Thursday, April 26, 2012

PELAJAR BOLEH MOHON TANGGUH PLKN


KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan meneruskan pengajian di tingkatan enam atau program matrikulasi bermula Mei ini boleh memohon penangguhan bagi mengikuti PLKN Kumpulan 2 Siri 9/2012.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata bakal pelatih berkenaan bagaimanapun perlu mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi di kaunter khidmat pelanggan JLKN atau dimuat turun dari laman web rasmi JKLN www.khidmatnegara.gov.my

Beliau berkata setelah borang tersebut dilengkapkan, ia hendaklah dikepilkan bersama surat tawaran kemasukan ke tingkatan enam atau program matrikulasi sebelum dihantar ke Cawangan Pengecualian dan Penangguhan, Bahagian Pengurusan Pelatih, JLKN.

"Penangguhan sehingga tamat tempoh pengajian akan diberikan kepada pemohon. Bagi mereka yang akan menyambung pengajian selepas tamat tempoh penangguhan tersebut, mereka perlulah mengisi Borang Permohonan Pembaharuan Penangguhan melalui proses yang sama," katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

Wednesday, April 25, 2012

POLITIK DI LUAR SEKOLAH

KANGAR: “Tak salah guru nak berpolitik, tetapi biar ia dilakukan di luar waktu sekolah,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya sebahagian besar guru menyokong pembangkang.
Beliau berkata, guru jangan terlalu asyik berpolitik sehingga anak didik di sekolah terabai dan menjadi mangsa taksub guru berkenaan.

Menurutnya, walaupun tiada halangan untuk mereka bergiat aktif dalam bidang berkenaan, ada beberapa garis panduan dan ketetapan perlu dipatuhi bukan saja sebagai pendidik, tetapi lebih besar sebagai penjawat awam.
“Kerajaan tidak menghalang, malah membenarkan mana-mana guru terutama yang berijazah bukan saja untuk bergiat aktif, tetapi turut dibolehkan memegang jawatan dalam politik.

“Namun, dua tanggungjawab terbabit tidak boleh dicampur aduk. Ini bermakna setiap urusan berkaitan politik perlu dipastikan tidak dibawa ke kawasan sekolah kerana khuatir ia menjejaskan keutamaan terhadap kualiti pendidikan,” katanya selepas ditemui sempena Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Ke-18 dan Persidangan Perwakilan Kakitangan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ke-30, di sini, semalam.

Pada majlis konvensyen tahunan bertemakan ‘Guru Besar Inovatif’ itu, ia dihadiri 417 guru besar dan pengetua daripada seluruh negara. Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Dun Kasa.
Mohd Puad berkata, tiada sebab individu berkenaan perlu berpolitik di sekolah sehingga menyebabkan pelajar menjadi mangsa dan lebih penting, guru perlu faham dasar kerajaan terutama kedudukan mereka sebagai penjawat awam.

Katanya, beliau yakin guru hari ini matang dan diharap pembabitan guru berkenaan dalam politik tidak mewujudkan suasana perpecahan terutama di kalangan warga pendidik dan pelajar di sekolah.

Sumber: myMetro

Tuesday, April 24, 2012

CADANGAN WUJUDKAN JAWATAN PENGAWAL LINTASAN SEKOLAH



KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kementerian Pelajaran telah menyediakan satu kertas cadangan bagi mewujudkan jawatan Pengawal Lintasan Sekolah (PLS) bagi melaksanakan kawalan lalu lintas di sekolah yang berisiko kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong memberitahu sidang Dewan Negara Selasa, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan itu.

"Kita berbincang dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa tempatan.

"Kertas cadangan tersebut sedang diteliti oleh pihak berkaitan sebelum dihantar ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi tujuan kelulusan pelaksanaan di sekolah-sekolah," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu.

Menjawab soalan tambahan Kong mengenai perancangan kementerian untuk menambah jumlah PLS bagi mengawasi keselamatan pelajar sekolah, Wee berkata kertas cadangan tersebut merupakan satu tindakan tepat bagi mengatasi masalah lalu lintas yang semakin teruk di kawasan sekolah.

-- BERNAMA

SIVIK & KEWARGANEGARAAN SUBJEK PEPERIKSAAN NASIONAL


KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Seorang senator hari ini mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran mengkaji untuk menjadikan subjek Sivik dan Kewarganegaraan sebagai subjek peperiksaan di peringkat peperiksaan nasional.


Senator Boon Som Inong berkata ini adalah sebagai usaha untuk menanam sifat cintakan negara dengan lebih mendalam di kalangan rakyat sejak dari peringkat sekolah selain melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia.


Beliau berkata memandangkan pelajar hanya perlu menduduki ujian subjek itu di peringkat sekolah, ia tidak diambil berat oleh pelajar dan guru seperti mata pelajaran lain yang perlu diuji dalam peperiksaan peringkat nasional seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.


"Saya berpendapat subjek Sivik dan Kewarganegaraan hendaklah diuji sebagai subjek peperiksaan.


"Justeru, saya mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran dalam usaha mengkaji semula dasar pendidikan negara agar dapat menimbangkan perkara ini," katanya ketika membahaskan ucapan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada persidangan Dewan Negara di sini.


-- BERNAMA

Saturday, April 21, 2012

DOKTOR MUDA AKAN DIWAJIBKAN DI SEKOLAH

SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan sedang dalam proses mendapatkan Surat Pekeliling Ikhtisas daripada Kementerian Pelajaran bagi mewajibkan penubuhan Kelab Doktor Muda di semua sekolah rendah.


Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kementerian juga merancang untuk memperluaskan program itu ke sekolah menengah dan perkara ini telah dirujuk kepada Ketua Pengarah Pelajaran untuk mendapatkan maklum balas.


Rosnah berkata di sini Sabtu, sehingga kini 18 peratus atau 1,392 buah sekolah rendah di seluruh negara telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan 36,000 murid sekolah tahun 4 hingga 6.


Program Doktor Muda merupakan program 'health promoting school' berbentuk pembimbing rakan sebaya mengenai ilmu kesihatan asas yang diperkenalkan sejak tahun 1989.


Bermula tahun 2006, Kementerian Pelajaran mengiktiraf program ini sebagai aktiviti kokurikulum dan kini dikenali sebagai Kelab Doktor Muda.


-- BERNAMA

RM87 JUTA BINA SEKOLAH BARU DAN BAIK PULIH

GUA MUSANG, 21 April (Bernama) -- Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM87 juta tahun ini bagi membina sekolah baru dan membaik pulih bangunan sekolah sedia ada di seluruh negara untuk memberi keselesaan kepada guru dan pelajar.


Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan memberi peruntukan besar itu setelah kementerian mendapati banyak sekolah baru diperlukan selain keadaan sekolah uzur dan perlu diperbaiki.


"Kementerian sentiasa mengambil berat mengenai perkara itu supaya setiap guru dan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuh masa kepada kecemerlangan pendidikan.


"Saya sentiasa turun padang untuk melawat mana-mana sekolah yang tidak cukup bangunan atau bangunan sedia ada yang rosak kerana kita tidak mahu masalah itu yang menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Chiku di sini.


Beliau berkata kerajaan berhasrat dapat melaksanakan pengajian sesi pagi di semua sekolah bagi membolehkan pelajar menghadiri kelas tambahan pada waktu petang.


-- BERNAMA

Friday, April 20, 2012

GURU SASARAN LEPAS GERAM

JIKA disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini.


Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum.


Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing.


Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru.


Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru?


Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?


Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu.


Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi.


“Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.


“Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam.


“Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya.


Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum.


“Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas.


“Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya.


Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu.


Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah.


“Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal.


“Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya.


“Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung.


“Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah.


“Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya.


Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara.


Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi.


Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil.


“Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai.


“Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya.


Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas.


“Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati.


“Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.


Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru.


“Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya.


Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki.


“Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua.


“Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.


Sumber: myMetro

Wednesday, April 18, 2012

SEMUA SEKOLAH DAPAT BEKALAN AIR BERSIH, ELEKTRIK TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Semua sekolah di seluruh negara akan mendapat bekalan air bersih dan elektrik yang sempurna serta mencukupi pada tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata buat masa ini sebanyak 46 projek bekalan air masih belum beroperasi kerana pelaksanaan projek bekalan elektrik belum siap sepenuhnya.


"Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian merancang untuk melaksanakan projek bekalan air bersih bagi memastikan semua sekolah di seluruh negara dibekalkan dengan air bersih," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.


Katanya sebanyak 570 buah projek bekalan elektrik di seluruh negara telah dilaksanakan di bawah RMK-9 dan RMK-10 membabitkan 42 projek di Semenanjung, Sabah (179) dan Sarawak (427).


Beliau berkata kementerian juga merancang untuk melaksanakan 1,605 projek penyelenggaraan di bawah program Pakej Ransangan Khas (PRK) 2012 di seluruh negara di bawah skop penyelenggaraan bangunan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM435 juta.


-- BERNAMA

Sunday, April 15, 2012

PERKHEMAHAN BADAN UNIFORM SK UNDANG 2012

SK Undang, K.Terengganu (SKU) telah mengadakan aktiviti Perkhemahan Badan Beruniform bermula pada 12 hingga 14 Sept. 2012 bertempat di padang SKU. Gambar aktiviti tersebut boleh dilihat dalam ruangan ALBUM SK UNDANG.

Friday, April 13, 2012

PELAJAR MEWAH JUAL PIL KUDA


BESUT, 12 April (Bernama) -- Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Jerteh, di sini yang menayang wang RM800 kepada rakan-rakannya, membongkar rahsia dia dipercayai menjual pil kuda.


Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata perbuatan pelajar itu disedari gurunya dan kerana curiga, terus melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis dalam kejadian Isnin lalu.


Katanya hasil siasatan polis, pelajar perempuan itu mengaku melakukan aktiviti sampingan membantu bekas teman lelaki menjual pil kuda di luar waktu sekolah sejak empat bulan lalu.


Gadis itu bagaimanapun menafikan menjual dadah kepada pelajar sekolah lain.


Kamaruddin berkata susulan itu, pihaknya menahan teman bekas teman lelaki pelajar berkenaan yang berumur 19 tahun dan abang lelaki itu yang berumur 34 tahun pada hari yang sama.


-- BERNAMA

Monday, April 9, 2012

PELAJAR BOLEH SERTAI POLITIK

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pelajar institusi pengajian tinggi akan dibenarkan menyertai dan menganggotai mana-mana parti politik apabila pindaan pada tiga akta berkaitan dengan peruntukan itu diluluskan Dewan Rakyat kelak.


Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan), Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) dan Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) dibentang buat kali pertama oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di persidangan Dewan Rakyat Isnin.


Pindaan itu bagi menggantikan peruntukan sedia ada yang melarang pelajar universiti menjadi anggota parti politik.


Namun, pindaan itu mencadangkan sekatan terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti parti politik di dalam kampus bagi mengekalkan keberkecualian di dalam kampus.


Antaranya ialah subseksyen 15(2) Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti, subseksyen 47(2) Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan subseksyen 10(2) Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) yang mencadangkan pelajar universiti tidak dibenar bertanding dalam pilihan raya kampus bagi atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan universiti jika pelajar itu memegang jawatan dalam parti politik.


-- BERNAMA

Friday, April 6, 2012

ULASAN ISU: PENTADBIR SEKOLAH WAJIB MAHIR ICT

Iklan pemangkuan DGA32 ke DGA34 bagi mengisi jawatan Guru Besar dan Pengelola di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan Bahagian untuk tahun 2012 akan ditutup pada 12 April 2012 nanti setelah hampir dua minggu diklankan sama ada secara langsung ke sekolah atau melalui web dan blog. Iklan berkenaan mencapai hit tertinggi di blog ini .Pelbagai bidang keperluan akan dinilai oleh panel nanti sama ada pengalaman, pengetahuan, sumbangan, anugerah dan juga kemahiran bagi memilih calon Guru Besar yang memenuhi tuntutan keperluan masa kini.


Dalam ulasan isu pada kali ini saya ingin menyentuh salah satu aspek penting penilaian ialah berkaitan "tahap kebolehan ICT" calon. Tahap yang diukur sebagaimana sedutan borang seperti di bawah:-


Sesungguhnya realiti dalam kerjabuat pengurusan harian masa kini kemahiran ICT adalah satu keperluan dan kemestian. Dalam bahasa paling mudah jika seseorang Guru Besar jahil ICT maka dia tidak layak jadi Guru Besar. Sepatutnya syarat kemahiran ICT ini menjadi "mandatori". Saya percaya panel mesti memerlukan aviden yang konkrit untuk menilai calon pada bahagian ini.

Saya berpendirian bahawa pengurus sekolah WAJIB menguasai ICT bagi menambah kecekapan pengurusan mereka. Terdapat segelintir pengurus sekolah yang "geli geleman" dengan komputer hingga kadangnya "mewali" dan "mewakafkan" termasuk kerja-kerja "sulit" kepada orang lain. Antaranya seperti menyerahkan kepada Guru Data untuk urusan pengesahan e-gtukar. Id dan password Guru Besar bukan menjadi sesuatu yang sulit lagi bila setiap tahun diminta kepada admistrator negeri oleh Guru Data. Bagaimana Guru Besar yang tidak mahir ICT untuk menyembunyikan digri sulit Nilaian Prestasi Tahunan kalau rumusan dan sebagainya diserahkan kepada orang lain.

Sewajarnya kita tidak memandang remeh perkara ini kerana ia melibatkan soal integriri dan respektasi orang kepada kita selaku Guru Besar. Kita bimbang kelak nanti kelemahan kita itu menjadi senjata menikam kita sendiri. Justru mempelajari kemahiran ICT sangat mustahak kepada Pengurus Sekolah. Selain tahu menggunakan perisian asas kita juga perlu tahu dan mahir untuk menggunakan email dan capaian internet atau online kerana stail pengurusan sekarang menjadikan ICT sebagai medium utama. Banyak capaian online yang KPM laksanakan seperti e-operasi, e-gtukar, aplikasi data murid, pendaftaran murid tahun 1, hrmis, emis online dan sebagainya.

Sebagai Guru Besar kita mesti tahu sama ada melaksanakan sendiri atau kerja pemantauan agar pengurusan dan sekolah kita sentiasa up date dan kemaskini. Dalam blog ini ada banyak perkara untuk dimuat turun seperti borang pertukaran GPK, Guru Cemerlang dan sebagainya. Ada setengah bahan khas untuk Guru Besar download. Kami ada cara memantaunya. Jika Guru Besar peka dan tahu ICT, banyak perkara yang mereka boleh bantu guru dengan pantas dan mudah. Mereka akan dilihat sebagai "Pemimpin Rujukan" bukannya sebagai "Pemimpin Siaran atau Pemimpin Sialan" seperti mana yang diperkatakan berkaitan jenis pemimpin oleh Prof Dr. Syed Muhamad Naquib Al-Atas.


Sumber: unitrendahspsjpnt.blogspot.com

Thursday, April 5, 2012

PROTON PREVE

TEKA-TEKI mengenai nama sebenar kereta global Proton, yang menggunakan kod P3-21A akhirnya terjawab apabila model terbaru kereta Proton itu dikenali sebagai Proton Preve (disebut Prae-vae) yang diubah suai daripada perkataan asal bahasa Inggeris (Proof) yang membawa maksud ‘bukti’.


Perkataan itu juga dipinjam dan diolah daripada bahasa Sepanyol, Preve yang membawa maksud ‘memperuntukkan’ sekali gus menggambarkan model berkenaan bukti keupayaan Proton selepas 27 tahun ditubuhkan dalam mengeluarkan produk bertaraf global setaraf dengan jenama kereta antarabangsa lain.

INOVASI...antara ciri menarik ditawarkan pada Proton Preve yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.


Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd (Proton), Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohamad Tahir berkata, kereta itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan ini dan dijangka mula dipasarkan kepada orang ramai dalam tempoh seminggu hingga dua minggu sebelum di eksport ke Australia dan negara Timur Tengah.


“Sejak mula dibuka untuk tempahan, Proton menerima sebanyak 1,000 unit dan yakin dapat menjual Preve kira-kira 4,000 hingga 5,000 unit sebulan memandangkan ciri serta reka bentuk ditawarkan akan menarik perhatian pembeli,” katanya pada majlis memperkenalkan nama Proton Preve kepada media dan sesi pandu uji Preve sejauh 156 kilometer di Putrajaya, semalam.


Beliau berkata, Proton menjangkakan untuk mengeksport model berkenaan sebanyak 20 peratus daripada jumlah pengeluarannya dan berhasrat menambah sehingga 10 peratus lagi pada masa depan. “Kos pembangunan Preve membabitkan sebanyak RM450 juta dan model ini ditempatkan dalam segmen C akan dijual pada harga bermula RM62,000 hingga RM75,000 serta ditawarkan dalam tiga varian iaitu 1.6 liter CFE (premium), 1.6 liter CVT (eksekutif) serta 1.6 liter manual.


Selain itu, model Preve amat berlainan daripada model terdahulu yang lebih tertumpu kepada pasaran domestik namun ciri-ciri diwujudkan dijangka mampu menarik perhatian pembeli asing kerana lebih mengutamakan ciri keselamatan termasuk peningkatan ketahanan, penjimatan bahan api serta sistem pengendalian lebih baik.


AGIHAN SUSU DIHENTIKAN SUSULAN KERACUNAN


KUCHING, 5 April (Bernama) -- Tiga sekolah di Sarawak telah diarahkan memberhentikan buat sementara agihan susu kepada murid susulan kejadian keracunan makanan yang berlaku baru-baru ini.


Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata arahan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sacred Heart, SK Temenggong dan Sk Koran.


Kejadian keracunan makanan itu yang dipercayai berpunca daripada susu yang dibekalkan melibatkan keseluruhan 212 murid, katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.


Katanya kejadian pertama berlaku di SK Sacred Heart pada 28 Mac melibatkan 44 murid, manakala dua lagi berlaku pada 30 Mac membabitkan 55 murid di SK Temenggong dan 113 murid SK Koran.


Langkah pemberhentian sementara itu adalah bagi menunggu hasil siasatan, katanya.


Beliau turut meminta guru yang bertanggungjawab mengedarkan susu terbabit agar memastikan murid menghabiskan susu berkenaan di sekolah serta tidak disimpan lama bagi mengelakkan kejadian berulang.


-- BERNAMA

Saturday, March 31, 2012

KADAR KENAIKAN GAJI SSM 2012


Pekeliling perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan sebagaimana diumumkan pada 8 Mac 2012 mengenai kenaikan gaji sebanyak 13% berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM80.00 hingga RM320.00 kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana. Bagi pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kenaikan gaji diberi sebanyak 7% hingga 9% dengan KGT berdasarkan pelarasan peratusan yang ditetapkan.


Kadar gaji minimum-maksimum dan kenaikan gaji tahunan DG41-DG54


Kadar gaji minimum-maksimum dan kenaikan gaji tahunan DGA29-DGA38


Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 bagi kenaikan gaji pegawai perkhidmatan awam persekutuan di bawah sistem saraan Malaysia bagi seluruh perkhidmatan boleh dimuat turun (download) di sini: KENAIKAN GAJI PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM PERSEKUTUAN DI BAWAH SISTEM SARAAN MALAYSIA


Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia


Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi