Thursday, October 31, 2013

Adab Berbeza Pendapat

Manusia dijadikan Tuhan dengan fitrah bahawa setiap seorang daripada mereka dibekalkan dengan potensi ingin tahu, dihormati, diterima pendapatnya, dipenuhi kehendaknya dan tidak tercabar maruah diri serta keluarga atau lingkungan hidupnya. Kesemua itu mendorong manusia mempertahankan keyakinan, kepercayaan dan pendapatnya apabila disangkal atau dicabar. Perselisihan, persengketaan hatta peperangan boleh terjadi kerana perbezaan pendapat antara seorang dengan seorang yang lain adalah juga fitrah. Tidak ada satupun pendapat yang benar-benar sama dimiliki oleh dua orang yang berbeza.

Sejarah perselisihan pendapat berlaku seawal Nabi Adam mendapat dua pasang anak kembar iaitu Qabil dan pasangan perempuannya serta Habil dan pasangan perempuannya. Qabil berpendapat dia sepatutnya dikahwinkan dengan pasangan kembarnya yang pada pendapatnya juga lebih cantik sedang Habil berpendapat sebaliknya. Walaupun pendapat Habil sepatutnya lebih benar kerana disokong oleh hukum yang ditentukan Tuhan yang tidak membenarkan perkahwinan antara adik beradik kembar, Qabil tetap dengan pendiriannya. Akibatnya Qabil telah membunuh adik kandungnya sendiri walaupun terpaksa mengingkari ketentuan Tuhan.

Kesan daripada berbeza pendapat adalah besar jika tidak diurus dengan baik. Sebaliknya jika kita dapat mengurus perbezaan pendapat dengan sempurna keuntungan besar pula diperoleh bukan sahaja individu terlibat malahan organisasi dan masyarakat amnya.

Perbezaan pendapat sebenarnya suatu rahmat yang mengandung banyak kebaikan. Hadith Nabi S.A.W ada menyebut “Al ikhtilafu fi ummati rahmatun” yang bermaksud perbezaan pendapat di kalangan ummatku adalah suatu rahmat. Dalam tahun 1987 ketika di Mina Makatul Mukarramah mengerjakan haji, seorang rakan membacakan hadith ini kepada saya sambil membayangkan bagaimana jika tiada perbezaan pendapat di kalangan mazhab tentang masa melontar jumrah. Dengan adanya perbezaan pendapat itu, jemaah haji boleh melontar di tempat yang sama mengikut masa yang berbeza berdasarkan pandangan mazhab yang dianuti.

Berikut digariskan adab berbeza pendapat agar pendapat yang kita berikan bukan sahaja diterima dan dimanfaatkan malahan perselisihan faham tidak membawa persengketaan.

1. Tertib dan berfikir sebelum anda bercakap memberi pendapat. Pendapat anda sebaik-baiknya hendaklah berasaskan prinsip, prosedur, fakta dan doktrin umum berkenaan perkara yang dibincangkan.

2. Amalkan prinsip berkomunikasi peringkat tinggi apabila anda berbincang dan mengemukakan pendapat secara rasmi:
  • Tunggu giliran anda bercakap semasa orang lain sedang bercakap. Elakkan mencelah atau memotong cakap orang lain tanpa kebenarannya.
  • Pelajari kemahiran mendengar kerana ia adalah kemahiran abad ke-21.
  • Gunakan bahasa yang baik dengan struktur yang betul dan tidak menyakiti hati mana-mana pihak. 
  • Sesuaikan laras bahasa dan suara anda apabila bercakap sehingga tidak terlalu sukar untuk didengar dan difahami oleh audiens anda. 
3. Elakkan mempertikai pandangan dan pendapat orang lain. Jika anda terpaksa berbuat demikian, ikuti petua Dale Carnegie dalam Golden Booknya jika anda ingin pandangan anda dihormati orang:
  • Jangan mengkritik, kondem atau komplain pendapat orang lain yang anda tidak persetujui.
  • Berikan penghargaan atau pujian yang ikhlas terhadap pandangan atau pendapat yang anda tidak bersetuju sebelum anda memberi pandangan sebaliknya.  
  • Gembirakan hati orang yang anda tidak setuju pandangannya sehingga dia tidak merasa keberatan untuk menerima pendapat anda atau tiada masalah dengannya.
  • Tunjukkan minat anda untuk mendengar dan mengikuti dengan sabar dan asli pendapat orang itu sebelum anda mengemukakan pula pendapat anda.
  • Sentiasa berikan senyuman ketika berbicara kerana dengan senyuman orang lebih mudah menerima pendapat anda yang berbeza dengannya.
  • Address orang yang anda ajak bicara atau hujah pendapatnya dengan namanya yang betul dengan salutation yang sesuai kerana secara psikologi anda menghormatinya walaupun berbeza pendapat dengannya.
  • Bercakap atau berhujah dari perspektif orang yang berbeza pendapat dengan anda. Sebagai contoh, jika anda subordinate kepada seorang ketua yang anda tidak bersetuju dengannya, berikan hujah anda mengikut dasar dan peraturan yang digariskan olehnya atau oleh jawatan yang disandangnya. Sebaliknya, jika anda ketua, sampaikan hujah anda ‘seolah-olah anda berada di dalam kasutnya’.
  • Jadikan orang yang berbeza pendapat dengan anda berasa penting bukan sahaja kepada anda tetapi juga kepada organisasi atau institusi. Disarankan supaya anda lakukan dengan ikhlas.
4. Cara terbaik untuk mengelak perselisihan atau pertelingkahan yang disebabkan oleh perbezaan pendapat ialah elak berhujah (berargumentasi), sebaliknya terima sahaja mana-mana pendapat yang disenangi ramai. Ramai orang terperangkap dalam pertelingkahan perbezaan pendapat hanya dalam perkara yang remeh atau dalam perkara yang samar kebenarannya atau mana-mana pendapatpun boleh diterima. Jika pendapat yang anda rasa betul dipertikai orang, membiarkan orang lain mempertahankannya adalah lebih baik dan lebih mulia daripada anda sendiri berbuat demikian.

5. Tunjukkan hormat anda kepada pendapat orang lain. Jangan sekali-kali mengatakan orang lain salah. Mungkin betul dia salah tetapi cuma satu sedangkan salah anda mungkin dua. Jika anda salah, jangan malu segera mengakuinya dengan ikhlas, empati dan semangat setiakawan.

6. Apabila anda merasa dan mendapati pendapat anda diterima ramai sedangkan pendapat orang lain sebaliknya, lebih baik anda berikan peluang kepada orang lain merumus atau menyatakan penerimaan keputusan yang akan diambil. Membiarkan orang itu merasa bahawa itu adalah pendapatnya adalah lebih baik dan lebih mulia walaupun hakikatnya adalah pendapat anda.

7. Berlaku adil, simpati dan hormat orang yang pendapat dan kehendaknya tidak diterima. Caranya mungkin dengan tidak mengulang-ulangi pendapat orang itu selepas pendapat lain diterima atau nyatakan bahawa pendapatnya betul tetapi lebih elok jika diterima pada masa dan situasi lain.

Apa yang saya kemukakan di atas juga merupakan pendapat peribadi yang ditulis berdasarkan pengamatan dan rujukan terutama Dale Carnegie yang tidak bebas daripada kesilapan dan kesalahan. Saya tidak merayu apatah lagi menuntut agar pendapat saya diterima. Jika ada kebaikannya pertimbangkanlah untuk diamal. Sebaliknya, jika tiada kebaikan apatah lagi jika ada mudharat, kesampingkanlah.


- drjamiladimin

Sistem SPPBS, SPS Akan Diintegrasikan Bagi Ringan Beban Guru

Kementerian Pendidikan akan mengintegrasikan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) sebagai satu pengkalan data bagi meringankan beban guru di sekolah dalam tempoh dua bulan akan datang.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu Pengintegrasian 1Data.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Madinah Mohamad berkata melalui langkah itu, guru hanya perlu memasukkan maklumat pengoperasian harian sekolah menggunakan satu sistem.

"Kementerian sedang meneliti dan berusaha mengintegrasikan kedua-dua sistem ini dan guru tidak perlu menggunakan pelbagai sistem sehingga membebankan tugas mereka sebagai pengajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal bersama kira-kira 2,000 guru dan pegawai pelaksana negeri Melaka dalam program Pemantapan Profesion Guru (PPG) di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Dr Madinah berkata usaha itu juga perlu dilaksanakan secara serius kerana guru berhadapan masalah mengakses kedua-dua sistem berkenaan disebabkan capaian sistem tersebut sering tergendala dan sukar diakses.

Beliau berkata pengintegrasian kedua-dua sistem tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama kementerian dan JPA sebelum diperluaskan di 10,091 sekolah seluruh negara, menjelang akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, Madinah berkata bilangan maklumat yang perlu dimasukkan guru akan berkurangan daripada 130 maklumat kepada kira-kira 60 maklumat.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata Program Pemantapan Profesion Guru bertujuan memartabatkan profesion guru supaya golongan itu memberi fokus sepenuhnya kepada tugas pengajaran dan pembelajaran tanpa perlu melaksanakan tugas pentadbiran akan diperluas secara berperingkat di enam zon melibatkan Sabah, Sarawak, Utara, Selatan, Timur dan Barat.

"Pada masa ini, program ini sedang dilaksanakan di negeri Melaka sebagai negeri perintis melibatkan 313 sekolah yang telah bermula sejak Januari lepas," katanya.

- BERNAMA

CUEPACS Mahu Penambahbaikan Skim Pada Semua, Bukan Hanya 81 Skim

CUEPACS mahu penambahbaikan skim perkhidmatan kakitangan awam tidak terhad kepada 81 skim sahaja sebaliknya meliputi kesemua lebih 200 skim.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata penambahbaikan skim perkhidmatan awam perlu dibuat secara menyeluruh bagi mengelak produktiviti dalam kalangan 1.3 juta penjawat awam terjejas jika 81 skim sahaja ditambah baik.

"Kita berharap bukan hanya untuk 81 skim sahaja, kita ada lebih 200 skim. Kita mahu sebelum 31 Dis ini, kalau boleh semua skim dapat penyelesaian," katanya semasa melawat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Padang Jawa Khamis.

Sebelum ini, beliau berkata kesatuan sekerja yang terlibat dalam penguatkuasaan seperti JPJ, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan mengemukakan memorandum penambahbaikan skim perkhidmatan masing-masing kepada kerajaan.

Begitu juga dengan kumpulan pentadbiran sistem maklumat dan kewangan serta kumpulan pengurusan dan profesional, katanya.

Omar berkata CUEPACS akan mendengar taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya Jumaat berkaitan skim yang akan ditambah baik dan pihaknya dijangka membangkitkan keperluan penambahbaikan kepada semua skim.

Beliau juga berkata gred gaji permulaan bagi anggota penguatkuasa masih rendah iaitu kira-kira RM800 sebulan berbanding gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM900 sebulan.

- BERNAMA

Monday, October 28, 2013

Pekeliling Tambah Baik Perkhidmatan Awam Dikeluar

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, satu pekeliling mengenai 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah bajet 2014 akan dikeluarkan bulan depan untuk penjawat awam yang diberikan peluang dari segi peningkatan gred jawatan.

Beliau, yang turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju mengadakan kajian semula skim perkhidmatan awam berkata, ia telah sampai ke peringkat akhir setelah melalui satu proses ketat untuk mendapatkan persetujuan.

"Semua skim ini kita buat kajian semula dengan melibatkan semua.

Kita bermesyuarat dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), persatuan yang terlibat, semua ketua jabatan dan ketua-ketua setiausaha," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan serantau Persatuan Pentadbiran Awam dan Pengurusan Komanwel (Capam) 2013.

Persidangan itu dirasmikan Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini, semalam.

Ali berharap penjawat awam yang menerima surat tawaran akan mempertimbang dengan baik perubahan skim masing-masing, yang dilaksanakan daripada pelbagai peringkat mulai bulan depan.

- Bernama

Seminar HOTS Tepati PPPM

Sistem pendidikan di Malaysia melalui aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-3025 (PPPM) memerlukan mereka mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) atau Higher Order Thinking Skills (HOTS) yang amat bersesuaian dengan keperluan pembelajaran Abad ke-21.

Kemahiran berfikir aras tinggi memerlukan murid mengguna minda secara meluas untuk menghadapi cabaran-cabaran baru.

Ledakan teknologi maklumat telah mengubah landskap pendidikan di peringkat global apabila guru bukan lagi pendeta di atas pentas untuk menjadi rujukan murid tetapi hanya menjadi fasilitator di sisi murid.

Maklumat dapat dicapai oleh murid melalui pelbagai corak pembelajaran yang berlaku dalam talian atau dengan kata lain proses pembelajaran berlaku lebih awal daripada proses pengajaran.

Dalam hal ini murid harus mampu menggunakan daya pemikiran mereka untuk menganalisis maklumat yang mereka terima.

Penggunaan minda secara meluas berlaku apabila seseorang itu perlu mentafsir, menganalisis atau memanipulasi maklumat untuk menjawab soalan atau menyelesaikan masalah yang dikemukakan (Onosko dan Newmann, 1994).

Perluasan maklumat yang sedia ada dalam minda adalah bertujuan menghasilkan sesuatu yang baru atau asli. Masalah-masalah yang mempunyai pelbagai kemungkinan penyelesaian merupakan nadi kepada Pemikiran Aras Tinggi (Zevin, 1995).

Di Malaysia konsep Pemikiran Aras Tinggi ini sudahpun dilaksanakan dan soalan-soalan yang bercirikan HOTS diselitkan dalam peperiksaan.

Walau bagaimanapun pelbagai strategi harus dibentuk untuk meningkatkan lagi pemahaman konsep ini.

Oleh itu satu reka bentuk strategi yang mampu memudahkan guru dan murid melaksanakannya dalam proses pembelajaran dan pengajaran diperlukan.

Dalam konteks ini Pakar Motivasi dan Pensyarah Cemerlang Gred Khas C, Dr. Ismail Zain dalam penyelidikannya telah berjaya menghasilkan reka bentuk strategi untuk dijadikan panduan kepada guru dan murid bagaimana memupuk kemahiran aras tinggi di kalangan mereka.

Malah, lebih membanggakan reka bentuk strategi itu diterima untuk pembentangan dalam beberapa siri persidangan akademik di peringkat antarabangsa seperti di Itali dan di Paris, Perancis anjuran International Journal of Arts and Science (IJAS) yang berpusat di Amerika Syarikat.

Reka bentuk strategi ini juga dimuatkan dalam Jurnal antarabangsa iaitu dalam The Macrotheme Review: A multidisciplinary journal of global macro trends. Dalam siri keluaran khas The Macrotheme Review 2(2), Spring 2013 Special Issue On Education And Training.

- Utusan

Friday, October 25, 2013

Renungan: Pertanyaan Saudara Kristian Kepada Dr. Zakir Naik

Saya Jerry Thomas, seorang penyelidik sarjana dalam bidang kewartawanan di Universiti Usmania. Saya mempunyai soalan untuk awak;

Pertama: Saya sentiasa mengetahui yang Al-Quran tidak lengkap tanpa hadis. Dan sekarang kamu merujuk kepada kitab suci yang lain juga. Oleh kerana kamu telah merujuk kepada Bible. Bible menyatakan sesiapa yang menafikan Jesus Christ dia adalah ruh kepada Anti Christ (Dajjal). Itu adalah ramalan. Dan saya juga mengetahui yang hadis menyatakan yang (Nabi) Muhammad mempunyai inspirasi diabolical (berkenaan atau seperti syaitan). Apa yang patut saya rumuskan dari hal ini?

Pertanyaan pemuda Kristian kepada Dr. Zakir Naik dijawab dengan penuh tenang dan begitu jelas sekali. Amat disarankan agar anda yang sedang membaca tulisan ini untuk mengambil sedikit masa menonton video di bawah yang amat menarik ini.

Video: Pertanyaan Saudara Kristian Kepada Dr. Zakir Naik

- You Tube


Saturday, October 19, 2013

Takwim Penggal Persekolahan 2014

Bahagian pengurusan sekolah harian telah mengeluarkan Takwim Persekolahan Sesi 2014 dengan perincian persekolahan mengikut penggal seperti mana berikut:

PERINCIAN PERSEKOLAHAN MENGIKUT PENGGAL
KUMPULAN A :
Sekolah-sekolah di Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu


PERINCIAN PERSEKOLAHAN MENGIKUT PENGGAL
KUMPULAN B :
Sekolah-sekolah di Negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak,
Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya
  
  Muat turun: Takwim Persekolahan 2014

Friday, October 18, 2013

Idris: Atasi Gangguan ICT

Kerajaan berusaha menyelesaikan masalah gangguan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) mencapai objektif pelaksanaannya.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, matlamat PPPM adalah menjadikan sekolah di Malaysia satu pertiga terbaik di dunia menjelang tahun 2025.

Menurutnya, kerajaan akan meminta kerjasama operator dan pembekal terbabit meningkatkan tahap kelajuan jalur lebar di sekolah.

“Masalah ICT akan dipertingkatkan termasuk isu kelajuan dan sambungan jalur lebar selaras dengan hasrat kerajaan bagi memastikan penggunaan ICT dapat dipertingkatkan kepada murid dan pelajar di sekolah.

“Masalah yang timbul kebanyakan berhubung dengan talian jalur lebar mula-mula dipasang mungkin ada masalah teknikal.

“Saya rasa ini adalah masalah di peringkat awal pelaksanaan program. Ini kerana jika kita lihat mana-mana pun apabila sudah wujudkan sistem itu, kadangkala apabila pengguna ramai ia akan jadi crowded (sesak).

“Namun ini bukan masalah yang besar dan tidak boleh diatasi, insya-ALLAH kita akan atasi secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Jerayawara PPPM 2013-2025 di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Md Noor A Ghani.

Program berkenaan dihadiri kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada guru, guru besar, pengetua, ketua sektor jabatan pendidikan, pegawai pendidikan negeri Johor serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Idris berkata, program sehari berkenaan bertujuan memberi penerangan dan penjelasan sebenar mengenai PPPM yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Saya lihat ramai lagi yang tidak faham mengenai PPPM. Ada yang mengatakan program ini tidak memberi penekanan kepada Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik serta peperiksaan.

“Atas sebab itu, kita datang ke negeri-negeri supaya semua golongan terbabit mendapat pendedahan dan pemahaman mengenai pelaksanaan PPPM,” katanya.

Selain itu, katanya, sekiranya sistem dilaksanakan memberi penguasaan kepada guru dan murid di sekolah, ia akan menjadikan masalah ponteng sekolah dapat diatasi.

“Malah sebenarnya jika sistem ini memberi penguasaan kepada guru dan murid, murid mahu ke sekolah dan suka belajar.

“Ini kerana sistem pembelajaran tidak lama, tetapi memberi penumpuan kepada murid dan pelajar secara tidak langsung ia dapat mengurangkan masalah kehadiran di sekolah,” katanya.

- sinarharian

Thursday, October 17, 2013

Guru Kecewa SPPBS Guna Teknologi Ketinggalan Zaman

Pengenalan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) memberikan reaksi yang pelbagai khususnya dalam kalangan guru. Sejak diperkenalkan, antara perkara yang sering menjadi rungutan ialah masalah yang berkaitan dengan teknologi.

Bayangkan, dengan jumlah guru yang mencecah setengah juta, jika sistem teknologi yang digunakan tidak dapat menampung keperluan yang sepatutnya, tentulah lebih banyak masalah bakal timbul.

Oleh itu ramai kalangan guru yang meluahkan perasaan dan memberi saranan agar sistem ini dipertingkatkan. Yang berikut adalah salah satu daripada luahan hati guru yang terbabit.

Aduan penggunaan Internet Explorer dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Assalamualaikum,

Saya ingin membuat aduan berkenaan dengan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang di jalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Berikut adalah aduan saya:

1. Sistem SPPBS memaksa guru-guru menggunakan browser Internet Explorer versi 7-9 yang tidak lagi digunakan di kebanyakkan komputer zaman sekarang. Ia mengandungi banyak 'holes' dan masalah security pada browser yang berbahaya dan terdedah kepada pengguna sebab boleh disalah guna untuk penyebaran virus dan malware ketika user online. Takkan beratus-ratus pegawai IT di KPM tidak boleh mengenalpasti perkara asas seperti ini?

2. Microsoft sendiri tidak menggalakkan penggunaan browser tersebut sekarang. Bagaimana KPM boleh membuat sistem yang menggunakan teknologi lama dan tidak compatible kepada hampir semua browser utama (yang lebih selamat) di seluruh dunia? Sistem tersebut TIDAK BOLEH digunakan di Chrome, Mozilla dan Safari yang mewakili hampir 80 peratus pengguna komputer di seluruh dunia.

3. Kenapa semasa proses development sistem TIDAK mengambil kira perkara ini yang menyusahkan ramai pengguna sistem tersebut? Adakah penggunaan Microsoft Server yang mahal tersebut berbaloi dengan kos sistem tersebut yang jauh lebih murah menggunakan open sources seperti Linux, Redhat dan sebagainya. Berapa banyak pembaziran oleh KPM membangunkan sistem yang berpuluh juta ini.

4. Ia juga menyebabkan beribu-ribu pengguna Mac (Apple) langsung tidak boleh menggunakan sistem ini kerana ia hanya boleh menggunakan Internet Explorer.

5. Selain itu, disebabkan bandwidth laman KPM yang terhad, sistem SPPBS yang dilaksanakan oleh KPM tersangat perlahan untuk di access oleh beratus ribu guru di seluruh Malaysia dalam tempoh yang sama. Ramai guru terpaksa bangun pukul 2-3 pagi semata-mata nak mengisi markah murid yang langsung tidak dapat di masuki pada sebelah siang. Ditambah dengan tarikh tutup yang ditetapkan oleh KPM kepada beratus ribu guru.

Saranan saya :

1. Penambahbaikan sistem dalam stage akan datang yang membolehkan sistem di access oleh semua browser (compatibility). Semua orang yang develop sistem benci dan mengelakkan menggunakan Internet Explorer (versi 10 dan ke bawah) yang developer tahu kelemahannya yang ketara. Tetapi kerajaan menggunakan juga sistem ini. Semua orang mengelakkan sistem ketinggalan zaman yang masih menggunakan Internet Explorer pada tahun 2013.

2. Bandwidth server untuk access ke dalam sistem perlu di tambah. Fikirkan berpuluh ribu guru seluruh Malaysia access pada masa yang sama terpaksa membuang masa terlalu lama memasukkan data, tidur lewat malam, bangun awal pagi semata-mata kelemahan sistem ini. Kemudian mengajar pada waktu siang pula. Pernah orang KPM mengambil kira perkara ini?

Harap dapat membuat penambahbaikan secepat mungkin untuk kebaikan semua. Idea KPM dalam SPPBS ini amat dipuji dan sepatutnya perkara begini tidak berlaku sebab skala penggunakan sistem yang meliputi beratus ribu pengguna.

Ia hanya menyebabkan matlamat utama penggunaan sistem ini sukar di capai dan ia hanya menyusahkan guru-guru yang semakin terbeban. Bukan terbeban memasukkan data tetapi terbeban menunggu sistem loading dan tak compatible yang memakan masa terlalu lama untuk di access.

Wassalam
Guru IT


Wednesday, October 16, 2013

Tarikh Tutup Kemasukan Prestasi Murid SPPBS Tahun 2013

Surat Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia KP.LP.002.01.01.06.Jld.3(21) bertarikh 2 Oktober adalah dirujuk. Dimaklumkan bahawa kemasukan prestasi murid ke dalam SPPBS bagi tahun 2013 akan ditutup pada 1 Disember 2013 (Ahad).

Keratan Surat Berkaitan Tarikh Tutup Kemasukan
Prestasi Murid Ke SPPBS

Semua guru yang terlibat dapat menyelesaikan kemasukan prestasi akademik dan non-akademik murid Tahun 1, Tahun 2, Tahun 3, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 dapat dilaksanakan sebelum tarikh berkenaan.

Dimaklumkan Lembaga Peperiksaan tidak akan melanjutkan lagi tarikh tutup berkenaan memandangkan Kementerian Pendidikan Malaysia akan melaksanakan proses naik kelas bagi murid-murid berkenaan dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid(APDM).

- KPM

Monday, October 14, 2013

Guru Asean Berikrar Beri Pendidikan Berkualiti

Majlis Guru-Guru Asean (ACT) meluluskan empat resolusi yang menekankan peranan profesionalisme dalam menyampaikan pendidikan berkualiti ke arah merealisasikan matlamat Komuniti Asean 2015.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata pendidikan berkualiti harus dicapai melalui syarat kemasukan yang ketat, latihan dan pembangunan guru profesional secara berterusan.

Bagi mencapai matlamat ini beliau menegaskan pendidikan berkualiti memerlukan tiga elemen penting iaitu pembelajaran dan pengajaran berkualiti; kurikulum kontemporari, alat dan sumber pembelajaran untuk melengkapkan pembelajaran kanak-kanak dan persekitaran kondusif bagi pembelajaran dan pengajaran.

"Kita perlu memastikan akses yang sama kepada pendidikan berkualiti di semua peringkat tanpa diskriminasi dan ia harus bermula seawal sekolah rendah," katanya kepada pemberita pada majlis penutupan Persidangan ACT ke-29 di sini hari ini.

Kira-kira 900 delegasi dari Brunei, Indonesia, Thailand, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam, serta Korea Selatan menghadiri persidangan empat hari bermula Jumaat lepas.

Berhubung resolusi lain, Hashim berkata profesionalisme guru boleh dipertingkatkan melalui pengambilan terpilih, pembangunan profesional berterusan dan pembangunan kerjaya menyeluruh.

"Pembangunan profesional berterusan merupakan kunci kepada pendidikan berkualiti bagi guru-guru Asean, memandangkan ia boleh menghasilkan pengagihan guru secara adil dan saksama serta berkualiti.

"Dalam paradigma pendidikan holistik, peranan guru ditakrifkan sebagai pemudah cara pembelajaran dan pembentukan peribadi. Ini membolehkan guru menumpukan perhatian dalam mewujudkan suasana di dalam kelas untuk memudahkan pembelajaran kendiri," katanya.

Sehubungan itu, Hashim berkata NUTP sedang menyiapkan cadangan kepada Kementerian Pendidikan untuk menganjurkan Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan untuk guru besar dan pengetua sekolah.

Kursus ini akan melengkapkan guru besar dengan komunikasi dan kemahiran pengurusan masa untuk membolehkan mereka memahami peranan mereka dan melaksanakan tugas dengan lebih baik, katanya.

Resolusi lain memberi tumpuan kepada interaksi lebih rapat antara guru bagi memupuk muhibah dan persefahaman dengan komuniti Asean, di samping meningkatkan kerjasama antara negara Asean dan organisasi pendidikan untuk membangunkan, mengekalkan dan menyokong standard profesionalisme guru.

- BERNAMA

Saturday, October 12, 2013

Pendidikan Perlu Disesuaikan Dengan Perubahan Dunia

Warga pendidik Malaysia perlu mengadaptasi dasar dan amalan pendidikan untuk disesuaikan dengan perubahan dan perkembangan pesat yang berlaku di seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menganggap kepesatan kemajuan pendidikan dunia kini sebagai amat luar biasa.

Sehubungan itu, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata negara perlu bergerak seiring dengan keadaan itu.

"Sebagai pendidik, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya memerhati revolusi dalam pendidikan ini berlalu begitu sahaja," katanya ketika merasmikan
Konvensyen ke-29 Majlis Guru-Guru Asean, di sini, malam tadi.

Menegaskan pendidikan amat penting untuk pertumbuhan negara di masa depan, Muhyiddin berkata, ia memainkan peranan amat penting dan menjadi asas untuk generasi muda membuat persediaan untuk menghadapi cabaran masa depan.

"Kita perlu melengkapkan generasi masa depan kita dengan pengetahuan dan kemahiran dan menanamkan sikap mengutamakan inovasi dalam diri mereka.

"Kita juga perlu memberikan mereka pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam usaha mengeluarkan pekerja berpengetahuan yang mampu cemerlang dalam dunia yang serba kompetitif," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata kementerian komited untuk membangunkan sistem pendidikan yang dapat memenuhi keperluan pelajar dan negara.

"Kita patut membabitkan guru dan masyarakat untuk bersama-sama melaksanakan dasar-dasar pendidikan yang kita rumuskan di negara masing-masing," katanya.

Mengenai konvensyen empat hari itu, Muhyiddin berharap pengetahuan dari segi teori dan kemahiran praktikal diperoleh peserta akan membolehkan mereka membangunkan sistem pendidikan lebih baik di negara mereka.

Beliau percaya konvensyen itu akan mewujudkan kerjasama pembelajaran profesional dalam kalangan negara yang mengambil bahagian yang akan menghasilkan banyak faedah bagi pihak berkepentingan.

Kira-kira 900 perwakilan dari negara Asean iaitu Brunei, Indonesia, Thailand, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam serta Korea Selatan menghadiri konvensyen itu.

- Bernama

Friday, October 11, 2013

Renungan: Hasad Dengki Sesama Manusia


Setiap orang mungkin pernah mengalami perasaan ini, iaitu satu perasaan irihati terhadap orang lain yang memiliki kebaikan atau kelebihan. Perasaan ini mungkin bersama dengan harapan untuk mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Dan pada masa yang sama juga mungkin irihati itu bersama cita-cita untuk melihat kejatuhan orang yang diirihatikan itu. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud;

"Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak menyelesakan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka merekapun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut." (Surah al-Imran: 120)

Apakah pandangan Islam terhadap perasaan ini? Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan manusia, dengki ini sebenarnya telahpun lahir sejak zaman Nabi Adam a.s. sebagaimana kisah yang terdapat di dalam al-Quran. Allah berfirman;

"Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Nabi Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa". (Al-Mai'dah: 27)

Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang sesat. Telah dinyatakan bahawa;

"Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir."

Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Sesungguhnya pada nikmat Allah ta'ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: "Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah."

Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah keperluan bagi kekuatan umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya (seislam).

Hasad dengki juga lahir disebabkan merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar. Perasaan tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.

Orang yang mudah merasa iri hati terhadap orang lain biasanya amat menyukai kedudukan sebagai pemimpin atau ketua. Dia tidak mahu ada orang lain yang dapat menyainginya. Orang-orang sebegini sudah pasti tidak merasa senang apabila melihat ada orang yang lebih berwibawa dan berpengaruh daripadanya.

Sebagaimana kisah Habil dan Qabil tadi, hasad dengki merupakan sifat yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri pengamalnya.

Sekurang-kurangnya terdapat lapan kesan buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;

1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang.

Apabila seorang muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Jauhilah olehmu sekalian akan sifat dengki, kerana sesungguhnya dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu bakar." Yakni, boleh menyebabkan kufur.

2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan penderhakaan terhadap Allah.

Apabila hasad dengki telah bersarang di dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan (ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan harapan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.

Dari Dhamrah bin Tha'labah, Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Manusia itu adalah baik selama mana mereka tidak saling dengki-mendengki."

3) Sifat dengki akan menyebabkan seseorang itu kehilangan syarat untuk menerima syafa'at pada hari kiamat.

Syafa'at adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya bagi seseorang yang menerimanya ketika Hari Akhirat. Ini kerana, seseorang yang menerima syafa'at diberi izin untuknya membantu orang-orang lain yang mengalami pelbagai kesusahan dan azab ketika hari perhitungan. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang mempunyai perasaan hasad dengki dan iri hati ketika hidup kerana perasaan ini berupaya menjadi penghalang yang amat besar baginya untuk menerima manfaat syafa'at pada hari akhirat yang boleh memudahkannya untuk menempuh pelbagai rintangan dan azab pada hari dia dihisab. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. dari Abdullah bin Basyar, Rasulullah bersabda, bermaksud: "Tidak termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang yang mempunyai ilmu menilik dan akupun tidak dari golongannya."

Kemudian baginda membaca ayat al-Qur'an yang maksudnya berbunyi: "Orang-orang yang menyakiti hati orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan di atas perkara yang tidak dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan dusta dan dosa yang nyata."

4) Oleh sebab dengki merupakan sifat yang menempah dosa, maka tentulah ia akan menyebabkan pengamalnya akan humbankan ke dalam neraka sekiranya dia tidak bertaubat.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang antara lain bermaksud; "Rasulullah telah ditanya mengenai enam golongan yang akan ditempatkan ke dalam neraka. Rasulullah menjawab., Enam golongan orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka ialah, pemerintah yang menganiaya, orang Arab dengan sifatnya yang fanatik, penjajah dengan keangkuhan mereka, usahawan dengan perbuatan khianat, orang kampung dengan kebodohan mereka dan para ulama dengan sifat dengki mereka."

5) Sifat dengki juga akan menyebabkan seseorang itu boleh melakukan perkara yang boleh memudaratkan orang lain.

Contoh yang paling mudah adalah dengan melihat kisah Habil dan Qabil pada awal perbincangan tadi. Hasad dengki dan dendam kesumat yang wujud dalam perasaan Qabil telah menyebabkan kematian Habil. Di dalam hal ini, Habil telah menerima kemudaratan yang amat dahsyat disebabkan rasa hasad abang kandungnya sendiri. Apabila seseorang telah melakukan kemudaratan kepada orang lain, tentulah kesan buruknya akan pulang semula kepada dirinya. Selain itu, pengajaran lain yang boleh didapati di sini, kita seharusnya memohon perlindungan dari kejahatan orang yang berhasad dengki. Di dalam hal ini Allah s.w.t. telah menyentuh perkara ini dalam firmannya yang bermaksud; "dan dari kejahatan orang yang mendengki."

6) Memiliki hasad dengki akan hanya menyebabkan kesusahan dan kesulitan kepada pemiliknya.

Orang yang memiliki sifat ini tidak pernah merasa selesa dengan keadaan dirinya sendiri. Tidak ada ketenangan dalam dirinya kerana hanya memikirkan kelebihan dan kebaikan orang-orang yang berada di sekelilingnya dan merasakan dirinya juga wajar untuk memiliki kelebihan tersebut.


7) Hasad dengki yang berada di dalam hatin akan menghalang pintu hati daripada memahami secara sebenarnya tentang ilmu-ilmu agama dan perkara-perkara mengenai hukum hakam.

Hati akan menjadi gelap dan sesungguhnya orang-orang ini akan berada dalam kerugian. Ini kerana orang lain dapat memahami dengan mudah mengenai ilmu-ilmu agama, dan kesannya perhubungannya di antara hamba dengan Pencipta akan menjadi semakin dekat berbanding dengan orang yang mempunyai hasad dengki. Oleh sebab tidak ada keinsafan dalam dirinya, maka perhubungannya dengan Allah s.w.t. menjadi semakin jauh. Kata Sufyan dalam hal ini; "Jangan engkau menjadi orang yang dengki lagi mudah membuat kesimpulan."

8) Orang yang mempunyai hasad dengki akan sentiasa terhalang dari mendapat kebaikan dan keuntungan, bahkan dia menguntungkan musuh-musuhnya.

Ini kerana, orang-orang yang mempunyai rasa dengki lazimnya akan merasa iri hati pada orang-orang yang baik, yang sewajarnya menjadi orang yang dikasihinya sebagai saudara seagama. Walaupun demikian, disebabkan sikapnya yang buruk itu, musuh-musuh orang yang didengkinya itu akan lebih beruntung. Tugas musuh-musuh ini akan menjadi lebih mudah untuk menjatuh atau memusnahkan orang yang mempunyai kebaikan dan kelebihan tersebut.

Selain itu, sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, sikap ini akan merugikan orang yang berhasad dengki. Oleh sebab dia telah menjauhkan dirinya dari orang-orang yang didengkinya dan pada masa yang sama dia juga tidak mendapat manfaat daripada orang yang didengkinya. Keadaan ini sesuai dengan satu kata-kata hikmat yang mengatakan; "Orang yang berhasad itu tidak akan menuai hasil keuntungan."

Islam memberi panduan dan pedoman bagi mereka yang mahu menyelamatkan diri dari belenggu dosa ini. Ilmu dan takwa adalah senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang boleh menjahanamkan manusia ini. Ilmu yang dimiliki oleh manusia dapat memberi amaran tentang akibat-akibat yang bakal diterima sekiranya perasaan ini diamalkan. Peminggiran dari aspek sosial sebenarnya adalah kerugian yang amat besar bagi seseorang manusia yang ingin diterima masyarakat. Melalui ilmu juga, seseorang manusia akan berusaha untuk mencapai darjah ketakwaan.

Kesimpulannya, hasad dengki hanya akan menyebabkan kerugian kepada orang yang memilikinya dan kepada agama Islam sendiri. Bagi individu yang memilikinya, dia akan terpinggir dari hidup bermasyarakat, mempunyai perasaan yang sentiasa tidak aman dan akan menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang lebih keji. Apabila dia berada di akhirat, akan menanggung kerugian yang lebih besar, tidak tertanggung dan menempah penyesalan yang tidak terkira kerana tidak layak untuk menerima dan mendapat syafa'at dan tidak ditempatkan dalam tempat yang penuh kebaikan, kemewahan dan keberkataan, yakni syurga. Walaupun kerugian itu ditanggung secara personal oleh pengamalnya, akan tetapi ia juga memberi kesan yang tidak baik kepada ukhuwwah islamiyyah. Umat Islam akan menjadi tidak bersatu dan tidak akan menjadi sebuah umat yang kuat sekiranya sifat ini diamalkan oleh orang-orang Islam. Akhirnya, umat Islam secara keseluruhannya yang akan rugi.

Subnaallah.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi