Friday, May 30, 2014

Renungan: Mengejar Pangkat, Pujian Jadikan Kerja Tidak Ikhlas

Allah janjikan ganjaran setimpal kepada setiap tugas dibuat penuh ketulusan tanpa harap balasan

ADA yang membuat perbandingan bahawa keikhlasan itu seumpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam pada malam yang amat kelam. Ia wujud tetapi amat sukar dilihat. Bermaksud betapa sukarnya mengesan keikhlasan yang ada pada diri seseorang walaupun sememangnya ia begerak dalam naluri manusia. Hanya Allah saja yang mengetahui apa yang tersirat yang dilakukan oleh seseorang itu walaupun secara bersembunyi.

Dari segi bahasa, istilah ikhlas merujuk kepada bersih hati atau tulus hati. Sebenarnya istilah ikhlas yang kita guna pakai hari ini diambil daripada bahasa Arab iaitu khalasa dan yukhlisu yang bererti bersih, murni dan jernih. Umumnya, ikhlas memberi makna menjadikan segala sesuatu bersih dan menghilangkan segala kotoran yang bertempelan. Secara komprehensif ia bermaksud melakukan segala amal perbuatan yang diredai Allah dengan memurnikan niat secara tulus hati dan bersih hati hanya kerana Allah semata-mata dengan tidak mengharapkan sedikit pun imbalan daripada pihak lain.

Ibnu Masud RA sahabat yang ternama dan paling cerdas dalam hafalannya menyatakan bahawa perkataan dan perbuatan seorang hamba tidak akan bermanfaat kecuali dengan niat ikhlas dan tidaklah akan bermanfaat pula perkataan, perbuatan dan niat seorang hamba kecuali yang sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW.

Keikhlasan memurnikan niat kerja yang dilakukan seseorang hanyalah kerana Allah dan bukannya kerana riak. Mereka tidak menyimpan keinginan untuk dipuji oleh orang lain, apa lagi untuk mengejar hierarki manusia sama ada dari segi pangkat atau kedudukan.

Abul Qosim Al Qusyairi, seorang ulama menyatakan bahawa ikhlas menjadikan niat hanya untuk Allah dalam melakukan amalan ketaatan. Jadi, amalan ketaatan itu dilakukan dalam rangka mendekatkan diri pada Allah dan bukanlah ingin mendapatkan pujian daripada makhluk atau yang dilakukan bukanlah di luar mendekatkan diri pada Allah.

Ulama bersepakat bahawa orang yang ikhlas itu sama sekali tidak mempunyai niat untuk menjadi seorang yang sumah, mengelakkan diri daripada dipuji, tidak sombong, tidak riak, selalu merendah dan suka beramal. Kalangan mereka juga banyak bersabar, sentiasa tenang dalam menghadapi cabaran dan mudah bekerjasama dengan orang lain untuk tujuan kebaikan dan senang melakukan amal yang bermanfaat. Allah berfirman yang bermaksud: Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya. (Surah Az Zumar, ayat 2)

Allah memandang tinggi kepada mereka yang ikhlas dalam melaksanakan perkara baik, mahupun berjumpa dengan saudara atau kenalan. Meletakkan niat yang betul bersamanya adalah ganjaran yang dijanjikan Allah. Rasulullah SAW menceritakan satu kisah mengenai seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di kota lain, maka Allah mengutus malaikat di perjalanannya. Ketika malaikat itu bertemu dengannya lalu menyapa: Hendak ke mana engkau?, maka lelaki itu berkata: Aku ingin mengunjungi saudaraku yang tinggal di kota ini. Maka malaikat itu bertanya: Apakah engkau memiliki suatu kepentingan yang akan menguntungkanmu (apabila bertemu) dengannya? Lelaki itu pun menjawab: Tidak, hanya saja aku mengunjunginya kerana aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu lalu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah untuk mengkhabarkan kepadamu bahawa sesungguhnya Allah menyintaimu seperti engkau mencintai saudaramu itu kerana-Nya. (Riwayat Muslim)
Kadangkala kita tidak sedari sudah melakukan pekerjaan yang dibuat secara ikhlas semata-mata kerana Allah. Walaupun sumbangan yang diberikan kecil saja tetapi besar ganjarannya di sisi Allah.

Kisah seekor anjing sedang kehausan yang telah diberi pertolongan oleh seorang wanita wajar dijadikan pedoman walaupun sumbangan wanita itu dianggap kecil kepada manusia tetapi besar pengertiannya di sisi Allah.

Sebagai makhluk kita mengharapkan keredaan bersama keampunan Allah. Perkara kebaikan yang dilakukan sekiranya tiada keikhlasan diyakini tidak akan mendapat ganjaran di sisi Allah sama ada kita menzahir atau menyembunyikannya.

Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui. ( Surah Ali Imran, ayat 29)

Sebenarnya, keikhlasan bekerja boleh merangsang peningkatan produktiviti seseorang. Pekerja yang ikhlas akan melakukan kerjanya secara bersungguh-sungguh dan penuh komitmen. Lazimnya mereka yang ikhlas dalam bekerja akan memperoleh nikmat berupa ganjaran yang dijanjikan Allah di dunia dan di akhirat.


- bharian

Tuesday, May 27, 2014

400,000 Netbook Untuk Guru

Kerajaan bercadang membekalkan netbook kepada 400,000 guru di seluruh negara dalam usaha memastikan warga pendidik menguasai bidang teknologi dan komunikasi maklumat (ICT).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, cadangan itu sudah dibawa ke mesyuarat Kabinet dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kerajaan melalui kementeriannya serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berpendapat guru perlu memahirkan diri dengan ICT menerusi penggunaan netbook sebelum mengajar murid menggunakannya.

Katanya, langkah itu perlu disegerakan kerana hanya murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah diberikan netbook, manakala guru belum mendapatkannya menyebabkan timbul kesukaran kepada mereka mengajar menggunakan netbook.

“Bagaimanapun, netbook ini akan diberikan kepada guru dari gred DG29 hingga DG44 dulu sebelum ia diperluaskan kepada semua kategori guru di seluruh negara.

“Pemberian ini sebagai hadiah kerajaan di atas pengorbanan dan jasa guru yang tidak pernah jemu mendidik anak bangsa sebagai memenuhi kehendak negara mahu melahirkan lebih ramai generasi berilmu,” katanya ketika berucap di Majlis Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman di Dewan Canselor Kolej Universiti TATI (TATIUC) di Teluk Kalong, dekat sini, kelmarin.


- HMetro

Friday, May 23, 2014

Renungan: Apa Kau Rasa Juga Orang Lain Rasa

Jika kau rasa,
Kau boleh tengking orang sebab orang lain tak setinggi pangkat kau,
Kau memang biadap dan tak menghormati orang lain.

Jika kau rasa,
Kau boleh tunjuk kau ada kuasa,
Kau memang gila kuasa.

Jika kau rasa,
Kau boleh tunjuk kau yang paling bagus,
Kau hanya perasan bagus.

Jika kau rasa,
Kau boleh mengarah orang suka-suka hati sebab kau berpangkat,
Kau hanya bergantung pada pangkat, tiada pangkat, kau dihina.

Jika kau rasa,
Kau boleh buat orang diam dan dengar cakap kau saja,
Kau akan disimbah sumpah seranah dan dikeji sentiasa.

Jika kau rasa,
Kau boleh bayar orang untuk kerja,
Kau sebenarnya belum kaya malah miskin jiwa.

Jika kau rasa,
Kau boleh buat apa kau suka, orang lain ikut saja,
Kau bukan orang yang yang bijaksana tapi hanya menunjuk kuasa.

Sebaiknya,
Jika kau rasa kau punya kuasa,
Kau nak apa kau rasa sama dengan apa orang lain rasa.

Kau akan kata, kita sama-sama usaha,
Usaha untuk saling menghormati,
Usaha untuk saling memahami,
Usaha untuk saling membantu,
Usaha untuk saling membina kekuatan,
Usaha untuk saling memperoleh keuntungan.

Bukan lagi kau rasa,
Yang penting apa yang kita semua rasa,
Menghormati orang lain bukan menjatuhkan maruah orang lain,
Menegur bukan menengking,
Membantu dengan pangkat bukan mengarah dengan pangkat,
Mengurus kuasa bukan menggila dengan kuasa,
Membuka peluang untuk semua orang senang bukan mahu kau saja yang senang.

Apa kau rasa juga orang lain rasa,
Sebenarnya ada orang lain dalam diri kau juga.

Friday, May 16, 2014

Selamat Hari Guru 2014

Jasa Guru Tiada Tandingnya

Setiap tahun, 16 Mei pasti menjadi tarikh keramat kepada golongan guru kerana ia menjadi pengiktirafan masyarakat kepada mereka yang berkorban memberi ilmu kepada anak bangsa.

Berbaki empat hari lagi, sambutan Hari Guru tahun ini yang bertema Guru: Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi, seakan memberitahu dunia bahawa guru adalah pengemudi kehidupan pelajar mendepani setiap cabaran.

Jika guru dulu berhempas pulas memastikan pelajar menjadi bangsa bermaruah yang tidak boleh dijajah, guru alaf baru pula menongkah kepayahan untuk menerima realiti bahawa kredibiliti mereka sering kali dipersoalkan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, perubahan zaman menjadikan dunia perguruan berubah.

Bagaimanapun, katanya, peranan serta jasa guru tetap utuh sebagai pemangkin melahirkan masyarakat berilmu.

“Guru adalah tugas murni kerana mereka memberi ilmu tanpa memikirkan sesiapa semata-mata mahu memastikan masyarakat berdaya maju.

“Setiap jasa dicurahkan adalah sebahagian tanggungjawab guru bagi memastikan pelajarnya memperoleh kejayaan.

“Guru adalah antara penyumbang utama dalam setiap episod kejayaan seorang pelajar,” katanya.

Beliau berkata, cabaran guru adalah bagaimana mereka menyesuaikan landskap dunia perguruan yang berubah di alaf baru.

“Dulu, peranan guru untuk mendidik pelajarnya menghayati erti kemerdekaan. Tidak hairanlah masyarakat ketika itu bangkit untuk menjadi bangsa bermaruah melalui pendidikan.

“Kini, senarionya berbeza kerana peranan guru bukan saja mencambah dan menjana ilmu, malah perlu bersedia untuk melakukan transformasi.

“Dan, transformasi itu pula bukan calang-calang (transformasi). Ia adalah perubahan menyeluruh membabitkan banyak aspek seperti sistem, peranan, tanggungjawab, peperiksaan, pelajar dan masyarakat,” katanya mengakui transformasi berkenaan kadang kala meletihkan guru.

“Namun, guru tetap guru. Siapa boleh menafikan ketabahan hati seorang guru biarpun pada masa sama menerima cemuhan pihak tertentu.

“Matlamat guru adalah untuk menjadikan pelajarnya berjaya sebagai manusia berguna yang boleh menabur bakti kepada masyarakat semula bila tiba masanya.

“Guru mampu menelan apa jua tanggapan atau tohmahan kerana mereka berpegang pada prinsip amanah dan tanggungjawab” katanya
.
Malah, lebih membanggakan apabila nama ‘cikgu’ akan kekal sampai bila-bila.

“Biar pun sudah pencen, panggilan ‘cikgu’ akan kekal dan tetap diingati.

“Ini juga membuktikan betapa berharganya nilai seorang guru di kalangan masyarakat,” katanya.

Biarpun segelintir guru ada membuat onar, yang sanggup berkorban lebih besar jumlahnya.

“Kita tidak boleh menafikan ada segelintir guru tidak bersikap seperti seorang guru. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan ‘bermasalah’.

“Namun, jangan kerana yang segelintir ini, semua guru dilabelkan sama. Ini tentu tidak adil buat mereka.

“Guru manusia biasa yang ada perasaan. Mereka mungkin ‘tersentak’ andai kata tidak menerima layanan saksama mahupun keterlaluan ditekan,” katanya.

Menyifatkan guru alaf baru sebagai penggerak transformasi dunia pendidikan moden, beliau mengakui golongan itu memerlukan pelbagai mekanisme untuk ‘bertahan’ dan ‘berjuang’.

“Istilah transformasi sendiri memberi pengertian mendalam terutama dalam melaksanakan tanggungjawab kepada golongan pelajar yang pada hari ini mempunyai pelbagai ragam.

“Selain itu, pelbagai pembaharuan dibuat sama ada dalam sistem dan modul supaya guru sentiasa akur untuk melaksanakan arahan diberikan.

“Ini bukan tugas mudah kerana guru adalah penggerak utama dalam merealisasikan transformasi itu. Tanpa pembabitan guru, transformasi tidak akan berjaya,” katanya.

Sebagai penggerak transformasi juga, katanya, guru perlu bersedia menerima teguran bagi memperbaiki kelemahan.

“Setiap teguran perlu diterima dengan lapang dada dan fikiran positif.

“Jangan melihat teguran sebagai ‘usaha menjatuhkan kredibiliti guru’ tapi terimanya sebagai satu ‘penawar’.

“Dalam konteks dunia moden hari ini, pemikiran jumud boleh menjadi penghalang kepada dasar-dasar pembaharuan yang ingin dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, harga diri seorang guru perlu tinggi pada pandangan masyarakat kerana golongan itu adalah ‘guru’.

Menurutnya, ungkapan ‘guru’ adalah sesuatu yang cukup bernilai dan semua pihak perlu akur bahawa jasa seorang guru memberi ilmu tiada sempadan.

“Saya ingin bertanya, selama kita belajar berapa ramaikah guru yang meminta balasan atas jasa yang dicurahkan?

“Guru tetap gembira biarpun pelajarnya mudah melupakan jasa mereka dan bertahan walaupun dilontar dengan kata merobek hati.

“Tapi berapa ramaikah di kalangan kita yang begitu berterima kasih dan pandai menghargai jasa guru?” soalnya.

Seiring transformasi dunia perguruan, beliau turut menasihatkan golongan itu supaya sentiasa berusaha menambah pengetahuan dan kemahiran mencakupi pelbagai aspek.

“Senario dulu, guru lebih berilmu daripada pelajar, namun keadaan sekarang boleh berlaku sebaliknya.

“Ditambah dengan kecanggihan dunia maklumat tanpa sempadan serta taraf pendidikan diterima masyarakat menjadikan cabaran guru semakin besar.

“Justeru, mereka perlu bergerak aktif, bersedia menangani sebarang permasalahan serta belajar dan terus belajar. Jadikan status guru sebagai lambang kemegahan yang tidak boleh dijual beli,” katanya.

Selamat Hari Guru, Cikgu!



- Hmetro


Renungan: Jadilah Manusia Sentiasa Bersyukur

Banyak ayat al-Quran dan hadis yang membincangkan soal syukur. Ada yang menjelaskan hakikat syukur, perintah bersyukur, manfaatnya, alasan bersyukur, balasan bagi yang bersyukur dan ancaman bagi yang tidak bersyukur.

Oleh itu, bersyukur adalah sifat yang mulia di sisi Islam. Kita sering mendengar keluhan dan rungutan daripada manusia yang tidak tahu erti syukur serta sering mempersoalkan segala kekurangan diri mereka.

Sebagai manusia, tentu pernah terdetik dalam hati mengapa kadangkala seseorang itu sentiasa mendapat kegembiraan seperti cepat naik pangkat, murah rezekinya serta beroleh kejayaan cemerlang dalam pelajaran sedangkan dia selalu melakukan kemungkaran?

Harus diingat penganugerahan yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya adalah satu bentuk ujian untuk menilai sejauh mana keikhlasan orang berkenaan. Allah mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya tanpa menilai baik buruk seseorang.


Anugerah Dikurniakan Untuk Menilai Keikhlasan Insan

Allah menguji setiap hamba dengan anugerah yang dikurniakan untuk menilai sejauh mana keikhlasan dan kesedaran insan berkenaan.

Jika dia hamba Allah yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai manusia, dia akan sentiasa sedar kelemahan dirinya dan bersyukur dengan kurniaan tersebut serta berubah untuk menjadi insan yang terbaik, tetapi jika berlaku sebaliknya, maka dia menimbulkan kemurkaan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Seterusnya firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala, dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu; maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Ankabut, ayat 17)

Oleh itu, manusia perlu menyemai rasa syukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah. Sifat syukur selalu datang apabila kita pernah berasa suatu kehilangan.

Jelaslah bahawa, sifat syukur atau berterima kasih adalah sifat terpuji yang paling tinggi bagi nilai seorang Muslim.

Jika sabar membawa erti seseorang itu berjaya mengawal dan menahan dirinya daripada sesuatu, maka syukur membawa erti kita melakukan sesuatu itu untuk menunjukkan yang kita gembira dengan pemberian Allah.

Bersyukur adalah sifat yang kekal sehingga dimasukkan kita ke dalam Syurga.


Sujud Syukur Amalan Sunah

Di samping itu, melakukan sujud syukur juga amalan sunah yang harus diamalkan setiap Muslim.

Sujud syukur adalah sunah yang ditinggalkan kepada kita untuk menunjukkan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah SWT atau terhindar seseorang daripada bahaya dan malapetaka.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya faedahnya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, (tetapi) sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) maka tidaklah menjadi hal kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman ayat 12)

Dalam kita melayari kehidupan ini, perlu diletakkan kesedaran pada diri, bahawa dunia pasti akan ditinggalkan dan akhirat tempat yang pasti kita datangi.

Apabila manusia hilang rasa syukur, mereka berasakan dunia ini lebih besar berbanding akhirat, maka manusia mula melakukan perkara yang dilarang Allah.

Sebagai hamba di muka bumi ini, kita mesti sentiasa reda dan bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan kepada kita walau ia sekecil zarah sekalipun.


- BHarian

Monday, May 12, 2014

Tanggungjawab Sosial Korporat: Kem UPSR Anjuran Petronas

Seramai 444 murid Tahun Enam dari 18 sekolah di enam negeri menyertai Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran Petronas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini sejak Jumaat lepas.

Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata program empat hari itu membabitkan murid-murid dari Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Melaka dan Johor.

Beliau berkata program itu dijalankan di bawah Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan para pelajar yang tinggal di kawasan operasi Petronas.

"Ini merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dan murid yang dipilih datangnya dari keluarga kurang bernasib baik serta dikategorikan sebagai pelajar 'harapan lulus'," katanya pada sidang media hari ini selepas menutup Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Melalui program itu, murid-murid itu dilatih dan dibimbing mengenai teknik menjawab soalan oleh perunding khas.

PSIP merupakan program sepanjang tahun anjuran Petronas sejak 2002 yang melibatkan 3,000 pelajar setiap tahun bagi memfokuskan kepada tiga subjek utama iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.


- BERNAMA

Friday, May 9, 2014

Renungan: Kisah Tukang Gunting & Peminta Sedekah Berambut Panjang

Seorang pemuda yang beriman telah pergi melancong ke Russia. Di sana ramai penduduknya terdiri daripada orang yang tidak beragama. Mereka dikenali sebagai Athies dan Free Thinkers.

Pemuda tersebut tertarik dengan fesyen-fesyen rambut beberapa pemuda lelaki di bandar tersebut. Dia ingin mengikut fesyen rambut mereka. Maka diapun, masuk ke salah satu kedai gunting yang berdekatan.


Kebetulan, tukang gunting tersebut seorang yang sangat fasih berbahasa Inggeris dan amat peramah. Sambil menggunting rambut mereka berdua pun berbual-bual. Banyak perkara yang dibualkan termasuk tukang gunting bertanya apa agama pemuda tersebut.

Setelah mengetahui pemuda itu beragama islam, tukang gunting tersebut telah mengambil kesempatan untuk bertanya tentang Islam, tujuannya bukan untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam, tetapi lebih untuk menimbulkan rasa sangsi pemuda tersebut terhadap Islam.

Tukang gunting berkata :

"Sebenarnya TUHAN tidak ada. Kalau TUHAN ada tidak mungkin dunia ini tidak aman. Banyak sekali jenayah, gempa bumi, banjir, peperangan, kebuluran dan sebagainya. Walhal, umat Islamlah yang paling banyak mendapat bencana seperti peperangan, kebuluran, kemunduran dan sebagainya".

Pemuda itu hanya diam. Pening juga bagaimana hendak memberikan penjelasan kembali.

Tambah tukang gunting itu lagi:

"Sebab itulah kami di sini tidak menganut sebarang agama. Kami beranggapan bahawa TUHAN itu TIADA". Kamu lihat negara kami lebih aman dan makmur berbanding dengan sesetengah negara Islam".

Pemuda tadi terus membisu, jam ditangannya dirasakan teramat lambat berputar. Namun di dalam hatinya berdoa semoga Allah membantunya agar diberikan hikmat ilmu untuk menjawab tuduhan tukang gunting tersebut.

Tukang gunting dengan senyum sinis semakin galak menerangkan tentang kehebatan dan kemakmuran negaranya yang tidak percayakan wujudnya TUHAN. Selesai saja menggunting rambut, pemuda tadi terus membayar upahnya. Dia bergegas keluar.

Baru saja dia hendak membuka pintu kedai gunting tersebut, tiba-tiba dia melihat seorang lelaki peminta sedekah yang berpakain lusuh, kotor dan rambutnya panjang tidak terurus sedang berjalan di hadapan kedai tersebut.

Maka pemuda tadi mendapat idea; dia tidak jadi keluar dari kedai dan terus menoleh kepada tukang gunting sambil berkata;

"Sebenarnya, di dunia ini semuanya ada, termasuklah adanya ALLAH Tuhan sekelian alam. Kecuali satu perkara sahaja yang tidak ada di dunia ini"

Terkejut tukang gunting tadi.. lalu bertanya;

"Apakah satu perkara yang tidak terdapat di dunia ini?"

Dengan tenang dan selamba pemuda tadi menjawab : "TUKANG GUNTING"

Kata tukang gunting dengan penuh emosinal: "Bukankah kamu yang bergunting dengan saya tadi"

Pemuda itu membalas:

"Kalau ada tukang gunting di dunia ini, tidak mungkin peminta sedekah itu berambut panjang"

Jawab tukang gunting tersebut:

"Itu salah dia. Kalau dia datang mendapatkan saya, tentu saya guntingkan rambutnya."

Kemudian pemuda itu berkata:

"Begitulah juga dengan masalah dunia sekarang. Allah sebagai TUHAN itu ada, bukannya TIADA. Itu semua salah manusia. Kalau mereka mengadu atau meminta pertolongan kepada Allah, tentu semua masalah itu akan selesai".

Pemuda itu menambah:

"Ini tidak, lari dari Allah sebagai TUHAN, malah sesetengahnya menganggap TIADA TUHAN"

Tukang gunting itu terlopong dan tunduk malu. Niatnya untuk mengenakan pemuda tadi nampaknya tidak berjaya, sebaliknya dia yang terpukul oleh perbandingan yang dikemukakan pemuda tadi.

Kemudian pemuda tadi terus keluar.

KESIMPULAN:

Kenapakah Allah memberi (orang Islam yang beriman) dengan pelbagai ujian seperti gempa bumi, banjir, peperangan, kebuluran dan sebagainya?.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 214; 

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

Wallahua'lam.

Sunday, May 4, 2014

Gambar Komensmen NPQEL 2014

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi