Thursday, April 18, 2013

Pengalaman Projek Penandaarasan Di SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu

Selepas satu minggu tamat dari Projek Penandaarasan barulah saya berkesempatan menulis pengalaman di SK Sultan Sulaiman II. Projek Penandaarasan adalah sebahagian keperluan bagi memenuhi keperluan Kursus Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL).

Program Penandaarasan ini bertujuan mengenal pasti amalan-amalan pengurusan dan kepimpinan di SK Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu. Projek ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pemerhatian, perbincangan dan temubual bagi mendapat maklumat berkaitan projek yang dipilih iaitu Program Pembelajaran Interaktif Melalui Internet Zoom-A. Populasi projek terdiri daripada seluruh warga sekolah. Sampel pula terdiri daripada Guru Besar yang merupakan peneraju utama Sekolah Penandaarasan. Sepanjang projek ini berlangsung catatan mengenai aktiviti  Log Harian selama sepuluh hari persekolahan dilakukan dan mendapat pengesahan pemimpin sekolah. Manakala dalam Log Kepimpinan memperlihatkan perjalanan pemimpin sekolah yang melibatkan amalan dan gaya kepimpinan telah dibuat catatan.

Menceritakan tentang pemilihan Sekolah Penandaarasan, pada peringkat permulaannya saya telah memilih SK Sultan Sulaiman I tapi oleh kerana terdapat peserta NPQEL perempuan yang  berkehendakkan  sekolah tersebut (katanya terdapat ramai kawannya di situ) walaupun saya terlebih dahulu memilihnya, saya terpaksa mengalah! Bila difikir pula, saya boleh memilih SK Pasir Panjang Kuala Terengganu (sekolah yang dirasakan baik dari segi pengurusan dan pencapaian) iaitu merupakan sekolah lama saya (2002 - 2010) tapi merasakan saya pernah mendapat pengalaman di sekolah tersebut, dirasakan baik kiranya saya ke sekolah lain, sekurang-kurangnya saya dapat menambah pengetahuan dari pelbagai sekolah.

Di SK Sultan Sulaiman II yang menjadi Sekolah Penandaarasan ini pula adalah antara sekolah yang popular di Kuala Terengganu. Jarak sekolah ini dari tempat tinggal saya ialah lebih kurang 25 kilometer. Walaupun saya boleh memilih sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal tetapi niat utama saya adalah untuk menambah ilmu, lagi pun saya hanya perlu ke sekolah tersebut selama 2 minggu sahaja. Alhamdulillah, walaupun sekolah pertama yang dipilih tidak kesampaian tapi di SK Sultan Sulaiman II ini ada rahmat disebaliknya. Guru Besar di SK Sultan Sulaiman II ini merupakan Pengerusi MGB Daerah Kuala Terengganu. Melalui pemerhatian saya, beliau seorang yang “participative dan achievement”, baik dan komited dengan tugasannya. Seorang lulusan UUM dalam bidang pengurusan, beliau banyak memberi bimbingan dan berkongsi pengalaman. Di sekolah ini juga saya diberi ruang oleh beliau untuk berkongsi pengetahuan dalam membantu murid Tahun 6, dengan memberi pendedahan dan berkongsi pengetahuan berkaitan penambahbaikan yang terdapat dalam pembelajaran interaktif.

Semasa dua minggu berada di SK Sultan Sulaiman II ini juga, saya membuat pemerhatian dan temubual terhadap guru-guru. Terdapat luahan dan pengucapan yang berbau positif mahupun negatif mengenai pendidikan khususnya mengenai sekolah mereka sendiri. Seterusnya banyak input yang boleh saya kutip sekadar panduan atau muhasabah diri sendiri sekiranya diizinkan Allah memegang jawatan sebagai pemimpin sekolah nanti. Saya juga berkesempatan berbual dengan salah seorang Nazir Persekutuan yang datang membuat penilaian dan pemantaun di sekolah tersebut. Terdapat beberapa dapatan yang boleh dikutip bagi memantapkan pengetahuan saya mengenai pengurusan sekolah. Sepanjang di SK Sultan Sulaiman II ini juga, saya beruntung kerana banyak aktiviti yang dijalankan dan saya juga berkesempatan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa UPSR Kali Ke-2 yang dipengerusikan Guru Besar.

Terima kasih kepada En. Mohd Kaman bin Awang selaku Guru Besar SK Sultan Sulaiman II di atas kerjasama dan sikap positif yang ditunjukkan. Semoga matlamat membangun dan mengemblengkan warga SK Sultan Sulaiman II menuju kluster tercapai. Seterusnya dirakamkan penghargaan juga kepada seluruh warga SK Sultan Sulaiman II. Selamat berjaya dengan motto Bersama Menggenggam Impian Kluster”.

Gambar-gambar yang dirakam sepanjang Program Penandaarasan
di SK Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu
(Klik pada gambar untuk kelihatan lebih besar)







Tuesday, April 16, 2013

Kreativiti, Inovasi Dalam Pendidikan

ADA yang bertanya kepada saya jika kreativiti dan inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak dijadikan sebagai mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah.

Jawapannya, kreativiti dan inovasi tidak boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.

Dengan kata lain apa sahaja mata pelajaran kedua-dua elemen itu boleh diajar oleh guru melalui pendekatan pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre.

Pengajaran berpusat kepada murid maksudnya pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru mengajar dan murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan berfikir muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid.

Mempelbagaikan aktiviti pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah sangat digalakkan. Aktiviti tersebut akan menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan menghasilkan tugasan tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan murid.

Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak menghairankan mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk pendidikan.

Apakah sebenarnya definisi kreativiti dan inovasi itu. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang baru.

Sementara itu, inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.

Sebagai contoh jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi ia digunakan sebagai alat hiburan, internet, kamera, penyampai maklumat, memberi pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.

Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran mereka. Sebagai penyampai ilmu guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.

Mempunyai kemahiran sedemikian akan menjadikan guru berada di tahap teratas dan akan disanjung oleh muridnya. Kualiti guru sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.

Peranan pengurusan sekolah tidak kurang pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan warganya. Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif dan inovatif agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan teknologi serta ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum.

Pengetua dan Guru Besar bersama pengurusan tertinggi di sekolah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi sama ada di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah menjadi institusi yang menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.

Pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Sikap terbuka, mesra dan berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan guru dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran.

Bagi mewujudkan suasana sedemikian pengurusan sekolah perlulah memastikan berlaku sistem komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang harmoni.

Kepimpinan sekolah hendaklah terdiri daripada mereka yang berkebolehan dalam menguruskan organisasi pembelajaran. Selain mendapat latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat bagi membawa perubahan kepada sekolah.

Perlu ada visi dan misi, strategi dan perancangan yang baik. Bagi memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka perlu mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah termasuk ibu bapa.

Mempunyai ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi di kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik.

Dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional usaha yang dilakukan oleh murid akan membuahkan kejayaan nanti.

Keberkesanan sekolah akan terserlah jika mereka dapat menggunakan teknologi dan ICT dalam pengurusan dan dalam bilik darjah. Sebenarnya teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata tetapi boleh menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.

Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif.

''Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan kecuali meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas guru semakin mencabar."

- Utusan

Thursday, April 11, 2013

Enam Inisiatif PPPM Berjaya Dicapai Dalam Tempoh 100 Hari Pelaksanaan

BANGI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam daripada 25 inisiatif yang disasarkan tahun ini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, sudah mencapai kejayaan membanggakan dalam tempoh 100 hari pertama pelaksanaannya.

Inisiatif tersebut merangkumi pelancaran 1Agenda KPM, penubuhan Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU) dan PADU Corporation, pelancaran dan pengagihan saranan ibu bapa, pengujian guru bahasa Inggeris dalam Ujian Penempatan Cambridge (CPT), pelaksanaan Program Rintis Program Transformasi Daerah dan penyediaan video e-guru.

Selain enam inisiatif itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata 19 inisiatif lagi akan diberikan keutamaan dan tumpuan tahun ini dalam menjayakan Pelan Transformasi Pendidikan Negara.

"Kita telah menyaksikan 100 hari pertama yang diwarnai pelbagai onak dan duri. Namun, berbekalan kesedaran akan pentingnya merealisasikan agenda modal insan negara in, KPM berjaya dan membuahkan hasil yang dibanggakan.

"Namun, kita tidak seharusnya lalai dan leka memandangkan transformasi ini masih panjang dan mencabar. Sesungguhnya, laporan pencapaian 100 hari pertama ini adalah langkah pertama daripada seribu langkah yang bakal dijejak," kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis Pencapaian 100 Hari Pertama PPPM 2013-2025, di Sekolah Menengah Jalan 4, Bandar Baru Bangi, Rabu.

Muhyiddin berkata inisiatif 1Agenda KPM berjaya menyatupadukan semua bahagian di kementerian itu di bawah satu matlamat iaitu melaksanakan agenda PPPM secara efisyen dan telus, manakala unit PADU dan PADU Corporation pula melaporkan status pelaksanaan PPP kepada beliau selaku menteri.

Menerusi kefasihan guru Bahasa Inggeris (BI), beliau berkata seramai 61,000 guru menjalani ujian kefasihan melalui CPT dan mereka akan terus diberikan latihan dan sokongan ke arah penambahbaikan tahap kompetensi dan profesionalisme sebagai persediaan ke arah merealisasikan syarat wajib lulus BI di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2016.

Menerusi inisiatif saranan ibu bapa, katanya sarana pembangunan dibekalkan kepada ibu bapa supaya menjadi rakan aktif pembelajaran anak masing-masing dalam usaha membantu meningkatkan prestasi dan pencapaian anak mereka.

Katanya inisiatif program transformasi daerah pula dirintis di Sabah dan Kedah, dengan seramai 352 jurulatih mengikuti program Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) serta Rakan Pembimbing Pembangunan (SIPartner+) dalam kalangan pensyarah Institut Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki manakala guru cemerlang pula ditempatkan secara sepenuh masa di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memberi sokongan kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah.

Video e-guru yang merupakan inisiatif keenam, meliputi himpunan video terbaik dalam pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran di bilik darjah.

Muhyiddin berkata kerajaan telah mengorak langkah untuk berada dalam kelompok teratas negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.

"Transformasi pendidikan ini adalah legasi negara yang bukan sahaja melibatkan 5.5 juta pelajar hari ini, malah seluruh anak bangsa pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin juga bangga terhadap peningkatan peratusan bilangan prasekolah iaitu daripada 67 peratus pada 2009 kepada 80.5 peratus atau 24,737 prasekolah sehingga 2012.

Selain itu katanya, program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) turut diperkenalkan kepada semua murid Tahun 1, dengan sasaran 100 peratus murid tiada masalah pembelajaran boleh membaca, menulis dan mengira apabila melangkah ke Tahap 2.

"Kementerian juga menyediakan bayaran insentif khas kepada semua pengetua dan guru besar sebagai menghargai usaha kepimpinan sekolah yang berjaya mencapai kecemerlangan yang ditetapkan atau menunjukkan lonjakan dalam prestasi sekolah," kata Muhyiddin.

- BERNAMA

Tuesday, April 9, 2013

PPD Perlu Main Peranan Lebih Besar Merealisasikan Aspirasi Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR: Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) perlu bersedia memainkan peranan lebih besar dan secara langsung bagi memastikan pengurusan dan pengoperasian sekolah dilaksana dengan teratur.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini memandangkan PPD adalah entiti Kementerian Pelajaran yang paling dekat dengan sekolah dan ia dapat memastikan aspirasi pendidikan negara dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Hubungan erat antara PPD dengan pihak pentadbir dan guru-guru di sekolah juga membolehkan setiap dasar, aspirasi dan inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan dapat dihayati dan direalisasikan dengan berjaya," katanya pada majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di sini Selasa.

Penganugerahan tahun ini menyaksikan buat pertama kalinya beberapa PPD yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam membantu sekolah meningkatkan prestasi masing-masing, diiktiraf.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pengiktirafan ini amat kena pada masanya dan selari dengan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk menyusun semula dan memperkasa PPD. Muhyiddin berkata bagi merapatkan lagi jurang pencapaian dan meluaskan akses kepada pendidikan untuk golongan berkeperluan khas termasuk kaum pribumi dan minoriti, PPD juga akan diberi keluwesan operasi.

Ini, katanya, supaya dasar serta program dapat disesuaikan bagi menepati keperluan mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata penyusunan semula PPD akan memastikannya berfungsi dengan lebih berkesan dalam jangka panjang.

Penyusunan semula PPD antaranya melibatkan perluasan bidang tugas dan kedudukan pegawai PPD serta penyediaan infrastruktur supaya mereka boleh memantau dan membantu pengurusan sekolah meningkatkan pencapaian.

Katanya, setakat ini Kedah dan Sabah telah memulakan usaha penstrukturan semula PPD.

- BERNAMA

Monday, April 8, 2013

CUEPACS Cadang Sistem Saraan Transformatif Menyeluruh

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan Sistem Saraan Transformatif (SST) yang lebih menyeluruh dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata CUEPACS berharap proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan sahaja setakat ini, akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak.

"Sebelum ini kita ada cadangan untuk meningkatkan sistem saraan melalui SSBP (Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam), namun tak jadi kita balik kepada SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang ditambah baik. Apa yang diperlukan sekarang adalah sistem pengganti SSM bagi membolehkan penjawat awam berkhidmat dengan baik.

"SST (Sistem Saraan Transformatif) yang baru diumumkan merupakan langkah pertama yang baik ke arah ini, namun ia belum merangkumi semua skim perkhidmatan awam. Kita harap pelaksanaan sebuah skim menyeluruh dapat dimuktamadkan dalam tahun ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto BN, antara lain, menyentuh rancangan kerajaan hendak memperkenalkan Skim Gaji Transformatif (SGT) di bawah SST.

Di bawah SGT, ia termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.

Ketika ini, kerajaan BN telah memperkenalkan dan memperkemaskan gred skim penggajian untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji secara keseluruhan dan beberapa inisiatif baharu yang berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan tambahan tiga kali kenaikan gaji tahunan selepas mata gaji mencecah paras maksimum dalam jadual gaji berkuat kuasa 1 Jan 2013.

Omar berkata semakan terhadap setiap gred, nama jawatan dan tangga gaji dalam perhidmatan awam merupakan perkara penting yang memerlukan kajian mendalam bagi membentuk sebuah sistem saraan mampan yang mampu memastikan perkhidmatan awam berada pada tahap tertinggi selain menjaga kebajikan penjawat awam.

Mengulas mengenai prospek lebih cerah untuk kenaikan pangkat dan pembangunan bakat penjawat awam dalam manifesto itu, Omar berkata perkara ini bakal memberi peluang yang lebih luas kepada penjawat awam yang berbakat untuk naik pangkat.

- BERNAMA

Saturday, April 6, 2013

Sasar 500 Sekolah Kluster Menjelang 2015

PUTRAJAYA 5 April - Kementerian Pelajaran akan meningkatkan jumlah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) daripada 300 kepada 500 buah menjelang 2015.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, kini terdapat lebih daripada 500 sekolah yang telah dikenal pasti berpotensi untuk mendapat pengiktirafan tersebut.

Katanya, pihak kementerian mempunyai matlamat untuk meningkatkan bilangan SKK supaya dapat dijadikan penanda aras kepada sekolah lain.

"Sehingga kini sejumlah 213 sekolah telah dinobatkan sebagai SKK. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 SKK telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

"Pada hari ini, saya bersyukur 50 buah sekolah lagi mendapat pengiktirafan untuk SKK bagi fasa ketujuh," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pengiktirafan SKK fasa ketujuh di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 29 guru besar dan 21 pengetua menerima sijil pengiktirafan SKK serta wang insentif bernilai RM250,000.

Abd. Ghafar berkata, 50 sekolah yang mendapat pengiktirafan SKK itu terdiri daripada 29 sekolah rendah dan 21 sekolah menengah.

Katanya, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.

"Pengiktirafan tersebut juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dari dalam dan luar negara," katanya.

Antara sekolah rendah yang mendapat pengiktirafan SKK ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tebrau, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Rem, Johor; SK Kubang Kerian, Kelantan; SK Subang Jaya, Selangor; serta SK Agama Bintulu, Sarawak.

Sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor; SMKA Kedah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Pulau Pinang dan SMKA Tok Jiring, Terengganu.

- Utusan

Friday, April 5, 2013

Renungan: Kategori Manakah Kita Sebenarnya

Al-Quran dan Hadis banyak menyebut tentang orang-orang Islam yang zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Kalau kita teliti, kita akan dapati bahawa orang-orang yang dimaksudkan itu boleh dibahagikan ke dalam beberapa kategori. Kalau kita kaji orang-orang yang dalam berbagai kategori ini, mungkin kita akan dapat faham kedudukan orang bertaqwa berbanding dengan orang-orang di kategori-kategori yang lain. Kita pun dapat mengukur di tahap mana diri kita, sama ada kita sudah selamat atau belum. Kategori-kategori tersebut ialah:

1.           Orang yang abai
2.           Orang yang cuai
3.           Orang yang lalai
4.           Orang yang bertaqwa


ORANG YANG ABAI

Ertinya orang yang mengabaikan Tuhan dan syariat Tuhan. Dia itu Islam mungkin kerana datuk neneknya Islam dan emak ayahnya Islam. Maka secara automatik, dia pun Islam. Namun dia tidak fikir tentang Tuhan dan tidak fikir tentang syariat Tuhan. Dia tidak fikir tentang ibadah dan dia tidak fikir tentang halal dan haram. Tuhan ada atau tidak, tidak penting baginya. Tuhan ada atau tidak ada, sama sahaja baginya. Begitulah rasa hati orang yang mengabaikan Tuhan.

Dia hidup mengikut gaya dan corak yang disukainya. Tidak mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam. Lebih tepat lagi, dia mengikut hawa nafsunya. Kalau kita tanya apa agamanya, dia kata dia Islam. Tetapi Islam itu tidak nampak pada dirinya, peribadi dan tingkah lakunya. Islamnya hanya berdasarkan keturunan dan warisan.


ORANG YANG CUAI

Ini baik sedikit dari orang yang abai. Orang cuai ini, dia rasa bertuhan tetapi di waktu-waktu yang tertentu sahaja terutama di waktu dia susah, di waktu dia sakit dan di waktu dia diuji. Di waktu-waktu itu dia mengeluh, “Wahai Tuhan!” Waktu senang, dia langsung tidak ingat Tuhan.

Ibadahnya mengikut keadaan. Apabila dia tidak sibuk dia beribadah ala kadar. Apabila dia sibuk atau dia tidak ada mood, dia tidak sembahyang dan tidak puasa. Begitu juga dengan perkara halal haram. Ada masa dan dalam sesetengah hal, dia tidak buat yang haram. Pada masa dan dalam sesetengah hal yang lain pula, dia selamba sahaja buat yang haram. Dengan kata-kata yang lain, orang yang cuai ini, dia buat sedikit tetapi banyak yang dia tidak buat. Sebahagian kecil dia buat, sebahagian besar dia tinggalkan. Atau dia buat suruhan agama bermusim-musim. Dia tidak rasa menyesal dan tidak rasa bersalah atau berdosa di atas semua itu.


ORANG YANG LALAI

Orang ini, soal lahiriahnya termasuk ibadahnya sangat baik dan tidak boleh dipertikaikan. Semuanya selesai, semuanya beres. Kalau dipandang secara lahir, orang akan kata dia orang agama, orang baik, ahli ibadah. Segala rukun Islam dibuatnya, ditambah pula dengan yang sunat-sunat. Dia buat umrah, baca Quran, wirid dan zikir. Tasbih sentiasa di tangan. Orang ramai sekampung memujinya. Mereka kata, “Baik orang itu.”

Amalan agamanya yang lahir beres. Syariat lahirnya selesai. Yang tidak selesai dan yang tidak beres ialah hatinya. Semakin banyak beribadah, dia semakin tamak, semakin bakhil, semakin hilang rasa takut dengan Tuhan, semakin tidak ada rasa hamba dan dia rasa selamat dengan ibadahnya yang banyak itu. Dia tertipu dengan sembahyang dan ibadah-ibadahnya yang lain. Orang melihat dia seperti beragama tetapi hakikatnya dia adalah orang yang lalai. Manusia kata dia baik tetapi Tuhan kata dia tidak baik sebab hatinya tidak takut dan tidak cinta dengan Tuhan. Dia masih megah, angkuh, cinta dunia dan gila puji walaupun sembahyangnya banyak, puasanya banyak, baca Quran, wirid dan zikirnya banyak. Tuhan kata dia orang yang lalai. Walaupun dia tidak lalai dengan ibadah lahiriah tetapi hatinya lalai dengan Tuhan.

Hakikat ini membuatkan kita cemas. Orang yang dianggap beragama pun tidak selamat kerana faktor lalai. Dan lalai itu bukan perkara lahir tetapi perkara hati. Tidak takut Tuhan, tidak takut dengan dosa, itu termasuk lalai walaupun sembahyang banyak, puasa banyak, wirid, zikir dan baca Quran banyak.


ORANG YANG BERTAQWA

Orang yang bertaqwa pula dia sempat buat ibadah yang wajib sahaja. Ibadah-ibadah sunat kurang. Itupun ibadah sunat yang dibuat hanya yang besar-besar sahaja. Yang kecil-kecil tidak dibuat. Kalau dibandingkan ibadahnya dengan ibadah orang yang lalai atau ahli abid, sangat jauh bezanya. Banyak kurangnya. Tetapi dia takut dan cinta dengan Tuhan. Rasa bertuhannya tebal. Hatinya sentiasa rasa tidak selesai dengan Tuhan. Dia tidak rasa dirinya baik malahan dia rasa dirinya orang yang paling jahat, hina dan tidak berguna. Inilah orang yang bertaqwa.

Walaupun dia buat ibadah yang wajib sahaja dan yang sunat kurang, namun dengan Tuhan hatinya sentiasa bergelombang dan bergelora macam air laut yang tidak pernah tenang. Dia kurang buat ibadah-ibadah sunat yang kecil-kecil sebab terlalu sibuk, terlalu letih dan tidak ada masa kerana terlalu banyak membantu dan menolong manusia serta membuat kerja-kerja masyarakat. Masanya banyak dimanfaatkan untuk orang ramai. Ibadah hablumminallahnya kurang tetapi yang hablumminannasnya banyak. Ibadah ini lebih besar pahalanya dari ibadahibadah sunat. Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”

Memberi manfaat kepada manusia lain dengan tenaga, ilmu, minda, kuasa, wang ringgit dan lain-lain itu adalah lebih besar. Buktinya orang yang banyak ibadah pun tidak sanggup hendak berbakti, berkhidmat atau berkorban apa yang ada padanya untuk manfaat orang lain. Orang bertaqwa tidak membuat dosa. Kalau dia sedar dia terbuat dosa, sehari suntuk jiwanya akan terseksa. Dia rasa menyesal, menderita dan dukacita. Dia akan buat ibadahibadah tambahan yang lain untuk menutup dan menebus dosanya itu.

Begitulah kategori orang-orang Islam berdasarkan apa yang disebut dalam Quran dan Hadis sebagai zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Mengikut kategori-kategori ini, barulah kita tahu dan sedar tentang letak duduk orang bertaqwa berbanding orang yang abai, cuai dan lalai. Umat Islam sekarang ini hina-dina di mana-mana, tidak dibantu, tidak dilindung dan tidak dibela oleh Tuhan kerana orang Islam yang bertaqwa terlalu sedikit jumlahnya. Ia masih kumpulan minoriti. Yang terbanyak ialah orang Islam yang abai, diikuti orang Islam yang cuai dan lalai. Tuhan tidak membantu dan tidak membela orang Islam yang abai, cuai dan lalai ini. Tuhan hanya akan membantu orang Islam yang bertaqwa sahaja. Di Akhirat nanti, hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat.

Waallahu a`lam.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi