Monday, August 30, 2010

Lambakan guru wanita

Alasan kurang mencabar, tidak sesuai dengan jiwa dan gaji sedikit antara faktor penolakan menyebabkan guru wanita mendominasi bidang perguruan biarpun pelbagai usaha dilakukan bagi menarik golongan lelaki.

Berikutan ketidakseimbangan jantina itu, timbul persoalan, sampai bilakah senario ini akan berterusan?

Tokoh Guru Kedah Sayed Mahdzir Sayed Omar, berkata lambakan itu bukannya disebabkan golongan lelaki terlalu memilih, tetapi tawaran kerjaya lain lebih menarik.

Beliau berkata, dulu bidang kerjaya terhad, kini dengan perkembangan ekonomi memberangsangkan, wujud pelbagai bidang pekerjaan yang memerlukan kepakaran tertentu.

"Sesetengah lelaki memilih bidang perguruan, mungkin gagal mendapat pekerjaan lain di luar atau guru adalah pilihan terakhir mereka.

"Dari segi fizikal dan emosi, kerjaya ini lebih sesuai dengan wanita, malah pelajar rasa lebih selesa kerana wanita penuh kelembutan.

"Bagaimanapun, peranan guru lelaki juga penting kerana ada bidang tertentu yang tidak mampu dilakukan guru wanita," katanya.

Mengikut statistik Kementerian Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.

Sayed Mahdzir, berkata sukar meneka mengapa kerjaya guru didominasi wanita namun hakikatnya, golongan itu mempunyai kredibiliti dan kesabaran melaksanakan tugas.

Walaupun guru wanita dikatakan lebih garang, pelajar mudah berkomunikasi dan ini memudahkan proses pembelajaran.

"Guru wanita mempunyai emosi lembut, mudah berunding dan lebih memahami menyebabkan kerjaya ini. Waktu bertugas juga agak fleksibel.

"Meskipun bebanan tanggungjawab semakin berat, mereka berkemampuan apatah lagi kerjaya ini bagaikan tugasan hakiki sejak dulu," katanya.

Namun, katanya, dalam beberapa aspek, kepakaran guru lelaki memang dituntut terutama membabitkan penggunaan fizikal, disiplin dan pendidikan jasmani .
"Malangnya, kekurangan itu menyebabkan guru perempuan terpaksa melakukannya, sudah tentu membebankan.

"Justeru, keseimbangan jantina juga penting bagi memastikan pelaksanaan bidang tugas mengikut kesesuaian mampu dilaksanakan," katanya.

Ditanya apakah bidang tugasan menuntut komitmen penyertaan guru lelaki, beliau berkata disiplin lebih sesuai kerana pelajar mudah memperlekehkan guru wanita.
Katanya, gejala sosial di kalangan pelajar terutama memerlukan mekanisme dan pemantauan sesuai yang hanya berkesan jika ditangani guru lelaki.

"Penting mengimbangi jantina antara dua golongan supaya penyelarasan tugasan dapat diseimbangkan kerana kemampuan guru wanita terbatas.

"Bayangkan apa akan jadi jika krisis ini berterusan, siapa yang akan menanggung akibatnya pada masa depan. Justeru, tindakan agresif perlu dilakukan bagi menarik guru lelaki menyertai kerjaya ini," katanya.

Beliau meminta Kementerian Pelajaran menambah kouta pengambilan guru lelaki selain menyediakan skim gaji lebih menarik.

"Itu antara langkah boleh dilakukan, untuk jangka masa panjang. Dulu, lelaki suka jadi guru, kini sebaliknya.

"Fenomena ini menyedihkan kerana gabungan antara guru lelaki dan perempuan boleh melahirkan kecemerlangan dalam akademik," katanya.

Beliau tidak menafikan kejatuhan disiplin pelajar juga disebabkan kurangnya peranan dimainkan guru lelaki namun bukan aspek kecemerlangan.
"Kewibawaan guru wanita tidak perlu dipersoalkan, mereka komited. Ini bukan masa mencari kesalahan orang lain.

"Selesaikan dulu kekurangan sedia ada. Letakkan kepentingan mendidik anak bangsa di tangga paling atas supaya tidak sesiapa menjadi mangsa," katanya.

>INFO

Lebih 80 peratus atau 54,400 daripada kira-kira 68,000 permohonan untuk mengikuti Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) yang diterima Kementerian Pelajaran bagi pengambilan Jun lalu membabitkan golongan wanita. Justeru, pelbagai usaha diambil bagi mengatasi kekurangan itu, antaranya mengambil keputusan mengimbangkan pengambilan guru lelaki dan wanita.

Sumber: Harian Metro

Sunday, August 15, 2010

Ketagihan Internet Jejas Pelajar


KUALA LUMPUR: Ketagihan internet di kalangan pelajar, terutama murid sekolah rendah akan membantut proses pembangunan sosial dan interaksi seseorang itu dengan keluarga dan masyarakat apabila dewasa nanti.

Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata penggunaan komputer atau internet tanpa batasan bukan saja boleh memudaratkan aspek psikologi kanak-kanak, malah mengganggu kesihatan fizikal.

“Pendedahan mata terlalu lama pada skrin komputer serta penggunaan kerusi tidak betul ketika melayari internet juga boleh memudaratkan kesihatan fizikal kanak-kanak yang masih dalam proses tumbesaran,” katanya.

Beliau diminta mengulas kecenderungan pelajar termasuk kanak-kanak sekolah rendah menggunakan komputer sehingga menyebabkan mereka sering tertidur ketika waktu pembelajaran di sekolah.

Laporan kajian penggunaan komputer oleh keluarga di Malaysia 2010 yang dijalankan syarikat keselamatan internet antarabangsa, Norton mendapati kanak-kanak di negara ini menghabiskan masa 64 jam setiap bulan melayari internet.

Dr Muhammad Muhsin berkata, penggunaan internet tanpa pengawasan ibu bapa juga memudaratkan kepada kanak-kanak kerana mereka menerima maklumat banyak, termasuk yang tidak dapat diterima pemikiran mereka.

Katanya, pelajar adalah kelompok yang belum matang, jadi sukar untuk mereka membuat pertimbangan dan penilaian atas apa maklumat yang diperoleh.
“Lebih membimbangkan jika maklumat seks dan bahan lucah diperoleh daripada internet, justeru ibu bapa kena buat pemantauan dan pengawasan,” katanya.


Sumber: Berita Harian

Wednesday, August 11, 2010

Selamat berpuasa







Monday, August 2, 2010

Kegagalan kuasai bahasa Melayu gagalkan agenda satukan kaum

FENOMENA generasi muda bukan Melayu yang tidak boleh bertutur dan menguasai bahasa Melayu adalah keadaan yang sangat membimbangkan. Mereka adalah warga negara Malaysia, tetapi tidak mendukung kedaulatan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara ini.

Siapa harus dipersalahkan bila terjadi senario ‘ayam bercakap dengan itik’. Adakah sistem pendidikan kita gagal menterjemahkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan apabila perkara membabitkan bahasa kebangsaan diperlekeh hingga terjadi situasi yang tidak sewajarnya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termaktub dalam artikel 152 Perlembagaan Malaysia, ternyata gagal dihayati segelintir penduduk bukan Melayu di negara ini. Ramai seolah-olah lupa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sepatutnya berperanan sebagai penyatu kepada tiga bangsa terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.

Felo Penyelidikan Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Profesor Dr Teo Kok Seong mendedahkan perkara ini pada Forum Jati Diri anjuran Berita Harian, Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Sarjana Komunikasi Media Malaysia (PERSKOM) yang diadakan di Balai Berita, baru-baru ini.

“Jati diri sekarang sudah merekah sebegitu. Satu contoh, belia dan remaja Cina rata-rata tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita. Buktinya, rakan saya yang menjadi jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara mendapati, tidak semua remaja tetapi sebilangan kecil pelajar berusia 18 tahun tidak boleh berbahasa Melayu langsung,” katanya.

Keadaan ini pada beliau menunjukkan betapa tidak berertinya taraf kewarganegaraan golongan ini ..... bacaan lanjut sila klik di sini.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi