Monday, February 21, 2011

BERFIKIR POSITIF UNTUK KECEMERLANGAN ANAK

IBU bapa sering merungut anak mereka bermasalah, malas, tidak solat, gagal mengurus masa, kerja sekolah tidak siap dan degil.


Hakikatnya, mereka bukan malas. Melalui pengalaman mendapati, anak-anak mahu cemerlang dan suka menggembirakan ibu bapa mereka.


Cuma, mereka mungkin kurang diberikan dorongan positif, tidak ada tujuan dan matlamat hidup atau tidak didedahkan dengan cara yang betul untuk berjaya.


Apa yang kita rasa, sangka dan jangka maka itulah cara anak-anak kita bertingkah laku.


Jika kita rasa anak kita tidak cukup bagus, jangka anak akan timbulkan masalah, maka bagaikan seorang tukang ramal yang tepat, itulah yang berlaku.


Sebaliknya apabila kita rasa anak ada peluang, kita sangka mereka boleh dan kita harap kecemerlangan, itulah kemungkinan besar yang berlaku.


Minda umpama magnet yang akan menarik apa sahaja bentuk fikiran dan gambaran yang dihasilkan. Oleh itu letakkan rasa, sangka dan jangkaan yang besar terhadap diri anak-anak kita.


Apabila kita jangkakan anak-anak boleh berjaya dan penghujung kepada perjalanannya sebagai seorang pelajar sedia menanti sebuah kecemerlangan, kita akan berusaha dengan lebih proaktif.


Kita belikan buku-buku tambahan dan keperluan anak. Kita masukkan dia dalam pelbagai program yang boleh mengasah bakatnya. Kita usaha tingkatkan prestasi pelajarannya dan membantu mengatasi kelemahannya melalui kelas tuisyen. Malah kita juga tidak akan kedekut menghantar anak-anak ke seminar motivasi dan teknik belajar.


Pendek kata, kita akan lakukan apa sahaja dan sanggup berkorban wang ringgit kerana kita percaya anak boleh cemerlang. Kepercayaan itu datang daripada apa yang kita rasa, sangka dan jangkakan itu tadi.


Sikap membuat andaian buruk merugikan masa depan anak-anak. Misalnya apabila disarankan membeli buku latihan atau buku tambahan, ada ibu bapa yang berkata, "buat apa beli buku latihan banyak-banyak. Bukan anak saya buat pun. Tahun lepas buku yang telah dibelikan untuknya dia hanya buat latihan dalam beberapa muka surat sahaja. Anak saya ni pemalas sikit".


Pertama, ibu bapa sudah menanam persepsi negatif tentang kemampuan anak mereka.


Kedua, ibu bapa tidak percaya yang anak mereka mampu melakukannya.


Ketiga, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendorong dan mendisiplinkan anak-anak bagi memastikan mereka mahu memanfaatkan buku-buku yang telah dibeli itu.


Begitu juga apabila ibu bapa mengetahui sesuatu program atau seminar motivasi diri atau teknik belajar, mereka lalu berkata "Alah, buat apalah masuk program atau seminar motivasi ni, kesan perubahannya seketika sahaja. Kelak nanti anak balik semula kepada perangai lama".


Sebenarnya ibu bapa yang tidak faham akan objektif atau tujuan sesuatu program itu. Minda manusia berfikir menggunakan rujukan. Apabila berdepan dengan satu perkara baru atau masalah, minda akan mencari apakah sumber maklumat yang ada dalam simpanannya.


Maklumat-maklumat ini menjadi asas kepada penyelesaian, pandangan, idea dan kreativiti. Tanpa maklumat maka sukarlah untuk minda menghasilkan sesuatu yang baik dan bernas.


Apabila anak-anak ikuti seminar, bengkel atau program motivasi dan teknik belajar, mereka memperoleh pelbagai maklumat baru terutamanya berkaitan dengan aspek kecemerlangan, pengurusan diri dan pembelajaran.


Maklumat baru ini pastinya akan diadun, diaplikasi dan dimanfaat anak-anak dalam mencari penyelesaian dan jawapan terhadap masalah, tekanan atau kesukaran.


Akhirnya, keputusan serta tindakan yang diambil oleh mereka biasanya lebih efektif dan matang berbanding anak-anak yang tidak pernah terdedah dengan ilmu-ilmu kecemerlangan.


Kawalan diri mereka lebih baik. Jika mereka tersalah langkah atau tersasar jauh ke hadapan, mereka tahu cara untuk berpatah balik dan bangkit semula daripada kegagalan. Semua ini adalah kesan yang tidak boleh dilihat secara langsung namun berlaku dalam diri anak-anak.


Apabila persepsi negatif wujud dalam minda ibu bapa maka itulah yang berlaku. Seperti yang telah dinyatakan awal-awal tadi, minda umpama magnet yang akan menarik apa yang ada di dalam fikirannya.


Ini bersesuaian dengan hadis qudsi yang mana Allah telah menegaskan: "Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hamba-Ku adalah mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku... ." Maknanya apa yang kita gambarkan dan fikirkan itu adalah satu doa. Sebenarnya bukan rugi apa pun jika kita berfikiran lebih positif terhadap anak-anak. Yakin bahawa mereka boleh berjaya dan mampu melakukan perubahan. Cari kebaikan dalam diri anak dan suburkan kebaikan itu.


Cari kelemahan dan kekurangan diri anak lalu berusaha mengikis dan mengatasinya. Berkorban hari ini demi kecemerlangan masa depan anak.


Anak-anak itu unik. Mereka lahir dengan pakej masing-masing yang lengkap dengan bakat dan kebolehan yang ada dan dominan pada dirinya dan tiada pada diri orang lain.


Tugas ibu bapa adalah memberi peluang untuk anak-anak mengenal, memupuk, mengasah dan memanfaatkan bakat serta kebolehan yang telah dianugerahkan oleh Tuhan ini bagi mencari rezeki.


Dengan memberikan anak-anak kita pendedahan dan peluang, mereka akan mampu maju jauh ke hadapan berbanding dengan anak-anak orang lain. Kecemerlangan akademik itu penting tetapi ia bukannya satu-satunya sahaja jalan untuk berjaya.


Sumber: hmetro

Friday, February 18, 2011

23 SEKOLAH LAGI DIIKTIRAF SBT 2011

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan nama 23 sekolah lagi yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ia didapati memenuhi kriteria yang diperlukan.


Beliau membuat pengumuman nama-nama sekolah itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, kira-kira 55 kilometer dari sini, yang juga salah satu daripada sekolah yang tersenarai di bawah pengiktirafan itu.


23 Sekolah Berprestasi Tinggi adalah terdiri daripada:

1. Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu

2. Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor

3. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak;

4. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor;

5. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah

6. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang;

7. Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur

8. Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan

9. Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak

10. Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur

11. Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur

12. Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang

13. Sekolah Menengah Sains Muar, Johor

14. Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak

15. SK Convent Muar, Johor

16. SK Seri Biram, Pahang

17. SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah;

18. SK Setiawangsa, Kuala Lumpur

19. SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang

20. SK Sultan Ismail, Terengganu

21. SK Jalan Tiga, Selangor

22. SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang

23. SJK(C) Lick Hung, Selangor


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tahun lalu 20 sekolah diumum sebagai SBT.


Berhubung pencapaian SK Ulu Lubai, Muhyiddin berkata, sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang sejak 2006 dengan memperolehi kelulusan 100 peratus dalam UPSR.


Katanya, sekolah itu mengambil pelbagai inisiatif yang cukup luarbiasa sehingga membolehkan ia menjadi sekolah pedalaman pertama mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi.


Beliau berkata, sekolah itu juga pernah memenangi dua anugerah di peringkat antarabangsa, lima anugerah peringkat kebangsaan dan 14 peringkat negeri.




Sumber: bharian

Monday, February 14, 2011

SALAM MAULIDUR RASUL 2011



WASIAT NABI MUHAMMAD SAW KEPADA SAYIDINA ALI RA;

Orang MUKMIN ada 3 tanda-tandanya:

Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia.

Tidak terpesona dengan pujuk rayu.

Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia.


Orang ALIM itu ada 3 tanda-tandanya:

Jujur dalam berkata-kata.

Menjauhi segala yang haram.

Merendahkan diri.


Orang JUJUR itu ada 3 tanda-tandanya:

Merahsiakan ibadahnya.

Merahsiakan sedekahnya.

Merahsiakan ujian yang menimpanya.


Orang TAKWA itu ada 3 tanda-tandanya:

Takut berlaku dusta dan keji.

Menjauhi kejahatan.

Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.


Golongan AHLI IBADAH itu ada 3 tanda-tandanya:

Mengawasi dirinya.

Menghisab dirinya.

Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Friday, February 11, 2011

BANTUAN PERSEKOLAHAN RM2.5 BILION DIAGIH

PUTRAJAYA 10 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan peruntukan bantuan persekolahan 2011 berjumlah RM2.5 bilion kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri dan tujuh bahagian pengurusan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.


Majlis berlangsung selepas Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, menyampaikan Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.


Menurut kenyataan kementerian itu, peruntukan tersebut bagi merapatkan jurang pendidikan di antara murid di bandar dan luar bandar serta amat bermanfaat bagi murid daripada golongan miskin dan berada, murid biasa dan murid berkeperluan khas serta kemudahan bagi murid yang ditimpa bencana.


Ia juga bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka terus dapat bersekolah selaras dengan Dasar Pendidikan Wajib 2003.


''Agihan peruntukan bantuan persekolahan itu dibuat melalui 22 jenis bantuan persekolahan yang disalurkan oleh Kementerian Pelajaran kepada murid-murid berkelayakan setiap tahun,'' kata kenyataan itu.


Bantuan itu merangkumi Rancangan Makanan Tambahan; bantuan Pakaian Seragam Sekolah; Biasiswa Kecil Persekutuan; Biasiswa Kelas Persediaan Universiti; Biasiswa Sukan; Elaun Prauniversiti; Elaun Murid Berkeperluan Khas; bantuan Geran Perkapita Prasekolah; bantuan Makanan Prasekolah; bantuan Geran Perkapita dan Yuran Khas Sekolah.


Bantuan Kokurikulum Sekolah; bantuan Makanan Asrama; Perjalanan Asrama; Perjalanan dan Pengangkutan Murid; Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh; bantuan Jaket Keselamatan; Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan; Program Susu 1Malaysia; bantuan Sukan Sekolah; bantuan Kurikulum Prasekolah; bantuan Kurikulum Asrama dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.


Tujuh bahagian yang menerima bantuan tersebut adalah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Cemerlang; Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional; Bahagian Pendidikan Khas; Bahagian Pendidikan Islam; Bahagian Sukan; Bahagian Kokurikulum dan Kesenian serta Institut Pendidikan Guru Malaysia.


Pada tahun ini, Jabatan Pelajaran negeri Sarawak menerima peruntukan Bantuan Persekolahan tertinggi iaitu RM393 juta manakala di peringkat kementerian pula, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Cemerlang sebanyak RM117 juta.


Kerajaan berharap pemberian bantuan persekolahan itu dapat memberi motivasi kepada murid untuk terus menimba ilmu sehingga ke peringkat lebih tinggi supaya menjadi insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Sumber: Utusan Malaysia

Tuesday, February 1, 2011

PURATA RAKYAT MALAYSIA BACA DUA BUKU SETAHUN

USAHA melestarikan kecemerlangan sektor pendidikan negara bukan hanya memerlukan kewibawaan dalam melahirkan golongan bijak pandai malah merangkumi kepelbagaian aspek lain.


Ukuran pencapaian bukan saja diukur melalui kejayaan mengeluarkan pensyarah atau graduan berstatus cemerlang, malah dinilai melalui aspek penghasilan bahan bacaan ilmiah.


Sayangnya, penghasilan bahan bacaan ilmiah yang dianggap tulang belakang dalam proses pembudayaan ilmu itu masih gagal menepati cita rasa masyarakat yang lebih selesa dengan bahan bacaan ringan serta dianggap mampu merehatkan minda.


Ini sekali gus bagai membenarkan tanggapan bahawa bahan bacaan ini memang tidak mampu dikomersialkan, namun dihasilkan bagi memenuhi tanggungjawab golongan tertentu semata-mata.


Persoalannya, mengapakah sukar menembusi minat masyarakat dan warga institusi pengajian tinggi, walhal kandungannya cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kepentingan wacana pengembangan ilmu berteraskan pendidikan sepanjang hayat.


Pakar psikologi kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Sulaiman Selamat berkata, kecenderungan mahasiswa dan generasi muda memilih bahan bacaan ringan kerana terdedah dengan budaya generasi baru yang dilahirkan dalam persekitaran mudah, mewah, pantas dan selesa.


Menurutnya, budaya ini menjadikan mereka generasi malas berfikir, kurang berilmu dan hanya memberi fokus pada pendidikan berorentasikan akademik dan peperiksaan semata-mata.


"Inilah timbal balas daripada arus kemodenan dan peralihan zaman yang memperlihatkan semua aspek hanya ditangani secara mudah dan tanpa inisiatif. Hasilnya, banyak perlu dikorbankan termasuk ilmu pengetahuan.


"Budaya membaca di kalangan masyarakat sangat rendah. Bayangkan, jika membaca bahan berbentuk ringan pun tiada minat, bagaimana pula bahan ilmiah?


"Senario ini membimbangkan, apatah lagi sebahagian besarnya adalah golongan muda yang tentunya terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Jika kurang membaca, apakah lagi aspek yang boleh dijadikan taruhan?" katanya.


Berdasarkan kajian dilakukan Perpustakaan Negara pada 2005, secara purata keseluruhan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding purata sebelum ini dua halaman buku setahun , terendah antara negara di Asia.


Dalam hal ini, rakyat India mendominasi dengan 35, Thailand (25) dan Indonesia (18).


"Dari situ, kita dapat melihat bagaimana penerimaan masyarakat terhadap aktiviti membaca. Jadi bagaimana ingin melonjakkan diri menjadi masyarakat berilmu jika aktiviti mudah ini sukar dilaksanakan?" katanya.


Pengarah Penerbit UTM Press, Profesor Hishamuddin Jamaluddin berkata, bahan bacaan ilmiah bukanlah menjadi kegemaran kerana fokus utama yang disasarkan lebih menjurus kepada keperluan pemprosesan ilmu berbentuk serius dan terhad.


Secara amnya, mereka lebih menggemari bahan berbentuk ringan dan santai kerana proses pemahaman maklumat menjadi lebih mudah, selain tidak memerlukan ketelitian mendalam bagi memahami fakta.


"Tidak hairanlah, bahan ilmiah sukar menembusi permintaan pasaran berbanding bahan bacaan lain kerana 'sifatnya' yang sangat serius, padat serta banyak membabitkan fakta saintifik.


"Jika diberi pilihan, ramai menolak bahan bacaan ilmiah kerana tidak mahu membebankan otak dengan penjanaan maklumat sangat kompleks. Namun tidak boleh salahkan mereka kerana pilihan di tangan individu.


"Cuma menyedihkan bahan ini seperti terpinggir jika dibandingkan dengan bahan lain berbentuk picisan. Bahan bacaan ilmiah cukup menguji kemampuan intelek seseorang selain menaikkan prestij pengetahuan ke tahap lebih baik," katanya.


Lambakan bahan ilmiah di pasaran kian membimbangkan golongan intelektual kerana bukan saja permintaan berkurangan malah merencatkan industri penulisan subjek kritikal kerana tumpuan lebih diberikan kepada bahan bacaan yang mampu menjana pulangan lumayan.


Dengan kata lain, bahan ilmiah sukar dikomersialkan, sekali gus menghadapi masalah lambakan di pasaran mahupun pengeluaran terhad kerana permintaan yang sedikit.


Suatu ketika, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengehadkan cetakan buku untuk sesuatu tajuk kepada 1,000 hingga 3,000 naskhah saja berbanding 3,000 hingga 5,000 naskhah pada era 80-an.


Mengulas mengenai kelesuan minat dan permintaan, beliau mengakui tiadanya daya tarikan terhadap kandungan mahupun cara susun atur selain penggunaan bahasa Inggeris sebagai antara faktor penyumbang terbesar.


Bagaimanapun, katanya, faktor itu sukar dielak kerana penghasilan bahan bercetak berkenaan dibuat atas sasaran membudayakan peningkatan ilmu secara profesional, berilmiah dan fokus.


"Buku ilmiah memang membosankan, terlalu profesional dan korporat. Namun, itulah identitinya serta sukar dielak kerana tujuan ia diterbitkan untuk membudaya wacana ilmu serta meningkatkan daya intelek individu.


"Bagaimana boleh dikatakan ilmiah jika penyampaiannya dilakukan secara santai? Itu tidak akan mencapai matlamat penulisannya selain akan memporak-perandakan proses pengembangan ilmu yang berpaksikan fakta serta penyelidikan.

"Mesti ada perbezaan, cuma kehendak masyarakat suka kepada buku berbentuk ringan mengehadkan penjualan dan permintaan biarpun susun aturnya menarik," katanya.


"Budaya masyarakat tempatan yang sukar membaca menjadikan bahan ilmiah semakin terpinggir, ditambah pula tanggapan hanya untuk golongan 'pandai'. Kebanyakannya pula dalam bahasa Inggeris.


"Masyarakat menjadikannya alasan untuk menolak sedangkan kini banyak bahan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hakikatnya, kita belum terbuka berbanding masyarakat antarabangsa yang sentiasa teruja dan terdedah dengan pelbagai bahan bacaan berat.


"Namun, mengatakan kita langsung tidak suka, itu tidak benar tetapi jumlahnya kecil," katanya.


Katanya, bahan ilmiah berkaitan pertanian, landskap dan reka cipta dan perubatan sentiasa dicari.


"Mungkin kerana mudah difahami, bergambar atau lama di pasaran menjadikannya diterima dalam lingkungan masyarakat termasuk sebagai bahan rujukan.


"Usaha lebih padu perlu dilakukan bagi menjadikan bahan ilmiah diterima selain mendidik masyarakat jangan terlalu taksub pada bahan picisan," katanya.


>INFO

PERANGKAAN 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun berbanding 180,000 judul di China, 116,000 (United Kingdom), 60,000 (Amerika Syarikat) dan 45,000 (India).


Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun itu, hanya 1,273 atau 32 peratus bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.


KINI kebanyakan institusi pengajian tinggi awam mempunyai bahagian penerbitannya sendiri selaras usaha memperkaya dan memperbanyakkan lagi penerbitan bahan berbentuk ilmiah kepada masyarakat.


Antaranya Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).


Sumber: Hmetro

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi