Wednesday, November 30, 2011

GALAK GRADUAN JADI GURU PRASEKOLAH

KUALA LUMPUR: Satu usaha lebih serius perlu dirangka di negara ini bagi menggalakkan penyertaan graduan lepasan ijazah dalam bidang perguruan untuk menjadi pendidik kepada kanak-kanak sejak di peringkat prasekolah.


Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Help, Dr Francis Lee, berkata ketika ini, hanya segelintir guru prasekolah mahupun sekolah rendah di Malaysia mempunyai kelulusan itu dan situasi terbabit agak membimbangkan berikutan ia dikhuatiri mengganggu perkembangan minda dan pembelajaran kanak-kanak.


Menurutnya, penyaluran ilmu daripada graduan yang juga individu berpendidikan tinggi tidak sepatutnya dihadkan hanya kepada sekolah menengah dan ke atas kerana ia adalah proses sama yang perlu diberi perhatian apatah lagi ketika golongan itu (kanak-kanak) membesar.


“Berbanding orang dewasa serta remaja, kanak-kanak sebenarnya lebih mudah menerima ilmu yang disampaikan malah mereka jauh lebih cepat menangkap perkara yang berlaku dan dibincangkan di sekeliling.


“Statistik tahun ini sendiri menunjukkan lebih dua juta kanak-kanak di negara ini tidak mengikuti prasekolah sedangkan pembelajaran di peringkat itu membuka laluan pertumbuhan minda mereka. Justeru, guru berkelulusan tinggi perlu menjadi pendorong sekali gus mengatasi masalah ini,” katanya pada Persidangan Kanak-kanak Kebangsaan 2011 di Pusat Konvensyen Pameran Matrade di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datin Dr Siti Hamsiah Tapsir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa dan Naib Canselor Universiti Help, Datuk Dr Paul Chan.


Sumber: Harian Metro

Saturday, November 26, 2011

SALAM MAAL HIJRAH 1433H


DOA AKHIR TAHUN

Doa akhir tahun dibaca pada akhir waktu asar tanggal terakhir Zulhijjah sebanyak 3 kali. Dengan izin Allah, sesiapa yang memabaca doa ini akan mendapat Perlindungan Allah SWT dari fitnah dan tipu daya syaitan serta mendapat setahun keampunan dosa selama setahun kebelakang. Doanya adalah:


Maksud Doa:

Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kepada junjungan Rasul dan kepada keluarganya dan para sahabat sekalian. Ya Allah, apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang Engkau larang kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya dan tidak Engkau melupainya dan Engkau berlemah lembut kepada kami walaupun Engkau memberi peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat kepada Engkau, maka sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah kami. Apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya dan Engkau telah menjanjikan kami ganjaran pahala keatasnya, maka kami memohon akan Dikau wahai Tuhan Yang Maha Mulia yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan semoga Engkau menerima kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami dari kurnia Engkau wahai Tuhan Yang Mulia. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.



DOA AWAL TAHUN

Fadilat doa Awal Tahun adalah membenteng diri dari gangguan syaitan. Barang siapa membaca doa ini sebanyak 3 kali selepas solat rowatib ba’diyyah Maghrib pada malam tanggal 1 Muharram, Allah akan memerintahkan 2 malaikat untuk melindunginya daripada fitnah dan tipu daya syaitan selama setahun. Berikut adalah doa awal tahun:


Maksud Doa:

Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kepada junjungan Rasul dan kepada keluarganya dan para sahabat sekalian. Ya Allah, Engkaulah Yang Kekal, Qadim lagi azali dan di atas kelebihan Engkau Yang Besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan dari nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada-Mu untuk melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah, Tuhan yang merubah segala keadaan, ubahlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kurnian-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Semoga Allah menerima doa kita semua.


Friday, November 25, 2011

ANANIYAH – KANSER YANG SUKAR DIUBATI

Di antara penyakit yang paling sukar diubati di kalangan umat Islam kini ialah penyakit ‘ananiyah’ yang membarah di dalam diri.


Ananiyah (aku dan keakuan) adalah penyakit hati yang lebih mementingkan urusan atau kepentingan peribadi dan tidak peduli dengan kepentingan orang lain.


Mereka melihat sumbangan orang lain hanya dengan sebelah mata dan dan mengambil tindakan yang biasanya hanya didorong oleh kehendak nafsu (egois).


Ada yang ananiyah dengan pendapat dan kehebatan diri sendiri, ada yang ananiyah dengan kumpulan dan jamaah sendiri, ada yang ananiyah dengan keturunannya dan pelbagai bentuk yang lain.


Yang lebih bahaya apabila menganggap seolah-olah bahawa hidayah itu adalah miliknya, hanya amalannya atau kumpulannya yang terpuji dan seolah-olah hanya sumbangannya yang paling hebat.


Ananiyah sering menimbulkan sikap permusuhan di kalangan umat islam dan sikap permusuhan itu tentunya sangat dibenci Allah swt.


Ingatilah firma Allah swt yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” [Surah Luqman, ayat 18].


Semoga kanser yang membarah di dalam jiwa umat ini diubati dengan sifat ‘itsyariyah’ iaitu rasa kebersamaan, kepekaan sosial di dalam pergaulan seharian sehingga kita akan mendahulukan kepentingan ummat atau masyarakat walaupun kadang-kala ianya memerlukan pengorbanan dari dirinya.


Ya Allah, ubatilah jiwa kami dan umat ini dengan sifat-sifat mahmudah…


By: Dr Zainur Rashid Zainuddin

Wednesday, November 23, 2011

SAPS KESAN KELEMAHAN AWAL MURID


KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kementerian Pelajaran menegaskan tidak timbul isu ketidakadilan dalam pelaksanaan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) khasnya kepada sekolah luar bandar berbanding di bandar.


Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi sebaliknya berkata, SAPS bukan bertujuan untuk menilai dan mengukur pencapaian sesebuah sekolah, sebaliknya ia berfungsi untuk mengesan kelemahan murid berkaitan pelajaran di sesebuah sekolah seawal yang mungkin.


‘‘SAPS merupakan sistem analisis data standard bagi semua sekolah tanpa mengira jenis dan lokasi sama ada dari segi pengoperasian, ketetapan gred markah dan data yang perlu dimasukkan seperti yang telah ditetapkan kementerian,” katanya ketika menjawab soalan Che Uda Che Nik (Pas-Sik) pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Mohd. Puad mengakui masalah capaian Internet yang dihadapi oleh sekolah di beberapa buah negeri menjadi sebab guru merasa terbeban dengan tugasan mereka.


Namun katanya, masalah itu telah diatasi dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini.


‘‘Pada masa sama, sebagai usaha menambah baik, kementerian telah meningkatkan bilangan pelayan komputer daripada tiga kepada lima buah.


‘‘Bagi mengurangkan tekanan guru, mereka hanya perlu mengisi markah dalam SAPS dua kali setahun iaitu peperiksaan pertengahan dan akhir tahun atau percubaan,” katanya.


Sumber: Utusan Online

Tuesday, November 22, 2011

UPSR: APLIKASI AMALAN BAIK SEKOLAH CEMERLANG

PUTRAJAYA 21 Nov. – Kementerian Pelajaran akan mengaplikasikan amalan-amalan baik yang dipraktiskan oleh sekolah-sekolah biasa sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keupayaan guru di sekolah terbabit memimpin pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang harus dimanfaatkan.


‘‘Kalau dapat kenal pasti amalan-amalan baik itu kita akan terapkan di semua sekolah supaya yang kurang baik dapat ditingkatkan jadi baik.


‘‘Ini kerana yang membezakan sekolah itu dengan sekolah lain saya fikir bukan infrastruktur tetapi soal kepimpinan guru di sekolah itu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sesi wawancara khas bersama pengacara Syed Munawar Syed Munawar Syed Arabi Idid pada majlis memperkenalkan buku berjudul Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.


Menurut Muhyiddin, keupayaan sekolah-sekolah biasa melonjakkan keputusan semasa peperiksaan UPSR sehingga diangkat sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) harus diberi pengiktirafan kerana membantu meningkatkan kecemerlangan murid.


Bagi tujuan itu, kata beliau, warga pendidik perlu lebih bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk cabaran dalam mendidik para pelajar menjadi manusia berguna.


‘‘Guru-guru perlu mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna untuk menghadapi cabaran dunia yang luas, bersikap holistik dan mampu memenuhi tuntutan semasa.


‘‘Kita tak boleh kompromi dalam hal ini kerana isu pendidikan harus ke depan, mahu tak mahu guru perlu mengikut arus untuk menghadapi cabaran mendatang,” katanya.


Justeru, kata beliau, kerajaan mengambil pelbagai langkah secara berterusan seperti menganjurkan program latihan dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru agar lebih bertanggungjawab dalam melahirkan generasi cemerlang.


Sumber: Utusan Online

Monday, November 21, 2011

GURU KERJA 9 JAM TAK DITERUSKAN

LABUAN 19 Nov. - Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari pada Januari ini di empat negeri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, langkah itu bertujuan mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.


Katanya, kementerian berasakan program tersebut tidak perlu diteruskan, tetapi segala kajian yang telah dibuat akan dilakukan penelitian secara lebih mendalam.


“Program itu juga tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan singkat ke Labuan dan menyerahkan kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Sungai Labu di sini hari ini.


Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal.


Muhyiddin berkata, projek perintis itu sebenarnya tidak bertujuan membebankan guru-guru, sebaliknya ia merupakan proses menambah baik bidang pendidikan.


“Profesion guru amat istimewa kerana mereka mendidik anak bangsa. Program ini akan memantapkan lagi perkhidmatan perguruan selain memberi impak lebih besar kepada bidang pendidikan negara,” katanya.


Muhyiddin bagaimanapun berkata, projek perintis yang dimulakan di Melaka Tengah dan melibatkan 19 buah sekolah diteruskan seperti biasa.


Sumber: Utusan Online

Saturday, November 19, 2011

TERENGGANU NAFI BOCOR SOALAN

Sangkal dakwaan ekoran 11 tahun keputusan UPSR cemerlang


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menafikan sekeras-kerasnya khabar angin mendakwa pentadbiran negeri terdesak untuk mengekalkan kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 11 tahun berturut-turut hingga menyalurkan soalan bocor kepada calon.


EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan), berkata tuduhan berkenaan tidak berasas dan bersifat mempertikai integriti pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta warga pendidik di Terengganu.


Beliau mempersoalkan jika benar dakwaan itu, mengapa Kementerian Pelajaran tidak mengadakan peperiksaan ulangan.


“Pencapaian cemerlang calon UPSR di Terengganu sejak 11 tahun lalu hasil kerja keras murid, guru dan pegawai Jabatan Pelajaran peringkat negeri serta daerah. Sejak 2000, kerajaan negeri mengadakan kelas tambahan untuk calon dan memberi insentif kepada guru yang mengajar murid Tahun Enam.


“Bermula 2009 pula, kita membekalkan e-book atau komputer riba mini kepada setiap murid Tahun Empat yang mengandungi sukatan pelajaran serta lebih 40,000 soalan latih tubi UPSR,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini semalam.


Pengumuman keputusan UPSR 2011 kelmarin menyaksikan 3,548 daripada 22,801 calon di Terengganu mendapat semua A, iaitu pencapaian terbaik di seluruh negara untuk 11 tahun berturut-turut.


Ahmad Razif berkata, selain dana Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sendiri kira-kira RM25 juta setahun membekalkan e-book kepada murid, tidak termasuk RM8 juta untuk memberi komputer riba kepada 3,000 guru mengajar murid Tahun Enam dan 800 guru Angkatan Kerja Rajin Mulia (AKRAM) sejak tiga tahun lalu.


Sumber: Berita Harian Online

Friday, November 18, 2011

MAJLIS JASAMU DIKENANG (EN.MOKHTAR B.HJ.YUSOF)

Pada hari Khamis 17 November 2011 baru-baru ini, SK Undang telah mengadakan suatu Majlis JasaMu DiKenang sempena persaraan En. Mokhtar bin Hj.Yusof iaitu Guru Besar SK Undang yang akan menamatkan perkhidmatan beliau pada 28 November 2011, selamat bersara diucapkan. Semoga En. Mokhtar dan keluarga diberi ketenangan dan bahagia dalam menjalani kehidupan seterusnya..insya-Allah.


Gambar-gambar majlis tersebut boleh dilihat dengan klik di sini: MAJLIS JASAMU DIKENANG

Thursday, November 17, 2011

ANALISIS KEPUTUSAN UPSR-SK UNDANG 2011


SK Undang telah dapat mengekali pencapaian UPSR pada tahun lepas di mana seramai 6 orang pelajar memperolehi keputusan 5A dengan jumlah calon seramai 55 orang. Murid-murid tersebut ialah:

1. Nurul Syairah bt. Noor Syamrizal Baharin

2. Sakinah bt. Mohd Yusof

3. Siti Aisyah Aqilah bt. Ibrahim

4. Ummi Raimi bt. ibrahim

5. Nurul Ain Syuhadah bt. Yahya

6. Nur Iliya Nabilah bt. Mazlan


Untuk melihat keputusan penuh sila klik di sini: KEPUTUSAN PENUH UPSR SK UNDANG 2011

Wednesday, November 16, 2011

WAKTU PENGAJARAN BAHASA INGGERIS DITAMBAH


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menambah waktu pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) bagi mempertingkatkan kemampuan pelajar dalam mata pelajaran itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.


Beliau berkata, peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK ditambah dari 240 minit kepada 330 minit seminggu, manakala bagi SJK Cina dan Tamil ditambah dari 60 minit menjadi 120 minit seminggu.


Menjawab soalan tambahan Datuk Ab Halim Ab Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai kaedah digunakan bagi memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah luar bandar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Wee berkata kementerian turut menempatkan pembantu pengajar bahasa Inggeris dari luar negara di sekolah luar bandar bagi membantu mengajar dan memantapkan kemahiran berbahasa Inggeris.


Mengenai faktor dan sebab membenarkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Wee berkata, semua tindakan yang diambil kementerian bertujuan meningkatkan mutu pendidikan negara dengan memantapkan pengisian dan cara pengajaran bagi menjamin para pelajar mendapat pendidikan berkualiti tinggi.


Wee berkata, kementerian juga membenarkan para pelajar yang mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia menggunakan bahasa itu sepenuhnya manakala pelajar yang mengikuti dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa itu sepenuhnya.


"Kita tidak mahu prestasi pelajar terganggu. Jadi kita sediakan kertas soalan peperiksaan dwibahasa di mana mereka boleh memilih untuk menjawab mana-mana bahasa yang mereka selesa.


"Jadi ini tidak boleh menjadi isu kerana kementerian sentiasa prihatin dengan pelajar dan tidak mahu membebankan mereka," katanya.


Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali sama ada akan berlaku percanggahan kerana pengajaran Sains dan Matematik di sekolah kembali menggunakan bahasa Inggeris sedangkan semua urusan rasmi mesti menggunakan bahasa Melayu.


"Kita tak pernah tinggal bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa ilmu dan komunikasi, dan dengan adanya satu pemahaman bahasa, saya harap semua orang dapat kuasai bahasa Melayu dengan baik.


“Kementerian Pelajaran sentiasa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan tertubuhnya satu jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pembabitan agensi kerajaan dan swasta.


"Perdana Menteri sendiri yang pantau setiap kempen yang kita jalankan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memastikan setiap urusan rasmi menggunakan bahasa kebangsaan, selaras dengan Artikel 152 (1) Perlembagaan," katanya. - BERNAMA

PIBG JANGAN POTONG DUIT BANTUAN RM100: MUHYIDDIN


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tidak memotong wang bantuan persekolahan RM100 yang diberikan oleh kerajaan kepada semua pelajar sekolah menengah dan rendah.


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, meminta mana-mana PIBG yang berbuat demikian supaya segera memulangkan wang yang dipotong itu kepada pelajar berkenaan.


Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, beliau berkata ia tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan telah memutuskan bantuan itu adalah untuk diagihkan sepenuhnya kepada pelajar dan keluarga mereka.


"Kita minta kerjasama pentadbiran sekolah untuk pastikan bantuan RM100 ini diberikan sepenuhnya, jangan kurang satu sen pun...ini keputusan kerajaan.


"Kita tidak mahu nanti timbul salah faham dan ada pihak yang menyalahkan kerajaan kerana dikatakan `cakap lain, buat lain'," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Belia Wilayah Persekutuan sempena program turun padang sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.


Sebanyak RM550 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan program wang bantuan persekolahan itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu.


Isu potongan bantuan itu dibangkitkan seorang bapa pada sesi soal jawab bersama Muhyiddin pada majlis itu, yang mendakwa PIBG sebuah sekolah rendah di sini memotong RM50 daripada bantuan itu.


Dalam jawapannya, Muhyiddin berjanji akan menyiasat perkara itu.


"Perdana Menteri sudah sebutkan, Timbalan Perdana Menteri pun sudah beritahu, dapat RM100, kenapa bawa balik RM50?. Ini adalah komitmen Perdana Menteri hendak tolong rakyat, hendak ringankan beban mereka, jadi kalau dah awal-awal dipotong. makin terbebanlah rakyat.


"Jika ada apa-apa bayaran, itu kemudianlah, bagi dulu RM100 tu. Kalau selepas ini PIBG hendak minta apa-apa bayaran, itu soal lain. Ini duit yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya. - BERNAMA



Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi