingkan jiwanya. Kalau terantuk, mudah saja luka atau bengkak dan sakit. Kalau jatuh atau terlanggar benda yang kuat atau kena langgar benda yang keras, mudah saja tergeliat, luka, patah, remuk dan hancur. Jika digunakan tenaga, mudah saja letih, lesu. Kalau tidak berhati-hati, ia membawa kepada sakit juga. Bahkan selepas menerima nikmat pun memberi kesan kepada badan. Contohnya, selepas makan, lebih-lebih lagi kalau makan terlalu banyak, badan menjadi berat dan juga boleh membawa kepada berbagai-bagai penyakit. Selepas jimak iaitu selepas bersama dengan isteri, lebih-lebih lagi kalau ia kerap berlaku, badan menjadi lesu, lemah, hilang tenaga. Kalau lambat saja tidur di waktu malam, mata jadi mengantuk di waktu siangnya. Bukan setakat itu, badan pun menjadi lesu.

Begitulah lemahnya manusia itu. Ketahanan fizikalnya sangat tercabar dan selalu tercabar. Ketahanan fizikalnya sangat teruji. Dari cabaran luaran ini memberi kesan sampingan pula kepada manusia iaitu rohaninya pula tercabar, menjadikan emosinya tinggi, dia akan jadi pemarah, mudah tersinggung, benci, jemu dan lain- lain. Kalau tidak dibendung dengan didikan Islam serta lemah pula bermujahadah, sifat batin yang negatif itu akan merosakkan orang lain. Maka timbul pula krisis dan perbalahan di dalam masyarakat manusia. Terjejas pula perpaduan, kasih sayang dan keharmonian hidup.


Kedua: Apa yang keluar daripada badan manusia, semuanya kotor dan menjijikkan

Mari kita kaji kebenaran itu;

- Air yang keluar daripada badan, peluh namanya, baunya masam, menjijikkan orang.

- Yang keluar daripada telinga, tahi telinga atau nanah yang busuk yang meloyakan.

- Yang keluar daripada hidung, hingus namanya atau tahi hidung, menjijikkan dan meloyakan, tiada siapa yang suka sekalipun yang punya diri.

- Yang keluar daripada mulut iaitu air liur, berbau busuk terutamanya air liur di waktu tidur, sangat busuk baunya lagi kotor. Adakalanya air liur itu najis (air liur basi).

- Air mata walaupun tidak busuk, tetap dipandang jijik dan tidak digemari.

- Apatah lagi yang keluar daripada dua jalan, pintu depan dan pintu belakang, qubul dan dubur. Bukan saja terlalu busuk, jijik, bahkan najis. Lagi kotor. Benda yang keluar daripada manusia yang paling dibenci. Baunya sangat menyakitkan hidung manusia. Ia wajib dibasuh. Kalau tidak ia akan merosakkan ibadah kita, mengotorkan dan mencemarkan udara dan boleh menjejaskan kesihatan manusia serta boleh mengganggu ketenteraman.

Apa yang kita perkatakan tadi ialah perkara-perkara jijik semula jadi yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Ia merupakan tabiat semula jadi badan. Belum lagi kita memperkatakan perkara-perkara yang menjijikkan dan dibenci yang sangat menghinakan manusia serta menyusahkan manusia, iaitu penyakit-penyakit yang mendatang kemudian yang menimpa tubuh manusia seperti kudis, kencing manis, kayap, tokak, bisul, barah yang mengeluarkan nanah yang begitu busuk, kotor dan menjijikkan serta menyakitkan dan melemahkan tubuh manusia. Dengan itu lebih-lebih lagilah manusia itu tidak ada harga dan nilai dirinya. Adakalanya orang yang kita sayangi seperti anak dan isteri boleh tiba-tiba saja benci dan lari dari kita.

Kalaulah manusia itu tidak ada kebaikan dan keistimewaannya di sudut-sudut yang lain, yang ada hanya seperti apa yang telah disebutkan sebelum ini, dimanalah istimewanya?

Maka apalah erti hidup manusia? Tidak ada erti apa-apa kehadiran mereka di dunia ini. Hanya susah dan menyusahkan orang lain saja. Tidak ada harga dan nilai diri manusia itu. Mereka laksana sampah masyarakat. Bahkan lebih hina daripada sampah sarap. Kalau sampah yang tidak berguna yang mengganggu itu boleh disapu, kemudian dibuang atau dikumpulkan atau dilonggokkan kemudian dibakar saja, maka abunya boleh juga dibuat baja. Sedangkan manusia itu, tidak boleh dibuang apatah lagi hendak dibakar. Ia benar-benar bangkai bernyawa yang menyusahkan dan mengganggu kehidupan orang lain semata-mata.

Oleh yang demikian, dengan rahmat Allah dan kasih sayangNya kepada manusia sebagai hambaNya maka Allah mahu muliakan manusia dan meninggikan darjatnya. Maka Allah utus para nabi dan rasul dan kepada mereka diberi panduan dan petunjuk. Nabi yang akhir ialah Muhammad SAW. Padanya diberi Al Quran sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia, bagaimana manusia itu menjadi orang yang berguna. Di samping menjadi hambaNya yang mengabdikan diri kepadaNya, manusia juga adalah khalifahNya untuk membangun, memajukan dan mentadbir dunia ini agar selamat dan bahagia di dunia. Di Akhirat kelak diberi ganjaran yang lebih besar, lagi istimewa iaitu Syurga yang tiada bandingannya sebagai anugerah Allah kepada manusia. Kerana rahmatNya kepada manusia yang telah membuat kebaikan waktu di dunia seperti yang Dia mahu.

Oleh itu, manusia ambillah peluang berpandukan petunjuk dari Allah dengan cara besarkanlah Allah, cintailah Dia, takutlah kepadaNya, sucikanlah Dia, merendah dirilah kepadaNya, malulah kepadaNya, bersyukurlah kepadaNya, bertawakallah kepadaNya, berharaplah kepadaNya, redhalah dengan ketentuanNya, sabar terhadap ujian-ujian daripadaNya melalui sembahyang, puasa, haji, membaca Al Quran, zikir, tasbih, tahmid, taqdis, mujahadah, jihad. Inilah caranya manusia berhubung dengan KhaliqNya sebagai hamba ciptaanNya.

Seterusnya sebagai khalifahNya pula; bangunkanlah dunia ini. Majukan dan tadbirlah mengikut sistem dan peraturan dari Allah kerana dunia ini Allah yang punya. Kita jangan memandai-mandai dan melakukan sewenang-wenangnya supaya dunia tidak rosak. Dan berkhidmatlah untuk sesama manusia demi untuk mencetuskan kasih sayang, perpaduan, kerjasama, keharmonian, keselamatan, keamanan dan kebahagiaan bersama melalui kuasa, pentadbiran, ilmu, tenaga, pengaruh, wang ringgit, harta dan lain-lain. Sesuaikan dengan panduan daripada Allah agar Allah redha dan Allah rahmati serta berkati. Kemudian takutilah Allah di dalam setiap perkara itu. Dengan itu moga-moga apa yang dibuat oleh manusia tidak ada berlaku  yang negatif yang akan merosakkan manusia itu sendiri.

Siapa di kalangan manusia yang dapat melakukan sedemikian rupa, inilah manusia yang bertaqwa di sisi Allah. Dia dapat kemuliaan daripada Allah dan keampunanNya. Di dunia pula orang yang berjasa dengan manusia kerana kebaikan yang telah dicetuskannya, maka orang itu telah menutup kelemahan-kelemahan yang ada. Dia telah mendapat martabat di sisi Allah dan di sisi manusia kerana walaupun di dalam kelemahan, dia telah menjadi manusia yang berguna. Di Akhirat kelak layaklah dia mendapat keampunan dari Allah serta dapat masuk ke SyurgaNya.

Dalam pada itu kalau manusia itu tidak dididik dengan didikan Islam, menjadikan manusia tidak takut dengan Tuhan, lupa dengan kehidupan hari Akhirat maka manusia itu berani pula melakukan berbagai-bagai bentuk kejahatan sama ada terang-terangan mahupun secara sembunyi melalui anggota lahirnya. Tangannya digunakan untuk mencuri, merompak, merasuah, memukul, membunuh. Kakinya dihalakan ke tempat-tempat kejahatan dan maksiat, ke kelab malam, ke disko-disko, ke tempat-tempat pelacuran, ke tempat-tempat judi, ke tempat-tempat berpeleseran dan pergaulan bebas. Mulutnya digunakan untuk mengumpat, menghina, memfitnah, berbohong, memaki, mengherdik, bercakap lucah. Matanya digunakan untuk melihat perempuan-perempuan ajnabi, gambar-gambar lucah, melihat-lihat kecacatan orang untuk disebarkan. Telinga pula suka mencuri-curi dengar rahsia orang untuk disebar-sebarkan. Dengan akalnya pula manusia selalu sahaja berfikir untuk melakukan berbagai kejahatan, merancang untuk melakukan kerosakan di bumi Tuhan ini.

Setelah kita mengkaji tentang manusia, fizikalnya atau badan lahirnya dan badan kasarnya tidaklah istimewa mana. Lantaran itulah manusia berusaha untuk menutup kelemahan semula jadi yang lahir ini. Terpaksalah badan mereka dibersihkan selalu, disabun, disyampu, dibedak, disapu minyak wangi. Dihias pula dengan pakaian yang cantik lagi mahal untuk menarik perhatian orang agar orang boleh dekat dan bergaul. Kalau tidak, orang akan lari kerana bau peluh saja orang tidak tahan. Bahkan ampun maaf, untuk menunaikan fitrah semula jadi diantara suami isteri pun kalau tidak berhias-hias dan disapu badan dengan minyak wangi dan bedak, tuntutan fitrah itu boleh terbantut atau kemahuan terus mati. Akibatnya boleh timbul krisis rumah tangga.

Begitu jugalah untuk menyihatkan badan agar ia sentiasa segar dan cergas, perlu riadhah dan joging selalu. Dijaga makan minum, cukup tidur, dijauhi tempat-tempat yang mendatangkan penyakit. Begitulah hakikat diri manusia semula jadi, tiada seorang pun boleh melepaskan diri atau mengelak diri daripada ditimpa oleh apa yang telah disebutkan.

Di sinilah kalau manusia itu sedar hakikat diri masing-masing yang tidak dapat mengelak daripada kelemahan-kelemahan sepertimana disebutkan di atas sekalipun dia raja dan orang yang berkuasa, berilmu dan berharta, maka manusia itu akan sentiasa insaf dan malu. Mereka akan tawadhuk dan merendah diri. Dengan itu mereka tidak akan sombong, megah, apatah lagi menindas dan menzalimi orang lain.

Subhanaallah.

Thursday, September 19, 2013

24 Buah Sekolah Lagi Diiktiraf SBT

Sejumlah 24 lagi sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), membabitkan 14 sekolah rendah dan sepuluh sekolah menengah di bawah kohort keempat tahun ini.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 115.

"Sehubungan itu, sasaran kementerian bagi membangunkan dan mewujudkan sepuluh buah SBT setiap tahun dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 telah tercapai serta melepasi sasaran," katanya pada majlis penyerahan sijil pengiktirafan SBT di sini Rabu.

Beliau berkata pengiktirafan itu membolehkan setiap sekolah berkenaan menerima peruntukan khas berjumlah RM700,000 untuk tahun pertama, RM500,000 tahun kedua dan RM300,000 tahun ketiga.

Senarai kali ini katanya, turut menyaksikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Ladang Rem, Kota Tinggi Johor menjadi SKJT pertama menerima pengiktirafan sebagai SBT.

Sekolah-sekolah lain yang terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mariam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat di Johor; Sekolah Menengah (SM) Sains Kubang Pasu Kedah, SM Sains Machang Kelantan; SK Convent Pahang, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Jempol Negeri Sembilan; dan SK Putrajaya Presint 11 (1), Putrajaya.

SK Convent Of The Infant Jesus 1 (M) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah di Melaka; SK Sultan Idris II, SK Marian Convent, SM Sains Raja Tun Azlan Shah dan SBP Integrasi Gopeng di Perak; dan SK Convent Green Lane, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang dan SMKA Al-Irshad di Pulau Pinang.

SK Taman Megah, SK Bukit Jelutong, SK Sri Petaling, Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang dan SBP Integrasi Rawang di Selangor; serta SK Convent Bukit Nanas (1) dan SJKC Kuen Cheng 2 di Kuala Lumpur.

Menurut Idris lagi, kementerian sangat berpuas hati dengan pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT terdahulu yang telah diiktiraf pada tahun 2010, sehubungan itu kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan SBT sehingga 2015.

Selain itu katanya, dalam usaha merapatkan jurang antara sekolah, SBT perlu menjadi aspirasi dan rujukan kepada sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi melalui penanda aras, bimbingan dan jaringan dengan SBT.

- BERNAMA

Wednesday, September 18, 2013

Pengetua Dan Guru Besar Lantikan 2013 Diwajibkan Mempunyai Sijil NPQEL

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menetapkan bahawa mulai 2014 Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) yang dikeluarkan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi prasyarat pelantikan pengetua/guru besar di Malaysia.

Ketetapan ini bermakna sesiapa pun guru di Malaysia yang ingin menjadi pengetua di sekolah menengah dan guru besar di sekolah rendah diwajibkan memiliki NPQEL.

Maklumat terkini dari IAB juga memaklumkan bahawa semua pengetua dan guru besar lantikan 2013 juga diwajibkan mempunyai sijil NPQEL sebelum boleh disahkan dalam jawatan mereka. Justeru itu, pihak IAB telah diminta menyediakan Program NPQEL khas bagi kumpulan tersebut.


Diwajibkan Mempunyai Sijil NPQEL 
(Klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas)

Sunday, September 15, 2013

Guru Bahasa Inggeris Perlu Tingkat Kemahiran

Guru Bahasa Inggeris perlu mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan kaedah pengajaran mereka dan bukan hanya bergantung semata-mata kepada program Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, inisiatif itu boleh jadi dalam bentuk menghadiri kelas, persidangan malah bertukar-tukar pengalaman sesama kelompok mereka.

"Salah satu bentuk pembangunan profesionalisme ialah guru itu berusaha sendiri untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui kelas tuisyen dan sebagainya.

“Sebagai contoh semasa saya jadi guru besar, bila dapat tahu Bahasa Inggeris akan jadi bahasa yang digunakan, guru Bahasa Inggeris ambil inisiatif mengajar guru-guru lain. Itu sepatutnya kita lakukan begitu. Jangan hanya berharap pada kementerian semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bahasa Inggeris Negeri Johor kali ke-5, di sini, semalam.

Persidangan itu dihadiri 200 guru sekolah Bahasa Inggeris dari sekolah rendah dan menengah dari Johor serta Tawau, Sabah.

Mary berkata, persidangan tiga hari itu merupakan medan buat guru berkongsi idea dan pendapat dalam meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.

Menurutnya, usaha Jabatan Pendidikan Johor menganjurkan persidangan sedemikian patut dicontohi Jabatan Pendidikan di negeri-negeri lain.

“Ini penting kerana apabila hanya membaca dari buku teks sahaja, ia hanya konsep dan teori. “Tapi di sini kita boleh berkongsi pengalaman dan idea bersama guru-guru dan pensyarah lain,” katanya.

- Sinar Harian

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi