Friday, July 25, 2014

SALAM AIDIL FITRI 2014


Benarkah hari raya itu hari yang besar dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau keutamaannya. Apakah hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar? Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita mengisinya? Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir, perabot dan permaidani? Adakah setiap sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut baru?

Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat. Atau adakah di hari raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap dengan muzik, nyanyian, joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan atau show hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam buluh. Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan bersembahyang hari raya,  mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan.

Bagi orang Melayu, eid fitr dinamakan hari raya puasa. Perkiraan dan kira bicara dalam hal ini sangat mudah. Ia dinamakan hari puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Senang dan mudah. Ini sebenarnya mudah yang sudah terlebih. Sudah over. Cara mudah memberi nama ini tidak memberi gambaran atau maksud yang sebenar. Maksudnya tersimpang dan lari dari apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham.  Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang tidak mengaji agama tidak tahu kenapa dan mengapa mereka menyambut hari raya. Mereka juga tidak tahu bagaimana hari raya patut disambut. Mereka kira hari raya itu ialah hari untuk berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama  disekat dan dikongkong nafsu mereka. Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru.

Bagi yang lebih tua, hari raya jadi hari nostalgia dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak balik pada hari raya. Sambutan hari raya sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan open-housenya, hari raya get-togethernya dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini. Para artis dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari rayanya.

Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid Fitr. Eid itu maksudnya mengembalikan. Fitr itu fitrah. Jadi Eidil Fitri itu ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni. Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud membersih dan menyucikan fitrah. Selama sebelas bulan dalam setahun, manusia bergelumang dengan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakanNya satu bulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula.

Kerana kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Tuhan. Bila Tuhan sudah dilupakan, jiwa manusia akan mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan. Manusia yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan. Keinsanannya sudah rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan benci dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat nanti akan bakal dicampakkan ke dalam neraka.

Puasa itu mampu membersih dan menguatkan fitrah. Iaitu puasa yang ada lahir dan batinnya. Puasa yang ada rohnya. Bukan sahaja kita menahan diri dari makan dan minum dan bersedap-sedap dengan isteri di siang hari; mata kita, telinga kita dan lidah kita pun ditahan dari melihat, mendengar dan berkata perkara-perkara yang mungkar. Akal kita ditahan dari memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang haram dan jahat. Hati kita ditahan dari merasakan perkara-perkara yang ditegah seperti marah, hasad dengki, buruk sangka, berdendam dan sebagainya. Nafsu kita dikekang dan ditahan supaya dia tidak jahat, tidak rakus dan tidak terlalu gilakan dunia.

Di samping puasa, ada banyak lagi amalan-amalan lain di bulan Ramadhan untuk membantu membersihkan lagi fitrah kita. Ada solat terawihnya, ada membaca atau tadarrus Qurannya, ada zakat fitrahnya dan berbagai-bagai lagi amalan sunat yang sangat digalakkan di bulan Ramadhan seperti beriktikaf dan memberi makan orang yang berbuka puasa. Di sini kita dapat lihat bahawa fokus eidil fitri ialah pada amalan puasanya di bulan Ramadhan dan bukan kepada hari rayanya yang disambut pada 1 Syawal. Yang dibesarkan ialah latihan rohaniah secara berpuasa yang dilakukan dan bukan hari berbukanya, iaitu hari rayanya.

Bulan Ramadhan adalah bulan berkat dan penuh rahmat. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Bulan syaitan dibelenggu. Bulan di mana pahala amalan dan ibadah dilipat gandakan dan doa diterima. Ia adalah bulan maghfirah dan keampunan. Malahan Tuhan memberi pahala terhadap ibadah puasa tanpa hisab. Kalau dalam ibadah lain, pahala yang Tuhan beri itu ada sukatan dan skalanya, tetapi bagi ibadah puasa ini, pahalanya ikut suka Tuhan. Justeru itu, 1 Syawal sebenarnya ialah hari murung dan hari kesedihan. Hari berakhirnya  bulan berkat dan bulan rahmat. Hari berakhirnya bulan keampunan. Hari terbuka semula pintu neraka dan bebasnya para syaitan.

Bermula pada 1 Syawal, dunia akan mula merobek-robek fitrah kita; mengotori, mencemari dan merosakkannya hinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Belum tentu kita dapat temuinya kalau ajal tidak mengizinkan. Kalau begitu, kenapakah kita gembira sangat pada hari raya. Tidak ada apa-apa sebenarnya yang kita hendak gembirakan. Tidak ada apa-apa yang kita hendak sambut.

Tidak ada apa-apa keistimewaan di hari raya kecuali kita disuruh berbuka dan diharamkan berpuasa. Yang ada hanya berbanyak-banyak syukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan. Kalau hari raya disambut dengan penuh pembaziran dan kemewahan, tambahan pula kalau dalam menyambutnya ada pula kelalaian, maksiat dan kemungkaran, maka pada hakikatnya, puasa kita selama sebulan itu tidak ada makna apa-apa. Tidak ada apa-apa kebaikan yang kita dapat.

Jelas bahawa fitrah kita masih kotor dan rosak. Jiwa kita masih lemah kalaupun tidak mati. Kalau pada 1 Syawal pun, fitrah kita sudah lemah dan rosak, bagaimanakah mampu kita selamat dalam mengharung dan menghadapi dunia ini selama sebelas bulan lagi sebelum tiba Ramadhan akan datang. Kalau hari raya disambut pula dengan bersuka ria, berpesta, berhibur dan bermewah-mewah, jelas bahawa itu adalah atas tuntutan nafsu, bukan tuntutan fitrah. Bagaimana pula sebaik selesai kita berusaha membersihkan fitrah, nafsu kita pula yang mengamuk dan menguasai diri kita. Sebagai umat Islam yang inginkan kebaikan dunia dan akhirat, kita perlu ubah fahaman dan pegangan kita tentang hari raya puasa ini.

Kalau boleh kita tukar istilah hari raya puasa ini kepada istilah yang lebih tepat mengikut kehendak agama. Kita tukar kepada hari raya fitrah, contohnya; yang selalu juga kita gunakan, yang bermaksud hari besar fitrah; iaitu hari kita membesar dan mengutamakan fitrah kita. Setelah kita benar-benar faham apa sebenarnya erti Eidil Fitri, mungkin kita boleh menyambutnya dengan cara yang lebih tepat dan sesuai.

Ia patut disambut dengan segala kebaikan yang berpunca dan yang didorong oleh hati atau fitrah yang sudah suci dan bersih. Pada hari raya fitrah, kita patut membantu dan memberi makan fakir miskin. Merapatkan silaturrahim. Berziarah dan memberi hadiah. Bermaaf-maafan. Bertolong bantu. Berkasih sayang dan sebagainya. Hari raya fitrah bukan hari untuk memuaskan nafsu.

Mata kadang-kadang salah melihat,
Lidah kadang-kadang salah berucap,
Hati kadang-kadang salah menduga,
Maaf andai ada salah dan silap.
SELAMAT  MENYAMBUT AIDIL FITRI

Tuesday, July 22, 2014

Anjakan Minda Pengurus dan Pemimpin Pendidikan

Pimpimlah bukan sekadar mengarah, tapi bagaimana hendak memimpin 
jika tidak berilmu, malah dilantik menjadi pemimpin pun kerana....


Pengurus dan pemimpin pendidikan terutama di sekolah seperti pengetua, guru besar, penolong kanan, ketua panatia dan ketua bidang di zaman transformasi ini perlu membuat anjakan minda (mindset shift) untuk bukan sahaja kejayaan transformasi organisasi yang dipimpin, malahan kejayaan individu dan sistem pendidikan seluruhnya.

Sekurang-kurangnya lapan aspek yang berkaitan dengan cara berfikir dan bertindak kumpulan pemimpin dan pengurus pendidikan tersebut perlu diubah selaras dengan perubahan gaya kepimpinan dan pengurusan global di luar bidang pendidikan. Zaman di mana ketua bersikap seolah-olah dia sahaja yang tahu dan betul, orang lain tidak tahu, sentiasa salah dan mesti mengikut kehendaknya telah berlalu dan tidak relevan lagi. Berikut disarankan lapan perkara atau cara berfikir dan bertindak yang perlu diubah oleh pemimpin dan pengurus pendidikan abad ke-21.


Daripada Berfokus Masalah Kepada Berfokus Penyelesaian

Sebagai pemimpin sememangnya kita sering menghadapi banyak masalah dan cabaran. Sikap yang diserlahkan seorang pemimpin melalui cara berfikir dan bertindak apabila menghadapi masalah berbeza-beza mengikut dan sekaligus menggambarkan kekuatan daya kepimpinannya. Pemimpin yang lemah apabila menghadapi masalah dan cabaran, fikiran dan tindakannya berlegar sekitar mencari apa dan siapa yang menjadi punca masalah, mengapa masalah timbul dan menyesali keadaan atau tindakan orang lain yang menyebabkan masalah timbul tanpa cuba memahami isu sebenar dan cara mengatasi atau menyelesaikan masalah.

Pemimpin yang berjaya dan berkesan seringkali tidak menganggap isu atau masalah yang dihadapi terutama dari sesuatu perubahan sebagai masalah, sebaliknya sebagai peluang baginya belajar menyelesaikan masalah itu dengan cara yang berbeza dari kebiasaan. Pemimoin seperti ini tumpuan pemikiran dan tindakannya adalah mencari jalan penyelesaian sama ada secara individu atau jemaah bersama rakan dalam organisasi pimpinannya. Dia akan mencari peluang mempengaruhi sesiapa sahaja yang dipimpinnya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Pelbagai cara digunakan yang matlamatnya ialah menyelesaikan masalah tanpa bising menyalahkan orang lain yang didakwa menyebabkan masalah tersebut.


Daripada Menetapan Matlamat Kepada Orang Lain Kepada Menjajarkan Matlamat Bersama

Sememangnya setiap pemimpin perlu ada maltamat (goal) untuk diri dan organisasinya. Dia perlu tahu ke mana hala tuju kehidupan dan pekerjaannya dan organisasi yang dipimpinnya. Namun untuk mencapai matlamat diri dan organisasi, dia tidak sepatutnya menyuruh (dictate) orang lain berbuat sesuatu mengikut kehendaknya semata-mata tanpa memikirkan kesukaran atau masalah yang dihadapi orang yang disuruh.

Ada kalanya matlamat organisasi telah ditetapkan dengan perancangan yang baik oleh pemimpin sebelumnya atau pihak atasan yang lebih tinggi daripadanya. Tidak perlu sebenarnya untuk dia menetapkan matlamat organisasi yang baru melainkan dia hanya perlu membuat penjajaran (alignment) kepada pelaksanaan perancangan untuk mencapai matlamat yang  dikongsi bersama anggota dalam organisasi.

Dalam merancang matlamat organisasi, pemimpin abad ke-21 tidak membuatnya secara bersendirian atau sentiasa mengikut kehendaknya semata-mata. Pandangan dan buah fikiran orang ramai termasuk pakar dalam bidang berkenaan perlu diambil kira. Apabila percanggahan atau perbezaan pendapat berlaku, penjajaran dalam bentuk kata sepakat perlu diperoleh.


Daripada Memberi Nasihat Kepada Menimbulkan Kesedaran

Pemimpin alaf baru tidak menganggap dirinya serba tahu sehingga dia mendakwa hanya layak memberi nasihat dan tidak layak untuk menerima nasihat apatah lagi tunjuk ajar. Sebanyak mana kita belajar, seluas mana pengalaman kita dan sejauh mana kita telah lalui liku-liku hidup pasti ada lagi perkara yang tidak kita ketahui. Kadang-kadang kita menyangka kita tahu dan mengambil tindakan yang betul tentang sesuatu perkara namun kerap kali sangkaan kita meleset kerana apa yang kita ketahui selalunya terbatas kepada konteks, masa, maklumat dan situasi tertentu sahaja.

Oleh itu, untuk mengajak dan mempengaruhi orang lain mencapai matlamat organisasi yang kita pimpin, lebih baik kita menimbulkan kesedaran mereka tentang pentingnya kita memikir, merancang dan mengambil tindakan yang strategik secara bersama untuk proses pembetulan dan penambahbaikan kepada dasar dan strategi sedia ada. Banyak cara boleh diteroka untuk menimbulkan kesedaran warga organisasi yang bukan dalam bentuk nasihat. Antaranya, coaching dan mentoring, pembelajaran dan pembangunan (learning and development) dan pembangunan profesional berterusan (continuous  professional development atau CPD). Kesemua kaedah tersebut boleh mendatangkan kesedaran kendiri warga organiisasi tanpa perlu terlalu memberi nasihat berulang-ulang yang boleh membosankan.


Daripada Tahu Semua Hal Kepada Rasa Ingin Tahu

Sebagai ketua, perbanyakkan menyoal daripada menjawab. Soalan atau permintaan juga boleh dijawab atau direspons dengan soalan. Sebagai contoh, soalan permintaan “Tuan, bolehkah saya bercuti esok?” boleh dijawab “Mengapa anda hendak bercuti?”. Banyak lagi contoh soalan yang boleh dijawab dengan soalan.

Menjawab soalan dengan jawapan atau memberi jawapan atau penyelesaian kepada permasalahan menggambarkan orang yang yang disoal atau dikemukakan masalah atau diminta pendapat, tahu semua hal. Seperti yang saya katakan sebelum ini, zaman seseorang mendakwa serba tahu telah berakhir. Satu perkara kita tahu, puluhan perkara malahan mungkin ribuan lagi yang kita tidak tahu walaupun dalam perkara yang sama.

Oleh itu, sebagai pemimpin mahupun pengikut adalah lebih baik kita timbulkan rasa ingin tahu dengan lebih lanjut sebelum membuat keputusan tentang sesuatu walaupun mungkin kita telah tahu konsekuennya. Peribahasa dont leave the stone unturn sangat baik diamal sebelum membuat keputusan.


Daripada Mengarah dan Mendesak Kepada Mempengaruhi

Pemimpin yang hanya pandai mengarah, mengerah, memerah dan memarah akan berakhir dengan pengikut mengatakan porah kepadanya. Gambaran ini sesuai bagi seorang yang pemimpin yang mengarah dan mendesak dalam gaya kepimpinannya. Pemimpin sedemikian, terutama di sekolah dikuatiri boleh menjejaskan keberkesanan sekolah yang sekaligus kemenjadian murid kerana guru dan staf yang boleh bertindak negatif ekoran tindakan yang pasti tidak disukai.

Pemimpin sekolah sedemikian seringkali dikaitkan dengan pemimpin yang lemah, kurang berhemah dan seperti tidak pernah mengikuti latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan sebelum atau sepanjang perkhidmatannya. Pemimpin yang pernah mengikuti kursus kepimpinan dan pengurusan pendidikan seperti National Professional Qualification for Educational Leadership (NPQEL) atau lain-lain kursus anjuran Institut Aminudin Baki (IAB) pasti tahu bahawa definisi memimpin ialah usaha mempengaruhi orang lain dalam lingkungan kepimpinannya untuk mencapai matlamat organisasi.

Maksud mempengaruhi ialah mengajak, memujuk, memupuk dan menanamkan rasa suka untuk bekerja bersamanya bagi mencapai hasrat atau visi organisasi dengan bahasa dan kaedah yang baik. Selain mempengaruhi, memimpin juga membawa konotasi membuat perubahan (change) dari kurang baik kepada lebih baik. Dalam pendidikan, Dato’ Dr Amin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menyarankan bahawa istilah memimpin itu sendiri bermaksud mendidik atau sebaliknya mendidik itu adalah memimpin. Hal ini bermaksud mendidik ialah proses mempengaruhi orang lain iaitu murid dan orang-orang di  sekitarnya untuk mencapai objektif pembelajaran supaya perubahan berlaku kepada diri murid itu, sekolah dan sistem pendidikan negara.


Daripada Mengkritik/Menghukum Kepada Menghargai/Memuji

Kritikan dan hukuman oleh pemimpin ke atas pengikut tidak dinafikan boleh membawa kebaikan kepada organisasi. Namun apabila selalu digunakan oleh pemimpin kepada pengikutnya boleh menyebabkan pengikut demotivated. Kritikan selalunya digunakan pemimpin ke atas pengikut yang rendah mutu kerja dan hasilnya. Hukuman pula ialah natijah yang diterima pengikut apabila kerja dan hasil kerjanya tidak mencapai jangkaan ketua atau organisasi. Kritikan juga merupakan hukuman. Malahan kadang-kadang hukuman berbentuk kritikan lebih berat kesannya daripada bentuk yang lain.

Oleh kerana kritikan dan hukuman selalu dikaitkan dengan kesan yang negatif, ramai yang tidak suka sama ada orang yang menerima kritikan dan hukuman atau orang lain di sekelilingnya atau pakar pengkaji bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Mereka lebih cenderung untuk menerima penghargaan, pengiktirafan atau pujian. Sememangnya, tiada siapa yang gemar kepada kelemahan, kekurangan dan kesilapan. Namun selain melakukan kesilapan, seseorang itu pasti banyak juga melakukan kebaikan kepada organisasi. Adalah lebih baik kita perbanyakkan menghargai, mengiktiraf dan memuji kerja atau hasil kerja seseorang terutama orang bawahan kita apabila membuat kerja dengan baik daripada mengkritik atau menghukum kesilapan kecil yang selalunya tidak disengaja.

Orang yang sering dihargai dan dipuji akan besar jiwanya. Sebaliknya orang yang sering dikritik dan dihukum kecil jiwa dan harga dirinya. Orang yang besar jiwa dan harga dirinya juga akan menghasilkan mutu kerja yang tinggi dan besar keuntungan yang diperoleh organisasi. Oleh itu sebarkan penghargaan dan pujian. Kesilapan kecil lupakan dan maafkan sahaja.


Daripada Mengurus Kepada Mengupaya

Mengurus ialah proses mengekalkan (maintain) kecekapan dan keberkesanan organisasi. Untuk mengekal kecekapan dan keberkesanan organisasi ketua perlu aktif merancang, mengorganisasi, mengawal dan memimpin kumpulannya dengan pelbagai cara dan gaya pengurusan. Selalunya pihak yang menerima kesan daripada gaya dan cara pengurusan seseorang ketua ialah pengikut. Ketua yang mengurus selalunya aktif sedangkan pengikut pasif menerima arahan ketua tanpa atau kurang diberi pengupayaan (empowerment)..

Kepimpinan abad ke-21 adalah kepimpinan yang mengutamakan pengupayaan daipada pengurusan. Pemimpin yang mengupayakan pengikutnya adalah pemimpin yang memberi kepercayaan untuk membuat perubahan tanpa perlu terlalu disuruh dan diawasi. Dia cukup memberi garis panduan dan motivasi kepada pengikut untuk bekerja bersungguh untuk mencapai matlamat organisasi. Namun mengikut Ibrahim Bajunid, pengupayaan perlu didahului dengan pembolehdayaan (enablement) melalui kursus dan latihan.


Daripada Menyediakan Penyelesaian Kepada Meneroka Kemungkinan

Walaupun pemimpin abad ke-21 memberi tumpuan atau fokus kepada penyelesaian masalah, namun dia tidak cenderung untuk menawarkan apatah lagi menyediakan jawapan atau penyelesaian kepada masalah. Sebaliknya dia lebih cenderung untuk meneroka kemungkinan untuk mencari jalan bagi bukan sahaja mengatasi atau menyelesaikan masalah malahan mendapat keuntungan yang lebih besar.

Pemimpin seperti ini selalu dikaitkan dengan pemimpin yang kreatif dan inovatif serta berani mencuba dan mengambil risiko. Mereka selalunya berfikiran terbuka dan berlapang dada terhadap sesuatu yang baharu. Berbekalkan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman serta bantuan tenaga muda, yang lebih kreatif, kritis dan inovatif, pemimpin seperti ini mampu membawa perubahan besar kepada organisasi.



- Dr.Jamil Adimin

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi