Tuesday, November 15, 2011

KAJI SEMULA GURU BEKERJA 9 JAM


KUALA LUMPUR 14 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar projek rintis sistem waktu kerja sembilan jam bagi guru di empat negeri mulai Januari ini dikaji semula.


Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, kajian itu perlu mengambil kira beban yang ditampung dan elaun tambahan kepada guru sekiranya mahu melaksanakan projek rintis itu.


"Seharusnya kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan beban guru. Contohnya, mewujudkan kakitangan sokongan iaitu pembantu pentadbiran agar dapat membuat kerja-kerja tersebut.


"Sebelum ini pun ada kajian mengenai beban guru oleh kementerian beberapa tahun lalu, namun hasil belum dihebahkan lagi. Saya minta agar kajian tersebut didedahkan segera," katanya di sini hari ini.


Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia kelmarin bahawa kira-kira 5,000 guru di 104 sekolah akan menjadi perintis sistem waktu kerja sembilan jam mulai Januari ini.


Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu kerja baru itu akan dilaksanakan di Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan.


Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mohamed Che Noh pula menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya masa kerja guru terlalu pendek iaitu setengah hari berbanding penjawat awam lain.


"Dalam konteks perguruan banyak aspek lain yang orang ramai perlu faham. Contohnya, guru mesti menyediakan rancangan pembelajaran harian dan mingguan, menanda kertas peperiksaan dan menyelia aktiviti di luar kelas.


"Jika dilaksanakan bererti masa sebenar guru akan menjadi sehingga 12 jam, bukannya sembilan, apabila dicampur dengan aktiviti sekolah yang lain. Masakan aktiviti kokurikulum diadakan pada hujung minggu. Kalau begitu maknanya guru tiada cuti," jelasnya.


Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad meminta semua pihak memahami tugas seorang guru yang berbeza dengan pekerja pejabat.


"Sekiranya kementerian tetap melaksanakan projek rintis itu, sewajarnya guru terlibat diberi elaun khusus sesuai dengan tambahan beban yang dipikul," ujarnya.


Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula berkata, cadangan waktu tugas guru mengikut pejabat telah timbul sejak beberapa tahun lalu.


"Mungkin kementerian telah membuat kajian mengenai sistem ini dan seterusnya melaksanakan projek rintis agar mendapat maklum balas daripada guru dan mengkaji lebih mendalam tahap keberkesanan serta mengetahui kesesuaiannya," jelas bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu.


Sumber: Utusan Online


Sunday, November 13, 2011

GURU-GURU JANGAN PANIK


Projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari masih di peringkat kajian dan belum ada sebarang keputusan untuk memperluaskannya ke seluruh negara tahun depan.


Justeru itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, para guru diminta tidak panik dengan percubaan projek itu di empat negeri kerana kementerian juga menyedari terdapat beberapa kekangan untuk ia dilaksanakan di semua negeri.


"Sebagai contoh, masih terdapat sekolah yang guru-gurunya berkongsi meja di bilik guru iaitu apabila guru sesi pagi balik, maka guru sesi petang pula akan gunakan meja berkenaan.


"Jadi, kalau guru sesi pagi balik lewat bagaimana pula guru sesi petang hendak menggunakan meja bilik guru," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kedah di Jalan Pegawai di sini, hari ini.


Turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Semalam, Hashim berkata, kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan.


Ka Siong berkata, melalui projek itu, guru-guru akan bekerja mengikut dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang, namun kementerian akan melihat realiti sebenar dalam pelaksanaannya.


Kata beliau, setiap input dan cadangan pelbagai pihak akan diambil kira sebelum cadangan itu dibawa kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan membuat keputusan selanjutnya.


Menurut Ka Siong, kementerian sentiasa sedar bahawa tugas guru melebihi masa bekerja di sekolah bahkan terpaksa menghadiri majlis dan program pada musim cuti sekolah selain menjadi rujukan para pelajar tanpa mengira waktu.


Sumber: Utusan Malaysia Online

Friday, November 11, 2011

SUNAT FITRAH: MEMOTONG KUKU

TATACARA MEMOTONG KUKU TANGAN

1. Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan, kemudian tangan kiri.

2. Menurut Iman al-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk hingga ke jari kelingking dan diikuti ibu jari. Kemudian tangan kiri daripada jari kelingking hingga ibu jari.



TATACARA MEMOTONG KUKU KAKI

1. Memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.

2. Bermula kaki kanan daripada jari kelingking hingga ibu jari.

3. Kemudian kaki kiri daripada ibu jari hingga kelingking.


Saturday, November 5, 2011

FORMULA PERALIHAN DASAR PPSMI KE MBMMBI


KERAJAAN pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).


Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, bahasa Cina di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan bahasa Tamil di SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil). Di sekolah menengah, bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.


Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.


Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.


Bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.


Sumber: Kosmo Online

Baca Maklumat Lanjut Tentang Formula Peralihan Dasar PPSMI Ke MBMMBI

Friday, November 4, 2011

FADHILAT PUASA HARI ARAFAH


Hari Arafah merupakan hari yang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji dianjurkan untuk berpuasa pada hari ini. Kedatangannya setahun sekali ini janganlah disia-siakan. Kita juga dianjurkan untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada hari ini. Di sini dipetik beberapa buah hadis untuk renungan kita bersama.


Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? Maka jawab Rasulullah S.A.W yang artinya: Dikaffarah (ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).


Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku gemari daripada hari Arafah. (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi).


Daripada Anas bin Malik telah berkata : Adalah dikatakan pada hari-hari sepuluh setiap hari(menyamai) seribu hari, hari Arafah(menyamai) sepuluh ribu. ….Telah berkata imam Baihaqi yaitu pada kelebihan. (Hadis isnad hasan dikeluarkan oleh imam Baihaqi dan disebut oleh imam Sayuti).


Semoga amalan kita bertambah dari tahun yang telah lalu dan dosa kita diampunkan oleh Allah. Gunakanlah segala peluang yang ada demi menambah lagi bekal akhirat kita sebelum bertemu Allah di hari yang tidak ada pertolongan lain selain mereka yang menemuiNya dalam keadaan hati yang bersih dan selamat daripada kekotoran dosa dan noda.


Rujukan:

1. Kitab Fadhailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah.

Thursday, November 3, 2011

GUNA BAHASA MELAYU TIADA CACAT CELA


APABILA Kabinet sebulat suara bersetuju memansuhkan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), terdapat beberapa ‘pungutan suara’ yang menggesa agar hasrat itu ditangguhkan. Kelompok ini meminta agar kerajaan mengkaji semula pemansuhan itu dengan mengharapkan kerajaan memberi pilihan kepada pelajar untuk belajar Sains dan Matematik sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris.


Saya memuji pihak Kementerian Pelajaran yang tetap bertegas dengan pendirian dibuat. Hakikatnya, kelompok ini perlu sedar pelaksanaan pemansuhan ini dikaji dengan teliti mencakupi segenap aspek dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara.


Ketika Perdana Menteri berhasrat mahu menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi, maka kita perlu melihat pelaksanaan ini satu tindakan holistik.


Tindakan kerajaan mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu harus dilihat sebagai satu usaha mewujudkan satu ambiguiti nasional antara pemerolehan ilmu dalam bahasa kebangsaan melalui proses penterjemahan ilmu dan istilah baru dan pembentukan jati diri nasional antara kaum selaras Gagasan 1Malaysia menuntut rakyat bersatu-padu melalui satu identiti nasional. Maka, pembudayaan ilmu, terutama Sains dan Matematik yang sedang berkembang pesat menggunakan bahasa kebangsaan sebagai pengantaranya salah satu daripada mekanismenya.


Rungutan sesetengah pihak bahawa bahasa Melayu kekurangan istilah dan perkataan dalam Sains dan Matematik ternyata tidak cukup berasas. Siapa yang dapat menafikan, puluhan ribu cendekiawan, profesor, ahli perniagaan, saintis, doktor, guru, teknokrat dan jurutera yang berjaya pada hari ini adalah golongan yang menerima didikan subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Melayu pada era 80-an hingga 90-an? Kebimbangan pihak ini hakikatnya tidak lebih daripada keraguan terhadap keupayaan bahasa kebangsaan sendiri yang jarang mereka tuturkan dalam landskap kehidupan masing-masing.


Justeru, pemansuhan PPSMI tidak harus dijadikan polemik dan pertikaian kerana usaha ini harus dilihat satu wadah kolektif untuk membina tamadun bangsa Malaysia yang berjaya dengan acuan dan identiti nasional yang ampuh dalam lapangan pendidikan yang maju, tetapi masih tetap diresapi elemen tradisi bahasanya yang pernah mencatat galur sejarah gemilang. Oleh itu, saya menggesa semua pihak menghentikan polemik ini kerana dayung sudah di tangan, kolek sudah di air. Kita hanya perlu mendayung ke muara cita-cita dengan tekad dan harapan sama.

ZULFAZLAN JUMRAH, Kuala Lumpur

Sumber: Berita Harian Online

Tuesday, November 1, 2011

Perkongsian Bahan NPQEL

Bahan boleh dilihat di dalam ruangan MATERIALS.

Monday, October 31, 2011

PPSMI: PAGE MINTA PM CAMPUR TANGAN

PUTRAJAYA: Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, campur tangan berhubung isu pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Karim, berkata kerajaan perlu menarik balik keputusan pemansuhan PPSMI kerana keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan PPSMI adalah satu dasar yang baik untuk pelajar luar bandar dan bandar.


Beliau berkata, kajian dilakukan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menunjukkan 39 peratus pelajar dan 55 peratus ibu bapa di luar bandar mahu PPSMI diteruskan.


Katanya, kajian itu juga menunjukkan 66 peratus ibu bapa merasakan PPSMI adalah dasar yang baik untuk menentukan masa depan anak mereka.


"Ini menunjukkan ibu bapa masih mengharapkan kerajaan akan meneruskan dasar PPSMI diteruskan di sekolah bagi membolehkan anak mereka bersaing di peringkat global.


"Tolonglah jangan mengusung isu PPSMI ini digelanggang 'tarik tali' politik...nahaslah peluang anak kita yang sekadar mahukan sistem pengajaran terbaik dinikmati dalam sistem pendidikan di negara ini.


"Berilah pilihan kepada pelajar demi anak bangsa dan negara tercinta," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.


Sumber: Berita Harian Online


BAHAYA FITNAH DALAM HIDUP

SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.


Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.


Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad)


Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.


Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.


Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

· Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)

· Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).


Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.


Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)


Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.


Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.


Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.


Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.


Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.


Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.


Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.


Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a…”


Sunday, October 30, 2011

LEBIH 20,000 KHATAM AL-QURAN SERENTAK

Sebahagian daripada lebih 20,000 pelajar KAFA membaca ayat-ayat suci Al-Quran menggunakan e-Book pada majlis khatam beramai-ramai di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Terengganu semalam mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 20,133 pelajar Kelas Fardu Ain (KAFA) negeri ini khatam Al-Quran.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat berkata, jumlah itu meningkat berbanding catatan tahun lepas seramai 16,929 orang.


"Untuk majlis kali ini, kita mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records," katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran & Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian(UPKK) pelajar Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) negeri Terengganu 2011.


Khazan berkata, Melaka merupakan negeri kedua paling ramai pelajar KAFA membuat khatam al-Quran iaitu 15,033 orang.


Beliau berkata, majlis khatam Al-Quran di Terengganu semalam dibuat serentak di seluruh negeri iaitu Kuala Terengganu seramai 6,325, Besut (3,149), Setiu (2,311), Marang (2,744), Hulu Terengganu (1,910), Dungun (2,024) dan Kemaman (1,670).


Sebahagian besar daripada pelajar berkenaan menggunakan Al-Quran digital menerusi e-Book yang diagihkan kerajaan, katanya.


Sumber: Kosmo Online

Friday, October 28, 2011

NAMA-NAMA ALLAH & KHASIATNYA - ar-Rahman

'ar-Rahman' memberi erti bahawa Allah memberi rahmat kepada seluruh makluk-Nya tanpa memilih kasih dengan tidak membezakan antara makluk berakal atau tidak, antara manusia yang baik atau yang jahat, yang beriman atau yang kafir.


Saturday, October 22, 2011

2,642 ORANG GURU UPSR TERENGGANU TERIMA LAPTOP

KUALA TERENGGANU - Pendidikan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu. Justru berbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan agar guru yang diberi tanggungjawab mendidik anak bangsa berupaya membina tamaddun dan mampu bersaing. Beliau berharap melalui pembudayaan ICT di kalangan pendidik dan pelajar ianya mampu mengubah cara berfikir dan budaya landskap pendidikan negeri ini.


Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyerahan Laptop kepada Guru-Guru UPSR Terengganu di Wisma Darul Iman pagi tadi. Seramai 2,642 orang Guru UPSR Terengganu menerima laptop daripada Menteri Besar Terengganu yang bernilai hampir RM3.7 juta. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Setiuasaha Kerajaan Negeri, Exco dan Timbalan Exco Pelajaran Negeri Terengganu, Pengarah dan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Pelajaran Negeri serta Pegawai Pelajaran Daerah seluruh negeri.


Tiga tahun yang lepas kerajaan negeri telah memperkenalkan e-book kepada murid-murid tahun 6. Biarpun terdapat pandangan dan tohmahan kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato' Haji Ahmad bin Said secara konsisten meneruskan program berkenaan dan di jangka menjelang akhir tahun ini sebanyak hampir seratus ribu ebook diagihkan kepada pelajar.


Sesungguhnya warga pendidik dan pelajar negeri ini amat bertuah berbanding dengan negeri lain kerana keperihatinan dan kecaknaan sebegitu rupa daripada kerajaan dan pimpinan negeri Terengganu. Pelaburan besar ini mestilah dibayar dengan keupayaan untuk terus cemerlang dan terbilang dalam pendidikan di negara ini. Terengganu mesti mampu melahirkan tenaga manusia yang berkompetensi dari segi ilmu, kemahiran dan nilai. Tugas besar ini diamanahkan kepada pendidik sebagai arkitek bangsa agar hasrat kerajaan negeri menjadikan "Terengganu sebagai Anjung ilmu". Kita amat yakin guru Terengganu amat tahu bersyukur dengan menterjemahkan rasa syukur ini menunaikan amanah mendidik dengan penuh keinsafan dan penuh iltizam.



Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi