Sunday, December 23, 2012

Pupuk minat dalam subjek Sains

PUTRAJAYA, 22 Dis - Para guru termasuk mereka yang mengajar di sekolah rendah memainkan peranan penting untuk memupuk minat murid dalam subjek Sains sekali gus mendorong mereka memilih aliran berkenaan apabila berada di sekolah menengah.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, para ibu bapa dan pelajar juga perlu sedar bahawa aliran Sains sebenarnya membuka peluang pekerjaan yang luas kepada pelajar.

"Para guru dan sekolah perlu memberi lebih banyak penekanan kepada pengajaran Sains. Kalau murid minat sejak kecil lagi, maka mereka dengan sendirinya akan memilih aliran Sains apabila berada di sekolah menengah.

"Malaysia memerlukan pelajar Sains yang lebih ramai untuk mencapai Wawasan 2020 dan usaha untuk menambah pelajar aliran ini telah dimulakan sejak dahulu lagi di mana kita menambah baik kaedah dan alat pengajaran untuk subjek Sains," katanya.

Alimuddin yang merupakan Pengerusi Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics berkata demikian selepas menyempurnakan majlis konvokesyen kesembilan kolej tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan 15 daripada 61 perakuan yang dikemukakan Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera bagi meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang berkenaan.

Antara perakuan yang akan dilaksanakan termasuk penambahan pengecualian cukai kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang mengambil bidang Sains dan Teknologi di sekolah menengah (tingkatan empat dan lima) dan prauniversiti iaitu daripada RM1,000 kepada RM3,000.

Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, peningkatan dan penurunan keputusan dalam beberapa subjek Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini adalah fenomena biasa.

"Pelajar menjawab soalan yang berlainan, jadi jatuh dan naik keputusan itu adalah perkara yang normal. Melainkan ada kejatuhan signifikan melebihi lima peratus, barulah ia melambangkan ada perkara tertentu yang perlu diambil perhatian," katanya. 
 
- Utusan

Saturday, December 22, 2012

NUTP: Ambil guru bahasa Inggeris dari India perlu kajian mendalam


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan mengambil guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar di negara ini.

Presidennya Hashim Adnan berkata perbincangan perlu dilakukan dengan pakar dalam bahasa itu bersama NUTP dan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sebarang keputusan dibuat akan menguntungkan kerajaan.

“Kajian lebih mendalam perlu diatur supaya ia tidak menjadi kerugian di mana-mana pihak. Kedua, adalah lebih baik perbincangan dibuat dengan para profesor bahasa Inggeris di negara ini bersama kesatuan dan kementerian dan apa keputusan dibuat selepas itu sudah pasti akan menguntungkan kerajaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran bahasa itu.

Najib yang berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari bermula semalam, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini

Di bawah program dengan AS itu, Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) dari negara itu ditempatkan di beberapa sekolah terpilih seluruh negara khususnya di luar bandar.

Hashim turut mencadangkan supaya guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara diambil bagi mengajar bahasa itu berikutan mereka dari budaya dan latar belakang sama serta mengetahui kaedah untuk mengajar pelajar Malaysia.

“Diharap (cadangan itu) tidak akan dilaksanakan kerana ia sangat merumitkan. Budak-budak akan menjadi bahan uji kaji dan ini tidak sihat kepada pelajar yang ingin mendapatkan pelajaran bahasa Inggeris daripada orang yang berlainan punca dan latar belakang,” katanya.

Beliau juga berkata adalah memadai dengan guru-guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat untuk mengajar bahasa itu di negara ini kerana jika dicampuradukkan, bukan sahaja menjadi beban kepada pelajar tetapi juga sistem pendidikan negara.

Bagaimanapun, katanya bayaran untuk memanggil guru-guru yang telah bersara untuk mengajar bahasa Inggeris juga perlu setimpal dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bahasa tersebut.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula mencadangkan supaya kerajaan mengambil guru bahasa Inggeris dari England jika kerajaan mempunyai peruntukan untuk mengambil guru dalam bahasa itu dari luar.

 “Guru bahasa Inggeris Fullbright itu ok sebab Amerika Syarikat dan aksen mereka boleh terima, tetapi aksen orang dari India pekat. Kita rasa kalau betul nak membantu pelajar, jika bajet itu ada, kenapa kita tak ambil guru bahasa Inggeris dari England.

“Sebab kita dulu belajar bahasa Inggeris daripada orang Britain sebab itu kita berterusan macam ini,” katanya.

Beliau juga berkata jika kerajaan mahu mendapatkan kepakaran daripada negara berkenaan, adalah lebih baik guru dalam bidang sains dan matematik diambil berikutan itu adalah kepakaran mereka.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyambut baik cadangan tersebut berikutan sejarah awal pendidikan bahasa Inggeris di negara ini pada akhir abad ke-19 didominasi guru-guru dari India yang dibawa penjajah untuk mengajar di sekolah mubaligh dan sekolah bahasa Inggeris di negara ini.

“Daripada sejarah yang dilihat, mereka banyak memberi perkhidmatan dalam bidang pendidikan terutama ramai lepasan sekolah mubaligh menjadi pemimpin dan tokoh ternama negara. Sejarah telah lama berakar umbi di negara kita.

“Jika guru-guru dari India dibawa kembali, saya rasa tidak mendatangkan masalah kerana boleh membawa kebaikan berdasarkan sejarah yang dilihat dulu,” katanya.

Beliau berkata guru yang akan dibawa masuk juga adalah guru cemerlang dan bilangan guru di India adalah 10 kali ganda daripada bilangan guru di negara ini iaitu seramai 400,000 orang dan sudah tentu kementerian mempunyai banyak pilihan untuk memilih guru terbaik untuk mengajar di negara ini.

“Di India juga, sistem pendidikan mereka lebih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan sudah tentu dari segi kepakaran tidak timbul masalah. “Jadi, atas sebab-sebab itu, saya rasa cadangan itu begitu baik untuk dilaksanakan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataannya berpendapat cadangan itu adalah langkah yang baik tetapi menegaskan terdapat beberapa masalah yang perlu ditangani sebelum pengambilan itu boleh dilakukan.

Beliau berkata antara masalah itu seperti perbezaan budaya dan sebutan bahasa Inggeris yang dituturkan oleh pendidik dari luar negara ini mungkin sukar difahami oleh pelajar Malaysia.

“Berdasarkan pengalaman saya, membawa pendidik asing mengajar bahasa Inggeris ia adalah usaha yang baik, tetapi mereka mesti diberi taklimat tentang budaya tempatan dan tingkah laku pelajar. “Sebagai contoh, sebahagian pensyarah Barat yang pernah mengajar di sini memberi komen pelajar Malaysia sangat pasif di dalam kelas kerana tidak bercakap. “Tetapi mereka gagal menyedari bahawa pelajar Asia lazimnya kurang lantang berbanding pelajar Barat disebabkan hakikat bahawa pandangan pengajar harus dihormati dan tidak dicabar,” katanya.

Justeru katanya, malu atau takut diejek oleh rakan-rakan mereka adalah antara sebab mengapa mereka berbuat demikian. “Bagaimanapun, langkah pengambilan tenaga pengajar asing tidak berpanjangan di masa depan kerana kosnya yang tinggi. Ia hanya sebagai langkah sementara. Lebih ramai guru bahasa Inggeris harus dilatih untuk mengelak kita daripada terlalu bergantung kepada orang luar,” katanya.

- BERNAMA

Friday, December 21, 2012

Renungan: Apakah Kunci Syurga Itu

Artikal Mausu’ah al-Qishash al-Waqi’ah dipetik dan sedikit olahan dan rujukan dibuat ini amat menarik dan bagus untuk diikuti. Walaupun dikatakan terdapat perbezaan versi cerita disampaikan tapi apa yang penting adalah manfaat yang boleh diambil bagi yang membacanya:

Kisahnya bermula apabila terdapat seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan kuliahnya di Amerika. Selain belajar, dia juga seorang pendakwah Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberi hidayah rakannya masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Rakannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula-mula dia keberatan, namun kerana desakan rakannya itu, akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku sebagaimana kebiasaan mereka yang lain.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terkejut ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, 'Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini.' Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berulang kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, 'Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya.' Barulah pemuda ini bergerak keluar.

Di ambang pintu keluar, pemuda itu berhenti dan bertanya kepada paderi, 'Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang Muslim?' Paderi itu menjawab, 'Dari tanda yang terdapat di wajahmu.'

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan kehadiran pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut. Pemuda Muslim itupun bersetuju menerima pertanyaan tersebut.

Paderi berkata, 'Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat.' Si pemuda tersenyum dan berkata, 'Silakan!' Sang paderi pun mulai bertanya;

1.     Sebutkan satu yang tiada duanya.
2.     Dua yang tiada tiganya.
3.     Tiga yang tiada empatnya.
4.     Empat yang tiada limanya.
5.     Lima yang tiada enamnya.
6.     Enam yang tiada tujuhnya.
7.     Tujuh yang tiada lapannya.
8.     Lapan yang tiada sembilannya.
9.     Sembilan yang tiada sepuluhnya.
10.  Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh.
11.  Sebelas yang tiada dua belasnya.
12.  Dua belas yang tiada tiga belasnya.
13.  Tiga belas yang tiada empat belasnya.
14.  Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai roh!
15.  Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya?
16.  Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam syurga?
17.  Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya?
18.  Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!
19. Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api siapakah yang terpelihara dari api?
20. Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?
21. Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar!
22. Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah. Setelah membaca 'Bismillah...' dia berkata;
  • Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t.
  • Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, 'Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami).' (Al-Isra': 12).
  • Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.
  • Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran.
  • Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.
  • Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.
  • Tujuh yang tiada lapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, 'Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.' (Al-Mulk: 3).
  • Lapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, 'Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung 'Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka.' (Al-Haqah: 17).
  • Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu'jizat yang diberikan kepada Nabi Musa iaitu: tongkat, tangan, belalang, kutu, katak, darah, topan,laut, dan gunung.
  • Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t. berfirman, 'Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat.'(Al-An'am: 160).
  • Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah saudara Nabi Yusuf.
  • Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu'jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, 'Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, 'Pukullah batu itu dengan tongkatmu.' Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. (Al-Baqarah: 60).'
  • Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.
  • Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai roh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. berfirman, 'Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing.' (At-Takwir: 18).
  • Kuburan yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.
  • Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam surga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, 'Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala.' Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, 'Tak ada cercaan terhadap kamu semua.' Dan ayah mereka Ya'qub berkata, 'Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.' (Yusuf:98).
  • Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah s.w.t. berfirman, 'Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai.' (Luqman: 19).
  • Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.
  • Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim.. Allah s.w.t. berfirman, 'Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim..' (Al-Anbiya':69).
  • Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).
  • Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya Wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t. 'Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.' (Yusuf: 28).
  • Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian pemuda itu pun mula hendak pergi. Namun dia menangguhkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan itu disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata, 'Apakah kunci syurga itu?'

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekhuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata, 'Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!'

Paderi tersebut berkata, 'Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah.'

Mereka menjawab, 'Kami akan jamin keselamatan anda.'

Paderi pun berkata, 'Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah , Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.'

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa.

Wallahualam.

Thursday, December 20, 2012

Ambil Guru Bahasa Inggeris Dari India?

NEW DELHI: Malaysia berminat untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran itu di tanah air, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Salah satu cadangan yang saya telah bawa untuk pertimbangan kepada Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh pada pagi tadi ialah untuk kita menerima sejumlah guru-guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar pelajar-pelajar kita di Malaysia," katanya.

Beliau berkata Manmohan menyambut baik cadangan itu dan akan mengarahkan menteri yang berkenaan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran untuk merealisasikan hasrat itu.

"Ia sebagai menokok tambah usaha-usaha yang kita telahpun jalankan dengan pihak Amerika Syarikat yang telah menghantar sebanyak 75 guru dari sana untuk mengajar Bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita Malaysia selepas mesyuarat dua hala selama 30 minit dengan Manmohan di sini, pada Khamis.

Ditanya bila penyumberan guru itu akan bermula, Najib berkata :"Kami akan bincangkannya kemudian. Perlu ada perjanjian terlebih dahulu. Kemudian saya perlu rujuk kepada Kementerian Pelajaran dan ia bergantung kepada terma dan syarat, kami akan rumuskannya dan beritahu jumlahnya kemudian."

Turut hadir pada mesyuarat dua hala itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Tan Seng Sung.

Malaysia mahu kerjasama dengan India bersifat pelbagai dan komprehensif, kata Najib yang berada di New Delhi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India selama dua hari bermula Khamis.

"Memandangkan bahawa mereka menghantar begitu ramai pelajar-pelajar mereka ke luar negara, ada kemungkinan mereka boleh melihat pada Malaysia sebagai alternatif untuk menghantar pelajar-pelajar mereka.

"Malaysia juga perlu adakan lebih banyak promosi "Pameran Pendidikan" dan sebagainya kerana mereka kurang pengetahuan mengenai kemampuan kita menyediakan pendidikan berkualiti dengan kos yang begitu kompetitif", kata Najib.

- BERNAMA

Tip dan Kisah Pelajar Cemerlang PMR 2012

IPOH: Rajin, usaha dan semangat untuk berjaya menjadi pendorong kepada calon yang menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini mengukir nama sebagai pelajar cemerlang di seluruh negara.

Seorang pelajar Orang Asli, Shamien A/P Seliman, merupakan satu-satunya calon Orang Asli di negeri ini yang memperoleh keputusan cemerlang apabila mendapat keputusan 7A iaitu mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.

Berketurunan Semai dari Kampung Tembuh Hangat, Seri Iskandar, Shamien berkata walaupun perlu membantu bapanya berniaga di gerai makan, beliau tetap mencuri masa mengulang kaji pelajaran.

"Saya berada dalam kelas tercorot ketika di tingkatan satu dan tingkatan dua, tetapi ini tidak menjadi penghalang saya untuk berusaha gigih untuk berjaya.

"Saya banyak mengambil masa merujuk kepada rakan-rakan dari kelas lain selain belajar ketika di rumah, selain itu saya juga ada mengambil kelas tambahan yang diadakan oleh pelajar dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) di kampung saya," katanya.

KUALA TERENGGANU: Kesusahan dan keperitan hidup tidak menjadi penghalang kepada Izzat Razman Mohd Azmi Ararwat dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini untuk memperoleh keputusan 8A.

Menurut pelajar yang berasal dari Kampung Padang Luas Besut itu, melihat kepayahan yang terpaksa ditanggung ibunya sebagai seorang pengasuh kanak-kanak untuk menyara dan memberikan yang terbaik kepada mereka empat beradik menjadi kekuatan untuknya mengubah nasib keluarganya.

"Ayah meninggal masa umur saya enam tahun dan selepas itu saya selalu melihat emak terpaksa bekerja keras untuk membesarkan kami. Namun itu bukanlah alasan untuk saya gagal dalam pelajaran bahkan kesusahan itulah yang mendorong saya untuk bersaing bersama rakan-rakan yang lain," katanya yang bercita-cita menjadi doktor gigi.

Ketika ditanya rahsia kejayaan anak bongsu daripada empat beradik ini menjelaskan dia hanya mengikuti kelas tambahan yang dibuat oleh pihak sekolah selain memberi tumpuan di dalam kelas dan mengulangkaji pelajaran.

Sementara itu Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Meriam Jusoh berkata seramai 88 daripada 104 calon itu berjaya memperoleh keputusan 8A dan ia sekaligus meletakkan sekolah itu sebagai sekolah terbaik di Terengganu.

BESUT: Sepasang pelajar kembar muncul antara pelajar cemerlang di daerah ini apabila mereka antara 171 calon yang memperoleh semua A dalam keputusan PMR.

Iman Zulaikha Kamarul Zaman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud dan adiknya Iman Syuhada kedua-duanya perempuan antara 63 pelajar sekolahnya yang berjaya memperoleh 8A.

Ketika ditemui di majlis pengumuman keputusan di sekolahnya hari ini, Iman Zulaikha memberitahu beliau dan adiknya berasa bangga kerana usahanya belajar secara bersama sejak 6 bulan yang lalu telah membuahkan hasil pada hari ini.

"Kami sering membantu dalam pelajaran antara satu sama lain dan saya berharap kami berdua berjaya menjejakkan kaki ke menara gading," katanya dan menambah mereka bercita-cita mahu bergelar doktor.

GEORGE TOWN: Tiada apa yang menggembirakan lapan sekawan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, apabila kejayaan memperoleh semua A dalam PMR dapat dikongsi bersama-sama.

Muhammad Amirul Mohamad Anwar, Nufail Azzfarhan Rozley dan Muhammad Ariff Abd Wahid yang mendapat 8A, manakala M.Hariharan, B.Ganesha, P.Kaveenesh, S.Arravinnath, P.Nivashen, masing-masing memperoleh 7A (mengambil tujuh mata pelajaran), bersorak kegembiraan apabila mengetahui kesemua mereka mendapat keputusan cemerlang.

"Kami selalu buat ulang kaji bersama-sama. Belajar secara berkumpulan ini memang membantu dan saya rasa lebih mudah dapat apabila kita belajar secara berkumpulan," kata P.Nivashen sambil disokong rakan-rakannya.

KUALA SELANGOR: Usaha tiga sahabat baik yang sering bergilir-gilir menjadi 'guru tuisyen' setiap kali mengulang kaji pelajaran membuahkan hasil apabila kesemua mereka mendapat keputusan cemerlang 8A dalam PMR.

Luqman Hakim Daim, Alif Asyraf Amin dan Mohamad Aiman Arif Mohamat Saat, pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor di sini masing-masing berperanan sebagai guru tuisyen bagi subjek tertentu ketika belajar bersama.

"Masing-masing ada kekuatan dalam sesuatu subjek yang diambil, saya Geografi, Aiman lebih kuat dalam subjek Sains manakala Alif mahir Matematik, jadi kami saling membantu," kata Luqman Hakim yang ditemani dua rakannya itu ketika ditemui Bernama di sini.

Bagi Mohd Aiman Arif, belajar berkumpulan lebih berkesan kerana sesi perbincangan dan 'brain storming' dapat dilakukan sekiranya terdapat kekeliruan pada sesuatu subjek yang diambil.

Alif Asyraf pula berkata mereka akan mengunyah kismis ketika sesi perbincangan selain tidak mengambil organ dalaman sebagai makanan di samping bersarapan setiap hari sebelum ke kelas.

"Pastikan selalu meminta maaf daripada kedua ibu bapa dan guru, dan memohon restu mereka supaya kita lebih tenang dan ilmu yang dipelajari akan diberkati," kata Alif Asyraf yang turut gembira apabila sekolah itu muncul sekolah yang mencatat peratus lulus terbaik (lulus semua subjek) dengan 100 peratus calonnya lulus PMR.

Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim berkata daripada 78,665 calon yang menduduki PMR di Selangor tahun ini, 6,739 mendapat keputusan semua A iaitu kurang 832 calon berbanding keputusan 2011.

KUCHING: Usaha gigih dengan menyediakan jadual waktu pembelajaran untuk persiapan PMR, membuahkan hasil bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Agama Ahmad Zaidi Muhd Danial Putra.

Dia antara 63 pelajar cemerlang di sekolahnya yang memperoleh 9A bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.

"Saya sediakan jadual waktu belajar bagi membolehkan saya belajar secara tersusun dan mempunyai masa untuk rehat dan berseronok selain mengambil kelas tambahan bagi memantapkan lagi pemahaman saya terutama bagi subjek English dan Bahasa Malaysia," katanya kepada Bernama di sini.

Bercita-cita bergelar saintis, Muhd Danial berkata dia berterima kasih kepada keluarganya yang memberi sokongan moral dan galakan agar cemerlang dalam pelajaran selain bimbingan guru-guru sekolahnya.

KUALA LUMPUR: Kegembiraan turut dikongsi pelajar Victoria Institution, Ahmad Imran Zainal Rashid, apabila diberitahu mendapat keputusan cemerlang.

Dia yang tidak pernah lulus peperiksaan matematik, terkejut apabila diberitahu mendapat keputusan 8A.

"Selepas ini saya akan memberi tumpuan di dalam kelas dan berharap akan menjadi pelajar yang lebih cemerlang," katanya.

Sementara itu, Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) pula seramai 72 daripada 121 pelajarnya memperoleh 8A dan ke atas.

Apabila dihubungi Penolong Kanan SMAKL Mek Emas Abdullah memberitahu Bernama walaupun mencatatkan sedikit penurunan dalam keputusan PMR tahun ini, tetapi sekolah itu masih memperoleh kelulusan 100 peratus dan akan meneruskan tradisi untuk mendapatkan keputusan cemerlang PMR tahun depan.

- BERNAMA

Wednesday, December 19, 2012

Gambar: Kemalangan Pelik Tapi Benar


Pelik rasanya apabila melihat gambar-gambar kemalangan ini. Gambar-gambar ini juga kelihatan lawak walaupun ia juga dilihat munasabah sekiranya kita tidak berhati-hati.

Oleh itu berwaspadalah setiap ketika. Malang memang tidak berbau! Layanlah gambar-gambar seterusnya.














30,474 Calon PMR 2012 Dapat A Dalam Semua Mata Pelajaran


KUALA LUMPUR: Seramai 30,474 atau 6.92 peratus daripada 481,424 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012, mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan Datuk Dr Amin Senin berkata ini menunjukkan penurunan 0.85 peratus berbanding pencapaian tahun lepas yang merekodkan seramai 34,271 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Bagaimanapun jumlah calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 346 orang (0.08 peratus) pada tahun lepas kepada 241 orang (0.05 peratus) tahun ini," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2012, di Putrajaya pada Rabu.

Amin berkata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), tujuh mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu, Pendidikan Kesenian, Bahasa Tamil dan Bahasa Punjabi menunjukkan peningkatan prestasi, manakala sepuluh yang lain menunjukkan penurunan prestasi.

"Bahasa Melayu menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 0.04 mata, namun prestasi Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik menunjukkan penurunan masing-masing 0.12 mata, 0.02 mata dan 0.01 mata," katanya.

- BERNAMA

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi