Friday, January 31, 2014

Renungan: Di Mana Letaknya Maruah Kita?

https://www.google.com/search?hl=en&site=imghp&tbm=isch&source=hp&biw=1280&bih=666&q=maruah+islam&oq=maruah+islam&gs_l=img.12...4538.14688.0.16527.12.12.0.0.0.0.68.707.12.12.0.ernk_timecombined...0...1.1.32.img..4.8.493.eIH2nI662Aw#hl=en&q=ridhuan+tee+abdullah&tbm=isch&facrc=_&imgdii=_&imgrc=GitAduorqusbnM%253A%3BT6LcdDmzSCvjTM%3Bhttp%253A%252F%252F2.bp.blogspot.com%252F-ySM3V5cCP6k%252FUAEa4S0DU0I%252FAAAAAAAAA5E%252FsnmzuYNuXb8%252Fs640%252FMELAYU.jpg%3Bhttp%253A%252F%252Fpersatuanuptown.blogspot.com%252F2012%252F07%252Fmelayu-rogol-melayu.html%3B616%3B466
Sumber Gambar dipetik dari Google

MULANYA saya cuba bersangka baik dengan apa yang menimpa seorang guru mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi, Johor, atas nama dakwah. Tetapi setelah lama mengikuti isu ini, ditambah oleh sebuah syarikat pembinaan yang menghalau artis bertudung dalam majlisnya, menjadikan saya jadi geram.

Mana tidaknya, lembaga sekolah tersebut telah memaksa guru mualaf untuk membuka tudungnya dan diancam keselamatannya jika tidak berbuat demikian.

Sedihnya, apabila guru tersebut melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau ditukarkan serta-merta ke sekolah lain.

Peliknya, tiada tindakan tegas dikenakan terhadap kepimpinan SJKC tersebut. Mana keberanian kita? Mana dia pemimpin yang memperjuangkan Islam dan hak asasi manusia ini? Kejam sungguh kita semua. Kena pada orang Islam, tak apa. Kena pada bukan Islam, heboh 1Malaysia.

Saya ingatkan orang bukan Islam telah insaf dan memahami perkara asas mengenai Islam. Maklumlah sudah lama tinggal di tanah air tercinta ini. Paling kurang memahami kedudukan Islam selaku agama negara. Rupa-rupanya tidak.

Apabila ada desakan mahukan tindakan disiplin diambil terhadap ahli lembaga sekolah tersebut, maka kita pun berkata ini isu kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yang lebih meruncing.

Apa semua ini? Lebih meloyakan, ketika pengerusi lembaga dan guru besar sekolah tersebut memohon maaf secara terbuka, maka kita pun beramai-ramai datang memberikan sokongan dan tepukan.

Sambil bersalaman dengan guru mualaf tersebut, guru besar itu berkata: “Saya harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni, sesuai dengan slogan 1Malaysia”. Kita pun tutup fail. Wah… senang sungguh.

Mudah sangat hidup di Malaysia. Bila bukan Islam buat salah, minta maaf, selesai, atas alasan 1Malaysia. Bila kita buat silap, maka dikatakan bertentangan dengan 1Malaysia. Maka kita terus salah, mereka terus betul.

Apakah kita sudah lupa isu pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya yang didakwa mengeluarkan ‘ucapan rasis’ pada tahun 2010? Seluruh media ultra kiasu menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri. Desakan demi desakan dilakukan agar beliau dipecat dan ditukar.

Julai dan Ogos 2013, pengetua SMK Alam Megah, Shah Alam, turut menerima nasib sama kerana dikatakan memberi ucapan rasis. September 2013, guru penolong kanan SMK Engku Husin Semenyih, Kajang, pun turut menjadi mangsa.

Pada Julai 2013 apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristana “makan di tandas” semasa bulan Ramadan tersebar, sekali lagi seluruh media ultra kiasu dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB guru besar turut digodam.

Pelbagai tuduhan dibuat tanpa langsung memberi peluang kepada beliau membela diri. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri merayu dan menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.

Namun, dalam isu guru mualaf dan SJKC ini, semua media ultra kiasu senyap sepi. Kenapa tidak sensasikan isu ini dan memaksa guru besarnya dipindahkan atau meletakkan jawatan? Jawapannya mudah, mereka sekapal.

Saya yakin, penghinaan ke atas guru mualaf tersebut, dan artis bertudung, sengaja dilakukan. Peliknya, guru mualaf tersebut yang ditukarkan ke sekolah lain, bukan guru besar itu.

Lebih menjengkelkan lagi, ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat dahulu, jangan bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam alasan. Inilah sifat orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak beransur-ansur.

Benar, memaafkan seseorang itu satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna, pesalah boleh terlepas begitu sahaja.

Masih ingatkah kita pada zaman Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan oleh Yahudi sehingga terselak kain dan menampakkan auratnya? Apa tindakan selepas itu? Jawapannya, perang.

Hari ini kita tidaklah sampai ke peringkat perang. Tetapi menjadi tanggungjawab seorang pemimpin negara untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya dianiaya oleh musuh-musuh Islam.

Ingatlah! maruah dan keadaan umat Islam semakin tercabar. Malangnya, tiada pemimpin yang berani bangkit dan dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar. Lebih menyedihkan, penghinaan itu berlaku di bumi kita sendiri yang berasaskan Melayu dan Islam - Ridhuan Tee Abdullah


Tuesday, January 28, 2014

Selepas Rekod Buruk PISA, Muhyiddin Arah Kementerian Kaji Pendekatan Sekolah Terbaik Dunia

Selepas diserang berkali-kali oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang ekoran prestasi buruk Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan Kementerian Pendidikan mengkaji mekanisme yang diguna pakai oleh sekolah Malaysia yang mencapai prestasi setaraf sekolah terbaik dunia.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, warga guru dan pegawai Kementerian Pendidikan perlu memahami konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) supaya gerak kerja yang diusahakan kerajaan akan dapat melonjakkan kedudukan Malaysia dalam kedudukan PISA akan datang.

“Pentaksiran PISA merupakan satu topik pendidikan yang hangat diperkatakan mutakhir ini baik di Malaysia atau pun forum antarabangsa. Analisis mendalam amat perlu agar Malaysia dapat memperbaiki kedudukan.

 “Saya difahamkan terdapat beberapa sekolah di Malaysia mencapai skor atau prestasi setaraf sekolah terbaik dunia. Dengan ini saya mengarahkan Kementerian Pendidikan melihat lebih mendalam faktor penyumbang kejayaan sekolah tersebut,” katanya di Putrajaya hari ini.

Pisa menilai pelajar berusia 15 tahun dalam subjek matematik, sains dan bacaan.

Malaysia didapati jauh ketinggalan berbanding Singapura yang berada di tangga ke-2, malah negara berpendapatan rendah seperti Vietnam berada di tangga ke-17 yang lebih baik daripada Malaysia.

Bank Dunia dalam laporannya tahun lalu mengatakan sistem berpusat yang diguna pakai sektor pendidikan Malaysia menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian mereka.

Muhyiddin hari ini turut menyelar pihak yang sering memperlekehkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) adalah merupakan golongan yang tidak membaca dan memahami isi kandungan pelan berkenaan.

“Saya sedar ada pihak yang inginkan usaha kita gagal dengan menyatakan usaha ini memerlukan keajaiban dan mendakwa kementerian merendahkan sasarannya kerana tidak realistik. Ini bukan soal kerajaan terlalu bercita-cita tinggi hendak mencapai sasaran dengan gopoh.

“PPPM adalah bukti bahawa kerajaan meletakkan aspirasi tertinggi dan terbaik tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Anak-anak kita berhak menerima pendidikan terbaik dan ini semua kerajaan telah nyatakan dengan jelas,” katanya.

Mengenai sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sering menerima kritikan daripada pihak guru dan ibu bapa, beliau telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah pendidikan bagi mengenalpasti masalah di peringkat pelaksanaan.

Katanya, salah faham berhubung pelaksanaan PBS tidak akan berlaku sekiranya sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri mempunyai kefahaman yang jelas berhubung pelaksanaan dasar berkenaan.

“Saya telah menerima banyak maklumbalas dari pelbagai pihak terutama keluhan guru. Saya faham masalah yang dihadapi guru dan saya telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian bagi mengenalpasti masalah sebenar.

“Sekiranya masih terdapat kesamaran mengenai PBS, saya minta supaya ia ditangani segera bagi mencerahkan pemahaman guru yang akan melaksanakan PBS untuk murid Tingkatan 3 yang bakal melalui format baru tahun ini,” katanya.

Menyentuh isu penempatan guru, Muhyiddin berkata sebahagian besar isu penempatan guru telah diselesaikan dan bakinya dijangka akan dapat diselesaikan menjelang Mac tahun ini.

Katanya, isu pertukaran dan penempatan guru tidak akan diselesaikan selagi jumlah yang memohon lebih besar berbanding ruang kekosongan yang ada.

“Soal pengisian jawatan telah kita buat, hampir 8,000 guru semuanya. Sebahagian besar telah diisi. Beberapa ratus berbaki, akan diisi tidak lama lagi.

“Berbaki itu akan ditempatkan selewat-lewatnya Mac ini. Mereka yang bergraduat selepas Ogos tahun lalu, akan ditempatkan berdasarkan kekosongan selepas Mac.

“Isu penempatan dan pertukaran guru memang kita selalu bincang. Yang mana kita boleh bantu atas dasar mereka memenuhi syarat kekosongan bidang, kita akan lakukan.

“Jumlah membuat permohonan pertukaran pada satu ketika pernah mencecah 20,000 permohonan setahun sedangkan kekosongan hanya 7,000 sahaja,” katanya.

Beliau turut mengingatkan guru tidak boleh lari dengan tugas tambahan yang diberikan pihak sekolah meskipun fokus kepada pengajaran dan pembelajaran perlu diberi keutamaan.

Katanya, guru sekolah di luar negara juga turut dibebankan dengan tugas tambahan dan ini sudah menjadi trend perguruan semasa.

“Saya nak sebutkan di mana-mana sistem pendidikan, guru tidak tertumpu hanya soal pengajaran sahaja, ada yang menanggung kerja tambahan seperti menjaga disiplin, ko-kurikulum dan lain-lain.

“Seboleh mungkin, kita mahu guru beri tumpuan untuk mengajar. Kalau kerja lain, itu kesediaan untuk melakukan kerja. Ia biasa berlaku di kebanyakan negara,” katanya.

September tahun lalu, Muhyiddin mengumumkan sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan bebanan guru.

Katanya, perkara tersebut yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat merupakan sebahagian daripada dasar dalam PPPM.

“Antara langkah untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar seorang pembantu pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan dihantar berperingkat-peringkat," katanya.



Friday, January 24, 2014

Pemimpin Hebat Dan Pengikut Cemerlang

Menghadapi kepimpinan manusia yang diberi sedikit kuasa di dunia ini, berbagai gaya ditonjolkan manusia itu sendiri sehingga kadang-kadang mendatangkan berbagai kecelaruan rasa sesama manusia. Dikesempatan ini, diutuskan lembaran kata untuk tatapan dan iktibar agar mendapat manfaat darinya.

Kepimpinan merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia apatah lagi melibatkan urusan yang besar seperti menguruskan pentadbiran negara maupun organisasi.

Ketua merupakan suatu kemestian yang ada dalam sebuah organisasi atau jemaah. Rasulullah SAW pernah menegaskan mengenai perkara ini dalam satu hadis.

“Jika kamu bertiga, hendaklah kamu melantik seseorang mengetuai kamu.”

Ketua memainkan peranan bagi mengepalai dalam setiap tindakan dan membuat keputusan serta sedia bertanggungjawab dengan keputusan yang diambil olehnya. Ketua yang amanah akan bersikap jujur dan adil demi kebaikan majoriti orang di sekelilingnya serta tidak mementingkan diri sendiri.

Oleh kerana tugas sebagai pemimpin merupakan suatu amanah yang besar serta sangat besar tanggungjawabnya, maka pemimpin perlu dipilih daripada mereka yang layak dan memenuhi kriteria yang diperlukan. Bukan hanya dilantik kerana ia dekat atau rapat dengan kita, walhal ilmu kepimpinannya lemah dan hanya menurut hati dan nafsu semata-mata.

Islam menggariskan beberapa sikap yang perlu diamalkan oleh seorang pemimpin antaranya bersikap lemah lembut, pemaaf, teguh pendirian dan bertawakkal kepada Allah SWT.

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad) engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Ali Imran, 3: 159)

Kita melihat sendiri bagaimana Rasulullah SAW menolak permintaan Abu Zar yang menginginkan jawatan ketua atau pemimpin di kalangan orang Islam dengan alasan bahawa beliau (Abu Zar) adalah seorang lemah, tidak mampu memikul tanggungjawab seorang pemimpin yang berkaliber.

Peranan utama pemimpin ialah bersikap amanah dan bertanggungjawab dengan adil dalam semua perkara yang melibatkan amanah yang diberikan kepadanya. Manakala peranan umum bagi pengikut ialah memberikan petaatan kepada pemimpin selagi tidak bercanggah dengan suruhan dan larangan Allah swt serta menegur sekiranya terdapat kesilapan dalam tindakan pemimpin.

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulul amri (pemegang kuasa) di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya) jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih baik akibatnya.” (an-Nisa’, 5: 59)

Ayat di atas dengan jelas menyuruh agar manusia memberikan ketaatan yang mutlak tanpa ragu-ragu kepada Allah dan Rasul. Ayat di atas menggunakan ‘feel amar’ yang membawa maksud wajib taat kepada Allah dan Rasul. Di samping itu, kita juga diminta agar taat kepada ulul amri iaitu pemimpin di kalangan kita. Walaubagaimanapun ketaatan kepada pemimpin tidak mutlak seperti ketaatan kepada Allah dan Rasul.

Dari Ibn `Umar r.a.: “Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maka tidak ada ketaatan dalam perkara maksiat dan setiap perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah.

Kita wajar mencontohi sikap kepemimpinan yang pernah ditonjolkan oleh baginda Rasulullah dan para sahabat. Mereka berjaya menonjolan keindahan Islam dengan berlaku adil kepada semua pihak termasuk kaum bukan Islam yang mendiami kota Madinah.

Abu Bakar dalam ucapan dasarnya selepas dilantik menjadi khalifah menggantikan Rasulullah dengan rendah diri menyeru agar umat Islam mengikutinya jika benar dan menegurnya jika salah.

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah memerintah kalian dan aku bukanlah yang terbaik diantara kalian, seandainya aku berbuat kebaikan, ikutilah, dan bila aku berbuat keburukan, luruskanlah. Sedekah merupakan amanah, sedangkan dusta adalah khianat. Orang yang lemah diantara kalian menjadi orang kuat di sisiku sampai kuberikan hak darinya, Insya Allah tidak satupun kawan yang meninggalkan jihad di jalan Allah, kecuali dia bakal menimpakan kehinaan kepada mereka dan tidaklah menyebar kekejian pada suatu kaum melainkan dia akan menyelimutinya dengan malapetaka. Patuhilah aku selama aku patuh kepada Allah swt. dan rasul-Nya. Seandainya aku berbuat durhaka, tentu kalian tidak wajib mematuhiku. Lakukanlah shalat semoga Allah mengasihi kalian semua.”

Dan beliau menegaskan bahawa tidak ada ketaatan lagi kepadanya jika beliau durhaka terhadap suruhan Allah. Ucapan ringkas yang padat ini wajar dijadikan panduan bagi kita terutamanya pemimpin sebuah organisasi apatah lagi pemimpin Negara.

Ketaatan kepada pemimpin adalah perlu berterusan dalam setiap perkara yang disukai atau dibenci dan dalam senang atau susah. Perihal ketaatan kepada pemimpin juga dapat difahami dengan meniliti hadis di bawah;

Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Junaidah bin Abi Umayyah dari ‘Ubaidah bin Al-Samit yang menyatakan:”Rasulullah S.A.W. telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda… kemudian `Ubaidah berkata:”Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah) dalam perkara yang kami sukai atau benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap amir (ketua) dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.”

Pemimpin perlu menyedari akan amanah dan tanggungjawab yang besar tersebut dengan berlaku adil berpandukan al-Quran dan Sunnah. Dalam masa yang sama, pengikut juga perlu memahami dan memainkan peranan dalam mentaati pemimpin serta membantu dalam menegakkan kebenaran.

Subhanallah.

Tuesday, January 21, 2014

Adakah Anda Mempunyai Ciri Kepimpinan Yang Baik

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin atau Ketua Jabatan secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. Seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Dalam proses perhubungan Ketua Jabatan dan kakitangan, terdapat banyak aspek yang perlu diberi perhatian.

Misalnya, bagaimanakah seorang Ketua Jabatan mempengaruhi tingkah laku kakitangan supaya dapat menghasilkan output yang sempurna. Sebagai contoh dalam situasi sekolah misalnya, pengetua/guru besar dan guru-guru berusaha melahirkan pelajar yang sempurna dari segi mental, fizikal, rohani dan jasmani. Seorang pengetua/guru besar mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan, agar mendapat kerjasama dan diterima oleh semua kakitangan di sekolah.

Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu. Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu. Pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. Ini termasuklah:

1. Mentaliti
  • Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
  • Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
  • Mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain datang kepadanya minta bertindak.
  • Mempunyai kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam organisasi.

2. Kemasyarakatan
  • Kesediaan memberi dan menerima pendapat.
  • Sikap positif dan terbuka.
  • Daya penggerak dan semangat juang yang kuat.
  • Kebolehan berkomunikasi secara berkesan.

3. Moraliti
  • Mempunyai disiplin diri yang unggul.
  • Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilan, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
  • Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.

Antara ketiga-tiga ciri yang dinyatakan, moraliti adalah yang terpenting untuk menilai seseorang pemimpin sama ada baik atau buruk, berkesan atau tidak, boleh bertahan lama atau tidak.

Pemimpin memerlukan juga sikap tertentu untuk mempengaruhi orang lain. Perkara yang paling penting ialah pemimpin harus mempunyai pengertian dan tanggapan yang tajam terhadap individu-individu yang saling berurusan dengannya. Selain daripada itu seorang pemimpin juga harus mempunyai:
  • Empati: iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati.
  • Kesedaran: akan kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri. Sedar tentang bagaimanakah dirinya dianggap oleh orang lain. Hanya apabila ini berlaku maka barulah kepercayaan kebolehan dirinya akan timbul.
  • Kebolehan: untuk melihat secara objektif akan masalah-masalah dan tingkah laku anggota-anggota lain. Pemimpin harus bersikap adil boleh memberi analisa yang adil dan tidak emosional.

Selain itu, sekiranya seseorang itu ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima sebagai baik:
  • Harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman. Jangan berfikir kita sudah hebat apabila berada di atas, mungkin orang bawahan kita lagi hebat, cuma mereka tidak berpeluang diangkat menjadi pemimpin.
  • Berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya. Tapi perlu mahir berkomunikasi dalam mengutarakan jawapan kerana ia melibatkan hati dan perasaan orang.
  • Berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus. Tidak hanya mendambakan hasil yang baik semata-mata.
  • Mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pemimpin yang baik juga tidak berkasar dengan orang-orang bawahannya. Menerima teguran, pendapat dan bertoleransi. Ingat merendah diri tidak bermakna anda lemah, malah anda akan dihormati dan disukai.
  • Pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.
  • Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.
  • Tahu dan mahu berbincang dengan orang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja dan bersikap “akulah ketua”.
  • Mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia. Justeru, banyaklah menimba ilmu melalui pembacaan atau pergaulan. Pemimpin yang baik tidak hanya melontarkan idea sahaja tapi sebaiknya cuba mempermudah atau menghasilkan sendiri tugasan sebagai contoh kepimpinan melalui teladan. Segala teguran sebaiknya dilakukan secara personal atau kumpulan, bukannya secara umum yang boleh memberi kesan buruk dan dianggap orang bawahan sebagai leteran atau ingin menunjukkan kuasa.
  • Pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka dan adil. Tidak hanya melambakkan tugasan kepada seseorang sahaja.
  • Tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif dan tidak mempunyai tanggapan negatif terhadap orang bawahan.

Melalui ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.

Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.

Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa; secara formal melalui jawatan dan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan, iaitu penerimaan orang-orang bawahan.

Memimpinlah bukan sekadar mengarah. Elakkan menimbul stress dalam organisasi yang dipimpin!

Monday, January 20, 2014

20 000 Guru Bahasa Inggeris Akan Dilatih Semula Tahun Ini

Sebanyak 20,000 guru bahasa Inggeris sedia ada akan dilatih semula tahun ini untuk meningkatkan penguasaan bahasa mereka, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata untuk permulaan pada Februari ini 9,000 guru akan dilatih manakala selebihnya akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Jumlah ini meningkat berbanding 5,000 pada tahun lepas, ini supaya pendedahan yang diberikan oleh guru mudah difahami pelajar dan seterusnya penggunaan bahasa itu dapat dicapai dengan baik.

"Ia juga bagi menyahut seruan kerajaan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright kepada 100 siswazah dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat di kementerian itu di sini Isnin.

Idris berkata perancangan tahun depan pula kementerian juga menjangkakan jumlah yang sama iaitu 20,000 guru akan dilatih.

Terdahulu mengenai program berkenaan, bakal guru dari Amerika itu akan ditugaskan selama 10 bulan di sekolah menengah dan rendah di enam negeri iaitu Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Selain membantu guru bahasa Inggeris di dalam kelas, mereka juga akan menjalankan aktiviti luar kurikulum yang dijalankan dalam bahasa Inggeris seperti program perkhemahan.


- BERNAMA

Tuesday, January 14, 2014

SALAM MAULIDUR RASUL 2014

Tiada suatu pun keburukan dari akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sehingga Allah SWT menjadikannya sebagai ‘Uswatun Hasanah’ bagi seluruh umat manusia. Dan kita sebagai umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ada baiknya dan seharusnya kita mengetahui latar belakang Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


BIODATA RASULULLAH SAW

Nama:
Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hashim.

Tarikh Lahir:
Subuh hari Isnin, 9 Rabiul Awwal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).

Tempat Lahir:
Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.

Nama Bapa:
Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hashim.

Nama Ibu:
Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf..

Pengasuh Pertama:
Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman, hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).

Ibu Susu Pertama:
Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).

Ibu Susu Kedua:
Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).



PERJALANAN HIDUP RASULULLAH SAW

Usia 1 Hari:
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dilahirkan dalam keadaan suci bersih, cahaya terpancar dari tubuhnya dan tali pusatnya sudah sedia terpotong serta telah siap berkhitan.

Usia 5 Bulan:
Pada usia 5 bulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sudah pandai berjalan dan berlari.

Usia 9 Bulan:
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada usia 9 bulan sudah mampu berbicara dengan lancar.

Usia 2 Tahun:
Ketika usia 2 tahun, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sudah boleh dilepaskan bersama anak-anak Halimah yang lain untuk menggembala kambing yang saiznya lebih besar daripada tubuhnya. Baginda juga selama beberapa waktu menggembala kambing orang Mekah di kawasan Qararit.

Usia 4 Tahun:
Dua malaikat membelah dada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi mengambil jantung dan hatinya, kemudian malaikat membukanya untuk mengeluarkan darah kotor dan menyucikan hatinya dengan hikmah dan salju. Peristiwa ini disaksikan oleh anak-anak dari keluarga Sa’d yang berlari pulang sambil berkata kepada ibu-bapanya: “Saudara kami yang dari Quraisy itu telah diambil oleh dua orang laki-laki berbaju putih. Dia dibaringkan, perutnya dibedah, sambil di balik-balikan.”

Usia 6 Tahun:
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muthalib.

Usia 8 Tahun:
Datuknya, Abdul Muthalib pula meninggal dunia. Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

Usia 12 Tahun:
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika sedang beristirehat di wilayah Bushra dalam perjalanan untuk berdagang bersama bapa saudaranya, Abu Talib ke Syam (Syria). Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) menceritakan kepada ketua-ketua rombongan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

Pendeta Bahira telah melihat tanda-tanda kenabian pada diri Muhammad. Beliau menceritakan bahawa kedatangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika itu diiringi dengan gumpalan awan yang menutupinya dari cahaya matahari. Dia juga sempat berdialog dengan Baginda dan menyaksikan adanya sebuah Khatamun Nubuwah (tanda kenabian) di badan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Usia 20 Tahun:
Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’, jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ‘perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk member pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

Usia 25 Tahun:
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

Usia 35 Tahun:
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

Usia 40 Tahun:
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

Usia 53 Tahun:
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

Usia 63 Tahun:
Kali ke dua malaikat membelah dada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebelum dibawa Mi’raj ke Sidratul Muntaha.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Isra ke Masjidil Aqsa, Palestine dari Masjidil Haram, Makkah lalu Mi’raj ke Sidratul Muntaha di langit k etujuh dari Baitul Maqdis tidak sampai satu malam pada tarikh 27 Rajab tahun 11 Hijriah.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam wafat di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/8 Jun 632 Masihi.



ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

1. Khadijah binti Khuwailid al-Asadiyah r.a
2. Saudah binti Zam’ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a
3. Aisyah binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar r.a)
3. Hafsah binti Umar (anak Saidina Umar bin al-Khattab r.a.)
4. Ramlah binti Abu Sufian r.a (digelar Ummu Habibah)
5. Hindun binti Abu Umaiyah r.a (digelar Ummi Salamah)
6. Juwairiyah ( Barrah ) binti Harith bin Abu Dhiror
7. Safiyyah binti Huyay bin Akhtab
8. Zainab binti Jansyin
9. Maimunah Binti Harith Al-Hilaliyah
10. Asma’ binti al-Nu’man al-Kindiyah*
12. Umrah binti Yazid al-Kilabiyah*
13. Zainab binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)*

* Ulama berselisih pendapat tentang kesahihan isterinya ini.

Nama Isteri Pertama Dan Usia Baginda Berkahwin:
Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah pada 25 tahun. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam hanya berkahwin dengan isteri-isteri Baginda 3 tahun setelah kewafatan Siti Khadijah.



ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’

Rasulullah Hanya Mempunyai Anak Dari Siti Khadijah:

Putera
1. Al-Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim

*Ketiga-tiganya meninggal waktu usia masih kecil.

Puteri
1. Zainab menikah dengan Abil Aash ibnu Rabi ‘bin Abdus Syam
2. Ruqayah menikah dengan Utbah bin Abi Lahab
3. Ummu Kaltsum menikah dengan Utaibah bin Abi Lahab
4. Fatimah Az-Zahra menikah dengan sayidina Ali bin Abi Talib ra

Anak Tiri Rasulullah SAW:
Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda. Anak Saidatina Khadijah bersama bekas suaminya, Hind bin Habbasy bernama; Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah at-Tamimi.



SAUDARA SUSUAN RASULULLAH SAW

Saudara Sesusuan Dari Ibu Susuan, Thuwaibah:
1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

Saudara Sesusuan Dari Ibu Susuan, Halimah Al-Saidiyyah:
1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘ Uzza
3. Syaima ‘ binti Harith bin Abdul ‘ Uzza
4. Aisyah binti Harith bin abdul ‘ Uzza



BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(Anak-Anak Kepada Abdul Muttalib)

Bapa Saudara:
1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah *
5. Al-Abbas *
6. Abu Thalib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8. Abdul Kaabah
9. Hijl
10. Zirar
11. Ghaidaq

Ibu Saudara:
1. Umaimah
2. Atiqah #
3. Arwa #
4. Umaimah
5. Barrah
6. Al-Bidha (Ummu Hakim)
7. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) *

* Sempat masuk Islam.
# Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.



Kasihi Keluarga Rasulullah SAW
Berdasarkan kepada hadis-hadis, ketahuilah mencintai keluarga Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallamadalah wajib dan haram hukumnya membenci mereka sebagaimana sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam: “Sesiapa yang mencintai keluargaku maka wajib bersamaku di dalam syurga dan sesiapa yang membenci keluargaku maka haram baginya mendapatkan syafa’atku nanti di hari kiamat.”

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan/rahmat) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan mengingati Allah dalam masa susah dan senang.” (Surah Al-Ahzab; ayat 21).

Video: Ya Nabi Salamun Alaika


  والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam bishowab.



- shafiqolbu

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi