Saturday, June 29, 2013
Laporan Akhir Projek Sandaran NPQEL
Susulan dari Projek Penandaarasan, satu
program telah dikenal pasti dan diaplikasikan sebagai projek penambahbaikan di
sekolah sendiri. Alhamdulillah selama lapan minggu mengendalikan Projek Sandaran,
saya telah dapat melaluinya dengan sempurna dan terancang.
Dalam Projek Sandaran ini, dimulai
dengan penerokaan sekolah sendiri. Seterusnya memasuki bahagian kajian keperluan
projek, saya telah fokus kepada masalah gaya pembelajaran guru-murid yang akan
dibuat penambahbaikan. Dalam hal ini, proses pemerhatian, temu bual telah
dibuat bagi menganal pasti keadaan semasa sekolah dan seterusnya keadaan yang
dikehendaki dari projek yang dilaksanakan. Kertas kerja projek penambahbaikan
dihasilkan dan dibentangkan dalam suatu mesyuarat.
Memasuki bahagian perancangan, beberapa
pelan strategik menggunakan analisa SWOT telah digunakan bagi meninjau dari
segi Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman khusus berkaitan projek
penambahbaikan yang akan dilaksanakan. Projek yang berteraskan ICT ini dilihat
mempunyai banyak kekuatan sama ada dari persekitaran dalaman mahu pun luaran.
Malah kemudahan sedia ada seperti makmal komputer, talian internet, e-book
boleh dijana sebaik mungkin sekiranya mempunyai komitmen dari seluruh warga
sekolah.
Setelah mengenal pasti strategi yang
akan diambil, pelaksanaan strategi dimulai dengan mesyuarat, sesi penerangan
kepada murid-murid dan LADAP kepada guru-guru bagi memberi pemahaman terhadap
projek yang dilaksanakan. Seterusnya setelah melalui beberapa proses
pelaksanaan lain, projek ini melalui proses penilaian dan refleksinya.
Gambar Aktiviti LADAP Projek
Sandaran
Saya melihat sesuatu projek yang hendak
dilaksanakan adalah baik sekiranya ia memberi dapatan positif kepada warga
sekolah, tetapi tidak dinafikan masalah ujud apabila pihak pengurusan tidak
memainkan peranan aktif bagi menggerak sesuatu projek itu. Mengharapkan
guru-guru melaksanakannya tanpa pemantauan dan penyertaan sama dari pihak
pengurusan, menjadikan sesuatu projek itu lesu dan tidak bermaya.
Mengimbau kembali semasa berada di
sekolah lama, saya telah melaksanakan suatu projek penambahbaikan di sekolah
tersebut, sambutan diterima dari ibu bapa dan murid-murid amat baik. Tetapi
setelah bertukar, projek tersebut lenyap bersama pertukaran saya. Inilah
masalah utama dalam sesuatu pelaksanaan projek sekiranya sikap pengurusan yang
tidak memainkan peranan aktif dan hanya mengharapkan seseorang guru sahaja yang
mengurusnya. Tiadanya pasukan projek dan kerja sepasukan menjadi sesuatu projek
itu akan berkubur. Dimana silapnya? Sudah pasti puncanya senang dikenal pasti. Sesetengah
pemimpin hanya bergantung atau mengharapkan kepada seseorang, tidak menerapkan
unsur kerja sepasukan yang menjurus kepada masalah tersebut. Justeru itu,
sebagai pemimpin sekolah, sikap kecaknaan yang mendalam perlu ditanam di dalam
diri. Semua pemimpin mengimpikan sekolah dipimpinnya baik tetapi sedarkah
bahawa sekolah yang baik itu, sudah pasti datang dari pengurusan yang baik dan
begitulah sebaliknya.
Friday, June 28, 2013
Muak Belajar
Sejak
tadika hingga melangkah ke tingkatan lima, kita disogok dengan lambakan buku
ilmiah. Impiannya hanya satu, untuk membentuk individu berjaya dengan memegang
status kerja yang bagus. Tapi pernahkah anda terfikir setiap individu mempunyai
minatnya tersendiri selain daripada menghadap buku hingga suku umur hidupnya?
Yang jelas, sifat ini dimonopoli golongan lelaki.
Mungkin
si gadis lebih beradab. Tidak menolak sekiranya ibu bapa ingin menempatkannya
di IPT tanah air. Namun sebaliknya bagi lelaki, mereka lebih tegas dan
berprinsip dalam menentukan hala tuju hidup. Disebabkan itu, kita boleh lihat
kurangnya golongan lelaki di pusat pengajian seluruh negara.
Statistik
Keseluruhan
laporan banci dan perumahan Malaysia pada 2010 menyatakan bilangan penduduk
negara ini adalah seramai 28.3 juta dengan pecahan 14.56 juta bagi lelaki dan
13.77 juta wanita.
Tidak
dinafikan kewujudan lelaki lebih ramai berbanding wanita, namun keadaan berbeza
jika dilihat di IPT apabila seolah-olah bilangan lelaki terlalu sedikit.
Fenomena
penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti tidak pernah selesai untuk
dibincangkan. Statistik kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi
menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus
bagi sesi pengajian 2008/2009. Persoalannya, kenapa pelajar lelaki semakin
pupus di universiti?
Buku membosankan
Ada
menyoal, benarkah sistem pendidikan negara tidak cukup menarik untuk memupuk
minat lelaki dalam pelajaran atau adakah ia hanya sekadar alasan kepada sikap
malas pelajar lelaki?
Berdasarkan
perbincangan ringkas, kedua-dua faktor itu logik dan ada betulnya tetapi ia
lebih terarah kepada rasa bosan golongan lelaki untuk melanjutkan pengajian.
Dalam
erti kata lain, mereka sudah muak melihat susunan buku di atas meja. Buku harus
digantikan dengan peralatan seperti gajet atau elektronik yang seiring dengan
era teknologi kini.
Ramai
berpendapat, teknik pengajaran lisan dan sistem pendidikan dengan
berpuluh-puluh jenis peperiksaan membantutkan minat lelaki dalam akademik
kerana difahamkan, apabila meningkat dewasa mereka lebih meminati pendidikan
berteraskan kemahiran.
Oleh
itu, jika direnungkan kembali, memang benar peratus pembabitan lelaki di IPT
tidak setanding wanita tetapi kebanyakannya memilih kemahiran seperti di
institut kemahiran dan sebagainya.
Duit dan kerja
Secara
logiknya, apa juga keinginan meletakkan wang sebagai perkara utama untuk
direalisasikan. Jadi tidak hairanlah apabila tamat persekolahan, lelaki lebih
cenderung untuk mendapatkan kerja. Apabila memperoleh sejumlah wang, segala
kemahuan dapat ditunaikan termasuk apa yang diidamkan selama ini.
Perlakuan
ini disokong dengan pendapat ‘tidak semestinya belajar setinggi gunung, mampu
peroleh pekerjaan terbaik’ sedangkan beribu-ribu lambakan graduan IPT masih
menganggur dan menanti untuk mendapat tempat di alam pekerjaan.
Yakin
terhadap keupayaan diri untuk berjaya mendorong remaja lelaki melakukan apa
yang difikirkan tepat untuk masa depan. Jika dia memilih untuk berniaga, usaha
keras diteruskan tanpa perlu segulung ijazah untuk meraih kejayaan.
Tahu kemahuan
Berbeza
dengan lelaki, perempuan lebih mengutamakan pelajaran kerana saingan di alam
pekerjaan lebih tinggi dan tidak keterlaluan juga dikatakan wanita tidak
berilmu mudah terjebak dalam kancah penipuan. Disebabkan itu, kesedaran
pentingnya ilmu memungkinkan perempuan memilih untuk sambung belajar demi
menjamin kehidupan yang tidak menentu pada masa depan. Dalam hal ini, pelajaran
dilihat sebagai aset wajib perlu ada bagi si gadis.
Jejaka
juga sedar akan kepentingan ilmu untuk menjamin masa depan lebih baik. Namun
cara pemikiran berbeza menjadikan mereka berfikir lebih kritis dan siap sedia
dalam segala kemungkinan. Keputusan untuk tidak menghadap buku dan digantikan
dengan peralatan elektronik atau cara kerja kemahiran menjadi pemangkin untuk
lelaki berjaya dalam memburu kerjaya diimpikan.
-
hmetro
Posted in: PendidikanMonday, June 24, 2013
Bosan Perhimpunan Pagi Alasan Pelajar Ponteng
Bosan dengan perhimpunan pagi antara
alasan yang diberikan oleh seorang pelajar yang sering ponteng sekolah pada
setiap Ahad, apabila bermulanya
hari pertama persekolahan.
Seorang pelajar yang ditemui, yang
hanya mahu dikenali sebagai ‘Mohd’ berkata, dia kerap kali ponteng serta sering
menghabiskan masa di taman rekreasi Tengku Anis sehinggalah tamat waktu sekolah
dengan berbekalkan RM5.
“Selepas tamat waktu sekolah, saya akan
bermain bola bersama rakan-rakan di padang berdekatan sekolah sebelum pulang ke
rumah kira-kira jam 6.45 petang.
“Apabila pulang, saya sering dimarahi
oleh ayah di rumah, lagipun saya memang tidak mempunyai minat untuk belajar dan
ditempatkan di kelas terakhir jadi untuk menenangkan diri, saya lebih suka
menghabiskan masa di taman itu” katanya kepada Sinar Harian.
“Mohd merupakan antara 25 pelajar
Sekolah Menengah di sekitar Kota Bharu yang ditahan dalam ops ponteng bersepadu
Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bersama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang
diadakan di enam lokasi panas di bandar ini di sini pagi semalam.
Operasi yang diketuai Pegawai Pelajaran
Daerah, Che Ab Aziz Daud itu turut disertai 12 agensi termasuk Polis Kelantan,
pasukan Rela, Jabatan Kesihatan, Majlis Agama Islam Kelantan termasuk Majlis
Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam Kota Bharu Bandaraya Islam.
Pengarah Pelajaran, Hussain Awang
berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 50 pelajar sudah ditahan dalam 25 operasi
bersepadu yang dijalankan pihak PPD.
“Kesemua yang ditahan diberikan khidmat
kaunseling dan tazkirah di masjid Telipot, selain turut menjalani pemeriksaan
ujian air kencing bagi memastikan sama ada mereka bebas dari pengaruh dadah
atau sebaliknya.
“Mereka yang ditahan kemudiannya akan
diserahkan kepada pihak sekolah sebelum memanggil ibu bapa mereka untuk membawa
pulang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Hussain berkata, pihaknya memandang
serius isu terbabit dan mengharapkan kerjasama masyarakat termasuk ibu bapa
dalam menangani isu terbabit.
Posted in: PendidikanWednesday, June 19, 2013
Cadangan Cuti Sabatikal Untuk Pengetua, Guru Besar Dan Guru
Kementerian
Pendidikan bercadang memperkenalkan cuti sabatikal untuk pengetua, guru besar
dan guru mengikuti program pembelajaran di luar negara, kata Menteri Pendidikan
Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau
berkata cuti sabatikal untuk mengikuti program pembelajaran luar negara yang
kini hanya dinikmati pensyarah di institusi pengajian tinggi amat penting dalam
usaha kerajaan meletakkan sistem pendidikan negara setanding dengan negara di
seluruh dunia.
"Kita
sering berkata mahu meletakkan sistem pendidikan Malaysia sebaris dengan negara
luar tetapi bagaimana kita nak merealisasikannya kalau pengetua, guru besar dan
guru kita tidak dapat banyak pendedahan tentang sistem pendidikan di luar
negara.
"Dengan
cara ini kita harap lebih ramai pengetua, guru besar dan guru mempelajari
sistem pendidikan di negara seperti United Kingdom dan Finland bagi membuka
minda mereka tentang cara terbaik melahirkan anak bangsa yang mampu meneruskan
kecemerlangan Malaysia pada masa depan," katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Tawaran
Baharu Kepada Pengetua Tahun 2012 di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah
Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan
Kualiti Kementerian Pendidikan Datuk Misrah Ibrahim.
Seramai
151 pengetua sekolah menerima sijil dan wang tunai RM7,500 pada anugerah yang
diberi kepada pengetua sekolah cemerlang berdasarkan Gred Purata Sekolah dan
skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia sekolah mereka.
Idris
berkata cadangan itu masih dalam perbincangan serta kajian di peringkat
kementerian dan apabila selesai, ia akan dibentang kepada Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan.
"Banyak
perkara kita perlu bincangkan dan kita teliti seperti tempoh masa cuti itu dua
ke tiga bulan, sabatikal ini boleh diambil setiap lima tahun sekali dan
negara-negara yang terbaik untuk kita hantar guru kita.
"Kita
akan buka peluang untuk semua jenis guru, peringkat menengah, rendah mahupun
bidang teknikal. Kementerian akan pilih siapa yang layak menerusi kriteria yang
akan kami tetapkan nanti," katanya.
Mengulas
mengenai Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2015, Idris berkata pengetua dan guru
besar perlu menjadi agen perubahan bagi merealisasikan fasa pertama pelan itu
yang bermatlamat merubah sistem pendidikan negara untuk menghasilkan generasi
muda berdaya maju.
-
BERNAMA
Posted in: PendidikanWednesday, June 12, 2013
Memperkasakan Pembelajaran Tahap 1
Menyentuh hasrat YAB Menteri Besar Terengganu untuk terus mengembalikan
kegemilangan pendidikan Terengganu dengan memastikan UPSR Terengganu mesti
menjadi yang terbaik, saya melihat proses kegemilangan itu perlu diperkasa di
peringkat bawahan lagi iaitu semasa murid-murid berada di Tahap 1 (Tahun 1 –Tahun
3). Bagi saya, melahirkan buah yang baik juga perlu dipantau proses awal atau
peringkat kemenjadian buah itu sendiri. Justeru itu proses PdP di Tahap 1 perlu
dibuat proses penambahbaikannya supaya memasuki Tahap 2 nanti tidak menjadi
bebanan kepada guru-guru terutamanya yang mengajar mata pelajaran UPSR.
Justeru itu, cadangan saya wujudkan satu peperiksaan/penilaian khusus
murid-murid yang berada tahun akhir Tahap 1 dimana ujian itu mempunyai nilai
setara seperti mana UPSR. Dengan kata lain diperingkat sekolah rendah akan
wujud 2 peperiksaan penting iaitu UPT1 (Ujian Pencapaian Tahap 1) Tahun 3 dan
UPSR Tahun 6. Cadangan ini, pasti mampu saya lakukan di sekolah saya sebagai
bukti/perintis sekiranya saya mempunyai mandat sebagai pentadbir sekolah tetapi
sebagai guru biasa wujud keterbatasan dalam melaksanakannya.
Saya melihat hasil dapatan UPT1 amat penting dan berguna untuk dibuat
analisis sebelum murid-murid ini melangkah masuk ke Tahap 2 bagi tujuan
kecemerlangan pelajaran dan seterusnya menjana ke arah kecemerlangan UPSR itu
sendiri. Mungkin nilai tambah lain boleh difikirkan untuk wujudkan satu
mekanisma baru berakhirnya pembelajaran di Tahap 1 dengan matlamat menjadikan
PdP Tahap 1 semegah UPSR yang hendak digapai.
Cadangan yang diutarakan sekadar pendapat peribadi sahaja. Hanya sebagai
satu perkongsian pandangan andainya baik untuk difikirkan.
Terima kasih.
Posted in: PendidikanMonday, June 10, 2013
Modul Kursus Dapat Diakses Dengan Mudah Menerusi Telefon Pintar, Tablet
Bahan dan modul kursus daripada
pelbagai bidang pengajian di Open University Malaysia (OUM) bakal dapat diakses
dengan lebih mudah menerusi aplikasi telefon pintar dan tablet bermula
September ini.
Selain pelajar, aplikasi OUM itu boleh
dimuat turun oleh orang ramai menerusi Apple App Store secara percuma untuk
kali pertama dan akan dikenakan caj pada muat turun yang berikutnya.
Presiden merangkap Timbalan Canselor
OUM, Prof Tan Sri Anuwar Ali berkata aplikasi itu bertujuan mempelbagai kaedah
pengajaran dan pembelajaran bagi memperkukuh sistem penyampaian universiti itu.
"Pendekatan ini sekali gus
mencerminkan kemajuan OUM ke arah menggunakan teknologi bersesuaian dengan
perkembangan semasa supaya sistem penyampaian adalah yang terkini.
"Selain daripada pertemuan secara
bersemuka dengan pelajar, OUM juga menitik berat 'online learning' dan ia
(aplikasi) selaras dengan visi dan misi OUM sebagai universiti terbuka,"
katanya kepada Bernama pada Majlis Konvokesyen OUM Ke-14, di sini hari ini.
- BERNAMA
Posted in: PendidikanSaturday, June 1, 2013
Dr Madinah KSU Kementerian Pendidikan, Dr Zaini Ujang KSU II
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr
Madinah Mohamad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan,
berkuatkuasa Isnin ini.
Naib
Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Zaini Ujang pula
dilantik sebagai Ketua Setiausaha II kementerian yang sama, juga mulai Isnin,
kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan Jumaat.
Tempat
Madinah akan diambil alih oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr
Rosli Mohamed mulai tarikh yang sama.
Madinah,
56, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang
Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, berkhidmat dalam
perkhidmatan awam selama lebih 32 tahun.
Rosli,
55, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pemasaran strategik
dari University of Hull, United Kingdom dan Sarjana Petadbiran Perniagaan dari
University of Leeds, United Kingdom, pula berkhidmat selama lebih 30 tahun
dalam perkhidmatan awam.
Zaini,
48, yang berkhidmat lebih 23 tahun dalam perkhidmatan pengajian tinggi,
berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang
kejuruteraan alam sekitar dari Newcastle University, United Kingdom.
-
BERNAMA
Posted in: Kementerian Pendidikan MalaysiaTuesday, May 28, 2013
Pembelajaran Maya Guna Telefon Pintar
Kementerian Pendidikan
sedia kemudahan 4G akhir tahun
Kuala
Lumpur: Kementerian Pendidikan bercadang memperkenalkan pembelajaran secara
maya menggunakan telefon pintar seperti iPhone dan telefon Windows, pada masa
depan.
Timbalan
Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata
ini membolehkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan di mana-mana
dan pada bila-bila masa.
Katanya,
di rantau Asia Pasifik, penggunaan telefon pintar semakin popular dengan
kemudahan seperti internet tanpa wayar, rangkaian 3G atau 4G untuk meningkatkan
P&P.
Kemudahan 1BestariNet
“Dalam
pelan tindakan pendidikan negara, kita akan menyediakan kemudahan 4G melalui
1BestariNet dan persekitaran pembelajaran maya (VLE) membabitkan lebih 10,000
sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Kita
juga menyasarkan semua guru terlatih dan cekap dalam VLE menjelang 2015.
“Pembelajaran
mudah alih atau m-pembelajaran dan pembelajaran di mana-mana atau
u-pembelajaran adalah dua trend untuk mengukuhkan inisiatif e-pembelajaran
kita,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan ‘Digital
Education Show Asia’ 2013 di sini, semalam. Teks ucapannya dibacakan Timbalan
Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching.
3 gelombang pembangunan
Muhyiddin
berkata, kementeriannya sudah menggariskan tiga gelombang pembangunan untuk
perubahan sistem pendidikan negara dengan meningkatkan penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT).
Katanya,
pembabitan guru dan integrasi ICT dalam P&P adalah faktor utama bagi
menjayakan matlamat itu dan ia juga sejajar matlamat Wawasan 2020 menerusi
inisiatif dalam teleperubatan, e-kerajaan, pendidikan dan industri.
Beliau
yakin peningkatan integrasi ICT dalam P&P akan merubah sistem hafalan
tradisional kepada pendekatan konstruktivis yang melahirkan pelajar berfikiran
kreatif, kritikal dan berinovasi.
-
BHarian
Posted in: PendidikanMonday, May 27, 2013
Hubungan Antara ICT Dan Pendidikan Kekal Saing
KUALA
LUMPUR: Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin mengingatkan rakyat
mengenai pertikaian hubungan antara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan
pendidikan.
Beliau
berkata ICT memang membawa perubahan walaupun penyelidikan lebih 30 tahun masih
belum membuat kesimpulan bahawa bidang teknologi itu telah memberi kesan kepada
pendidikan.
"Sebaliknya,
ia amat korelasi dan ini turut diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik
dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
"Pada
2011, penerbitan badan dunia itu menyatakan bahawa hubungan antara ICT dan
pembelajaran pelajar adalah lebih rumit daripada yang berasaskan kepada
ketersediaan semata-mata atau pengunaan. Apa yang penting ialah bagaimana ICT
digunakan dan apa yang diuji," katanya.
Walaupun
begitu, Malaysia tidak mampu mengambil risiko dengan masa depan negara, katanya
pada perasmian Persidangan dan Pameran 'The Digital Education Show Asia 2013'
di sini.
Teks
ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran I Datuk Mary Yap Kian
Ching.
Dalam
ucapannya, Muhyiddin juga menyatakan nilai dan bahaya 'pengasuh digital' di
mana ibu bapa memberi peranti 'tablet' untuk anak-anak mereka seawal usia empat
tahun daripada meluahkan masa bersama anak-anak mereka.
"Dalam
trend semasa, kanak-kanak seawal usia empat tahun mempunyai 'IPads' dan peranti
'tablet' yang lain yang diberikan oleh ibu bapa sebagai alat pembelajaran. Ini
memang di luar jangkaan...mereka menggunakan alat-alat ini tanpa perlu belajar
daripada ibu bapa mereka.
"Bagaimanapun,
saya berpendapat trend ini mempunyai kedua-dua nilai dan bahaya. Walaupun
pembelajaran boleh berlaku dengan pengunaan alat-alat ini tetapi lebih sering
ibu bapa menggunakan peranti ini bagi mengalih perhatian daripada meluahkan
masa bersama anak-anak mereka," katanya.
Muhyiddin,
yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata banyak laporan menyatakan bahawa
kanak-kanak bermain permainan dan berinteraksi dalam talian tanpa pengawasan
sehingga menyebabkan kanak-kanak ini menjadi ketagih kepada peranti seperti
itu.
Beliau
berkata jurang antara pembelajaran dan penerimaan adalah paradoks.
"Kita
ingin melihat kanak-kanak belajar dengan peranti ini tetapi pada masa sama,
kita mahu mereka mengambil kandungan dan aplikasi secara bertanggungjawab dan
beretika.
"Oleh
itu, saya percaya celik digital adalah penting kerana ia memastikan soal
tanggungjawab dan etika sebagai sebahagian daripada warga siber di
Malaysia," katanya.
Muhyiddin
berkata beliau sedar bahawa ICT dan teknologi berubah pada kadar yang lebih
pantas daripada perubahan di peringkat sekolah.
"Oleh
itu pendidikan perlu fleksibel dalam menggabungkan ICT di sekolah. Saya juga
khuatir bahawa kadar perubahan teknologi mungkin menyebabkan guru-guru sentiasa
menjadi pendatang baru dalam bidang teknologi," katanya.
Bahaya
lain seperti cabaran sosial dan etika perlu ditangani, katanya.
"Pelaksanaan
jelas dan berstruktur perlu bagi menampung perubahan ini serta menyokong
kemasukkan sifat penyertaan teknologi dan masyarakat," katanya.
-
BERNAMA
Posted in: PendidikanSunday, May 19, 2013
Sasaran tiga guru J-Qaf di sekolah rendah menjelang 2016
KOTA
BHARU - Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dijangka dapat memenuhi
sasaran menempatkan sekurang-kurangnya tiga guru program pendidikan Jawi,
al-Quran, Bahasa Arab, Fardu Ain (J-Qaf) di semua sekolah rendah di seluruh
negara menjelang 2016.
Pengarah
Bahagian Pendidikan Islam kementerian itu, Abdullah Md Din berkata sasaran itu
boleh dicapai apabila terdapat lebih 20,000 guru J-Qaf mulai tahun ini.
Menurut
Abdullah hasil kajian bahagiannya mendapati sejak kementerian memperkenalkan
pengambilan guru J-Qaf pada 2006, sebanyak 90 peratus murid mencapai matlamat
penguasaan pendidikan Islam dalam penulisan, bacaan jawi, bacaan al-Quran dan
fardu ain.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Karnival Kesenian
Standard Sekolah Rendah di Sekolah Kebangsaan Islah, di sini hari ini.
-
Bernama
Posted in: PendidikanFriday, May 17, 2013
Renungan: Apakah Hidup Masih Bermatlamatkan Tuhan
Manusia rosak banyak sebabnya. Ada
sebab luaran dan ada sebab dalaman. Ada sebab lahir dan ada sebab batin. Namun
kalau semua sebab-sebab itu dianalisa, puncanya dapat dirangkumkan ke dalam
tiga perkara yang pokok.
Pertama adalah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan.
Kedua kerana ketandusan kepimpinan
Ketiga kerana sistem hidup manusia sudah punah ranah.
Manusia Sudah Kehilangan Tuhan
Manusia umumnya sudah kehilangan Tuhan.
Manusia sudah melupakan Tuhan. Tuhan sudah tidak lagi menjadi teras dan
pegangan dalam hidup manusia.Tuhan sudah tidak lagi menjadi matlamat hidup
manusia. Dalam banyak hal, Tuhan diketepikan dan dikesampingkan. Tuhan tidak
diletakkan di hadapan. Manusia sudah tidak merujuk lagi kepada Tuhan.Manusia
sudah tidak patuh lagi kepada hukum-hakam dan peraturan Tuhan. Malahan hidup
manusia bukan lagi untuk Tuhan.
Manusia sudah tidak cinta dan tidak
takut dengan Tuhan.Tempat Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat
dan kuasa, dengan harta benda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama
dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya. Untuk ini semualah
tujuan manusia hidup, bukan lagi untuk mendapat dan mengenal Tuhan. Tahukah
manusia, amanah yang ditanggung dari apa yang mereka dambakan.
Hatta, orang agama yang lahirnya nampak
macam kuat beragama juga kehilangan Tuhan. Dalam solat mereka, tidak ada Tuhan.
Dalam puasa mereka tidak ada Tuhan. Dalam zakat dan haji mereka tidak ada
Tuhan. Dalam wirid, zikir dan bacaan Quran mereka juga sudah tidak ada Tuhan.
Paling baik, mereka mengejar pahala dan fadilat, bukan Tuhan. Pahala dan
fadhilat jadi matlamat, bukan Tuhan.Mereka hanya membesarkan syariat, bukan
membesarkan Tuhan. Di samping itu,ramai juga orang agama yang mengejar nama dan
jawatan diatas ilmu dan amalan agama mereka. Tidak terfikirkah akan amanah yang
perlu digalas.
Segala apa yang manusia fikirkan,
segala apa yang manusia mahukan dan segala apa yang manusia rasakan, kesemuanya
tertumpu kepada matlamat material dan keperluan hidup di dunia semata-mata.
Bukan untuk mengabdikan diri, berbakti atau untuk mendapat redha, rahmat, kasih
sayang dan keampunan Tuhan.
Manusia sudah tidak yakin lagi dengan
Tuhan. Sudah tidak tawakkal, tidak berserah diri dan tidak bergantung harap
dengan Tuhan. Manusia menyangka seolah-olah Tuhan itu tidak ada peranan dalam
hidup mereka. Mereka menganggap Tuhan tidak relevan dalam hidup mereka.
Kalaupun lidah mereka tidak menyebut tetapi tindak tanduk dan amalan mereka
membuktikannya. Mereka lupa dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidak Aku jadikan jin dan
manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariat:56)
Ramai manusia percaya kepada Tuhan.
Tetapi mereka hanya setakat percaya sahaja. Orang Yahudi percaya Tuhan.Orang
Nasrani percaya Tuhan. Orang Hindu pun percaya Tuhan. Malahan, kalau ditanya
kepada setiap manusia dimuka bumi, siapakah yang menjadikan alam ini? Mereka
semua akan berkata bahawa Tuhan yang menjadikannya. Tetapi percaya bukan satu
keyakinan. Percaya bukan suatu itiqad. Percaya sahaja tidak cukup sebagai
aqidah dan pegangan. Yang sedihnya, ramai orang Islam sendiri baru setakat
percaya dengan Tuhan. Ia belum menjadi aqidah atau pegangan. Mereka percaya
Tuhan itu ada tetapi wujudnya Tuhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada
matlamat dan cara hidup mereka. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi dalam
kehidupan seharian, mereka bertindak seolah-olah Tuhan itu tidak wujud. Mereka
ini termasuk golongan orang-orang yang kehilangan Tuhan.
Punca Rosaknya Manusia
Hilang perpaduan. Manusia bergaduh dan
berperang. Jenayah berleluasa. Timbul kezaliman, penindasan dan tekan-menekan
sehingga manusia cemas dan ketakutan. Perangai manusia tidak ubah seperti
haiwan. Ini semua adalah akibat manusia meninggalkan Tuhan.
Manusia hilang tempat mengadu. Hilang
tempat merujuk. Hilang tempat berserah dan bergantung harap. Hilang tempat
meminta pertolongan. Alangkah ruginya manusia kalau sudah kehilangan Tuhan.
Ada sebuah kisah yang berlaku kepada
Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk
diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak
tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat
berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir
bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat
yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah
masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada
yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk
di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur
menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi
didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka
lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan
pendek sahaja.Dia berkata: Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan
semua berada di bawah tapak kaki saya.
Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi
gempar dan riuh rendah. Para hadirin terasa terhina dan tidak puas
hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu
dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina
Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.
Mereka sepakat hendak melaporkan
perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi
untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah,
hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di
khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.
Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian
tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai
bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”
Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir
menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”
Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan
Syeikh berkata begitu?”
Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan
kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”
Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya
mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada
duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir
seorang yang kasyaf.
Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul
Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan
itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah
mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu
menjadi lambang dan simbolnya.
Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir
Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di
zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak
langsung diambil kira.
Manusia Ketandusan Kepimpinan
Manusia sudah tidak terpimpin lagi
kerana manusia sudah ketandusan kepimpinan. Oleh itu, manusia hanyut dan sesat
dalam kehidupan ini tanpa menuju ke sesuatu arah yang tertentu dan tidak dapat
memenuhi tujuan dan maksud mengapa manusia itu dijadikan. Manusia sudah tidak
berfungsi sebagai manusia lagi.
Pemimpin yang ada di dunia sekarang
sebenarnya bukan pemimpin. Obama bukan seorang pemimpin. Putin juga bukan
seorang pemimpin. Begitu juga dengan Hosni Mubarak. Mereka bukan pemimpin.
Paling tinggi mereka itu hanya pentadbir. Mereka mentadbir hal-hal negara, kewangan,
khazanah dan ekonomi negara. Mereka hanya memenuhi keperluan lahir dan tidak
langsung mengambil berat tentang keperluan rohani rakyat.
Pemimpin dalam Islam bukan setakat
menyelesaikan keperluan lahir. Yang lebih penting ialah keperluan rohani. Pemimpin
dalam Islam bertanggungjawab mendidik dan membina keinsanan rakyat. Membawa
rakyat kepada Tuhan. Mengajar mereka supaya cinta, takut, taat dan patuh kepada
Tuhan. Pemimpin dalam Islam berkewajipan menjaga kehidupan beragama rakyat dan
menjadikan rakyat baik, beriman dan bertaqwa.
Soal keperluan lahir juga penting
tetapi ia jatuh nombor dua. Dalam Islam, memimpin itu seperti membuat kerja
Rasul.Rasul itu sebenarnya pemimpin. Siapa yang membuat kerja-kerja rasul juga
dianggap sebagai pemimpin. Pemimpin seperti inilah yang sudah tidak ada lagi.
Selagi pemimpin seperti ini tidak ada dan tidak dicari, maka selagi itulah
hidup manusia akan menjadi rosak dan kucar kacir.
Para pentadbir dan pemimpin dunia
seperti yang ada sekarang tidak mampu memimpin. Mereka tidak mampu membina
keinsanan rakyat, membawa rakyat kepada Tuhan atau menjadikan rakyat
orang-orang yang beriman dan bertaqwa.
Mana mungkin mereka mampu berbuat
demikian dalam keadaan mereka sendiri pun tidak terpimpin. Keluarga mereka
sendiri pun kucar-kacir. Mereka ini hanya akan melalaikan dan merosakkan
keinsanan rakyat. Mereka ini hanya akan membawa manusia kepada dunia dan
menjauhkan mereka dari Tuhan dan dari akhirat.
Paling baik, mereka hanya boleh membawa
pembangunan dan kemajuan lahiriah dan membina ekonomi negara dan rakyat.
Mungkin rakyat boleh hidup dengan selesa. Tetapi kebahagiaan manusia bukan
terletak kepada keselesaan hidup. Ia terletak kepada jiwa yang terisi dan
fitrah yang terlaksana.
Keperluan fitrah manusia yang utama
ialah keinginan berTuhan, keinginan menyembah, taat, patuh dan mengabdi diri
kepada Tuhan. Apabila hati-hati manusia terisi dengan dunia dan hidup mereka
bermatlamatkan dunia, maka nafsu mereka akan bermaharajalela dan dunia akan
menjadi rebutan. Memang dunia itu bahan rebutan dan punca pecah belah dan
pemusnah kasih sayang. Manusia akan berebut-rebut dunia, menekan dan menindas
seperti anjing yang berebut bangkai. Akhirnya manusia akan bergaduh, berkelahi
dan bunuh-membunuh.Tidak ada kasih sayang dan perpaduan.
Sistem Hidup Manusia Sudah Punah
Sistem hidup manusia di muka bumi ini
tidak lagi berteraskan syariat Tuhan. Ia adalah hasil dari ciptaan akal manusia
yang begitu daif dan lemah. Sistem yang kononnya dirancang untuk kebaikan dan
kebahagiaan manusia itu telah makan tuan dan telah merosakkan dan
mengkucar-kacirkan kehidupan manusia itu sendiri.
Di antaranya:
1. Sistem pendidikan sekular yang hanya
bermatlamatkan dunia telah merosakkan akhlak manusia. Manusia hilang akhlak
kepada Tuhan dan hilang akhlak terhadap sesama manusia. Manusia menjadi
pencinta dan pemburu dunia. Manusia menjadi jahat, sombong, bakhil, hidup
nafsu-nafsi, zalim dan pentingkan diri sendiri. Walhal sistem pendidikan Islam
membawa manusia kepada Tuhan dan membina jiwa serta akhlak manusia. Hasilnya,
manusia menjadi baik, berguna, tolong-menolong dan berkasih sayang.
2. Sistem ekonomi ciptaan manusia
terutama sistem kapitalis hanya mementingkan untung tidak kira dengan cara apa.
Tidak kira sama ada hasil atau khidmat ekonomi itu perkara yang sia-sia,
maksiat dan merosakkan orang atau ia menindas pekerja untuk mendapat untung
berlipat ganda atau membazir atau merosakkan moral manusia dalam iklan untuk
menjual barangan. Berlaku monopoli, menetapkan harga yang menekan dan
berlebihan yang menyusahkan manusia serta berbagai-bagai lagi hanya kerana
hendakkan keuntungan yang banyak. Walhal sistem ekonomi Islam menekankan
khidmat kepada masyarakat dan membekalkan keperluan masyarakat sebagai suatu
ibadah dan tanda kasih sayang. Segala kegiatan ekonomi tidak terkeluar dari
syariat dan hukum-hakam Tuhan dan tidak lari dari tujuan untuk mendapat
keredhaan Tuhan.
3. Sistem kebudayaan berteraskan nafsu
telah melalai dan merosakkan akhlak manusia terutama muda-mudi. Walhal sistem
kebudayaan Islam membawa manusia kepada mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan
dan merindui hari akhirat. Menginsaf dan menyedarkan manusia tentang
tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Menyegarkan dan
menghidupkan jiwa mereka.
Kalau hidup manusia mahu dibetulkan,
tidak dapat tidak, ketiga-tiga perkara ini perlu ditangani.
Pertama, manusia perlu dibawa kepada
Tuhan. Manusia mesti mula mengenal dan takut pada Tuhan.
Kedua, pemimpin yang sejati yang boleh
mendidik manusia perlu dicari. Ketiga, sistem hidup manusia yang sudah punah
ranah ini perlu dibaiki dan perlu mengikut peraturan hukum-hakam dan mengikut
cara yang Tuhan tentukan.
Namun, di antara ketiga-tiga perkara
ini, pemimpin sejati itulah yang perlu didapatkan dahulu. Kerana pemimpinlah
yang akan dapat membawa kita kepada Tuhan dan pemimpin jugalah yang akan dapat
membuat perubahan dan memperbaiki sistem hidup kita. Kita tidak akan dapat
mengenal Tuhan tanpa ada pemimpin yang memperkenalkan Tuhan kepada kita. Dan
sistem hidup kita tidak akan berubah dengan sendiri tanpa ada pemimpin yang
berusaha mengubahkannya.
Wassalam.
Posted in: RenunganWednesday, May 15, 2013
KABINET MALAYSIA 2013
PERDANA MENTERI:
Datuk Seri Najib Tun Razak
TIMBALAN PERDANA MENTERI:
Tan Sri Muhyiddin Yassin
JABATAN PERDANA MENTERI:
Menteri:
1. Datuk Seri
Jamil Khir Baharom (UMNO)
2. Datuk Seri
Abdul Wahid Omar (akan dilantik sebagai Senator)
3. Datuk Seri
Idris Jala (SEnator)
4. Tan Sri
Joseph Kurup PBRS)
5. Datuk Seri
Shahidan Kassim (UMNO)
6. Nancy Shukri
(PBB)
7. Datuk Entulu
Belaun (PRS)
8. Datuk Paul
Low Seng Kwan (Senator)
Timbalan
Menteri:
1. Datuk Razali
Ibrahim (UMNO)
2. Waythamoorthy
Ponnusamy (akan dilantik sebagai Senator)
KEMENTERIAN KEWANGAN
Menteri: Datuk
Seri Najib Tun Razak (UMNO)
Menteri II:
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (UMNO)
Timbalan
Menteri:
1. Datuk Ahmad
Maslan (UMNO)
KEMENTERIAN PELAJARAN (digabung bersama Kementerian Pengajian
Tinggi)
Menteri: Tan Sri
Muhyiddin Yassin (UMNO)
Menteri II :
Datuk Seri Idris Jusoh (UMNO)
Timbalan
Menteri:
1. Mary Yap Kain
Ching (PBS)
2. P.
Kamalanathan (MIC)
KEMENTERIAN PERTAHANAN
Menteri: Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO)
Timbalan
Menteri: Datuk Abdul Rahman Bakri (UMNO)
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Menteri: Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO)
Timbalan
Menteri: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB)
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
Menteri: Datuk
Seri Hishammudin Tun Hussein (UMNO) (MEMANGKU)
Timbalan
Menteri: Ab Aziz Kaparawi (UMNO)
KEMENTERIAN
INDUSTRI DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA
Menteri: Datuk
Seri Mustapa Mohamed (UMNO)
Timbalan
Menteri: Hamim Samuri (UMNO)
KEMENTERIAN LUAR
Menteri: Datuk
Seri Anifah Aman (UMNO)
Timbalan Menteri:
Datuk Seri Hamzah Zainuddin (UMNO)
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN
HAL EHWAL PENGGUNA
Menteri: Datuk
Hasan Malek (UMNO)
Timbalan
Menteri: Datuk Ahmad Bashar Md. Hanipah (Senator)
KEMENTERIAN KERJA RAYA
Menteri: Datuk
Fadillah Yusof (PBB)
Timbalan
Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin (UMNO)
KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA
Menteri: Datuk
Seri Ahmad Shabery Cheek (UMNO)
Timbalan
Menteri: Jailani Johari (UMNO)
KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Menteri: Richard
Riot Jaem (SUPP)
Timbalan
Menteri: Datuk Ismail Abdul Muttalib (UMNO)
KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN
WILAYAH
Menteri: Datuk
Seri Shafie Apdal (UMNO)
Timbalan
Menteri: Alexander Nanta Linggi (PBB)
KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR DAN
KERAJAAN TEMPATAN
Menteri: Datuk
Abdul Rahman Dahlan (UMNO)
Timbalan
Menteri: Datuk Halimah MOhamad Saddique (UMNO)
KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
Menteri: KHairy
Jamaluddin (UMNO)
Timbalan
Menteri: M. Saravanan (MIC)
KEMENTERIAN KESIHATAN
Menteri: Datuk
Seri Dr. S Subramaniam (MIC)
Timbalan
Menteri: Datuk Seri Hilmi Yahya (UMNO)
KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN
Menteri: Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (UMNO)
Timbalan
Menteri: J. Loga Bala Mohan (Senator)
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Menteri: Datuk
Seri Douglas Uggah Embas (PBB)
Timbalan Menteri:
Datuk Noriah Kasnon (UMNO)
KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI DAN AIR
Menteri: Datuk
Seri Maximus Johnity Ongkili (PBS)
Timbalan
Menteri: Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO)
KEMENTERIAN ASAS TANI
Menteri: Datuk
Seri Ismail Sabri Yakop (UMNO)
Timbalan Menteri:
Datuk Tajudin Rahman (UMNO)
KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN
Menteri: Datuk
Seri Nazri Aziz (UMNO)
Timbalan
Menteri: Joseph Salang Anak Gandum (PRS)
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Menteri: Datuk
Dr.Ewon Ebin (UPKO)
Timbalan
Menteri: Datuk Dr. ABu Bakar Mohamad Diah (UMNO)
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
Menteri: Datuk
Seri G.Palanivel (MIC)
Timbalan
Menteri: Janes Dawos Mamit PBB)
- ABN
News
Posted in: Umum
Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.















