Monday, September 24, 2012

PPD Tonggak Kejayaan Pendidikan Negara

KUALA TERENGGANU, 24 Sept (Bernama) -- Peranan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) akan lebih mencabar sebagai pendukung bagi merealisasikan pelan transformasi pembangunan pendidikan negara, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin.

Menurut beliau peranan PPD kini sudah berubah dan tidak lagi terbatas hanya kepada aspek akademik lebih-lebih lagi dengan adanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Bagi mengukuhkan dan memantapkan profesionalisme pendidikan, PPD akan membantu pengetua sekolah, program dan dasar kementerian.

"Sebab itulah, kita buat program pemantapan PPD ini bagi mengukuhkan peranan mereka," katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemantapan Profesionalisme PPD peringkat kebangsaaan di sini Isnin.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan kepada guru dan tumpuan kepada kemahiran asas.

-- BERNAMA

Sunday, September 23, 2012

DIMANA TAHAP NILAI KERJA BUAT KITA

Tidak terlewat sekiranya saya berkongsi pengalaman, dimana saya diarah mewakili pentadbiran sekolah tempat bertugas ke Taklimat Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang diadakan di semua daerah negeri Terengganu. Bagi daerah Kuala Terengganu diadakan pada Khamis 20 September 2012, bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Kompleks Mengabang Telipot (rujuk surat).

  Surat Taklimat PBS - Klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas
 
Untuk pengetahuan, surat yang dikeluar oleh Jabatan Pelajaran Terengganu dan ditandatangani sendiri oleh pengarah Pelajaran Negeri Terengganu ini mewajibkan  pentadbir sekolah hadir ke taklimat tersebut tetapi oleh kerana Guru Besar bercuti, manakala GPK Pentadbiran pula sibuk dengan urusan pertukaran beliau, saya pula dikerah ke taklimat tersebut.

Di sini bukan isu mengganti tempat pihak pentadbiran sekolah yang ingin saya ketengahkan tapi cara pihak yang mengendalikan taklimat tersebut agak tidak profesional di mana setelah mengambil masa perjalanan lebih kurang 45 minit untuk ketempat tersebut barulah diketahui taklimat tersebut dibatalkan. Di sini menunjukkan tiadanya perancangan teliti bagi menjalankan sesuatu program tersebut. Dimana letaknya integriti dalam melaksanakan tugasan pihak yang menguruskan taklimat tersebut. Andai memang terdapat halangan dalam melaksanakan taklimat ini disaat akhir, rasanya di zaman yang serba kemudahan ini, mungkin boleh memaklumkannya dengan lebih awal.

Saya percaya, pembatalan ini telah dibuat lebih awal, memandangkan pihak jabatan juga menyediakan minum pagi dan makan tengahari, sudah tentu pembatalan ini dimaklumkan lebih awal kepada pihak yang menguruskan makan minum.

Setelah pembatalan tersebut, saya terpaksa pula bergegas ke sekolah bagi meneruskan sessi P&P yang masih sempat untuk saya laksanakan pada hari tersebut.  Manakala bagi kelas yang tertinggal saya terpaksa memohon maaf kepada pelajar atas ketidak hadiran saya ke kelas mereka (walaupun mungkin ada guru yang menggantikan kelas saya).

Saya percaya, jika seseorang itu tiada komitmen sudah pasti mereka yang pergi ke taklimat tersebut pulang ke rumah sahaja setelah taklimat dibatalkan.  Terdapat juga guru yang berkata, jika keadaaan itu berlaku terhadap mereka, sudah tentu mereka tidak akan lagi hadir ke sekolah pada hari itu.  Bagi saya kehadiran saya semula ke sekolah bukan kerana sesiapa, tapi rasa bersalah dan amanah untuk laksanakan tanggungjawab terhadap pelanggan saya iaitu murid-murid saya.

Kesimpulan yang boleh saya ambil, di pihak jabatan perlulah membuat kerja lebih terancang dan profesional kerana kesilapan kita akan membuka ruang untuk orang yang kurang integriti mengambil kesempatan atas kelemahan kita. Mohon maaf juga kepada pihak-pihak terbabit, moga tulisan saya ini diterima secara positif untuk pengajaran kita semua.

Wassalam.

Cuepacs Harap Kerajaan Tambah ITP Penjawat Awam


KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menambah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada penjawat awam dalam belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata ini perlu kerana kos perumahan kini khususnya di bandar raya amat tinggi.

"Di kawasan bandar raya apabila wujudnya projek perumahan baharu, timbul masalah di mana orang yang berkemampuan sahaja yang dapat membeli rumah," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap bahagian cukai pendapatan tidak memotong cukai penjawat awam untuk satu jumlah yang besar sekali gus.

Sebagai contoh, katanya ketika penjawat awam mendapat kenaikan gaji 13 peratus baru-baru ini, cukai pendapatan dipotong antara RM600 hingga RM1,000 dan ini amat membebankan penjawat awam seolah-olah mereka tidak mendapat pelarasan gaji.

Lok berkata menerusi belanjawan itu juga penjawat awam bagi kumpulan yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun berharap dapat diberi pelepasan cukai.

-- BERNAMA

Tuesday, September 11, 2012

Guru Akan Dijadikan Profesion Berprestij

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara - mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan.

Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

-- BERNAMA

Monday, September 10, 2012

Friday, September 7, 2012

Kaedah Temuduga Mungkin Diguna Pakai Pilih Pelajar Ke IPTA

SHAH ALAM, 6 Sept (Bernama) -- Kaedah temuduga mungkin dilaksanakan secara meluas bagi pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila persaingan menjadi sengit berikutan peningkatan jumlah pelajar cemerlang, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA kini dibuat menerusi komputer dengan 90 peratus berdasarkan pencapaian akademik sementara baki 10 peratus berdasarkan aktiviti ko-kurikulum, katanya.

Menurut Mohamed Khaled setakat ini, hanya dua IPTA menggunakan kaedah temuduga iaitu Universiti Sains Malaysia manakala Universiti Malaya menemuduga pelajar bagi kursus-kursus tertentu.

"Kemungkinan kita lakukan perkara yang sama, ketika ini, untuk secara meluas saya belum nampak, tetapi mungkin satu hari kelak bila persaingan menjadi semakin sengit pencapaian pelajar cemerlang semakin banyak," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dengan pelajar baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.

-- BERNAMA

Thursday, September 6, 2012

Kurikulum baharu sejarah sekolah menengah sedang dirangka

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Kerajaan sedang merangka kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah untuk pelajar sekolah menengah dalam usaha melahirkan warganegara yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha itu dijalankan dengan berpandukan kepada perakuan-perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

“Kerajaan memberi perhatian khusus terhadap kandungan kurikulum mata pelajaran Sejarah di sekolah. Laporan (Jawatankuasa Khas) telah kami terima, InsyaAllah kami akan laksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-57 Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah, di sini hari ini.

Jawatankuasa Khas yang ditubuh pada Mei 2011 itu dianggotai 10 pakar sejarah dan dipengerusikan Tan Sri Omar Mohd Hashim yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM.

Jawatankuasa Khas itu berfungsi untuk mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah bagi memastikan ia mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cinta akan tanah air dan sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Negara Malaysia.

 — Bernama

Friday, August 31, 2012

Friday, August 17, 2012

SALAM AIDIL FITRI 2012


Sempena 1 Syawal yang bakal menjelang tiba, admin ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam yang menyambutnya. Semoga anda bergembira berjumpa sanak saudara dan mengeratkan lagi silaturrahim.

Dengan pertambahan kenderaan dimusim perayaan ini, jalan raya pasti sesak oleh itu berhati-hatilah ketika memandu. Patuhilah segala peraturan jalan raya demi keselamatan anda, keluarga dan orang lain.

Buat semua pelajar yang akan menduduki UPSR 2012, di samping keterujaan menyambut hari raya yang jatuh pada masa cuti persekolahan ini, jangan lupa untuk mengulangkaji pelajaran. Ingat raya boleh saja disambut banyak kali tapi UPSR hanya sekali!

Mata kadang-kadang salah melihat,
Lidah kadang-kadang salah berucap,
Hati kadang-kadang salah menduga,
Maaf andai ada salah dan silap.
SELAMAT  HAR RAYA

Tuesday, August 14, 2012

Keputusan SPM Ulangan Khamis Ini

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara.

-- BERNAMA

Saturday, August 11, 2012

Permohonan Masuk Politeknik Sesi Disember 2012

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Borang permohonan memasuki politeknik Kementerian Pengajian Tinggi bagi sesi Disember tahun ini akan mula dijual pada 13 Ogos ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar (K) Md Nor Yusof berkata sebanyak 20,500 tempat ditawarkan di 30 politeknik seluruh negara bagi pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sijil politeknik kementerian itu.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 23 Sept, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata para pelajar boleh memperoleh nombor pin di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional dengan harga RM10.60 dan membuat permohonan secara online di www.politeknik.edu.my.

"Pelajar yang telah membeli nombor pin untuk kemasukan sesi Jun 2012 tetapi gagal untuk mendapat tempat di politeknik, boleh menggunakan nombor pin yang sama untuk memohon semula bagi sesi Disember ini," katanya.

-- BERNAMA

Friday, August 3, 2012

Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Januari 2012," katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya.

- Bernama

Monday, July 30, 2012

MARKAH PRA PERCUBAAN JADI MARKAH PERCUBAAN UPSR


Saya telah meninjau laman SAPS (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah), di dalam laman tersebut tercatat pengumuman penting dimana  tertulis 20/07/2012 Pengisian markah untuk Percubaan UPSR telah dibuka. Tarikh akhir memasukkan data adalah pada Jumaat 10/08/2012.”

Merujuk pengumuman tersebut, yang menjadi isu di sini adalah tarikh buka pengisian markah bagi Peperiksaan Percubaan UPSR  adalah 20/07/2012 dan tarikh tutupnya pula adalah 10/08/2012, sedangkan Peperiksaan Percubaan UPSR bagi negeri Terengganu masih belum dijalankan lagi.

Tarikh Peperiksaan Percubaan UPSR 2012 bagi negeri Terengganu seperti surat yang diemelkan adalah bermula 07/08/2012 hingga 09/08/2012 (rujuk gambar keratan emel dibawah). Maka untuk pengisian markah atau untuk tidak ketinggalan bagi pengisian markah Percubaan UPSR di dalam SAPS, saya telah dimaklumkan oleh Penyelaras UPSR Sekolah yang mendapat arahan lisan sahaja semasa menghadiri Program Pelaporan OTI3-Pra Percubaan bertempat BTPN Terengganu pada 26 Julai 2012 baru-baru ini supaya mengambil markah Pra Percubaan untuk diisi sebagai markah Percubaan UPSR dalam SAPS tersebut! 
Tarikh Peperiksaan Percubaan UPSR bagi negeri Terengganu 
(klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas)

Justeru itu, cuba kita bayangkan jika ibu bapa yang prihatin menyemak di bahagian SEMAKAN IBU BAPA dalam SAPS, sudah pasti markah bagi Peperiksaan Percubaan UPSR tidak menepati markah sebenar yang diperolehi oleh anak-anak mereka di dalam Peperiksaan Percubaan UPSR sebenar. Tidakkah situasi ini boleh dijadikan isu oleh ibu bapa berkaitan kerja buat kita?

Ibu bapa boleh menyemak markah peperiksaan anak-anak mereka di sini setelah siap dibuat pengesahan oleh pihak berkenaan (klik pada gambar untuk ke laman SAPS)

Di sini, saya tidak mahu menyentuh cara kerja pihak berkenaan di peringkat JPNT tetapi saya berharap dan mencadangkan pihak berkenaan boleh menyesuaikan atau menyusun semula tarikh peperiksaan tersebut dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya pengisian SAPS bagi negeri Terengganu berjalan selaras dengan jadual yang ditetapkan oleh KPM atau pihak yang mengendalikan SAPS.

Teguran ikhlas ini adalah sebagai keprihatinan saya sebagai penyelaras SAPS peringkat sekolah dan diharap ia diterima secara positif. Kita semua mengharapkan kecemerlangan, justeru itu diharap kerja buat kita juga menunjukkan ciri kecemerlangan selaras dengan hasrat yang kita inginkan. Wassalam.
 

Friday, July 27, 2012

Maklum Balas Akhbar: "JPA Lengah Naik Gred Guru"

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil maklum dan prihatin di atas perkara yang dibangkitkan oleh Hashim Adnan, Presiden NUTP agar JPA menaikkan gred 400 guru yang memperoleh ijazah melalui Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Gred DGA32 dan DGA29 kepada Gred DG41 seperti yang dinikmati 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS).

Untuk makluman, Program Pensiswazahan Guru (PPG) adalah merupakan isu Pertukaran Pelantikan kerana ia melibatkan dua skim perkhidmatan yang berbeza dan bukannya kenaikan gred guru. Isu pelantikan guru adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Pihak JPA hanya terlibat dengan keperluan pewujudan jawatan dan tidak terlibat dengan proses pelantikan guru.

Sehingga 23 Julai 2012, JPA telah meluluskan sebanyak 7,975 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) pelbagai Gred ke jawatan PPPS Gred DG41 di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkuat kuasa 2 Oktober 2010 . Pewujudan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 adalah bagi menampung keperluan penempatan PPPLD yang telah tamat dan memperoleh ijazah di bawah Dasar Pensiswazahan Guru secara PJJ yang dilaksanakan oleh KPM. Kelulusan tersebut telah menyelesaikan isu guru yang telah memperolehi ijazah sebelum tahun 2010 sehingga Disember 2011 dan telahpun lulus temu duga dan diperaku oleh SPP untuk dilantik sebagai PPPS Gred DG41.

Berhubung isu 400 guru yang telah tamat pengajian dan belum diluluskan kenaikan gred oleh JPA dan KPM, KPM kini sedang mendapatkan maklumat daripada NUTP berkaitan sumber data 400 guru tersebut termasuk mengemukakan senarai nama penyandang ke KPM. Untuk makluman sehingga kini, JPA masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM bagi menukar ganti jawatan berhubung kohort baharu guru yang telah tamat PPG.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
26 Julai 2012

Sumber: Jabatan PerkhidmatanAwam (JPA)

KITA TERLALU BANYAK ALASAN

Apakah punca kegagalan? Punca paling besar adalah selalu membuat alasan. Jadi, penyakit yang selalu ada dalam kalangan orang yang gagal adalah orang yang selalu beralasan untuk berjaya dan melaksanakan tugasnya.

Tahukah anda bahawa orang yang bijak tidak menggunakan alasan yang sama yang dibuat oleh orang yang gagal walaupun mereka boleh melakukannya. Kadang-kadang, mereka juga sakit, keletihan, buntu dan tiada idea tetapi mereka tidak menjadikan perkara ini sebagai penamat atau penghalang daripada terus berusaha sebaliknya mereka menjadi lebih ghairah untuk mencari penyelesaiannya.

Suatu perkara yang lebih buruk lagi, orang yang selalu beralasan dengan sesuatu alasan, katakanlah dia selalu beralasan bahawasanya dia tidak sihat, maka sebenarnya dia telah memfokuskan dirinya dalam keadaan sakit dan tidak bermaya. Walaupun, dia tahu itu hanyalah alasan yang dibuat pada sesuatu ketika tetapi dia lupa bahawasanya perkara itu sedang berakar umbi dalam dirinya. Seluruh tubuh sedang berusaha untuk menjadikan dirinya lemah dan tidak bermaya kerana dia telah memikirkan demikian.

Apakah alasan yang sering orang gagal gunakan ?

1. Saya tidak sihat - Ini alasan yang paling banyak sekali digunakan. Bayangkan, kita banyak gunakan alasan ini dan hasilnya kita tidak ke kelas atau tempat kerja berhari-hari. Katakanlah dalam setahun, kita telah menggunakan alasan ini 5 kali bermakna kita telah menghabiskan diri masa kita untuk berada dalam alasan ini selama 5 hari. Dan 5 hari bermakna 5 x 24 jam = 120 jam. Lama tu!

Apakah sakit yang bermasalah? Tidak. Sakit tidak bermasalah tetapi yang bermasalah adalah menggunakan alasan sakit untuk duduk dan berbaring semata-mata tanpa melakukan apa-apa kerja. Anggapkan hari sakit anda seperti hari-hari biasa. Lakukan kerja harian seperti biasa dan abaikan fikiran kita daripada mengingati sakit. Jangan bercakap dengan orang lain tentang sakit dan keadaan anda kerana ianya hanyalah menambahkan lagi kesakitan dan anda lebih tidah bermaya. Syukurlah dengan apa yang anda hadapi sekarang. Berapa lama anda mengecapi nikmat kesihatan sebelum Allah berikan kesakitan? Pastinya kesakitan ini hanyalah sekejap jika dibandingkan dengan kesihatan.

2. Saya tidak cukup pandai - Ini adalah sikap orang yang terlalu merendah diri. Puncanya, anda terlalu memandang rendah terhadap keupayaan diri sendiri dan memandang tinggi keupayaan orang lain. Pandanglah diri kita sebagai insan yang luar biasa dan mempunyai kemampuan yang istimewa yang belum kita cungkilkan lagi. Cari peluang untuk mencungkil bakat yang terpendam itu.

Ingatlah bahawa ilmu bukanlah kuasa atau penyebab seseorang itu berjaya kerana ramai orang yang berilmu tetapi tersungkur di tengah jalan menuju kejayaan. Ilmu adalah potensi kuasa sahaja, sebaliknya yang menjadikannya berkuasa adalah mengaplikasikan ilmu.

3. Saya terlalu muda/ tua - Faktor umur dalam menggapai kejayaan adalah tidak penting. Semua orang mampu berjaya. Tiada istilah terlewat dalam berjaya. Selagi mana anda ada keinginan untuk berjaya maka anda mampu melakukannya. Ramai orang muda yang mengetuai organisasi yang kebanyakan ahlinya adalah orang tua. Yang penting bukan tua atau muda tetapi bagaimana anda menguruskannya dan menghargai orang lain yang lebih tua daripada anda.

4. Saya sentiasa bernasib malang - Siapakah yang tahu nasib anda? Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apakah kerja anda? Usaha dan tawakkal kepada Allah s.w.t. Mengharapkan nasib semata-mata adalah seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba.

Buatlah perubahan. Pasti di sana ada sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki. Tingkatkan diri anda kepada yang lebih baik. Banyakkan membaca dalam bidang yang diceburi serta buat sedikit kajian tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri dalam bidang tersebut serta kelebihan dan kekurangan pihak lain. Insya Allah, pastinya anda akan mendapat peluang yang diharapkan.

Kesimpulannya, janganlah beralasan walaupun alasan itu benar kerana ia hanyalah melemahkan diri anda. Positif dalam berfikir dan bertindak. InsyaAllah, anda pasti berjaya. Jauhilah hati dari disaluti sifat malas!

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi