Tuesday, May 28, 2013

Pembelajaran Maya Guna Telefon Pintar

Kementerian Pendidikan sedia kemudahan 4G akhir tahun

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan bercadang memperkenalkan pembelajaran secara maya menggunakan telefon pintar seperti iPhone dan telefon Windows, pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini membolehkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Katanya, di rantau Asia Pasifik, penggunaan telefon pintar semakin popular dengan kemudahan seperti internet tanpa wayar, rangkaian 3G atau 4G untuk meningkatkan P&P.


Kemudahan 1BestariNet
“Dalam pelan tindakan pendidikan negara, kita akan menyediakan kemudahan 4G melalui 1BestariNet dan persekitaran pembelajaran maya (VLE) membabitkan lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Kita juga menyasarkan semua guru terlatih dan cekap dalam VLE menjelang 2015.

“Pembelajaran mudah alih atau m-pembelajaran dan pembelajaran di mana-mana atau u-pembelajaran adalah dua trend untuk mengukuhkan inisiatif e-pembelajaran kita,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan ‘Digital Education Show Asia’ 2013 di sini, semalam. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching.

3 gelombang pembangunan
Muhyiddin berkata, kementeriannya sudah menggariskan tiga gelombang pembangunan untuk perubahan sistem pendidikan negara dengan meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya, pembabitan guru dan integrasi ICT dalam P&P adalah faktor utama bagi menjayakan matlamat itu dan ia juga sejajar matlamat Wawasan 2020 menerusi inisiatif dalam teleperubatan, e-kerajaan, pendidikan dan industri.

Beliau yakin peningkatan integrasi ICT dalam P&P akan merubah sistem hafalan tradisional kepada pendekatan konstruktivis yang melahirkan pelajar berfikiran kreatif, kritikal dan berinovasi.

- BHarian

Monday, May 27, 2013

Hubungan Antara ICT Dan Pendidikan Kekal Saing

KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin mengingatkan rakyat mengenai pertikaian hubungan antara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pendidikan.

Beliau berkata ICT memang membawa perubahan walaupun penyelidikan lebih 30 tahun masih belum membuat kesimpulan bahawa bidang teknologi itu telah memberi kesan kepada pendidikan.

"Sebaliknya, ia amat korelasi dan ini turut diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Pada 2011, penerbitan badan dunia itu menyatakan bahawa hubungan antara ICT dan pembelajaran pelajar adalah lebih rumit daripada yang berasaskan kepada ketersediaan semata-mata atau pengunaan. Apa yang penting ialah bagaimana ICT digunakan dan apa yang diuji," katanya.

Walaupun begitu, Malaysia tidak mampu mengambil risiko dengan masa depan negara, katanya pada perasmian Persidangan dan Pameran 'The Digital Education Show Asia 2013' di sini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran I Datuk Mary Yap Kian Ching.

Dalam ucapannya, Muhyiddin juga menyatakan nilai dan bahaya 'pengasuh digital' di mana ibu bapa memberi peranti 'tablet' untuk anak-anak mereka seawal usia empat tahun daripada meluahkan masa bersama anak-anak mereka.

"Dalam trend semasa, kanak-kanak seawal usia empat tahun mempunyai 'IPads' dan peranti 'tablet' yang lain yang diberikan oleh ibu bapa sebagai alat pembelajaran. Ini memang di luar jangkaan...mereka menggunakan alat-alat ini tanpa perlu belajar daripada ibu bapa mereka.

"Bagaimanapun, saya berpendapat trend ini mempunyai kedua-dua nilai dan bahaya. Walaupun pembelajaran boleh berlaku dengan pengunaan alat-alat ini tetapi lebih sering ibu bapa menggunakan peranti ini bagi mengalih perhatian daripada meluahkan masa bersama anak-anak mereka," katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata banyak laporan menyatakan bahawa kanak-kanak bermain permainan dan berinteraksi dalam talian tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kanak-kanak ini menjadi ketagih kepada peranti seperti itu.

Beliau berkata jurang antara pembelajaran dan penerimaan adalah paradoks.

"Kita ingin melihat kanak-kanak belajar dengan peranti ini tetapi pada masa sama, kita mahu mereka mengambil kandungan dan aplikasi secara bertanggungjawab dan beretika.

"Oleh itu, saya percaya celik digital adalah penting kerana ia memastikan soal tanggungjawab dan etika sebagai sebahagian daripada warga siber di Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata beliau sedar bahawa ICT dan teknologi berubah pada kadar yang lebih pantas daripada perubahan di peringkat sekolah.

"Oleh itu pendidikan perlu fleksibel dalam menggabungkan ICT di sekolah. Saya juga khuatir bahawa kadar perubahan teknologi mungkin menyebabkan guru-guru sentiasa menjadi pendatang baru dalam bidang teknologi," katanya.

Bahaya lain seperti cabaran sosial dan etika perlu ditangani, katanya.

"Pelaksanaan jelas dan berstruktur perlu bagi menampung perubahan ini serta menyokong kemasukkan sifat penyertaan teknologi dan masyarakat," katanya.

- BERNAMA

Sunday, May 19, 2013

Sasaran tiga guru J-Qaf di sekolah rendah menjelang 2016

KOTA BHARU - Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dijangka dapat memenuhi sasaran menempatkan sekurang-kurangnya tiga guru program pendidikan Jawi, al-Quran, Bahasa Arab, Fardu Ain (J-Qaf) di semua sekolah rendah di seluruh negara menjelang 2016.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam kementerian itu, Abdullah Md Din berkata sasaran itu boleh dicapai apabila terdapat lebih 20,000 guru J-Qaf mulai tahun ini.

Menurut Abdullah hasil kajian bahagiannya mendapati sejak kementerian memperkenalkan pengambilan guru J-Qaf pada 2006, sebanyak 90 peratus murid mencapai matlamat penguasaan pendidikan Islam dalam penulisan, bacaan jawi, bacaan al-Quran dan fardu ain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Karnival Kesenian Standard Sekolah Rendah di Sekolah Kebangsaan Islah, di sini hari ini.

- Bernama

Friday, May 17, 2013

Renungan: Apakah Hidup Masih Bermatlamatkan Tuhan

Manusia rosak banyak sebabnya. Ada sebab luaran dan ada sebab dalaman. Ada sebab lahir dan ada sebab batin. Namun kalau semua sebab-sebab itu dianalisa, puncanya dapat dirangkumkan ke dalam tiga perkara yang pokok.

Pertama adalah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan.
Kedua kerana ketandusan kepimpinan
Ketiga kerana sistem hidup manusia sudah punah ranah.


Manusia Sudah Kehilangan Tuhan

Manusia umumnya sudah kehilangan Tuhan. Manusia sudah melupakan Tuhan. Tuhan sudah tidak lagi menjadi teras dan pegangan dalam hidup manusia.Tuhan sudah tidak lagi menjadi matlamat hidup manusia. Dalam banyak hal, Tuhan diketepikan dan dikesampingkan. Tuhan tidak diletakkan di hadapan. Manusia sudah tidak merujuk lagi kepada Tuhan.Manusia sudah tidak patuh lagi kepada hukum-hakam dan peraturan Tuhan. Malahan hidup manusia bukan lagi untuk Tuhan.

Manusia sudah tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan.Tempat Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat dan kuasa, dengan harta benda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya. Untuk ini semualah tujuan manusia hidup, bukan lagi untuk mendapat dan mengenal Tuhan. Tahukah manusia, amanah yang ditanggung dari apa yang mereka dambakan.

Hatta, orang agama yang lahirnya nampak macam kuat beragama juga kehilangan Tuhan. Dalam solat mereka, tidak ada Tuhan. Dalam puasa mereka tidak ada Tuhan. Dalam zakat dan haji mereka tidak ada Tuhan. Dalam wirid, zikir dan bacaan Quran mereka juga sudah tidak ada Tuhan. Paling baik, mereka mengejar pahala dan fadilat, bukan Tuhan. Pahala dan fadhilat jadi matlamat, bukan Tuhan.Mereka hanya membesarkan syariat, bukan membesarkan Tuhan. Di samping itu,ramai juga orang agama yang mengejar nama dan jawatan diatas ilmu dan amalan agama mereka. Tidak terfikirkah akan amanah yang perlu digalas.

Segala apa yang manusia fikirkan, segala apa yang manusia mahukan dan segala apa yang manusia rasakan, kesemuanya tertumpu kepada matlamat material dan keperluan hidup di dunia semata-mata. Bukan untuk mengabdikan diri, berbakti atau untuk mendapat redha, rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan.

Manusia sudah tidak yakin lagi dengan Tuhan. Sudah tidak tawakkal, tidak berserah diri dan tidak bergantung harap dengan Tuhan. Manusia menyangka seolah-olah Tuhan itu tidak ada peranan dalam hidup mereka. Mereka menganggap Tuhan tidak relevan dalam hidup mereka. Kalaupun lidah mereka tidak menyebut tetapi tindak tanduk dan amalan mereka membuktikannya. Mereka lupa dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariat:56)

Ramai manusia percaya kepada Tuhan. Tetapi mereka hanya setakat percaya sahaja. Orang Yahudi percaya Tuhan.Orang Nasrani percaya Tuhan. Orang Hindu pun percaya Tuhan. Malahan, kalau ditanya kepada setiap manusia dimuka bumi, siapakah yang menjadikan alam ini? Mereka semua akan berkata bahawa Tuhan yang menjadikannya. Tetapi percaya bukan satu keyakinan. Percaya bukan suatu itiqad. Percaya sahaja tidak cukup sebagai aqidah dan pegangan. Yang sedihnya, ramai orang Islam sendiri baru setakat percaya dengan Tuhan. Ia belum menjadi aqidah atau pegangan. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi wujudnya Tuhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada matlamat dan cara hidup mereka. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi dalam kehidupan seharian, mereka bertindak seolah-olah Tuhan itu tidak wujud. Mereka ini termasuk golongan orang-orang yang kehilangan Tuhan.


Punca Rosaknya Manusia

Hilang perpaduan. Manusia bergaduh dan berperang. Jenayah berleluasa. Timbul kezaliman, penindasan dan tekan-menekan sehingga manusia cemas dan ketakutan. Perangai manusia tidak ubah seperti haiwan. Ini semua adalah akibat manusia meninggalkan Tuhan.

Manusia hilang tempat mengadu. Hilang tempat merujuk. Hilang tempat berserah dan bergantung harap. Hilang tempat meminta pertolongan. Alangkah ruginya manusia kalau sudah kehilangan Tuhan.

Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.

Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.

Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.

Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata: Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.

Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah. Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.

Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.

Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.

Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”

Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”

Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?”

Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”

Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.

Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak langsung diambil kira.


Manusia Ketandusan Kepimpinan

Manusia sudah tidak terpimpin lagi kerana manusia sudah ketandusan kepimpinan. Oleh itu, manusia hanyut dan sesat dalam kehidupan ini tanpa menuju ke sesuatu arah yang tertentu dan tidak dapat memenuhi tujuan dan maksud mengapa manusia itu dijadikan. Manusia sudah tidak berfungsi sebagai manusia lagi.

Pemimpin yang ada di dunia sekarang sebenarnya bukan pemimpin. Obama bukan seorang pemimpin. Putin juga bukan seorang pemimpin. Begitu juga dengan Hosni Mubarak. Mereka bukan pemimpin. Paling tinggi mereka itu hanya pentadbir. Mereka mentadbir hal-hal negara, kewangan, khazanah dan ekonomi negara. Mereka hanya memenuhi keperluan lahir dan tidak langsung mengambil berat tentang keperluan rohani rakyat.

Pemimpin dalam Islam bukan setakat menyelesaikan keperluan lahir. Yang lebih penting ialah keperluan rohani. Pemimpin dalam Islam bertanggungjawab mendidik dan membina keinsanan rakyat. Membawa rakyat kepada Tuhan. Mengajar mereka supaya cinta, takut, taat dan patuh kepada Tuhan. Pemimpin dalam Islam berkewajipan menjaga kehidupan beragama rakyat dan menjadikan rakyat baik, beriman dan bertaqwa.

Soal keperluan lahir juga penting tetapi ia jatuh nombor dua. Dalam Islam, memimpin itu seperti membuat kerja Rasul.Rasul itu sebenarnya pemimpin. Siapa yang membuat kerja-kerja rasul juga dianggap sebagai pemimpin. Pemimpin seperti inilah yang sudah tidak ada lagi. Selagi pemimpin seperti ini tidak ada dan tidak dicari, maka selagi itulah hidup manusia akan menjadi rosak dan kucar kacir.

Para pentadbir dan pemimpin dunia seperti yang ada sekarang tidak mampu memimpin. Mereka tidak mampu membina keinsanan rakyat, membawa rakyat kepada Tuhan atau menjadikan rakyat orang-orang yang beriman dan bertaqwa.

Mana mungkin mereka mampu berbuat demikian dalam keadaan mereka sendiri pun tidak terpimpin. Keluarga mereka sendiri pun kucar-kacir. Mereka ini hanya akan melalaikan dan merosakkan keinsanan rakyat. Mereka ini hanya akan membawa manusia kepada dunia dan menjauhkan mereka dari Tuhan dan dari akhirat.

Paling baik, mereka hanya boleh membawa pembangunan dan kemajuan lahiriah dan membina ekonomi negara dan rakyat. Mungkin rakyat boleh hidup dengan selesa. Tetapi kebahagiaan manusia bukan terletak kepada keselesaan hidup. Ia terletak kepada jiwa yang terisi dan fitrah yang terlaksana.

Keperluan fitrah manusia yang utama ialah keinginan berTuhan, keinginan menyembah, taat, patuh dan mengabdi diri kepada Tuhan. Apabila hati-hati manusia terisi dengan dunia dan hidup mereka bermatlamatkan dunia, maka nafsu mereka akan bermaharajalela dan dunia akan menjadi rebutan. Memang dunia itu bahan rebutan dan punca pecah belah dan pemusnah kasih sayang. Manusia akan berebut-rebut dunia, menekan dan menindas seperti anjing yang berebut bangkai. Akhirnya manusia akan bergaduh, berkelahi dan bunuh-membunuh.Tidak ada kasih sayang dan perpaduan.


Sistem Hidup Manusia Sudah Punah

Sistem hidup manusia di muka bumi ini tidak lagi berteraskan syariat Tuhan. Ia adalah hasil dari ciptaan akal manusia yang begitu daif dan lemah. Sistem yang kononnya dirancang untuk kebaikan dan kebahagiaan manusia itu telah makan tuan dan telah merosakkan dan mengkucar-kacirkan kehidupan manusia itu sendiri.

Di antaranya:

1. Sistem pendidikan sekular yang hanya bermatlamatkan dunia telah merosakkan akhlak manusia. Manusia hilang akhlak kepada Tuhan dan hilang akhlak terhadap sesama manusia. Manusia menjadi pencinta dan pemburu dunia. Manusia menjadi jahat, sombong, bakhil, hidup nafsu-nafsi, zalim dan pentingkan diri sendiri. Walhal sistem pendidikan Islam membawa manusia kepada Tuhan dan membina jiwa serta akhlak manusia. Hasilnya, manusia menjadi baik, berguna, tolong-menolong dan berkasih sayang.

2. Sistem ekonomi ciptaan manusia terutama sistem kapitalis hanya mementingkan untung tidak kira dengan cara apa. Tidak kira sama ada hasil atau khidmat ekonomi itu perkara yang sia-sia, maksiat dan merosakkan orang atau ia menindas pekerja untuk mendapat untung berlipat ganda atau membazir atau merosakkan moral manusia dalam iklan untuk menjual barangan. Berlaku monopoli, menetapkan harga yang menekan dan berlebihan yang menyusahkan manusia serta berbagai-bagai lagi hanya kerana hendakkan keuntungan yang banyak. Walhal sistem ekonomi Islam menekankan khidmat kepada masyarakat dan membekalkan keperluan masyarakat sebagai suatu ibadah dan tanda kasih sayang. Segala kegiatan ekonomi tidak terkeluar dari syariat dan hukum-hakam Tuhan dan tidak lari dari tujuan untuk mendapat keredhaan Tuhan.

3. Sistem kebudayaan berteraskan nafsu telah melalai dan merosakkan akhlak manusia terutama muda-mudi. Walhal sistem kebudayaan Islam membawa manusia kepada mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan dan merindui hari akhirat. Menginsaf dan menyedarkan manusia tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Menyegarkan dan menghidupkan jiwa mereka.

Kalau hidup manusia mahu dibetulkan, tidak dapat tidak, ketiga-tiga perkara ini perlu ditangani.

Pertama, manusia perlu dibawa kepada Tuhan. Manusia mesti mula mengenal dan takut pada Tuhan.

Kedua, pemimpin yang sejati yang boleh mendidik manusia perlu dicari. Ketiga, sistem hidup manusia yang sudah punah ranah ini perlu dibaiki dan perlu mengikut peraturan hukum-hakam dan mengikut cara yang Tuhan tentukan.

Namun, di antara ketiga-tiga perkara ini, pemimpin sejati itulah yang perlu didapatkan dahulu. Kerana pemimpinlah yang akan dapat membawa kita kepada Tuhan dan pemimpin jugalah yang akan dapat membuat perubahan dan memperbaiki sistem hidup kita. Kita tidak akan dapat mengenal Tuhan tanpa ada pemimpin yang memperkenalkan Tuhan kepada kita. Dan sistem hidup kita tidak akan berubah dengan sendiri tanpa ada pemimpin yang berusaha mengubahkannya.

Wassalam.

Wednesday, May 15, 2013

KABINET MALAYSIA 2013

PERDANA MENTERI:
Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI:
Tan Sri Muhyiddin Yassin

JABATAN PERDANA MENTERI:
Menteri:
1. Datuk Seri Jamil Khir Baharom (UMNO)
2. Datuk Seri Abdul Wahid Omar (akan dilantik sebagai Senator)
3. Datuk Seri Idris Jala (SEnator)
4. Tan Sri Joseph Kurup PBRS)
5. Datuk Seri Shahidan Kassim (UMNO)
6. Nancy Shukri (PBB)
7. Datuk Entulu Belaun (PRS)
8. Datuk Paul Low Seng Kwan (Senator)

Timbalan Menteri:
1. Datuk Razali Ibrahim (UMNO)
2. Waythamoorthy Ponnusamy (akan dilantik sebagai Senator)

KEMENTERIAN KEWANGAN
Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak (UMNO)
Menteri II: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (UMNO)

Timbalan Menteri:
1. Datuk Ahmad Maslan (UMNO)

KEMENTERIAN PELAJARAN (digabung bersama Kementerian Pengajian Tinggi)
Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin (UMNO)
Menteri II : Datuk Seri Idris Jusoh (UMNO)

Timbalan Menteri:
1. Mary Yap Kain Ching (PBS)
2. P. Kamalanathan (MIC)

KEMENTERIAN PERTAHANAN
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Abdul Rahman Bakri (UMNO)

KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Menteri: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB)

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
Menteri: Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein (UMNO) (MEMANGKU)
Timbalan Menteri: Ab Aziz Kaparawi (UMNO)

KEMENTERIAN INDUSTRI DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA
Menteri: Datuk Seri Mustapa Mohamed (UMNO)
Timbalan Menteri: Hamim Samuri (UMNO)

KEMENTERIAN LUAR
Menteri: Datuk Seri Anifah Aman (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Seri Hamzah Zainuddin (UMNO)

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA
Menteri: Datuk Hasan Malek (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Bashar Md. Hanipah (Senator)

KEMENTERIAN KERJA RAYA
Menteri: Datuk Fadillah Yusof (PBB)
Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin (UMNO)

KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA
Menteri: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (UMNO)
Timbalan Menteri: Jailani Johari (UMNO)

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Menteri: Richard Riot Jaem (SUPP)
Timbalan Menteri: Datuk Ismail Abdul Muttalib (UMNO)

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH
Menteri: Datuk Seri Shafie Apdal (UMNO)
Timbalan Menteri: Alexander Nanta Linggi (PBB)

KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR DAN KERAJAAN TEMPATAN
Menteri: Datuk Abdul Rahman Dahlan (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Halimah MOhamad Saddique (UMNO)

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
Menteri: KHairy Jamaluddin (UMNO)
Timbalan Menteri: M. Saravanan (MIC)

KEMENTERIAN KESIHATAN
Menteri: Datuk Seri Dr. S Subramaniam (MIC)
Timbalan Menteri: Datuk Seri Hilmi Yahya (UMNO)

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN
Menteri: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (UMNO)
Timbalan Menteri: J. Loga Bala Mohan (Senator)

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Menteri: Datuk Seri Douglas Uggah Embas (PBB)
Timbalan Menteri: Datuk Noriah Kasnon (UMNO)

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI DAN AIR
Menteri: Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili (PBS)
Timbalan Menteri: Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO)

KEMENTERIAN ASAS TANI
Menteri: Datuk Seri Ismail Sabri Yakop (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Tajudin Rahman (UMNO)

KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN
Menteri: Datuk Seri Nazri Aziz (UMNO)
Timbalan Menteri: Joseph Salang Anak Gandum (PRS)

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Menteri: Datuk Dr.Ewon Ebin (UPKO)
Timbalan Menteri: Datuk Dr. ABu Bakar Mohamad Diah (UMNO)

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
Menteri: Datuk Seri G.Palanivel (MIC)
Timbalan Menteri: Janes Dawos Mamit PBB)

- ABN News

16 MEI: SELAMAT HARI GURU 2013

GURU MALAYSIA: 1 ASPIRASI, 1 AGENDA

Kad Kredit 1TeachersCard Kepada Warga Pendidik

SEREMBAN - Bank Simpanan Nasional (BSN) mensasarkan untuk mengeluarkan 30,000 kad kredit '1TeachersCard' kepada warga pendidik dan kakitangan Kementerian Pelajaran dalam tempoh setahun.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit BSN Winston E. Jeyaprakash berkata, sasaran itu mampu dicapai ekoran ciri istimewa yang ditawarkan pada produk terbaru bank itu, termasuk kadar caj kewangan yang rendah.

"Kad kredit 1TeachersCard ini merupakan salah satu inisiatif BSN untuk merakamkan penghargaan terhadap sumbangan guru yang diberikan kepada rakyat Malaysia.

"Ciri istimewa 1TeachersCard ini adalah ia menawarkan caj kewangan terendah dalam industri kad kredit iaitu pada kadar 8.88 peratus setahun dan hanya 0.74 peratus sebulan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kad berkenaan pada pameran dan fstival Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini Rabu.

Pelancaran kad itu adalah sempena sambutan Hari Guru esok, yang mana sambutan peringkat kebangsaannya akan diadakan di negeri ini dan dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jeyaprakash berkata, ciri istimewa lain yang bakal dinikmati pengguna kad kredit tersebut adalah tiada yuran tahunan dan pulangan RM50 kepada setiap pemohonan yang diluluskan.

"Di samping itu, kad ini juga turut menawarkan diskaun pembelian, mata ganjaran, Kad Zing PlusMiles percuma dan pengeluaran wang tunai tanpa caj tambahan," katanya.

Katanya, usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan beban pengguna ketika berada dalam saat kecemasan untuk menggunakan wang dan mengelakkan mereka meminjam dari sumber yang tidak sah.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Pegawai Ekskutif BSN Datuk Adinan Maning.

- BERNAMA

Friday, May 3, 2013

Anjakan: Buletin Bulanan Transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia

Anjakan - buletin bulanan untuk memastikan semua warga pendidik mendapat maklumat status terkini pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Dalam buletin ini terdapat tiga isu iaitu:

1. Sekapur sirih: Tan Sri Abd Ghafar bin Mahmud



2. Memahami kandungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Aspirasi Sistem



3. 100 Hari Pertama Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan


Anjakan: Buletin Bulanan Transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia boleh dimuat turun dengan mengklik tajuk berikut: AnjakanIsu #1 [Muat turun]

- Kementerian Pelajaran Malaysia

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi