Monday, October 31, 2011

PPSMI: PAGE MINTA PM CAMPUR TANGAN

PUTRAJAYA: Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, campur tangan berhubung isu pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Karim, berkata kerajaan perlu menarik balik keputusan pemansuhan PPSMI kerana keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan PPSMI adalah satu dasar yang baik untuk pelajar luar bandar dan bandar.


Beliau berkata, kajian dilakukan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menunjukkan 39 peratus pelajar dan 55 peratus ibu bapa di luar bandar mahu PPSMI diteruskan.


Katanya, kajian itu juga menunjukkan 66 peratus ibu bapa merasakan PPSMI adalah dasar yang baik untuk menentukan masa depan anak mereka.


"Ini menunjukkan ibu bapa masih mengharapkan kerajaan akan meneruskan dasar PPSMI diteruskan di sekolah bagi membolehkan anak mereka bersaing di peringkat global.


"Tolonglah jangan mengusung isu PPSMI ini digelanggang 'tarik tali' politik...nahaslah peluang anak kita yang sekadar mahukan sistem pengajaran terbaik dinikmati dalam sistem pendidikan di negara ini.


"Berilah pilihan kepada pelajar demi anak bangsa dan negara tercinta," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.


Sumber: Berita Harian Online


BAHAYA FITNAH DALAM HIDUP

SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.


Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.


Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad)


Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.


Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.


Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

· Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)

· Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).


Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.


Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)


Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.


Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.


Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.


Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.


Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.


Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.


Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.


Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a…”


Sunday, October 30, 2011

LEBIH 20,000 KHATAM AL-QURAN SERENTAK

Sebahagian daripada lebih 20,000 pelajar KAFA membaca ayat-ayat suci Al-Quran menggunakan e-Book pada majlis khatam beramai-ramai di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Terengganu semalam mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 20,133 pelajar Kelas Fardu Ain (KAFA) negeri ini khatam Al-Quran.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat berkata, jumlah itu meningkat berbanding catatan tahun lepas seramai 16,929 orang.


"Untuk majlis kali ini, kita mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records," katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran & Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian(UPKK) pelajar Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) negeri Terengganu 2011.


Khazan berkata, Melaka merupakan negeri kedua paling ramai pelajar KAFA membuat khatam al-Quran iaitu 15,033 orang.


Beliau berkata, majlis khatam Al-Quran di Terengganu semalam dibuat serentak di seluruh negeri iaitu Kuala Terengganu seramai 6,325, Besut (3,149), Setiu (2,311), Marang (2,744), Hulu Terengganu (1,910), Dungun (2,024) dan Kemaman (1,670).


Sebahagian besar daripada pelajar berkenaan menggunakan Al-Quran digital menerusi e-Book yang diagihkan kerajaan, katanya.


Sumber: Kosmo Online

Friday, October 28, 2011

NAMA-NAMA ALLAH & KHASIATNYA - ar-Rahman

'ar-Rahman' memberi erti bahawa Allah memberi rahmat kepada seluruh makluk-Nya tanpa memilih kasih dengan tidak membezakan antara makluk berakal atau tidak, antara manusia yang baik atau yang jahat, yang beriman atau yang kafir.


Saturday, October 22, 2011

2,642 ORANG GURU UPSR TERENGGANU TERIMA LAPTOP

KUALA TERENGGANU - Pendidikan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu. Justru berbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan agar guru yang diberi tanggungjawab mendidik anak bangsa berupaya membina tamaddun dan mampu bersaing. Beliau berharap melalui pembudayaan ICT di kalangan pendidik dan pelajar ianya mampu mengubah cara berfikir dan budaya landskap pendidikan negeri ini.


Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyerahan Laptop kepada Guru-Guru UPSR Terengganu di Wisma Darul Iman pagi tadi. Seramai 2,642 orang Guru UPSR Terengganu menerima laptop daripada Menteri Besar Terengganu yang bernilai hampir RM3.7 juta. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Setiuasaha Kerajaan Negeri, Exco dan Timbalan Exco Pelajaran Negeri Terengganu, Pengarah dan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Pelajaran Negeri serta Pegawai Pelajaran Daerah seluruh negeri.


Tiga tahun yang lepas kerajaan negeri telah memperkenalkan e-book kepada murid-murid tahun 6. Biarpun terdapat pandangan dan tohmahan kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato' Haji Ahmad bin Said secara konsisten meneruskan program berkenaan dan di jangka menjelang akhir tahun ini sebanyak hampir seratus ribu ebook diagihkan kepada pelajar.


Sesungguhnya warga pendidik dan pelajar negeri ini amat bertuah berbanding dengan negeri lain kerana keperihatinan dan kecaknaan sebegitu rupa daripada kerajaan dan pimpinan negeri Terengganu. Pelaburan besar ini mestilah dibayar dengan keupayaan untuk terus cemerlang dan terbilang dalam pendidikan di negara ini. Terengganu mesti mampu melahirkan tenaga manusia yang berkompetensi dari segi ilmu, kemahiran dan nilai. Tugas besar ini diamanahkan kepada pendidik sebagai arkitek bangsa agar hasrat kerajaan negeri menjadikan "Terengganu sebagai Anjung ilmu". Kita amat yakin guru Terengganu amat tahu bersyukur dengan menterjemahkan rasa syukur ini menunaikan amanah mendidik dengan penuh keinsafan dan penuh iltizam.



Friday, October 21, 2011

NAMA-NAMA ALLAH & KHASIATNYA-ALLAH


'Allah' nama Tuhan Yang Maha Esa. Perkataan Allah ini mempunyai erti yang meliputi seluruh pengertian yang terkandung dalam seluruh Nama-Nama Allah (Asmaul-Husna) iaitu Tuhan yang tunggal yang mempunyai segala sifat kesempurnaan dan kepimpinan yang Maha Besar lagi Maha Tinggi serta Maha Kuasa.


Diantara Nama-Nama Allah yang berjumlah 99 atau lebih itu, 'Allah' inilah yang paling banyak tersebut di dalam Kitab Suci Al-Quran iaitu 2696 kali.

Thursday, October 20, 2011

KAMU SUKA KETAWA?

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.


Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.


Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.


Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.


Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama Baginda di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.


Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (pada akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.” – (Surah at-Taubah, ayat 82)


Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau.


Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)


Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Perbuatan itu dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.


Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.


Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.


Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.


Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia. Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.


Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Wednesday, October 19, 2011

10 SEKOLAH LATIH PENIPU

KUALA LUMPUR: Lelaki warga Nigeria yang memperdaya mangsa terutama golongan wanita di Malaysia dikesan menjalani latihan kemahiran menipu di beberapa sekolah khas yang diwujudkan di beberapa kawasan terpencil di negara mereka sebelum dihantar ke negara sasaran.


Siasatan polis di peringkat antarabangsa mendapati ada lebih 10 sekolah melatih penipu diwujudkan di negara itu sejak awal 1990-an bagi memastikan kebolehan menipu mereka mampu diwarisi mengikut peredaran zaman dan sukar ditumpaskan.


Kewujudan sekolah menipu itu didedahkan Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berdasarkan siasatan pihaknya selepas mendapati ramai warga negara ini diperdaya warga Nigeria sejak beberapa tahun lalu.


Beliau berkata, sekolah itu hanya menetapkan satu syarat iaitu pelatih hanya perlu tahu berkomunikasi dengan menggunakan komputer dan Internet.


“Pusat itu tidak berkonsepkan sekolah harian atau institusi pendidikan secara terbuka, sebaliknya beroperasi secara sembunyi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa negara itu.


“Semua bentuk latihan dibahagi mengikut jenis penipuan termasuk penipuan popular yang dikatakan mampu mengaut keuntungan tinggi seperti penipuan Internet, Black Money dan penyamaran pegawai polis,” katanya kepada Harian Metro.


Victor berkata, ada sebahagian ‘pelatih’ sekolah menipu itu berjaya menguasai kemahiran disediakan akan dihantar ke negara yang dijadikan sasaran untuk mempraktikkan kemahiran yang diajar.


“Mereka inilah yang akan menjadikan wanita tempatan di negara kita sebagai kekasih sebelum diperangkap sebagai mangsa penipuan sama ada dalam aktiviti jenayah siber atau pengedaran dadah,” katanya.


Menurutnya, sekolah menipu itu juga dipercayai menyediakan latihan praktikal kepada pelajarnya mengenai kaedah penipuan Black Money.


“Kaedahnya mudah iaitu bahan kimia khas digunakan untuk mengembalikan keadaan asal wang kertas yang disaluti warna hitam dan Black Money diperkenalkan negara Barat bertujuan menghantar wang ke negara mundur tanpa disedari musuh.


“Malangnya, kaedah yang sama dimanipulasikan sindiket berkenaan untuk menjual bahan kimia khas berkenaan kepada mangsa pada harga yang tinggi,” katanya.


Beliau berkata, kewujudan sekolah menipu itu terbukti memberi impak besar dalam penularan kegiatan jenayah lelaki Nigeria apabila siasatan polis di beberapa negara mendapati suspek yang ditahan mengesahkan mereka adalah ‘lulusan’ sekolah itu.


Pada 29 September lalu, muka depan Harian Metro mendedahkan penemuan koleksi surat, skrip dan puisi cinta serta gambar lelaki berkulit putih kacak dalam komputer riba warga Nigeria yang digunakan untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa. Siasatan polis mendapati, sindiket penipuan warga Nigeria di negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan.


Sumber: Harian Metro


Sunday, October 16, 2011

BANTUAN PELAJAR DIAGIH DISEMBER

TELUK KEMANG 15 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberitahu pemberian wang bantuan RM100 kepada 5.3 juta pelajar sekolah menengah dan rendah seperti diumumkan dalam Bajet 2012, akan disalurkan pada Disember ini.


Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas kerajaan menimbangkan bantuan tersebut perlu diberikan kepada ibu bapa atau keluarga pelajar terbabit sebelum sesi persekolahan bermula.


Untuk itu, katanya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan akan berbincang mencari kaedah sesuai bagi memastikan peruntukan kira-kira RM500 juta itu sampai kepada golongan sasar.


''Pada mesyuarat Kabinet semalam saya memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal sebegini kita minta satu kelonggaran supaya wang bantuan ini diberikan sebelum masuk tahun hadapan.


''Perkara ini bukan satu luar biasa walaupun kita tahu Bajet 2012 perlu dimulakan pada tahun depan. Pertimbangan kita berdasarkan pada kebiasaannya ibu bapa atau keluarga akan membeli kelengkapan persekolahan pada bulan Disember," katanya.


Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kampung Paya di sini hari ini.


Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta pemimpin-pemimpin BN peringkat bahagian.


Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pemberian bantuan tersebut adalah dalam bentuk tunai dan ia akan dibayar di sekolah.


''Mekanisme yang terbaik adalah di sekolah kerana di sini (sekolah) mempunyai rekod yang lengkap mengenai setiap data pelajar. Dengan pemberian bantuan ini bermakna semua pelajar berhak menerima peruntukan itu tidak kira daripada kumpulan mana sekalipun," katanya lagi.


Menjawab satu soalan, beliau berkata, bantuan tersebut hanya untuk pelajar dalam sistem persekolahan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.


''Diharap pemberian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) ini akan dapat mengurangkan beban ibu bapa serta keluarga mereka terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah," katanya.


Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan cadangan mengenakan syarat 80 peratus kehadiran para pelajar sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Beliau berkata, ini kerana pelajar-pelajar tersebut mempunyai sebab tertentu menyebabkan mereka tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang panjang antaranya menghadapi masalah kesihatan.


''Siapa sahaja yang berada di tingkatan lima berhak untuk menduduki SPM dan kita tidak boleh menghalang mereka. Lulus atau tidak itu terpulang kepada mereka tetapi mereka tetap boleh mengambil peperiksaan," katanya.


Sumber: Utusan Online


SAINS, MATEMATIK KE BAHASA MELAYU LANGKAH TEPAT

SEREMBAN 15 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan peralihan pembelajaran subjek Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu sebagai satu langkah tepat.


Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu seiring dengan usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini.


"Keputusan ini dibuat selepas mengambil pandangan semua pihak dan majoriti rakyat mahukan kedua-dua mata pelajaran berkenaan diajar dalam bahasa Melayu.


"Kita juga mendapati peratusan golongan yang mahukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah terlalu kecil," katanya menjawab satu soalan pada Majlis Dialog Warga Pendidik di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGRM) di sini hari ini.


Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Razak Mansor; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Pengarah IPGRM, Musa Abdullah.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, selepas enam tahun PPSMI dilaksanakan pihak kementerian mendapati ia tidak mencapai sasaran.


Menurutnya, antara masalah yang timbul ialah bilangan pelajar yang menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar amat rendah.


"(Daripada segi guru) Kita belum mempunyai keupayaan dan kebolehan, sebagai contoh ada guru yang mahir dalam bahasa Inggeris tetapi tidak mahir untuk mengajar subjek Matematik dan Sains.


"Begitu juga guru yang mahir dalam subjek Matematik dan Sains tidak pula mempunyai kepakaran mengajar kedua-dua subjek ini dalam bahasa Inggeris," jelas beliau.


Terdahulu berucap pada majlis pelancaran Institut Perguruan Kebitaraan Sukan (IPKS) di padang IPGRM, beliau memaklumkan tiga institut perguruan iaitu Institut Perguruan Kampus Perlis, Institut Perguruan Kampus Tun Abdul Razak dan IPGRM dipilih menjadi IPKS.


Katanya, tiga kampus itu dipilih bagi memberi tumpuan dalam aspek pembudayaan sukan dalam masyarakat sekali gus memenuhi objektif dasar 1Murid 1Sukan yang diperkenalkan oleh kerajaan.


"Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan kepada institut perguruan dalam usaha memartabatkan sukan di Malaysia," katanya.


Sumber: Utusan Online


Saturday, October 15, 2011

KENAIKAN GAJI GURU SETIMPAL BEBAN TUGAS: NUTP


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan kenaikan gaji kakitangan awam terutama guru pada pembentangan Bajet 2012 oleh kerajaan baru-baru ini adalah selaras dengan bebanan kerja dihadapi warga pendidik kini.


Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jika dibandingkan negara maju, gaji warga pendidik mereka lebih tinggi berbanding gaji kakitangan awam di kementerian lain kerana guru adalah aset melahirkan modal insan cemerlang.


“Memang pengumuman Bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kali ini menyaksikan kenaikan gaji kakitangan awam yang mana guru mendapat sedikit kelebihan, namun, bagi saya ia bertepatan dengan tugas dan tanggungjawab guru kini.


“Jika kita lihat negara maju, Jepun, Sweden dan Korea, gaji warga pendidik mereka adalah tinggi. Begitu juga dengan negara jiran kita Singapura,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Pengumuman bajet itu menyaksikan golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).


Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.


Sementara itu, Hashim turut menggesa pihak pentadbiran sekolah agar tidak menyekat warga pendidik berusia 47 tahun ke bawah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.


Kementerian Pelajaran katanya, sudah mengeluarkan pekeliling September lalu dengan membuka peluang kepada warga pendidik lepas diploma untuk menyambung pengajian.


Sumber: Berita Harian Online

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi