Wednesday, July 24, 2013

Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 Kepada Penjawat Awam

Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri juga mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di ibu negara, Rabu.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara guna membantu meringankan beban kewangan sebagai persiapan hari raya.

- BERNAMA

Monday, July 22, 2013

SURAT SIARAN KPM CUTI PERISTIWA DAN CUTI BERGANTI SEMPENA HARI RAYA AIDIL FITRI TAHUN 2013

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 33 Tahun 2012: Penggal Persekolahan, Cuti Peristiwa dan Cuti Berganti Tahun 2013 Bagi Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan, KP(BPSH-SPDK)201/005/02 Jld.4 (31) bertarikh 30 November 2012.

Dalam surat berkenaan, KPM tidak menyelaraskan cuti peristiwa dan cuti berganti bagi Hari Raya Aidil Fitri Tahun 2013 kerana hari raya tersebut berada dalam Cuti Pertengahan Penggal 2, Tahun 2013.

Surat berkaitan boleh dilihat dan dimuat turun dengan mengklik surat berikut:

- NUTP

Friday, July 19, 2013

Mampukah Kita Bersabar Dan Bersyukur?

Firman Allah SWT di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai sifat syukur, iaitu terjemahannya;

“Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari Tuhan yang lain.”

Kalau kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita akan dapati bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia diuji dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya, apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Sama ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian ini, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat.

Di antara kedua-dua tuntutan ini, sekali imbas kita lihat, bersabar itu lebih susah dan lebih berat untuk dipraktikkan. Ini kerana dalam bersabar, hati manusia perlu melalui kesusahan, keresahan, tekanan dan penderitaan. Emosi, fikiran dan ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan hilang. Bersyukur pula, pada sekali imbas, nampak lebih senang dan mudah kerana hati manusia berada dalam keadaan tenang dan gembira; tidak ada tekanan atau penderitaan.

Apakah ini benar? Adakah bersyukur itu lebih mudah dari bersabar? Kalau benar kenapa tidak ramai orang yang mampu bersyukur? Kenapakah orang-orang yang benar-benar bersyukur itu sedikit sekali bilangannya. Kenapakah Allah ada berfirman di dalam Al Quran:

Maksudnya:

“Sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)

Bersyukur itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila mendapat nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan ‘Alhamdulillah’. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan cara ini. Akan tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi dikira bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi tuntutan-tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka ditakuti ucapan ‘Alhamdulillah’ itu hanyalah untuk mempermain-mainkan atau mempersendakan Allah sahaja.

Ramai juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Di samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah memberi mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka dari bala bencana tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.

Adapun syukur yang sebenar itu ialah syukur yang diucapkan oleh lidah, yang dirasakan atau ditasdik di dalam hati, dan yang dilaksanakan dalam perbuatan. Di samping mengucapkan ‘Alhamdulillah’ dan di hati merasakan bahawa Allahlah yang mengurniakan nikmat tersebut, nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke jalan Allah. Inilah hakikat kesyukuran yang sebenarnya.

Kalau kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan Allah untuk membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat Allah yang lain. Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk mendapat keredhaanNya.

Firman Allah :

Maksudnya: “Kalau kamu bersyukur atas nikmat-nikmatKu, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmatKu. Tetapi kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksaKu amat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

Syukur seperti inilah yang Allah suka dan yang Allah mahu. Dia akan tambah lagi nikmatNya, untuk ‘cover’ balik apa yang dikorbankan ke jalan Allah itu.

Justeru itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada kerja dan ada tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu perlu ditadbir, diurus dan digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah bagi manusia lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan yang sia-sia atau lebih berat lagi kepada jalan maksiat atau jalan yang salah. Kalau ini berlaku maka nikmat itu akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat daripada Allah.

Dalam bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab tambahan selain dari menahan perasaan. Tidak ada bahaya menyalahgunakan nikmat kurniaan Tuhan. Apa yang perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya dapat menerima ketentuan Allah itu dan berbaik sangka denganNya.

Wassalam.

Wednesday, July 17, 2013

Banggakah Dapat Membuat Fitnah Sesama Manusia?


Kedatangan bulan Ramadhan, aku disuakan dengan pertuduhan/fitnah oleh manusia berhati busuk. Apabila diminta bukti fitnah yang dilontarkan, mereka yang selidiki fitnah ini, berkata, "Tiada bukti, cuma menyelidik pertuduhan saja". Masyallah, entah apa agenda pereka fitnah ini, mereka tentunya bangga dengan fitnah yang dilemparkan. Aku percaya, pereka fitnah ini juga adalah Islam, yang bersolat dan berpuasa tentunya tapi mengapa fitnah tetap dilakukan? Aku ibaratkan manusia seperti ini adalah mereka yang sedang menjamu makan yang enak-enak ditempat pembuangan najis! Menjijikkan. Solat dan puasa mereka ini tidak memberi apa-apa makna, jauh sekali untuk membentuk diri menjadi manusia yang baik dan takut akan azab Allah, malah berani pula melempar fitnah. Subhanallah.

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

Dalam ayat ini, Allah melarang hamba-hambanya yang beriman percaya kepada berita angin. Allah menyuruh kaum mukminin memastikan kebenaran berita yang sampai kepada mereka. Tidak semua berita itu benar, dan juga tidak semua berita yang disampaikan ada faktanya. Ingatlah, musuh-musuh kamu senantiasa mencari kesempatan untuk menjatuhkan kamu. Maka wajib atas kamu untuk selalu berwaspada, hingga kamu boleh kenal pasti orang yang hendak menyebarkan berita yang tidak benar.

Fitnah disebarkan untuk memburuk-burukkan individu atau kumpulan kerana perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan layak dibandingkan orang lain. Ia juga menyebabkan nilai agama musnah daripada menjadi pegangan hidup dalam masyarakat. Apabila nilai agama yang menjadi tunjang kesempurnaan hidup hilang, maka banyak dosa dilakukan.

Perkara itu diingatkan dengan tegas oleh Rasulullah dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, sifat kedekut dan jenayah berleluasa”.(Hadis riwayat Muslim).

Fitnah adalah sebahagian daripada perbuatan mengadu-domba. Apabila disebarkan, ia mudah menyebabkan permusuhan dua pihak. Permusuhan menjadi semakin tegang dan tidak terkawal apabila banyak fitnah ditabur.

Ia juga tidak mempunyai asas kebenaran. Islam mengarahkan manusia supaya memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dalam berita berunsur fitnah. Justeru, wajib bagi orang Muslim menghalusi setiap berita yang diterima sebelum mempercayainya. Kesahihan berita dapat dilakukan dengan melihat kepada fakta dan sumber berita.

Jika perlu, gunakan masa lebih lama sebelum membuat keputusan. Lebih lama berfikir adalah lebih baik supaya tidak menanggung kesan buruk. Allah memberi hidayah kepada manusia untuk berfikir dengan hati terbuka dan mengharapkan petunjuk-Nya.

Sekiranya berita yang diterima belum diketahui kebenarannya, jangan kita membicara atau menyebarkannya. Rasulullah bersabda: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya) akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat”. – (Hadis riwayat Muslim).

Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran penting bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita palsu berunsur fitnah. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki dulu (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan”.

Dalam era teknologi maklumat, penyebaran fitnah mudah dilakukan melalui alat komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang lain, malah identiti penyebar juga dirahsiakan.

Dosa fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, ia tidak diampunkan Allah melainkan orang yang difitnah memberi keampunan. Tentu sukar untuk mengakui kesalahan sendiri dan memohon keampunan daripada orang lain.

Dosa fitnah juga menghalang kita masuk syurga. Rasulullah bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah”. – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Penyebar fitnah akan diberi malu oleh Allah apabila dibangkitkan pada akhirat kelak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat”. – (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari Abu Zar).

Wassalam.

Tuesday, July 9, 2013

Syarat Minimum SPM 7A Untuk Mohon Jadi Guru

Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baharu minimum 7A bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari semenanjung untuk memohon menceburi profesion perguruan bermula tahun ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kelonggaran minima 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai profesion itu, katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.

Ketika ini, syarat asas mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.

Sementara itu, Idris berkata kementerian juga sedang mengkaji bagaimana untuk meringankan beban guru dalam pelaksanaan sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) selain daripada menambah bilangan pembantu guru seperti yang telah dilaksanakan di Kedah dan Sabah.

Katanya, antara perkara yang diambil kira ialah penyediaan laporan yang tidak perlu terlalu banyak perincian dalam membuat penilaian mereka.

- BERNAMA

Saturday, July 6, 2013

KENANGAN SRU3-NPQEL FASA 3

Alhamdulillah. Tahniah buat rakan-rakan yang telah berjaya menamatkan Kursus NPQEL Ambilan 1/2013 di IAB Cawangan Utara. Semoga segala dapatan kursus yang diperolehi dapat menambah pengetahuan dan dipraktikkan dalam menjana tugasan sebagai pemimpin sekolah. Buat semua pensyarah, terima kasih atas bimbingan dan ilmu yang dicurah.

Video Gambar Kumpulan SRU3-NPQEL Fasa 3

  
Gambar-gambar kenangan Kursus NPQEL juga boleh dilayari melalui Ruangan GALERI. Terima kasih.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi