Wednesday, September 28, 2011

SYOR PENDIDIKAN ISLAM WAJIB LULUS

Tokoh agama, cendekiawan yakin subjek mampu bentuk sistem hidup


KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menjadikan Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus untuk pelajar beragama Islam dalam semua peperiksaan awam dan sijil pengajian tinggi bagi memperkukuh dan memartabatkan pendidikan Islam, sekali gus meletakkan Islam di arus perdana kehidupan.


Cadangan itu dikemukakan tokoh agama dan akademik dalam kertas kerja dibentangkan pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia kali pertama yang berakhir, di sini semalam.


Dalam kertas kerja mereka, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, Datuk Dr Ismail Ibrahim, Tan Sri Prof Dr Mohd Kamal Hassan, Prof Zakaria Stapa, Prof Dr Abdul Latif Samian dan Dr Abdul Halim Tamuri menyatakan Pendidikan Islam sepatutnya dapat membina sahsiah, jati diri, budaya dan cara berfikir umat Islam sehingga mereka mampu berdepan dengan segala cabaran pembangunan sama ada dalam mahupun luar negara.


Kertas kerja itu turut mencadangkan Pendidikan Islam perlu ditegaskan kembali dengan kurikulumnya perlu merentasi seluruh kurikulum dan bukan sebagai subjek Pendidikan Islam semata-mata, sesuai dengan Islam sebagai agama yang membentuk sistem hidup.


Pendidikan Islam bukan saja tidak boleh dipolitikkan oleh umat walaupun mereka mempunyai pandangan berbeza, malah tidak boleh dijadikan bahan tawar menawar dalam berpolitik, sekali gus memerlukannya diletakkan lebih tinggi daripada sistem politik.


Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa, mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) bagi memastikan prinsip Islam sebagai agama rasmi negara dihormati dan kedaulatan Islam terus dijunjung, sekali gus berupaya menangani fenomena kemaraan hak kebebasan beragama secara melampau.


SKAN yang bertanggungjawab terus kepada Majlis Raja-Raja melalui Yang di-Pertuan Agong dan bebas pengaruh politik berhak memberikan teguran dan nasihat berasaskan prinsip Islam kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensinya sama ada secara terus atau melalui laporan tahunan kepada Majlis Raja-Raja.


Suruhanjaya itu juga disaran mendengar aduan daripada pihak mengenai apa-apa perkara yang menyentuh prinsip Islam secara langsung atau tidak langsung pada peringkat Persekutuan.


Sumber: Berita Harian Online


Sunday, September 25, 2011

PERKHEMAHAN UNIFORM SK UNDANG 2011


SABTU, 24HB SEPT. 2011 - SK Undang, K.Terengganu (SKU) telah mengadakan aktiviti Perkhemahan Badan Beruniform bermula pada 22 hingga 24 Sept. 2011 bertempat di padang SKU. Gambar aktiviti tersebut boleh dilihat dalam ruangan ALBUM SK UNDANG.


Thursday, September 22, 2011

SEKOLAH TAKSUB SEMUA 'A' DITEGUR

Imbuhan Tawaran Baru ambil kira semua aspek bukan hanya peperiksaan


KUALA LUMPUR: Sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam sehingga sanggup bertindak di luar batasan, ditegur kerana kecemerlangan institusi pendidikan bukan diukur dari segi pencapaian akademik saja.


Sebaliknya, pengiktirafan itu termasuk pemberian ganjaran kepada pengetua, guru besar dan guru di bawah Tawaran Baru, mengambil kira penilaian menyeluruh yang turut meliputi aspek pencapaian kokurikulum dan pelajar serta keberhasilan pembangunan modal insan selaras Falsafah Pendidikan Negara.


Berikutan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua dan guru besar harus bersikap lebih terbuka dalam memahami hasrat kementerian berhubung matlamat pendidikan berkualiti.


“Saya dukacita ada sekolah terlalu taksub seperti itu, sedangkan kementerian tidak menilai kecemerlangan sekolah hanya berdasarkan prestasi semua A dalam peperiksaan. Malah, ada sekolah yang bukan seluruh pelajarnya mendapat keputusan semua A, tetap berjaya menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).


“Jadi, tindakan seperti menyekat calon tertentu menduduki peperiksaan awam bermakna menutup potensi yang ada serta menyebabkan masyarakat menjadi keliru,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.


Tiga calon Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, Sarawak, tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini kerana mereka didakwa lemah dan dibimbangi boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah itu.


Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine serta Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah ketika calon lain menduduki UPSR pada 13 dan 14 September lalu dan mereka hanya dibenarkan mendudukinya pada hari terakhir peperiksaan 15 September selepas ibu bapa membuat aduan polis.


Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) sudah membuat siasatan awal ke SK Bandar Bintangor Isnin lalu dan mengesahkan berlaku kejadian mengurung tiga calon terbabit.


“Kita masih menyiasat punca kejadian dan ketika ini, guru besar sekolah itu bertugas seperti biasa. JNJK dijangka menyerahkan laporan penuh hasil siasatan itu kepada saya akhir minggu depan. Kita akan meneliti dan membuat beberapa cadangan sewajarnya sebelum dikemukakan kepada menteri,” katanya.


Beliau berkata, tiga murid terbabit akan menduduki UPSR pada 3 hingga 5 Oktober di sekolah itu dengan pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sendiri yang akan bertindak sebagai guru pengawas.


Bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan, beliau berkata, kementerian akan mengeluarkan surat peringatan dari semasa ke semasa kepada pengetua dan guru besar mengenai pekeliling berhubung hak semua pelajar berdaftar menduduki peperiksaan.


Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon turut kesal dengan kejadian itu yang disifatkan sebagai terpencil dan menggesa suatu peringatan dikeluarkan kepada semua sekolah bagi memastikan calon tidak dihalang menduduki peperiksaan.


“Pihak yang bersalah dalam perkara ini mesti dikenakan tindakan sesuai untuk dijadikan amaran dan menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya.


Sumber: Berita Harian Online



Wednesday, September 21, 2011

SAMBUTAN HARI RAYA & MERDEKA SK UNDANG 2011


RABU, 21HB SEPT.2011 - SK Undang, K.Terengganu (SKU) telah mengadakan Sambutan Hari Raya berserta Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah. Permulaan sambutan telah diadakan aktiviti perhimpunan di Dataran SKU bagi mendengar ucapan dan persembahan oleh murid-murid SKU seterusnya menjamu pelbagai jenis makanan dan kuih-muih. Gambar sambutan aktiviti tersebut boleh dilihat dalam ruangan ALBUM SK UNDANG.



Tuesday, September 20, 2011

GURU PENOLONG KANAN HADAPI TUDUHAN PECAH AMANAH

KANGAR: Seorang guru penolong kanan hal ehwal murid sebuah sekolah rendah di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas tuduhan pecah amanah.


Farida Ariani Fadzil, 49, dituduh melakukan pecah amanah wang dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah RM5,400 yang sepatutnya dibayar kepada 12 murid tahun satu pada 4 November 2008 di pejabat Sekolah Kebangsaan Behor Empiang, di sini.


Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, guru yang tidak diwakili peguam itu tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.


Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.


Bagaimanapun tertuduh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan kerana beliau adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan seorang anak.


Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin itu. - BERNAMA



Berita Harian Online: 19 September 2011
Pautan: Blog Perkhidmatan Pelajaran


3 MURID DIKURUNG KETIKA UPSR

Dilarang ambil peperiksaan kerana bimbang jejas prestasi sekolah


KUCHING: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.


Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah, sementara rakan sekelas lain menduduki peperiksaan berkenaan pada 13 dan 14 September lalu.


Mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan pada 15 September, iaitu pada hari terakhir UPSR, selepas ibu bapa mereka membuat aduan kepada polis.


Difahamkan ketiga-tiga murid terbabit dikunci di dalam bilik pemulihan mulai jam 8 pagi hingga tengah hari pada kedua-dua hari berkenaan. Pasukan polis yang tiba di sekolah itu pada 15 September menemui murid terbabit dikurung dalam bilik berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Bintangor, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Hafifi Mohd Salim, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu bapa murid terbabit.


“Kita mendapati ketiga-tiga murid itu dikunci dalam bilik untuk mengelak mereka daripada menduduki peperiksaan kerana pihak sekolah mendakwa murid terbabit lemah dalam pelajaran dan boleh menjejas pencapaian sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.


Bagaimanapun, beliau menyifatkan kes itu sudah ditutup kerana ibu bapa murid terbabit bersetuju menarik balik laporan polis yang dibuat.


“Pihak Jabatan Pelajaran juga sudah dimaklumkan. Kami dimaklumkan tindakan akan diambil terhadap guru besar sekolah terbabit,” katanya.


Mengulas perkembangan sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, kesal dengan tindakan pengurusan sekolah terbabit.


“Saya belum menerima laporan secara rasmi. Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat. Bagaimanapun, kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana semua murid Tahun Enam berhak menduduki UPSR, tak kira sama ada mereka bijak atau lemah,” katanya.


Guru besar sekolah itu dan Jabatan Pelajaran Sarawak bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk komen.



Sumber: Berita Harian Online

Saturday, September 17, 2011

HAFAL PUNCA PELAJAR TAK KREATIF BERFIKIR

KETIKA Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri ada menyatakan pelajar sekolah pada hari ini perlu dielakkan daripada belajar secara menghafal atau rote learning.

Golongan guru pula perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya pelajar tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini.


Sebagai ahli akademik, saya amat bersetuju dengan saranan Datuk Seri Najib Razak dan saya melihat belajar secara menghafal mendatangkan banyak kesan negatif kepada pelajar.


Belajar secara menghafal ini kebiasaannya sesuai dipraktikkan kepada kanak-kanak yang mindanya masih dalam proses perkembangan. Mereka menghafal tanpa memahami apa sebenar dihafalnya.

Lazimnya, kanak-kanak ini lebih ke hadapan berbanding rakan sebaya mereka yang tidak belajar langsung disebabkan maklumat yang disimpan dalam minda kesan daripada hafalan.

Bagaimanapun, cara ini tidak sesuai dipraktikkan di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Ia meminta pelajar mengingat sesuatu fakta secara berulangan.

Impaknya, pelajar malas berfikir dan tidak memahami apa sebenar dihafalnya. Sedangkan kebanyakan sukatan pelajaran begitu menekankan proses berfikir. Contohnya matlamat pelajaran Matematik umpamanya melahirkan pelajar berkebolehan berfikir secara matematik dan mampu mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam penyelesaian masalah dan membuat keputusan.


Justeru, apabila kaedah belajar secara hafalan ini terus diaplikasikan, sistem pendidikan pada hari ini akan terus melahirkan generasi pelajar tidak berpengetahuan.

Ada beberapa kajian lepas yang menunjukkan pelajar yang mengamalkan kaedah belajar secara hafalan menghadapi masalah pada peringkat universiti. Ini disebabkan segala maklumat yang dihafal pelajar disimpan dalam ruang ingatan jangka pendek dan tidak bertahan untuk jangka panjang.

Kaedah belajar secara menghafal juga membosankan pelajar kerana tidak diberi peluang meneroka sendiri konsep itu. kehadiran pelbagai teknologi pendidikan boleh digunakan dalam bilik darjah untuk mengelak belajar secara menghafal.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.


Friday, September 16, 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA


HARI MALAYSIA disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Thursday, September 15, 2011

GURU AS TAK BANTU KUASAI BI

NGO bimbang pengajar dari Amerika Syarikat bawa budaya Barat


KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan menyarankan Kementerian Pelajaran mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) lebih menarik bagi membolehkan murid memperoleh asas linguistik kukuh pada peringkat rendah. Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGGMB), meminta penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan memanfaatkan makmal komputer supaya subjek berkenaan lebih menyeronokkan.


Presidennya, Mohd Sabri Arsad, berkata langkah membawa masuk guru dari Amerika Syarikat (AS) bukan tindakan bijak kerana guru asing dikhuatiri membawa masuk budaya Barat yang bercanggah dengan cita rasa tempatan.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, maklum balas daripada guru dan pelajar di Terengganu yang mempunyai English Teaching Assistant (ETA) menunjukkan kehadiran ETA dari AS tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan BI pelajar.


“Pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris yang disampaikan ETA kerana sebutannya sukar difahami, ” katanya.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin berkata BI akan dijadikan syarat wajib lulus. Syarat itu bagi melayakkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penuh selepas gurunya mencukupi dan pengenalan kurikulum baru.


Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula meminta pelaksanaan syarat wajib lulus dalam SPM itu dilakukan secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa sehingga membebankan pelbagai pihak.


Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata cadangan mengambil tenaga pengajar luar negara bukan penyelesaian terbaik.


Kementerian, katanya perlu melatih lebih ramai guru tempatan dan mengoptimumkan kemahiran mereka untuk dimanfaatkan bersama.


Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula silibus mata pelajaran BI di sekolah menengah bagi meningkatkan minat pelajar untuk menguasai mata pelajaran itu.


Yang Dipertuanya, Ahmad Malie, berkata ketika ini pelajar terpaksa mempelajari komponen sastera sebagai elemen tambahan dalam silibus pembelajaran BI.


Sumber: Berita Harian Online


Saturday, September 10, 2011

AMALAN DOA-DOA UNTUK MENGHADAPI PEPERIKSAAN

* Klik doa untuk besarkan doa tersebut atau download di sini: Amalan Doa Menghadapi Peperiksaan. Usaha dan Tawakkal

Wednesday, September 7, 2011

PEPERIKSAAN UPSR 2011

Peperiksaan UPSR akan menentukan kemana arah pelajar tersebut sebaik sahaja menamatkan sesi sekolah rendah pada tahun berikutnya, samada di sekolah harian biasa, sekolah berasrama penuh ataupun maktab rendah sains mara (MRSM). Prestasi pelajar akan dinilai melalui peperiksaan penting ini bagi membolehkan pelajar mendapat peluang belajar setanding kebolehan yang dimiliki.


Di bawah ini dilampirkan Jadual Peperiksaan UPSR Bertulis 2011 bagi seluruh negara bermula 13 September 2011 hingga 15 September 2011:


SELASA 13 September 2011

  • 08:15 pagi — 09:05 pagi – Bahasa Melayu Pemahaman
  • 09:45 pagi — 11:00 pagi – Bahasa Melayu Penulisan
  • 11:45 pagi — 12:25 tengah hari – Mathematics Kertas 2


RABU 14 September 2011

  • 08:15 pagi — 09:15 pagi – Mathematics Kertas 1


KHAMIS 15 September 2011

  • 08:15 pagi — 09:30 pagi – Science
  • 10:15 pagi — 11:05 pagi – Bahasa Inggeris Kertas 1
  • 11:45 pagi — 01:00 petang – Bahasa Inggeris Kertas 2
  • 02:30 petang — 04:00 petang – Ujian Aptitud


Kepada murid-murid yang bakal mengambil UPSR, diucapkan selamat menjawab dan buatlah persediaan dengan rapi kerana keputusan UPSR anda nanti akan menentukan tempat di mana anda akan belajar semasa di Tingkatan 1 kelak.

Download: Jadual Peperiksaan UPSR 2011

S
ELAMAT BERJAYA


LEBIH 490,000 BAKAL DUDUKI UPSR PADA 13, 14 DAN 15 SEPT


KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Peperiksaan bertulis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 akan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, seramai 497,691 calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara, dengan melibatkan 48,560 petugas peperiksaan.

Semua calon diingatkan supaya merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung.


- BERNAMA

Monday, September 5, 2011

SISTEM SAPS BANYAK MASALAH

SAYA bersetuju dengan komen oleh ‘Norhisham Mohamad, Alor Setar’ mengenai Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) seperti disiarkan dalam ruangan ini pada 30 Julai lalu, bertajuk ‘kewujudan SAPS bebankan guru’.

Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program ini susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.
Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar dari talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.

Kami baru diperkenalkan dengan sistem ini pada 25 Julai lalu. Sudahlah kami hanya diberikan modul saja tanpa diajarkan sistem ini sepenuhnya. Sistem ini hanya boleh dibuka bila tidak ramai orang dalam talian iaitu, biasanya selepas jam 3 pagi.

Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian 1, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar.

Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar. Sebenarnya sebelum menggunakan sistem SAPS yang diambil dari Perak, guru menggunakan sistem yang diambil dari Johor. Malangnya, apabila sistem baru diperkenalkan kami terpaksa melakukan pengisian markah sekali lagi. Ini sangat membebankan kerana terpaksa melakukan perkara yang sama berulang kali.

Yang peliknya semasa taklimat kami diberitahu bahawa semasa menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.

Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan lain dalam sistem ini. Sepatutnya pihak Kementerian Pelajaran terlebih dulu memastikan sistem yang ingin digunakan mestilah mudah dicapai pada bila-bila masa, cekap dan mesra pengguna.

GURU TENSION,
Kajang, Selangor

Berita Harian Online: 6 Ogos 2011

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi