Saturday, September 7, 2013

UPSR, SPM 2016: Tiada Lagi Soalan Ramalan

Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.
  
Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.
  
"Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
  
Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
  
Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.
  
Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.
  
Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.
  
Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.
  
Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.
  
Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.
  
Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.
  
"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut pelan itu.

- BERNAMA

PPPM, Pelan Holistik Transformasi Pendidikan Negara Ke Taraf Global

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang dilancar hari ini dilihat sebagai pelan holistik yang mampu mentransformasi pendidikan negara ke peringkat global.

Pelbagai pihak berpendapat ia satu anjakan bestari kerajaan dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan pelajar dan guru yang mampu menghadapi cabaran abad ke-21.

Ini terutama usaha kerajaan memperketat pengambilan guru yang diharapkan dapat menjadikan profesion itu sebagai kerjaya yang dipandang tinggi dan berprestij, khususnya pengambilan yang akan dibuat dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik negara, menurut Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim.

Beliau berkata peraturan itu juga dapat mengelak berlakunya profesion perguruan dijadikan tempat pilihan terakhir bagi mereka yang sukar mencari pekerjaan hingga menyebabkan terdapat pihak yang memandang rendah profesion itu.

"Ini berbeza dengan masa dahulu. Profesion sebagai guru amat disanjungi kerana tugas mereka mendidik anak bangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Noor Azimah berkata peraturan yang ketat dalam pengambilan guru dapat memastikan beberapa masalah akibat pengambilan guru secara 'tangkap muat', iaitu tanpa mengambil berat mengenai kelayakan atau kemahiran mengajar, dapat diselesaikan.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Wan Marzuki Wan Jaafar optimis pelan pembangunan pendidikan itu dapat membantu melahirkan golongan berpengetahuan luas serta melahirkan golongan pelajar berdaya saing, sesuai dengan keperluan negara pada masa hadapan.

Beliau bagaimanapun berkata dalam memilih graduan berkelayakan untuk menjadi guru, pihak Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil mereka yang berminat kerana bidang pendidikan menuntut komitmen yang amat tinggi.

"Bukan mudah untuk mendidik anak bangsa terutama pada zaman teknologi tinggi ini kerana mereka lebih terdedah, menyebabkan kesabaran yang sangat tinggi diperlukan, dan mereka yang benar-benar berminat dan mempunyai komitmen yang dapat melakukan tugasan itu dengan sepenuh hati," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Peng berkata dari segi dasar, pelan pembangunan pendidikan itu sangat baik secara keseluruhannya, namun beliau sedikit bimbang dengan pelaksanaannya yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan sekolah.

Katanya kepimpinan sekolah perlu mantap dari segi persediaan guru dan kemudahan infrastruktur supaya pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan efektif.

"Di sini guru-guru bukan hanya perlu memahami pelan pendidikan ini tetapi sanggup melaksanakan serta menggembleng tenaga untuk menjayakan aspirasi kerajaan," katanya.

PPPM mempunyai 11 anjakan untuk transformasi sistem pendidikan negara antaranya mentransformasi profesion perguruan menjadi profesion pilihan dan memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta digalakkan mempelajari bahasa tambahan lain.

- BERNAMA

Klik Bahan Di Bawah Untuk Muat Turun Dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM):
·      PPPM
·      Broshur PPPM

Friday, September 6, 2013

Adakah Kita Menganggap Kerja Adalah Ibadah Dan Amanah

Ibadah berasal dari Bahasa Arab yang bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan. Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah mengabungkan setiap perkara yang disukai dan diredhai Allah dari jenis perkataan atau perbuatan lahir dan batin. Ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan ibadah ritual semata-mata seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya (ibadah khusus), malah ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezeki, sehinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara. Kerja pula merupakan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu perkara bagi mendapatkan upah atau ganjaran. Manakala amanah pula bermaksud memenuhi dan mematuhi segala apa yang telah dipertanggungjawabkan.

Konsep kerja, ibadah dan amanah adalah merupakan tugas atau tanggungjawab untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ia berkaitan dengan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan, halal dan haram, syurga atau neraka. Di antara ciri-ciri pekerja dan pekerjaan yang dianggap sebagai ibadah adalah:-
 
  • Pekerjaan yang disertakan dengan niat mendapat keredhaan Allah;
  • Pekerjaan itu mestilah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak;
  • Tidak meninggalkan perkara-perkara wajib.
  • Menghasilkan kerja yang berkualiti.
  • Dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh;
  • Berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab;

Menghindarkan diri dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik dan ingin disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai, suka berbangga dengan memberitahu kepada orang lain akan amal kebajikannya dan menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia telah banyak berbuat kebajikan dan amal ibadah.

Islam mengajar umatNya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Sentiasa memenuhi tuntutan kerja dan tidak lalai atau sambil lewa melaksanakannya. Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka sedar bahawa bekerja itu bukan sekadar mendapat upah atau gaji malah tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi  ia merupakan amanah Allah SWT.

Berapa ramai di antara kita (pekerja) yang sedar tentang perkara ini. Berapa ramai komuniti pekerja yang memandang remeh mengenai kerja, bekerja dengan sambil lewa, curi tulang, menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, banyak berbual kosong, lewat memulakan tugasan, sengaja menangguhkan kerja dan berbagai lagi amalan atau sikap buruk yang ditunjukkan. Apabila ditegur, timbul pulak rasa tidak puas hati dan marah atau memberi pelbagai alasan bagi menutup kelemahan diri.

“Makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah Allah semata-mata.” (Surat An-Nahl, ayat 70)

Justeru, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan istiqamah pada niat seawal melangkah keluar dari rumah bahawa semua kerja yang dilaksanakan kerana Allah SWT. Mudah-mudahan setiap pergerakan dari mula hingga pulang ke rumah dikira sebagai ibadah dan rezeki yang diterima penuh dengan keberkatan.

SubhanaAllah.

Thursday, September 5, 2013

10,000 Petugas Akan Ambil Alih Urusan Pentabiran Di Sekolah

Urusan pentadbiran sekolah akan diambil alih oleh pembantu pentadbiran secara berperingkat bagi mengurangkan bebanan tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sekurang-kurangnya seorang pembantu pentadbiran akan ditempatkan di setiap daripada 10,000 buah sekolah di negara ini secara berperingkat.

"Kita sudah putuskan 10,000 petugas dihantar secara berperingkat supaya beban guru dapat diserahkan kepada petugas baharu ini bagi menguruskan hal berkaitan pentadbiran.

"Soal pengajaran dan pembelajaran itu masih tanggungjawab guru," katanya dalam rancangan 'Soal Jawab' terbitan TV3 yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad Talib di sini Rabu malam.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata langkah bagi mengurangkan bebanan guru itu terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang akan dilancarkan Jumaat ini.

Beliau berkata pelan itu adalah hasil gabungan pandangan dari semua kelompok termasuk pelajar, pihak berkepentingan dan kumpulan ekstrim bagi memastikan ia dapat meningkatkan pencapaian pelajar dan sistem pendidikan negara setanding dengan negara maju.

"Ini semua terhasil dari kehendak masyarakat dan pakar-pakar pendidikan baik di dalam mahupun di luar negara iaitu dari Korea Selatan, Singapura dan Kanada yang kita jemput untuk berikan pandangan," katanya.

Muhyiddin berkata ada sesetengah pihak yang kurang bersetuju dengan beberapa perkara yang terkandung di dalam pelan itu, tetapi setelah diberikan penjelasan mereka akur dan menyokong pelaksanaan PPPM.

"Dua hari lepas saya ada berjumpa dengan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), mereka bertanyakan apakah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) ada lagi lepas pelaksanaan pelan ini, saya jawab ya ada.

"Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pula kata kami nak hapuskan Bahasa Cina, saya kata mana ada di dalam laporan itu yang menyatakan sedemikian," katanya.

Mengenai tuntutan Dong Zong yang tidak mahu menambah waktu pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC kerana khuatir pembelajaran bahasa Cina akan terhapus, Muhyiddin berkata bahasa ibunda mereka itu tidak akan terhapus kerana hasrat kerajaan adalah untuk merapatkan jurang penguasaan Bahasa Melayu di antara pelajar Cina di SJKC dengan pelajar Cina yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan.

"Kita hendak rapatkan jurang sebab itu ditambah waktu, kita cadangkan supaya buat jadual waktu yang sesuai untuk menampung kekurangan dan kelemahan mereka, mereka boleh gunakan kelas peralihan untuk perbaiki penguasaan Bahasa Melayu.

"Kelompok ini bukannya menentang dan tidak bersetuju dengan PPPM, ada beberapa perkara yang tidak jelas dan mereka fikir kita abaikan tetapi sebenarnya tidak," katanya.

Beliau berkata walaupun 'ribut dan taufan' pelan itu akan dilaksanakan kerana ia adalah hak rakyat dan untuk kebaikan mereka.

"Kita hendak pastikan apa yang telah dirancang jangan ada penghalang ataupun gangguan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun sudah menyatakan sokongan 100 peratus dengan PPPM dan sudah dimulakan dengan peruntukan-peruntukan khas tambahan," katanya.

Muhyiddin berkata beliau akan menyediakan laporan tahunan untuk mengetahui sejauh mana pencapaian pelan itu dalam pelaksanaannya bagi tempoh setahun.

"Kita mahu ketelusan, supaya rakyat tahu apa kemajuan dan kekurangan kita, apa yang saya harapkan dari pelan ini ialah supaya pelajar terdidik dengan ilmu menerusi sistem yang berkualiti serta pembentukan sahsiah bagi melahirkan modal insan yang dapat memberikan bantuan kepada proses pembangunan negara," katanya.

Muhyiddin berkata menerusi pelan itu juga, peranan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan diperkukuhkan kerana mereka juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak mereka.

"Peranan ibu bapa dalam pelan ini diiktiraf, baru-baru ini kita lancarkan Sarana iaitu toolkit panduan bagaimana ibu bapa boleh memberikan sumbangan dalam membantu sekolah dan anak mereka dalam pembelajaran," katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan mengadakan latihan dan kursus kepada PIBG supaya ibu bapa tidak melepaskan sepenuhnya proses mendidik anak mereka kepada guru di sekolah.

Beliau berkata menerusi sistem Bestari Net iaitu sistem internet yang sudahpun diaplikasikan di sekolah-sekolah, ibu bapa juga boleh mengakses internet untuk mengetahui pencapaian anak mereka dalam semua mata pelajaran.

- BERNAMA

Tuesday, September 3, 2013

478,848 Calon UPSR Duduki Peperiksaan Tahun Ini


Seramai 478,848 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan menduduki peperiksaan bertulis mulai 10 hingga 12 Sept ini di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia menyebut, daripada jumlah itu, 469,882 adalah pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 lagi dari sekolah swasta yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu.

"Seramai 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik dan calon diingatkan untuk merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi," katanya.

Menurut kenyatan itu, jadual waktu peperiksaan telah diedar ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp.

Klik pada gambar untuk lihat atau muat turun
Jadual Peperiksaan UPSR 2013

"Calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan ke pusat peperiksaan bagi memastikan urusan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," katanya.

- BERNAMA



Monday, September 2, 2013

Prosedur Saringan Mental Calon Guru Diperbaiki

Kementerian Pendidikan akan menambah baik prosedur saringan kesihatan mental calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan memperkenalkan ujian psikometrik.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata ujian psikometrik yang meliputi ujian psikologi termasuk tahap pengetahuan, kemampuan, sikap dan keperibadian dijadual dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata ujian psikometrik perlu dalam pengambilan guru baharu dalam usaha kementerian untuk menangani masalah guru-guru yang mungkin bermasalah daripada segi mental.

"Kementerian Pendidikan menerusi Bahagian Psikologi dan Kaunseling (BPsK) sebenarnya sebelum ini telahpun melaksanakan ujian kesihatan mental terhadap semua calon-calon guru baharu dari IPG yang dinamakan Indeks Pengesanan Kendiri (IPK).

"Ujian psikometrik ini merupakan penambahbaikan kepada ujian IPK dan ia telah diamalkan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Psikologi dan Kaunseling bertema "Kenali Psikologi Terokai Potensi Diri" anjuran BPsK di sini hari ini.

Kamalanathan berkata seorang guru harus mempunyai kesihatan mental yang baik dan tahap kesabaran yang tinggi selain kelulusan akademik.

Selain itu, katanya kementerian juga akan mempertimbangkan untuk melaksanakan ujian itu dalam prosedur kenaikan pangkat untuk jawatan Guru Besar dalam memastikan calon benar-benar layak memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha BPsK Dr Ruziati Mior Ahamad berkata BPsK mempunyai 340 kaunselor di seluruh negara yang dapat memberi nasihat dan kaedah terbaik menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan mental kepada semua jabatan dan bahagian di kementerian.

Mengenai ujian psikometrik, katanya ujian itu akan menggunakan alat khas dan sangat berkesan kerana ia berupaya mengesan calon yang diuji itu bercakap benar atau sebaliknya.

Ujian itu penting untuk memastikan kesihatan guru berada dalam keadaan baik, katanya.

Bernama

Friday, August 30, 2013

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56

MALAYSIAKU BERDAULAT: TANAH TUMPAH DARAHKU

10 Sikap Buruk Manusia Yang Dicela Allah

Syeikh Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

1. Gelojoh Ketika Makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak Bercakap
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka Marah-Marah
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad Dengki
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: `Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat Muslim).

5. Kedekut & Bakhil
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-Megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan Dunia
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego Atau Sombong
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub Dan Suka Bangga Diri
Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan Pujian Atau Riak
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

Wednesday, August 28, 2013

Sistem Pendidikan Negara Perlu Kembali Kepada Perlembagaan Dan Undang-Undang

Kerajaan didesak supaya mengembalikan semula sistem pendidikan yang berpaksikan Perlembagaan negara yang dilihat sebagai faktor penting dalam menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat tidak akan dapat dicapai jika sistem pendidikan vernakular terus diamalkan di Malaysia.

"Selagi kita tidak berbalik kepada asas negara, kita tidak akan mencapai perpaduan, semangat kekitaan atau integrasi nasional yang kita idamkan selama ini," katanya pada sesi pembentangan dan perakuan resolusi Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Selasa.

Terdahulu, ketika mempengerusikan sidang pleno bertajuk 'Sistem Pendidikan Berkesan Pembina Peradaban dan Nilai Budaya' pada kongres berkenaan, Ibrahim berkata kerajaan tidak perlu berlembut atau tunduk kepada permintaan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Beliau berkata persatuan itu tidak akan pernah berpuas hati dengan dasar pendidikan negara.

Persatuan berkenaan sering mencetuskan kontroversi apabila membantah pelaksanaan dasar pendidikan negara yang dibuat bagi memajukan sektor pendidikan, termasuk menolak pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada September ini.

Ibrahim berkata badan bukan kerajaan (NGO) perlu lebih tegas dalam memperjuangkan isu berkenaan.

Pandangan sama turut dikongsi pakar perundangan Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang menyatakan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 mempunyai peruntukan jelas berhubung hak pendidikan saksama dan kedudukan Bahasa Melayu dan ia tidak seharusnya diubah demi keperluan politik semata-mata.

"Sejak awal Perlembagaan dan perundangan berkaitan secara jelas menyebut Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan alat perpaduan negara bangsa, dan ini jangan diubah...apa sahaja yang bertentangan dengan undang-undang hendaklah ditolak dan tidak dilayan,"katanya.

Pensyarah di institut pengajian tinggi swasta Noorhajran Mohd Noor pula menganggap sebarang perubahan sistem pendidikan yang bertunjang kepada kepentingan politik dan populariti harus dihentikan untuk memastikan hak kaum Melayu dalam Perlembagaan terus dihormati.

Seorang peserta Datuk Sulaiman Samad pula mempertikaikan ketegasan kerajaan dalam melaksanakan peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan berhubung penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar apabila Bahasa Inggeris lebih banyak digunakan termasuk dalam persidangan Parlimen dan di mahkamah.

Bekas pengetua sekolah menengah itu berkata kerajaan perlu lebih tegas dan bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan jika mahu pematuhan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang digubal terus relevan di mata rakyat.

Naib Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pencen Pulau Pinang Datuk Daud Tahar pula mendesak supaya dasar meritokrasi pendidikan dihapuskan kerana bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu termasuk mengadakan kuota kemasukan ke perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Katanya dasar yang memberi kesaksamaan kepada semua individu tanpa mengira kaum, sekiranya mahu diteruskan, harus meletakkan persaingan sesama kaum terlebih dahulu sebelum dipilih berdasarkan peratusan pendidikan yang sudah ditetapkan.

- BERNAMA

Tuesday, August 27, 2013

Pengemaskinian Data Guru NPQEL/NPQH

Hari ini saya telah menerima surat yang diemelkan kepada sekolah mengenai pengemaskinian data guru yang telah mengikuti program NPQEL/NPQH dari tahun 1999 hingga 2013.


Surat Pengemaskian Data Guru Yang Telah Mengikuti 
Program NPQEL/NPQH (klik gambar untuk kelihatan besar)

Apakah maksud yang tersirat dari surat tersebut. Diharap ia akan memberi perkhabaran gembira kepada semua peserta kursus yang telah mengikuti program NPQEL/NPQH. Semoga segala ilmu yang dikutip melalui kursus anjuran Institut Aminuddin Baki tersebut dapat diaplikasikan sepenuhnya sekiranya diberikan mandat suatu hari nanti, terutamanya kepada peserta yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan cemerlang semasa berkursus. InsyaAllah.

Sunday, August 25, 2013

Sambutan Hari Raya SK Undang 2013

Sambutan Hari Raya 2013 Peringkat SK Undang telah diadakan pada Ahad 25 Ogos 2013. Berikut gambar-gambar aktiviti dan video nyanyian murid sempena sambutan tersebut:










 
Gambar seterusnya boleh dilihat di dalam Ruangan Galeri atau klik pautan berikut: Sambutan Hari Raya SKU 2013

Saturday, August 24, 2013

Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

1. Apa itu PBS?
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.
 

2. Adakah konsep PBS ini sesuatu yang baru?
Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.
 

3. Kenapa PBS perlu dilaksana sekarang?
Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.

  
4. Bila PBS mula dilaksanakan?
PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada 2014.

  
5. Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?
• PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan assessment of learning.

• Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.

• PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi.

 
6. Apakah standard prestasi?
Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

 
7. Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?
Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:

• Pementoran - Pementoran PBS adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan yang ditetapkan.

• Penyelarasan - Penyelarasan PBS adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan.

• Pemantauan - Pemantauan ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan.

• Pengesanan - Pengesanan PBS adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran dalam pelaksanaan PBS.

 
8. Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan pembelajaran anak-anak mereka?
Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui SPPBS pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga menyimpan maklumat perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data base).
 

9. Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?
Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan, kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.


10. Apakah nilai UPSR dan PMR dalam PBS?
PBS untuk penambahbaikan UPSR dan PMR masih tetap bernilai dari segi pembentukan modal insan yang holistik tetapi tidak lagi high stake kerana pentaksiran dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.
  

11. Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?
Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid 
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

 
12. Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?
Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan semula tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi