Saturday, December 31, 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2012

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.


Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.


Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.


Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

RM147J KOS MANSUH YURAN

MUHYIDDIN melihat kandungan buku teks ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam


PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.

“Bersesuaian dengan program Satu Murid, Satu Kerusi, Satu Meja dan Satu Set Buku Teks, kerajaan menyediakan peruntukan melengkapkan sekolah dengan pelbagai peralatan untuk keselesaan.


“Langkah ini antara usaha yang dilakukan untuk memastikan musim persekolahan tahun depan berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.


Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah.


Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan.


Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran.


“Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya.


Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah.


“Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya.


Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang.


“Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.


Sumber: Berita Harian Online

PENANDA ARAS PENCAPAIAN BAHASA INGGERIS


KUALA LUMPUR: Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau berkata, kini hanya ada satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.


“Bila kita kata pelajar itu pandai bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.


“Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan pencapaian bahasa Inggeris sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya,” katanya.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam bagi melihat persiapan pihak sekolah menghadapi sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.


Beliau berkata, majlis itu yang akan ditubuhkan selepas mendapat persetujuan kerajaan menggunakan pakar dari dalam dan luar negara serta mungkin mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.


Katanya, majlis itu berfungsi sebagai badan bebas dan boleh juga dirujuk pihak luar.


Muhyiddin turut mengumumkan Jawatankuasa Khas MBM/MBI (Mermartabatkan Bahasa Malaysia/Memperkukuhkan bahasa Inggeris) merumuskan 164,324 pelajar sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik.


“Sementara 56,025 pelajar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris dan 56,248 pelajar dalam subjek Matematik.


“Selebihnya mengikuti subjek itu menggunakan dwibahasa iaitu 258,622 dalam subjek Sains serta 261,600 dalam Matematik,” katanya.


- Bernama

Wednesday, December 28, 2011

BEBERAPA PINDAAN SEGERA TAMBAH BAIK SBPA

PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju melaksanakan beberapa pindaan segera untuk menambah baik Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).


Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata JPA bersetuju membuat pindaan segera dalam taklimat dan rundingan lebih empat jam yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah.


Beliau berkata antara pindaan itu ialah markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dikurangkan daripada 75 peratus kepada 65 peratus untuk kenaikan gaji.


Selain itu, markah 'Exit Policy' turut dikurangkan daripada 70 peratus kepada 60 peratus, dan tempohnya dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan.


"Taklimat ini melihat cadangan CUEPACS ada yang diterima dan ada yang dikaji semula. Kami berasa lega kerana berjaya mencapai satu keputusan bersama dalam SBPA," katanya kepada pemberita di lobi pejabat JPA.


Terdahulu, Omar bersama pemimpin dan ahli majlis CUEPACS menghadiri taklimat yang memberi gambaran terperinci berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan ini.


Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan CUEPACS dan JPA segera berunding bagi menyelesaikan isu itu.


Omar berkata CUEPACS menerima SBPA dan menyarankan penjawat awam menandatangani surat tawaran JPA.


Beliau juga berkata JPA dan CUEPACS setuju mengadakan rundingan bersama setiap tiga bulan bagi membuat semakan dan kajian menyeluruh untuk menambah baik SBPA.


Jumaat lepas, JPA bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan, bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun kekal pada 30 Dis ini.


-- BERNAMA

Friday, December 23, 2011

OPSYEN SBPA DILANJUTKAN KE 15 JAN, OPSYEN PERSARAAN 60 TAHUN KEKAL 30 DIS


PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan.

Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun bagaimanapun kekal pada 30 Dis ini, demikian diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias di sini.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk 'Exit Policy' yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.

"Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu," katanya.

Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.

-- BERNAMA

Thursday, December 22, 2011

PMR - 34,271 CALON DAPAT GRED A DALAM SEMUA MATA PELAJARAN


PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Seramai 34,271 pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011, berbanding 30,863 pelajar pada 2010, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Angka itu adalah peningkatan 0.75 peratus, katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini hari ini.

Tuesday, December 20, 2011

GSTT LANJUT PELAJARAN


PUTRAJAYA 19 Dis. - Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang berjumlah 13,184 orang kini boleh menarik nafas lega apabila lebih 60 peratus daripadanya telah diterima masuk untuk mengikuti latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan universiti awam terpilih.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 7,079 guru GSTT akan dihantar mengikuti latihan perguruan selama dua tahun di IPGM dan universiti awam terpilih mulai tahun depan.

Menurutnya, pada masa sama terdapat satu kumpulan seramai 1,799 guru GSTT yang sedang mengikuti kursus dalam cuti termasuklatihan perguruan.

''Dalam permohonan yang sama, kita turut mendapati kira-kira 2,788 guru GSTT terbabit tidak menampilkan dokumen yang lengkap.

''Tetapi untuk mereka ini, kami akan buka proses rayuan sehingga 26 Disember ini untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Guru Sandaran Khas di sini, hari ini.

Daripada 7,079 guru GSTT tersebut, kira-kira 4,433 orang akan mengikuti latihan perguruan di universiti awam manakala bakinya pula di IPGM.

Bagi permohonan yang tidak layak mengikuti latihan perguruan itu pula, Ka Siong berkata, mereka akan ditawarkan kontrak untuk perkhidmatan (CFS) bagi meneruskan khidmat di sekolah yang memerlukan.

Menurutnya, kegagalan mereka itu disebabkan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, antaranya umur melebihi 35 tahun dan tidak berkhidmat melebihi dua tahun berturut-turut.

''Dalam permohonan itu, kira-kira 916 permohonan GSTT dikira tidak layak kerana melebihi had umur yang ditetapkan dan 2,012 lagi tidak berkhidmat melebihi dua tahun secara berturut-turut.

''Penawaran CFS itu akan dibuat untuk tempoh tiga bulan dan ia boleh diperbaharui berdasarkan keperluan semasa," katanya.

Sumber: Utusan Online

Monday, December 19, 2011

SBPA - CUEPACS MINTA TANGGUH


Omar Osman (dua dari kanan) menunjukkan siaran akhbar mengenai bantahan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam kepada sebahagian penjawat awam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda (kanan). - BERNAMA
 
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut.

"Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantahan SPBA di sini, hari ini.

Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

"Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut.

"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya.

Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan.

"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya.

Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima SBPA.

Sumber: Utusan Online

Saturday, December 17, 2011

SBPA – MAKLUMAN OLEH KPM

Klik gambar atau link yang telah diberi di bawah untuk akses ke Sistem Opsyen SBPA

Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM) memaklumkan bahawa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) boleh dicapai mulai 16 Disember 2011 hingga 31 Disember 2011, melalui laman web KPM iaitu www.moe.gov.my  ataupun melalui :

Untuk memasuki Sistem Opsyen SBPA, hanya perlu memasukkan:        
ID Pengguna: Masukkan No Kp anda                                   
Katalaluan    : Masukkan katalaluan sama seperti katalaluan HRMIS

Sekiranya tidak pernah menggunakan aplikasi HRMIS, bolehlah menggunakan No. KP sebagai  menggantikan ID Pengguna dan katalaluan untuk memasuki sistem SBPA. Surat tawaran opsyen SBPA boleh dicetak setelah maklumat perkhidmatan disahkan oleh pengurus sumber manusia di agensi masing-masing.

Sebarang pertanyaan mengenai maklumbalas SBPA bolehlah menghubungi talian seperti di bawah:-

Talian Helpdesk Hotline SBPA
Tel     : 03-8884 7137/7189/7038

Hotline Teknikal
Pasukan Aplikasi : 03-8316 4134/4135
Pasukan Server    : 03-8316 4119/4120/4105
Emel Teknikal      : helpdesk_sbpa@jpa.gov.my                           

Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia

Friday, December 16, 2011

CUEPACS MAHU TEMUI NAJIB ISNIN INI BERHUBUNG OPSYEN SBPA


KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin ini bagi membincangkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya Datuk Omar Osman berkata langkah itu susulan keputusan mesyuarat khas Cuepacs yang sebulat suara membantah opsyen dalam SBPA, yang disifatkan tidak begitu adil.

Cuepacs berharap 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu sebelum beberapa perkara berbangkit dalam pelaksanaan SBPA dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Omar ditemui selepas berakhirnya mesyuarat khas dua hari Cuepacs yang disertai 125 perwakilan dari seluruh negara.

Antara perkara yang akan dibangkit ialah pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini, memandangkan perkara itu dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa berbincang dengan Cuepacs, katanya.

Katanya Cuepacs berkeyakinan segala perkara berbangkit dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu memandangkan Perdana Menteri prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Beliau juga menyifatkan tempoh dua minggu bermula hari ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk membuat pilihan sebagai terlalu pendek dan kurang adil.

-- BERNAMA


Klik untuk baca lain-lain artikel SBPA:

Thursday, December 15, 2011

SBPA - TOPIK BERSARA UMUR 60 TAHUN


Program Bual Bicara Dialog TV1 14 Disember 2011 bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia (Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah)
SBPA – BERSARA UMUR 60 TAHUN




GURU SANDARAN PERLU KERJA SETIAP HARI

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Seramai 8,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) mengeluh dan merayu kerajaan mempertimbangkan semula kontrak perkhidmatan baru mereka yang dianggap membebankan termasuk perlu hadir di sekolah pada hari Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak GSTT Shamil Nor berkata penukaran daripada "Kontrak Khidmat kepada Kontrak untuk Berkhidmat juga menghendaki guru berkenaan memulangkan semula perbezaan gaji yang telah diterima sejak bulan Oktober hingga Disember berjumlah RM 3,476 setiap seorang.

"Kontrak yang baru ini juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain perlu hadir di sekolah tujuh hari seminggu termasuk cuti umum, sungguhpun tiada sesi pembelajaran atau gaji dipotong," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Pemuda UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau juga berkata di samping itu kesemua mereka hanya dimaklumkan mengenai penukaran kontrak itu pada 10 Nov sedangkan kontrak ini telah berkuat kuasa pada 17 Okt.

"Walaupun kontrak yang baru ini telah berkuat kuasa namun saya dimaklumkan terdapat Pejabat Pendidikan Daerah yang masih tidak memaklumkan perkara itu kepada guru sandaran di daerah mereka sedangkan esok semua guru sandaran diminta menandatangani Surat Akujanji berhubung kontrak yang baru itu," katanya.

Sementara itu Setiausaha Pemuda UMNO Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak Kementerian Pelajaran bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah itu.

-- BERNAMA

Wednesday, December 14, 2011

SBPA - BUAL BICARA BERSAMA KPPA DI TV1


Satu Program Bual Bicara Bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia akan sekali lagi diadakan bagi memberi penjelasan berkaitan SISTEM SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) melalui TV1 seperti mana berikut:


Klik Program @ Gambar untuk melihat Siaran TV1


Siaran : RTM - TV1

Program: Dialog@TV1 (Bual Bicara Bersama KPPA- SBPA)

Tarikh: 14 Disember 2011 (Rabu)

Masa: 10:00 malam


TELITI TAWARAN SBPA

IPOH 13 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggulangi gesaan supaya kakitangan awam tidak terburu-buru menandatangani surat tawaran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).


Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kakitangan awam tidak teraniaya dengan tawaran SBPA.


"Kalau kakitangan awam terima surat tawaran SBPA dalam tempoh terdekat ini, mereka perlu membaca dengan teliti dalam tempoh dua minggu sebelum membuat keputusan," katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis Penerangan SBPA di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.


Omar berkata, jika ada ketua jabatan yang membuat ugutan terhadap kakitangan awam utnuk memaksa mereka menandatangani tawaran SBPS, mereka boleh membuat aduan kepada CUEPACS.


Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara akan diberikan tempoh dua minggu bermula 15 Disember ini untuk berfikir sebelum menandatangani tawaran SBPA.


Sumber: Utusan Online

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi