Wednesday, May 26, 2010

Ujian Penilaian Kelas Kafa setanding UPSR

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memantapkan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi membolehkan ia juga diambil kira setanding dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika pelajar memohon memasuki Tingkatan Satu sekolah menengah kebangsaan agama milik kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, semalam.


“Kita mahu menjadikan peperiksaan UPKK sebagai kayu ukur untuk pelajar memasuki Tingkatan Satu ke sekolah menengah kebangsaan agama yang akan dinilai bersama keputusan UPSR.


“Selama ini keputusan UPKK hanya menjadi sebahagian kecil daripada penilaian untuk memasuki sekolah menengah agama dan dengan cara memperkasa UPKK, ia akan memberi motivasi kepada pelajar supaya turut menumpukan kepada pengajian Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) kerana mereka tahu keputusannya akan mempengaruhi peluang mereka memasuki sekolah menengah agama,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata, peperiksaan UPKK akan menjadi pendorong kepada pelajar yang minat memasuki sekolah menengah kebangsaan agama supaya turut menumpukan kepada kurikulum kelas Kafa.


Katanya, perkara itu dibentangkan kepada majlis agama setiap negeri yang berkuasa terhadap hal-ehwal agama di negeri masing-masing sebelum dapat dilaksana.


“Kita berharap langkah memperkemaskan UPKK itu akan dapat dilaksanakan secara seragam selepas mendapat persetujuan setiap negeri,” katanya.


Selain itu, katanya, turut dibincangkan mengenai langkah menyeragamkan logo halal menerusi pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 1972 yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan.


Beliau berkata, kertas cadangan penyeragaman logo halal itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan kerana kuasa mengeluarkan taraf halal terletak pada bidang kuasa Sultan di negeri-negeri.


Sumber: Berita Harian

Saturday, May 22, 2010

Guru Perlu Lesen Perguruan

KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Pelajaran untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan seperti kerjaya profesional lain tidak sesuai dilaksanakan kerana memerlukan kos pengurusan tinggi.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata negara belum bersedia untuk mengamalkan perkara itu kerana masih ada perkara lain membabitkan pendidikan yang masih belum mencukupi, termasuk prasarana.

Katanya, mewajibkan guru mempunyai lesen bermakna perlu ada badan atau unit khas yang perlu memantau perjalanan kaedah itu, termasuk memastikan guru yang tiada lesen, kehilangan lesen atau lesen palsu.

“Keadaan ini memerlukan penguat kuasa di setiap negeri untuk memantau lebih 400,000 tenaga pengajar seluruh negara. Kira-kira 40 tahun lalu kerajaan memperkenalkan sistem sama yang dinamakan Buku Biru, tetapi dihentikan kerana kekangan ekonomi.

“NUTP berpendapat adalah lebih baik wang yang dicadangkan untuk membayar pekerja badan khas yang mengawal hal berkaitan lesen perguruan digunakan untuk memajukan bidang lain yang masih ketinggalan di sekolah terutama di luar bandar,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mencadangkan supaya mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan, seperti doktor, peguam dan akauntan, bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.

Katanya, perkara itu tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana guru berada di bawah seliaan Kementerian Pelajaran berbanding Kanada yang memerlukan setiap daerah menentukan pemilihan guru.
Sumber: Berita Harian
___________________________________________________________________
Bagaimanakah dengan status permit mengajar (Buku Biru) guru ? Adakah ianya tidak mempunyai apa-apa makna.

Thursday, May 20, 2010

Gaji 600,000 Kakitangan Awam Disemak

KUCHING: Kira-kira 600,000 kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan Satu dan Dua dijangka akan menerima durian runtuh apabila kerajaan difahamkan sedia menyemak tangga gaji mereka bagi membolehkan pendapatan melebihi RM40,000 setahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata berdasarkan Model Baru Ekonomi (MEB), kerajaan menetapkan pendapatan rakyat di negara perlu melepasi AS$15,000 (RM48,000) dan sebagai permulaan semakan gaji kakitangan dilakukan.

Katanya, semakan ini membabitkan cadangan penghapusan kelayakan akademik Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP) berikutan ia dinaikkan kepada sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini bermakna kakitangan Kumpulan Sokongan Satu dan Dua seperti pemandu, pembantu tadbir rendah, tukang masak, atendan haiwan, penolong jururawat akan menikmati kenaikan gaji sekali ganda atau sekurang-kurangnya RM1,500.

“Mereka yang mahu menyertai perkhidmatan awam selepas ini perlu memastikan memiliki kelayakan sekurang-kurangnya SPM seperti diperkenalkan polis baru-baru ini melalui skim pengstrukturan mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sumber: Berita Harian
___________________________________________________________________
Alhamdulillah...........sekiranya semakan tersebut terlaksana, diharap barangan dan perkhidmatan tidak turut naik.

Tuesday, May 18, 2010

Mengehadkan Hanya 25 Orang Murid Bagi Setiap Kelas


KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan.

Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan.

“Berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru.

“Bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya semalam.

Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.

Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi.

Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.

Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’

Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.

Sumber: Berita Harian
_________________________________________________________________
Mengehadkan Hanya 25 Orang Murid Bagi Setiap Kelas? .....sejak dari KBSR lagi mengehadkan murid bagi setiap kelas tapi tak dapat dilaksanakan dengan pelbagai kekangan seperti kekurangan kelas/bangunan dan kemudahan, guru tak cukup, jika ada tambahan guru akan melibatkan peruntukan kewangan dan pelbagai lagi. Sekarang ini, timbul pula cadangan baru? Kita lihat sejauh mana dan berapa lama pula masa akan diambil untuk melaksanakannya. Semoga terlaksana!


Monday, May 17, 2010

Ganjaran Lumayan Buat Semua Peringkat Guru

KUANTAN: Pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing serta mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pelajaran yang ditetapkan, bakal menerima ganjaran antara RM900 hingga RM7,500 mulai tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ganjaran kewangan itu satu suntikan baru kepada guru untuk bekerja dengan gigih lagi bagi meningkatkan prestasi sekolah dan kecemerlangan pelajar.


Menurutnya, pemberian itu juga tidak terbatas hanya sekali saja untuk setiap sekolah sebaliknya jika sekolah berkenaan meneruskan usahanya untuk tahun berikutnya, mereka akan memperoleh lagi ganjaran yang sama.


“Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, tawaran baru ini akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit iaitu 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.


“Pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan RM7,500, lima peratus guru sekolah berkenaan pula akan menerima RM1,800 dan guru selebihnya lagi akan menerima RM900,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan perayaan Hari Guru Ke-39 Peringkat Kebangsaan 2010 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, semalam.


Seramai lima bekas pendidik menerima anugerah Tokoh Guru 2010 termasuk seorang menerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010 melayakkan masing-masing menerima pingat, piala dan wang RM10,000.


Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi.


Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan beberapa insentif lain kepada golongan pendidik.

Sumber: Harian Metro

Thursday, May 13, 2010

KAJIAN BEBAN TUGAS BERLEBIHAN GURU

PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan guru kini di peringkat akhir dan laporan berhubung kajian itu bakal diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (gambar) yang mempengerusikan jawatankuasa itu, berkata beberapa cadangan sudah dikenal pasti bagi mengatasi masalah beban tugas guru.

“Jawatankuasa ini diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan kajian serta mengeluarkan cadangan mengatasi masalah beban guru.


“Ia sudah berada di tahap terakhir selepas dimulakan April lalu dan hasil perbincangan akan dikeluarkan tidak lama lagi dan diumumkan Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Guru 2010, semalam.


Beliau berkata, satu makmal khas yang disertai guru, guru besar, pengetua serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah diwujudkan selain membuat tinjauan dan mendapatkan maklum balas daripada guru.


“Hasilnya, beberapa cadangan sudah disediakan dan akan diserahkan kepada menteri dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.


Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu bagi mengkaji aduan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai isu berkenaan. Jawatankuasa yang ditubuhkan April lalu, diberi tempoh dua bulan untuk menyiapkan laporan berhubung masalah beban tugas berlebihan guru.


NUTP mendakwa selain tugas mengajar, guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.


Sementara itu, sempena sambutan Hari Guru yang akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UniMAP), Gambang, Kuantan Ahad ini, Alimuddin berkata, Muhyiddin akan mengumumkan Sistem Tawaran Baru sebagai menghargai jasa dan prestasi pengetua serta guru besar sekolah berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

“Ia turut meliputi guru kerana mereka turut menyumbang kepada prestasi dan pencapaian sekolah masing-masing, sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.


Menurutnya, sempena sambutan ke-39 itu, semua guru diminta memuhasabah diri.

Sumber: Harian Metro

Sunday, May 2, 2010

Kesatuan guru mohon ditimbang 11 insentif

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyenaraikan 11 insentif bagi golongan pendidik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Penetapan insentif berkenaan dibuat pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan yang diadakan oleh Kongres hari ini untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Kongres, Jamale Paiman berkata, insentif itu termasuk mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, penambahbaikan struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 dan penambahan staf sokongan.

Menurutnya, permohonan insentif itu telah dikemukakan dua tahun lepas dan pernah dibincangkan di peringkat menteri.

''Perkara yang dipohon merupakan kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan. Ia bertujuan mengurangkan beban tugas guru,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Tambah Jamale, Kongres turut bersetuju supaya Kementerian Pelajaran mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengesahan jawatan gred DGA34 dan DGA48, memperluaskan gred DG38 untuk guru besar dan pengelola cemerlang kepada semua jawatan manakala kedudukan pegawai pendidikan daerah (PPD) pada gred DG52 dan DG54.

''Di samping itu, kami berharap kementerian tidak meletakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam Kementerian Pelajaran serta mengambil semula guru bagi program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF).

''Kami juga berharap kerajaan mengkaji peruntukan tuntutan perjalanan para pegawai kerana jumlahnya yang rendah menjejaskan tugasan pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap,'' katanya.

sumber: Mingguan Malaysia

Tuesday, April 27, 2010

Lebih ramai guru lelaki diambil berkhidmat

KUALA LUMPUR: Lebih ramai guru lelaki diperlukan bagi menjalankan tugas sebagai guru disiplin, memudahkan penghantaran ke sekolah pedalaman dan sesuai dengan hasrat menjadikan sukan elemen penting mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata disebabkan faktor itu pihaknya akan mengambil lebih ramai guru lelaki, malah berusaha untuk memastikan pengambilannya seimbang, dengan masing-masing 50 peratus di antara guru lelaki dan perempuan.


Menurutnya, sehingga April 2010, nisbah guru lelaki dan perempuan di sekolah rendah dan menengah kerajaan serta bantuan kerajaan di seluruh negara ialah pada kadar 1:2.


“Sebab itu antara faktor kita mahu seimbangkan guru wanita dan lelaki, kerana guru lelaki ini kita dapat tumpukan mereka untuk menjalankan tugas sebagai guru disiplin, untuk memudahkan penghantaran mereka mengajar di sekolah pedalaman, sebab guru lelaki lebih sesuai dihantar ke pedalaman kerana faktor keselamatan.


“Kita akan menjadikan sukan sebagai elemen penting mulai tahun depan, sebab itu kita memerlukan lebih ramai guru lelaki,” katanya, menjawab soalan Senator Datuk Azizah Abd Samad mengenai kuota pengambilan dan masalah kekurangan guru lelaki, dalam soalan lisan, di Dewan Negara, di sini, semalam.


Menurutnya, sehingga kini guru lelaki berjumlah 126,580 orang dengan 70,808 di sekolah rendah dan 55,772 orang di sekolah menengah manakala guru perempuan berjumlah 279,650 membabitkan 160,064 orang di sekolah rendah dan 119,586 orang di sekolah menengah.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Saturday, April 3, 2010

kenaikan pangkat buat biar telus

HULU SELANGOR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta satu lagi makmal diwujudkan untuk menilai kedudukan dan tahap pencapaian setiap guru supaya proses kenaikan pangkat dapat dibuat secara lebih telus.

Menurutnya, penilaian terperinci mengenai masalah guru termasuk isu kenaikan gaji dapat dilakukan melalui makmal khusus itu.


“Saya minta satu lagi makmal diwujudkan bagi menilai kedudukan dan tahap pencapaian setiap guru untuk memastikan supaya proses kenaikan pangkat dapat dibuat lebih telus.


“Jangan ada terlepas pandang, hanya kerana mereka jauh di pedalaman, seolah-olah mereka tidak diambil kira.


“Saya rasa ada sesetengah guru berasa begitu, seolah-olah tidak diberikan perhatian dan disebabkan itu, kita hendak memastikan supaya ada satu sistem lebih telus, mesti ada pengurusan lebih cekap, supaya rekod yang ada dikemaskini.


“Kita mahu memastikan setiap profil guru disimpan dengan lengkap dan apabila guru berkhidmat prestasi mereka dinilai dari semasa ke semasa dengan lebih rapi supaya kita dapat memberikan pengiktirafan pada guru sama ada kenaikan pangkat dan pembayaran elaun.

“Ini walaupun sudah dibuat dulu, tetapi nak kita laksanakan secara lebih kemas lagi pada masa depan,” katanya, pada majlis bersama warga pendidik di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Hulu Yam, di sini, semalam.


Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengarah Pelajaran Selangor, Sulaiman Wak.


Muhyiddin berkata, melalui program menambah baik sekolah yang akan diperkenalkan, warga pendidik juga akan mendapat imbuhan.


“Kita akan perkenalkan program menambah baik sekolah. Ini kita akan usahakan dengan pendekatan kit sekolah, akan mengenal pasti apakah perkara tertentu perlu diambil untuk membolehkan sekolah itu meningkat dari segi pencapaiannya. “Bila dinilai, ada peningkatan, tidak semestinya sampai tahap cemerlang atau tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Kalau pun masih di tahap sederhana, ada peningkatan dari segi pencapaian, ia akan diiktiraf,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Makmalnilaiguru/Article

__________________________________________________________________________

Pada pandangan saya, kenaikan pangkat perlu juga melihat kepada bakat kepimpinan dan kemahiran yang ada pada seseorang di samping tempoh berkhidmat mereka. Tidaklah wujud pentadbiran yang kaku dan hanya mengarah sahaja. Ubahlah budaya daripada Kepimpinan Mengarah Kepada Kepimpinan Teladan.

Thursday, April 1, 2010

Seksa jadi cikgu



KUALA LUMPUR, 1 April 2010: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

“NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.

“Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana tidak mahu tugas hakiki guru, iaitu mendidik pelajar tidak terganggu disebabkan bebanan macam-macam tugas yang terpaksa dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan NUTP di bangunan Parlimen, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
“Piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi boleh kita contohi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyedari tugas sebenar guru ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, bukannya melakukan tugas tertentu yang sepatutnya dilakukan kerani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah mendapat maklum balas positif daripada NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

“NUTP turut menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan jaringan pendidikan kepada rakyat. Kementerian akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada guru dan rakyat,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online | Seksa jadi cikgu

Monday, March 29, 2010

PIBG Perlu Rujuk Ibu Bapa




GENTING HIGHLANDS, 29HB Mac 2010: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu mengadakan konsultasi dengan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat bagi mengelakkan perkara berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Yang penting bagaimana kepemimpinan PIBG di sekolah menjadi lebih inklusif, yang lain-lain boleh dijemput berbincang mungkin secara informal supaya sebelum mesyuarat dan buat keputusan, ia sudah dapat gambaran bahawa ibu bapa setuju dengan apa yang hendak diputuskan.


“Kalau ada perbincangan sebegitu kuranglah masalah timbul seperti yuran dan bayaran yang dikenakan terhadap mereka,” katanya pada sidang media selepas menutup Konvensyen PIBG Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberikan contoh bahawa PIBG boleh menghantar surat kepada ibu bapa untuk mendapatkan pandangan seperti berkaitan sumbangan dan penganjuran aktiviti...... bacaan lanjut klik myMetro | PIBG perlu rujuk ibu, bapa


Thursday, March 11, 2010

Cuepacs saran kaji semula sistem PTK

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dikaji semula termasuk daripada segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja.

Sebaliknya, Presiden Cuepacs Omar Osman berkata, penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat. Ini kerana, beliau berkata sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda.


“Cuepacs menyarankan agar sistem PTK ini dikaji semula selaras dengan hasrat pentadbiran kerajaan yang mahukan penjawat awam melalui beberapa transformasi dan perubahan pada perkhidmatan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.


Beliau berkata, sebelum ini, ramai kakitangan lama yang berpengalaman, sukar menikmati kenaikan pangkat disebabkan lulus tahap tiga dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lulus cemerlang tahap empat.


“Jadi, kita sarankan agar kenaikan pangkat ini bukan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan PTK semata-mata. “Faktor lain seperti pengalaman, pengetahuan, kemahiran serta dapat membantu meningkatkan prestasi atau produktiviti organisasi masing-masing juga perlu diambil kira,” katanya.

sumber: myMetro | Cuepacs saran kaji semula sistem PTK

Monday, March 8, 2010

Bahasa Melayu boleh diantarabangsakan

Jika kita amati secara lebih mendalam, proses pengantarabangsaan bahasa Melayu ini bermula sejak lama lagi apabila bahasa itu diajar di universiti-universiti seluruh dunia. Sehingga hari ini ada kira-kira 130 pusat pengajian tinggi menawarkan pengajian Bahasa Melayu merentasi benua Amerika menganjur ke Asia Timur Jauh hingga ke Australia dan New Zealand.

Di Eropah, pengajian Bahasa Melayu yang pertama diadakan di Perancis mulai 1841, di Ecole National des Langues et Civilizations Orientales Vivanttees (Enlov). Belanda mula mengajar bahasa Melayu kepada pegawainya yang dihantar bertugas di Indonesia sejak abad ke-19. Di Amerika Syarikat, kuliah bahasa Melayu dimulakan di Cornell University sekitar akhir 1880-an, tetapi terhenti dan disambung semula selepas Perang Dunia Kedua. Di Jepun, bahasa Melayu diajarkan sebagai bahasa yang berasingan daripada bahasa Indonesia di empat universiti di sana.

Di China, bahasa Melayu mula mendapat perhatian pada 1950-an lagi apabila Fakulti Bahasa-Bahasa Timur Universiti Peking (Beijing) menawarkannya sebagai satu subjek. Sementara itu, di Korea Selatan, bahasa Melayu diajar di dua universiti, iaitu Universiti Hankuk dan Universiti Pusan.

Pada hari ini, ada kira-kira 300 juta penutur bahasa Melayu pelbagai dialek di seluruh dunia. Kebanyakan mereka adalah penutur asal daripada rumpun Melayu di Asia Tenggara.......bacaan lanjut sila klik Rencana Berita Harian.

Hantar guru ke desa biar telus

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) merayu pihak luar tidak campur tangan dalam urusan Kementerian Pelajaran menempatkan guru ke luar bandar serta kawasan pedalaman sehingga menjejaskan ketelusan dan kelancaran proses berkenaan.

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata ini kerana ada guru yang menggunakan pengaruh keluarga dan sokongan ahli politik dalam rayuan kepada kementerian untuk menolak arahan penempatan mereka ke sekolah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ahli politik terbabit membabitkan golongan menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat yang terpaksa melayani permintaan pengundi di kawasan masing-masing......bacaan lanjut sila klik Berita Harian; Isnin 8 Mac 2010.

Sunday, March 7, 2010

Guru tingkat pencapaian sekolah turut diberi insentif

TANJUNG MALIM 6 Mac – Semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa akan diberi pelbagai insentif termasuk kenaikan pangkat mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

Beliau berkata, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini.......bacaan lanjut sila klik Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi