Tuesday, June 21, 2011

BAYAR GURU LEBIH MASA

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya guru yang terpaksa bekerja lebih masa hingga lewat petang bagi melatih murid antaranya guru sukan, diberi insentif atau bayaran tambahan bagi menaikkan semangat guru seterusnya menghasilkan pelajar lebih cemerlang.


Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya guru yang membuat kerja tambahan atau menjalankan pelbagai tugas termasuk mengajar lebih satu subjek diberi insentif bersesuaian dengan kerja keras mereka.


Beliau berkata, sekiranya guru mendapat bayaran bagi kerja tambahan yang dilakukan, ia bukan saja lebih adil bagi mereka malah guru akan lebih berkobar-kobar untuk mengajar selain akan memastikan isu paksaan bekerja lebih masa di sekolah tidak lagi timbul.


“Saya mencadangkan supaya insentif ini mendapat pengesahan daripada pengetua atau guru besar masing-masing serta dibayar mengikut jam,” katanya ketika dihubungi semalam.


Beliau berkata, ada antara guru biarpun terpaksa melatih atau mendidik murid hingga lewat petang, mereka tetap perlu hadir awal pagi ke sekolah keesokannya seperti biasa dan ia tidak adil kepada mereka sekiranya dibayar sama dengan guru yang sering mengelak bekerja lebih masa dengan pelbagai alasan.


Katanya, sekiranya bayaran tambahan itu menjadi kenyataan, kemungkinan besar, guru sendiri akan berjumpa dengan pengetua atau guru besar masing-masing untuk meminta tugasan tambahan.


“Apa salahnya jika guru dibayar bagi kerja tambahan yang dilakukan mereka kerana ini insentif yang sangat baik. Ia bukan saja baik untuk guru tetapi untuk murid-murid juga,” katanya.


Dalam pada itu, NUTP turut berharap Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) yang bakal menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Julai, bakal memberi lebih banyak kebaikan kepada kakitangan awam, termasuk guru di seluruh negara berbanding sebelumnya.


Katanya, NUTP turut berharap semua kakitangan awam termasuk guru akan lebih berpuas hati dan gembira menjalankan tugas dengan ganjaran serta kelebihan yang diterima menerusi Prospek.


“Secara keseluruhannya, kita berharap Prospek dapat memberikan yang terbaik terhadap apa saja cadangan yang dikemukakan Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini,” katanya.


Semalam, akhbar melaporkan Cuepacs baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Prospek bagi menggantikan PTK bermula 1 Julai, dan mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.


Sumber: Harian Metro

Monday, June 13, 2011

EC MALAYSIA TAWAR LEBIH PELUANG PENDIDIKAN

Bangunan akademik di EC UK bercirikan era Victoria dan dihiasi lanskap menarik


SEAWAL penulis menjejakkan kaki ke pekarangan Epsom College (EC), sekolah berasrama dan harian yang menempatkan pelajar berusia 13 hingga 18 tahun yang terletak di Epsom Downs, United Kingdom (UK), mata sudah terpukau dengan keindahan landskap dan keunikan bangunan bercirikan era Victoria yang terdapat dalam kawasan seluas 32 hektar itu.


Sambil berjalan menuju ke bangunan utama untuk dibawa bertemu Pengarah Kemasukan dan Komunikasi EC, Paul Green, kelihatan beberapa pelajar bergerak pantas menuju ke lokasi tujuan masing-masing sambil melemparkan senyuman dan ucapan selamat tanda hormat.


Pelajar lelakinya kelihatan segak berkot dan seluar biru gelap manakala skirt bagi pelajar perempuan, semuanya nampak cergas, berketerampilan, memiliki keyakinan tinggi dan berdisiplin dalam menjalani kehidupan seharian di EC.


Itulah anak-anak generasi muda hasil didikan EC yang kini terkenal dengan pelajarnya yang cemerlang dalam akademik selain menyerlah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.


EC bermula sebagai Royal Medical Benevolent College dan diasaskan oleh Dr John Propert pada 1853 yang mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan balu pegawai perubatan memperoleh pendidikan terbaik pada ketika itu.


Kini EC berkembang sebagai sebuah sekolah terkemuka di UK dan menempatkan hampir 800 pelajar terdiri daripada pelajar harian, mingguan dan mendiami asrama sepenuh masa.


Memiliki lebih daripada 50 bilik darjah yang menempatkan pelajar dalam jumlah yang kecil, dengan setiap bilik darjah dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang diintegrasi dalam proses pembelajaran.


Malah pelajar memiliki akses untuk menggunakan kemudahan ICT yang terdapat di semua blok bangunan akademik dan asrama bagi menggalakkan penggunaan multimedia, internet dan emel dalam kalangan pelajar.


Selain kecemerlangan akademik, EC turut membekalkan pelajar dengan pendidikan dan pengalaman baru dalam segala aspek serta diseimbangkan lagi dengan aktiviti kokurikulum yang bukan saja membabitkan sukan dan permainan, malah merangkumi bidang seni dan reka bentuk, muzik dan drama.


Berlandaskan konsep sukan untuk semua, lebih 25 jenis sukan ditawarkan di EC. Antaranya olahraga, ragbi, kriket, hoki, bola jaring, tenis, merentas desa, golf, seni mempertahankan diri, perahu layar dan ‘rounders’.


Menurut Paul, setiap pelajar diberi peluang sama rata untuk menyertai pertandingan sama ada pada peringkat dalaman atau wakil sekolah dan sehingga kini, EC sudah melahirkan ramai atlet sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.


Selain itu, program seni dan reka bentuk direka khusus bagi pelajar yang mahu menyerlahkan bakat mereka dengan kemudahan studio khas bagi kerja seramik, pembuatan tembikar, arca, tekstil, fotografi dan seni lukis.


Studio turut dilengkapi teknologi terkini seperti reka bentuk tambahan komputer dan pemotongan laser bagi membekalkan pelajar dengan pengetahuan tambahan seiring perkembangan semasa.


Atas dasar mahu memberi peluang kepada masyarakat luar yang mahu anak mereka memperoleh pendidikan terbaik seperti di EC UK, EC bakal melebarkan sayapnya ke negara ini dan memilih kawasan seluas 28.3 hektar di Kuala Lumpur Education City yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan sebagai lokasi pertama di luar UK.


EC Malaysia yang sudah mengadakan majlis pecah tanah secara rasminya pada Ogos tahun lalu dan kampusnya dijangka siap menjelang hujung tahun depan.


Berbeza dengan UK, EC Malaysia akan menawarkan lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda bermula dengan kanak-kanak seawal empat hingga 11 tahun yang akan mengikuti sekolah junior harian di lokasi berhampiran. Sementara pelajar berusia 12 hingga 18 tahun akan mengikuti sekolah senior di dalam kampus utama.


Di bawah pentadbiran pengetuanya, Gareth Eynon, EC Malaysia menjanjikan kecemerlangan pendidikan yang sama seperti di EC UK dengan menggunakan Kurikulum Kebangsaan British dan sesi pembelajaran dikendalikan dalam bahasa Inggeris.


Pelajar sekolah senior akan mengikuti program di bawah International General Certificate of Secondary Education dan A-level manakala pelajar sekolah junior mengikuti New English Curriculum.


Seperti juga di UK, EC Malaysia juga akan memiliki kemudahan pendidikan bertaraf dunia. Antaranya kelas matematik, kelas sains, kelas bahasa, makmal sains, bilik ICT, perpustakaan, studio reka bentuk, 14 bangunan asrama, bilik seni, padang sukan dan permainan serta pusat kesihatan.


EC Malaysia juga akan mengekalkan reputasi EC sebagai pembekal pendidikan berkualiti tinggi selain menjadi landasan utama dalam menyediakan pelajar terbaik terutama yang bakal memasuki bidang perubatan di universiti di UK, Russell Group Universities selain universiti, kolej dan sekolah perubatan tempatan.


Orang ramai yang ingin membuat pertanyaan atau memperoleh keterangan lanjut mengenai EC boleh menghantar e-mel kepada enquiries@epsomcollege.edu.my atau layari laman web www.epsomcollege.edu.my.


Sumber: Berita Harian Online

Thursday, May 26, 2011

9 SBT BARU DIUMUM

PUTRAJAYA: Sembilan sekolah lagi termasuk dua sekolah rendah dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Dua Kumpulan Kedua tahun ini, sekali gus menjadikan keseluruhan 52 SBT ketika ini.


Enam daripada sekolah itu di Semenanjung membabitkan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir di Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Terengganu; SMS Kuala Selangor dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di Selangor serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di Kelantan. Manakala tiga lagi ialah SMS Sabah; SMS Kuching dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tung Hua, di Sarawak.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah berkenaan dikenal pasti menerusi program bimbingan yang dijalankan Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan kerjasama Unit SBT Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK).


“Seperti diketahui Indeks Penunjuk Utama (KPI) SBT untuk tahun ini 50 sekolah. (Namun) memandangkan 23 sekolah saja diiktiraf Februari lalu, Unit NKRA dengan kerjasama Unit SBT, BPSBPSK bekerja keras memastikan sasaran 30 sekolah lagi dapat diberi status SBT tahun ini melalui program bimbingan berkenaan.


“Melalui program ini kita dapat mengenal pasti kekuatan dan kekurangan sekolah berpotensi, sekali gus membolehkan sekolah berkenaan dibimbing untuk mencapai status SBT,” katanya pada majlis pengiktirafan SBT Kohort Dua Kumpulan Dua di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.


Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Ir Wee Ka Siong. Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada 2010 sebanyak 20 SBT diumumkan sebagai SBT manakala 23 lagi pada Februari lalu.


Menurutnya, SBT menarik minat negara lain untuk mengadakan kerjasama baru bagi tujuan peningkatan pencapaian secara keseluruhan.


Ini kerana katanya, ada sekolah yang sudah diiktiraf sebagai SBT dilawati beberapa negara seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penanda aras.

“Selepas diberi status SBT, setiap sekolah hendaklah mengemukakan KPI masing-masing yang akan dijadikan kayu pengukur kepada masyarakat supaya lebih telus kepada rakyat untuk mengetahui prestasi setiap SBT ini.


“Pada masa sama, saya harap semua SBT berusaha untuk terus kekal sebagai pusat kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan dan persekolahan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.


Sumber: Harian Metro

Thursday, May 19, 2011

BAWA BERTENANG – SUSULAN KENAIKAN PANGKAT GURU

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan serta masalah yang dihadapi 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.


Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata, guruyang adalah teras pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan tugas murniseperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.


Katanya, kenyataan beliau itu adalah sebagai menyuarakan ‘rasa kecewa dan kebimbangan’ guru itu dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada lebih 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.


“Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan,” katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi guru kelas biasa.


Lok berkata, kesatuan tidak akan menghampakan guru itu kerana mereka merupakan tonggak pendidikan.


“Tanpa dedikasi guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua saja tidak akan dapat mengendalikan sekolah,” katanya.


Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata beliau sayangkan kerjaya guru dan muridnya, namun beliau kecewa kerana dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.


“Saya biasanya pulang lewat satu atau dua jam lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar lemah, malah saya ambil inisiatif menghimpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai sekolah,” katanya.


Seorang lagi guru, Miss Tan berkata, beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan sejawatannya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripadanya.


“Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tak dihargai,” katanya.- Bernama


Sumber: Harian Metro

Tuesday, May 17, 2011

Monday, May 16, 2011

BERITA BAIK UNTUK GURU: KAEDAH BARU KENAIKAN PANGKAT

KUCHING 16 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.


Katanya, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.


"Melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya dalam rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Hari Guru Kebangsaan, di sini hari ini.


Perdana Menteri mengumumkan, semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.


Katanya lagi, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang menikmati pergerakan gaji tahunan.


"Untuk ini, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.


Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.


Katanya, semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.


"Seterusnya, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan 99 jawatan," katanya.


Sumber: Utusan Online

Sunday, May 15, 2011

SELAMAT HARI GURU 2011

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA


Saturday, May 7, 2011

TUGAS PENTADBIRAN JEJAS FOKUS GURU

HASIL kajian daripada jawatankuasa mengkaji beban tugas guru telah ditanya banyak pihak. Sudah siapkah laporannya dan bila mahu diumumkan?


Kementerian Pelajaran wajar memberi penjelasan supaya kedudukan yang sebenarnya difahami dan diharap rumusan kajian dapat diterima guru dengan hati terbuka dan penuh rasa tanggungjawab.


Jadi tidaklah guru ternanti-nanti. Ini disebabkan penubuhan jawatankuasa itu sudah diumumkan sejak setahun lalu.


Ada pihak menganggap beban tugas ini seolah-olah memberi gambaran sikap guru yang kurang dedikasi menyebabkan tugas mereka dilihat begitu membebankan. Sebenarnya, kita perlu melihat perkara ini secara positif. Tidak wajar mengaitkan guru yang mempersoalkan beban tugas sebagai kurang komitmen. Malah, atas rasa tanggungjawab perkara ini dikemukakan agar tugas tambahan tidak terlalu banyak sehingga ke tahap yang boleh menjejaskan tugas hakiki.


Kebanyakan guru mendakwa mereka tetap mengutamakan tugas asalkan dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah. Jika ini tugas guru, mereka rela berkhidmat dengan lapang dada dan tidaklah dianggap sebagai beban.


Kita boleh berkata guru perlu dedikasi, serba boleh dan bijak mengurus masa agar dalam menjalankan tugas tambahan, tugas P&P tidak terabai. Adakah kita yakin seorang guru yang sibuk dan kepenatan menjalankan tugas pentadbiran, maka tugas P&P tidak terjejas?


Tugas hakiki bermaksud kemahiran mengurus kelas secara profesional agar proses P&P dapat dilaksanakan dengan berkesan. Tugas ini hendaklah dipastikan tidak terganggu dan dilaksanakan sepenuhnya mengikut perancangan kerana inilah faktor utama menentukan kualiti sesebuah sekolah.


Jika guru terlalu sibuk dengan tugas pentadbiran, dikhuatiri fokus dan minat terhadap P&P semakin merosot. Kita tidak mahu ada guru yang tidak sempat membuat persediaan, menyediakan alat bantu mengajar, memeriksa buku latihan dan terlambat masuk kelas kerana terlalu sibuk dengan kerja pentadbiran. Yang pasti guru tidak dapat masuk kelas kerana bertugas di luar sekolah.


Ada masanya pihak pentadbir meminta guru menyiapkan laporan segera kerana ini arahan pihak atasan walaupun ketika itu guru ada tugas P&P. Pandai-pandailah guru bertindak menghadapi tugas yang semakin banyak asalkan semuanya beres. Mungkinkah dengan keadaan begini kita dapat mencapai pendidikan berkualiti?


Persoalannya sejauh mana seseorang guru itu mampu melaksanakan semua tugas dengan berkesan? Elok dibuat kajian untuk melihat hubungan antara tahap keupayaan guru dan keberkesanan hasil kerja. Kajian juga perlu menjurus ke arah mewujudkan garis panduan untuk pentadbir dalam pengagihan tugas tambahan kepada guru supaya tidak melampaui had maksimum yang boleh menjejaskan tugas hakiki.


ZIN MARKAM,

Pontian, Johor


Sumber:Berita Harian Online

Sunday, May 1, 2011

SISTEM GANTI PTK BERMULA 1 JULAI

KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan dijangka melaksanakan sistem penilaian baru terhadap penjawat awam menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa Julai ini.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, sistem itu akan menilai tahap kompetensi golongan itu berdasarkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku mereka dalam pekerjaan.


“Pada 2 Mei ini, Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) dan CUEPACS akan membuat persidangan bagi membentangkan beberapa cadangan terhadap penambahbaikan sistem penilaian baru itu,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Kesatuan Inspektor Kesihatan Malaysia di sini hari ini.


Pemansuhan PTK yang berkuatkuasa 1 Januari lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.


Menurut Omar, sistem penilaian baru itu akan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.

Tuesday, April 26, 2011

KESATUAN GURU SYOR KEKALKAN BISP

SELEPAS dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) digantikan kepada Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI), guru yang menerima Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) resah dengan dakwaan elaun berkenaan mungkin dimansuhkan tahun depan.


Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata walaupun pihaknya menyambut baik transformasi pendidikan itu, namun mengharapkan jika ada cadangan menarik balik elaun berkenaan, pelaksanaannya perlu dilakukan beransur-ansur.


Beliau berkata, KGMMB meminta supaya guru yang tidak mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris saja ditarik BISP, manakala yang masih mengajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris dikekalkan sehingga pelaksanaan MBMMBI 2016.


“Penggantian PPSMI kepada MBMMBI dilakukan secara beransur-ansur melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula tahun ini. Jadi, dicadangkan pemotongan dan penarikan balik bayaran BISP juga perlu dibuat dengan kaedah sama,” katanya.


Memandangkan perubahan mengikut keperluan semasa, wajar bagi kementerian membuat penelitian kerana proses pengajaran kini semakin kompleks dan pembayaran BISP dilihat sebagai imbuhan wajar.


Sementara itu, Mohamed Sabri berkata, bagi memantapkan proses pengajaran sedia ada, kesatuan mencadangkan guru opsyen bahasa Inggeris mengajar sekurang-kurangnya 20 hingga 25 waktu seminggu, kecuali sekolah yang mempunyai lebihan guru opsyen dan sekolah kurang murid.


Pelaksanaan itu kata beliau, bertujuan mengekalkan kepakaran dan kecemerlangan dalam bidang dikuasai mereka.


Secara dasarnya KGMMB katanya, bersetuju dengan transformasi pendidikan itu kerana kajian `Global Trends in Mathematics and Science Studies’ majalah Times mendapati kedudukan Malaysia dalam pencapaian bagi mata pelajaran peringkat 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira merosot.


“Hasil kajian mendapati pencapaian negara menurun pada kedudukan 20 pada 2007 berbanding 10 pada 2003, sedangkan tiga pencapaian tiga peperiksaan umum mencatatkan peningkatan A,” katanya.


Mohamed Sabri berkata, penstrukturan bayaran BISP itu juga baik untuk mengurangkan rasa tidak puas hati guru yang tidak menerima imbuhan berkenaan walaupun mereka mengajar subjek penting seperti bahasa Malaysia di sekolah aliran Cina dan Tamil serta bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan.


Bagi memantapkan KSSR pula, beliau berkata, kesatuan mencadangkan jika BISP yang ditarik balik, peruntukan sedia ada perlu digunakan untuk memperkasakan bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan mewujudkan makmal bahasa melalui pengubahsuai makmal komputer sedia ada.


Sumber: Berita Harian

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi