Wednesday, July 21, 2010

Banyak negara sudah tapis Internet

KUALA LUMPUR - Banyak kerajaan sudah melaksanakan sekatan terhadap Internet dengan menapis akses pengguna kepada laman-laman web lucah serta berkaitan dengan politik dan agama.


Sebuah organisasi bukan kerajaan yang berpangkalan di Perancis, Reporters Without Borders (RWB) menyenaraikan 12 negara yang sudah melaksanakan sekatan itu sebagai China, Myanmar, Korea Utara, Vietnam, Mesir, Iran, Syria, Saudi Arabia, Turkmenistan, Uzbekistan, Cuba dan Tunisia.


RWB dalam laporan mereka menjelaskan, kerajaan negara-negara terbabit secara sistematik menyekat aliran maklumat menerusi Internet jika ia didapati boleh menjejaskan kepentingan negara, politik, agama dan moral rakyat.


Agensi berita Reuters pula melaporkan, Jerman juga tahun lalu telah meluluskan peraturan menyekat akses kepada laman-laman web lucah membabitkan kanak-kanak selepas mencontohi model yang dilaksanakan di Britain, Itali serta negara-negara Scandinavia.


Sumber: Kosmo

Monday, July 19, 2010

Ibu bapa mesti disiplinkan anak layari internet

BANYAK yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa apabila anak melayari internet kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan hari ini internet bukan perkara asing bagi kanak-kanak kerana mereka membesar dengannya.

Bagaimanapun, hanya empat daripada 10 ibu bapa mengatakan mereka tahu apa yang dilihat anak mereka ketika melayari internet. Tetapi sedarkah ibu bapa, ramai orang tidak dikenali di luar sana iaitu di alam maya yang ingin menjadi kawan anak mereka,

Berdasarkan hasil kajian Norton Online Family Report 2010, kira-kira 72 peratus kanak-kanak mendapat permintaan daripada orang tidak dikenali untuk menjadi kawan di laman rangkaian dan 27 peratus memberitahu orang tidak dikenali itu mengajak untuk berjumpa di alam nyata.

“Realitinya, 25 peratus kanak-kanak bersembang di internet dengan orang yang tidak dikenali tetapi ibu bapa mengandaikan 12 peratus yang terbabit dengan perkara itu. Ibu bapa perlu sedar risiko apabila anak berinteraksi dengan orang tidak dikenali.

“Mereka mungkin memberi maklumat penting yang boleh disalahgunakan pihak berkenaan atau menyebabkan keluarga itu berada dalam bahaya,” kata Penyokong Keselamatan Internet dan Ketua Perniagaan Norton Asia, Effendy Ibrahim.

Beliau mendedahkan hasil kajian Norton Online Family Report 2010 mendapati, maklumat berkenaan adalah peringatan kepada ibu bapa untuk mengambil tahu aktiviti pelayaran internet anak mereka terutama apabila kanak-kanak kini menghabiskan 76 jam sebulan melayari internet.

Katanya, isu yang diketengahkan daripada hasil kajian itu dapat membantu ibu bapa menyedari kepentingan membimbing anak menggunakan internet dengan selamat dan mengetahui kesan internet terhadap anak mereka.
Maklumat kajian Norton Online Family Report 2010 berdasarkan penyelidikan oleh firma bebas mewakili Symantec Corporation. Penyelidikan secara online itu membabitkan 452 dewasa berusia 18 tahun ke atas (terdiri daripada 101 ibu bapa kepada anak berumur 10 hingga 17 tahun) dan 110 remaja antara 10 hingga 17 tahun yang meluangkan masa satu jam seminggu melayari internet.

Effendy berkata, hasil penyelidikan itu mendedahkan 87 peratus kanak-kanak melalui pengalaman negatif yang memberi kesan kepada mereka termasuk memuat turun virus dan melihat aksi keganasan serta gambar bogel.

Katanya, sembilan daripada sepuluh kanak-kanak yang melalui pengalaman negatif itu merasakan kesannya dari segi emosi di mana ada antara mereka dihantui rasa bersalah, marah, menjengkelkan, sedih, jijik dan takut.

“Laman web sudah menjadi taman permainan baru kepada penjenayah siber untuk mencari mangsa menyebabkan kanak-kanak mudah terpedaya. Disebabkan itu, ada antara kanak-kanak yang melakukan sesuatu di internet menyesal selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, berita baiknya ialah kanak-kanak tetap akan mencari ibu bapa apabila berhadapan dengan masalah kerana yakin ibu bapa boleh membantu mereka daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Laporan berkenaan turut menekankan sikap ambil tahu ibu bapa terhadap apa yang dilakukan anak di depan komputer dengan berbincang dan mengingatkan mereka perkara tidak sepatutnya dilihat semasa melayari internet.

Pada masa sama, ibu bapa perlu menetapkan peraturan penggunaan komputer termasuk waktu yang sesuai untuk anak melayari internet sebagai kaedah pengawalan bagi memastikan mereka selamat ketika berada di alam maya.

Ini termasuk melakukan penyiasatan untuk melihat laman web yang diakses anak mereka semasa melayari internet kerana ada kalanya apa yang disangka laman web permainan biasa boleh jadi bertukar menjadi ‘luar biasa’ jika animasi ditunjukkan itu tidak sesuai dengan usia anak yang melihatnya.

Berkongsi pengalaman sebagai bapa yang akur dengan kehendak anak untuk tidak ketinggalan menggunakan kemudahan internet, Effendy, terkejut apabila melihat permainan dilayari anaknya memaparkan animasi lelaki mengintai wanita.

Katanya, tajuk permainan yang dianggap biasa dan tidak menimbulkan salah sangka kepada ibu bapa boleh menjadi ancaman apabila isi kandungan permainan itu diteliti serta didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak.

“Isteri saya meminta saya membuat pemeriksaan mengenai laman web permainan yang dilayari anak kami. Mulanya saya ingat ia permainan biasa tetapi apabila animasi itu menunjukkan lelaki sedang mengintai wanita dan hanya menutup bahagian tertentu, saya pun terkejut.

“Mungkin anak kita sendiri tidak tahu apa yang bakal dilihat ketika melayari internet dan itu pentingnya pengawasan ibu bapa selain sentiasa mengingatkan anak apa yang boleh dan tidak ketika melayari internet,” katanya.

Oleh itu katanya, ibu bapa perlu seiring perkembangan teknologi maklumat dan bersedia belajar menggunakan komputer serta tahu apa yang perlu difokuskan supaya anak mendapat manfaat daripada kecanggihan teknologi tanpa sempadan itu.

Bagi yang tidak tahun bagaimana untuk mengawal aktiviti anak boleh mendapatkan perkhidmatan keselamatan internet keluarga seperti Norton Online Family. Perkhidmatan secara percuma itu boleh menyekat laman web tidak sesuai diakses anak selain membimbing ibu bapa mengawasi aktiviti anak melayari internet tanpa mereka sedari.

Persoalannya, ibu bapa boleh memantau atau menyekat anak daripada menyalahgunakan internet di rumah tetapi bagaimana anak yang melayari internet di kafe siber bersama rakan sebaya tanpa pengawasan orang dewasa.

Friday, July 2, 2010

Rahsia memberi salam

KITA hidup hanya sementara dan apabila tiba masanya kita akan dipanggil juga menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Pesan Rasulullah kepada kita, orang bijaksana ialah yang bersiap sedia membuat bekal bagi berhadapan dengan saat kritikal di akhirat kelak.

Cukupkah bekalan kita pada masa ini atau kita tidak pernah mengambil tahu saat itu lantaran cintakan dunia hingga lupa di hadapan kita malaikat maut sentiasa taat setia menanti detik ketika mencabut nyawa. Pernahkah kita bermuhasabah meneropong amal kita laksanakan selama ini atau kita masih hanyut dengan keseronokan dunia ? Surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap (yang berjiwa) mesti merasai mati. Sesungguhnya akan dipersembahkan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya menanglah ia. Tiadalah kehidupan di dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” Kehidupan di dunia ini hanyalah sesuatu yang memperdayakan. Memang betul, kerana sudah ramai umat manusia yang tertipu dan terpedaya dengan keseronokan dunia hingga jadi lupa daratan dan lupa diri. Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kalian dan tidak pula harta kalian, tetapi Allah melihat hati dan amal perbuatan kalian.” Ada dua aspek di sini yang diperhatikan Allah terhadap kita. Yang pertama hati dan yang kedua amal perbuatan yang dilaksanakan. Jadi, ibadah hati mesti lurus selurus dan seterang jalan yang ditetapkan Allah. Hati yang suci dengan nilai mahmudah pasti mendapat sanjungan dan pujian daripada Allah. Yang berkarat penuh dengan debu-debu dosa batin sudah tentu mendapat balasan seksa yang pedih di akhirat kelak. Demikian jugalah dengan kedudukan amalan kita. Amal ibadah wajib dan sunat semuanya dihitung Allah dan diberi pahala di sisi-Nya. Sebenarnya Islam membuka ruang yang amat luas dalam membuat koleksi pahala di dunia ini. Islam meliputi keseluruhan kehidupan. Oleh itu, keseluruhan gaya hidup mukmin yang menepati kehendak agama akan dikira pahala. Antaranya ialah memberikan salam sesama mukmin. Rasulullah bersabda; “Wahai manusia, berikan salam (ucapan assalamualaikum), berikan makanan, hubungkan silaturahim, kamu akan masuk syurga dengan selamat.’ (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi ). Salam itu doa kesejahteraan dan keselamatan yang seharusnya dilafazkan ketika berjumpa muslim dan menjawabnya wajib. Apakah hikmahnya menyebarluaskan ucapan salam itu? Dalam hal ini, salam dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Islam mementingkan gaya hidup yang harmoni berasaskan persamaan dan semangat ukhwah yang utuh. Kita akan jumpa lagi satu pesanan Rasulullah berkait salam yang dicatatkan oleh Muslimin; “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan kamu bersatu padu dan berkasih sayang, iaitu sebarkan ucapan assalamualaikum di antara kamu.” Demikian ajaran nabi agar menjadikan salam membentuk ummah bersatu padu. Seorang tokoh sufi tersohor, Ibrahim bin Adham mengatakan ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah akan menimbulkan dosa dan malapetaka. Oleh itu, amalan memberikan salam sesama muslimin itu suatu manifestasi ikatan ukhwah yang mantap bersendikan agama. Bukan saja berpahala tetapi impaknya sangat positif dalam menimbulkan situasi kehidupan bersosial yang harmonis.

Selain itu, pintu kebaikan terbuka luas dengan budaya memberikan sedekah jariah dan sesungguhnya sedekah sesuatu yang amat digalakkan dalam Islam. Bentuk amalan sedekah dalam Islam begitu luas. Bukan hanya semata-mata wang ringgit tetapi juga apa yang boleh mendatangkan manfaat kepada orang lain dikira sedekah dan pahala. Begitulah Islam, indah dan mempesonakan. Seandainya kita mahu mewujudkan jati diri ummah amalan bersedekah sewajarnya dijadikan budaya hidup. Bersedekah akan mengikis tamak dan hasad dengki, menjadikan bermasyarakat bersatu-padu. Surah Al-Maidah ayat 2, Allah mengingatkan kita semua; “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam berbuat kebaikan dan kebaktian, dan janganlah kamu bantu-membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan.” Marilah kita renungi bersama akan sabda Rasulullah untuk memahami betapa luasnya ruang lingkup bersedekah dianjurkan Islam. Sabda Rasulullah; “Setiap (pergerakan) sendi tulang manusia itu memperoleh sedekah setiap hari yang disinari matahari: mengadili antara dua orang adalah bersedekah, menolong menaikkan barang ke atas kenderaan seseorang atau menurunkannya adalah sedekah, mengucapkan kata-kata yang baik adalah sedekah, dan setiap langkahmu berjalan ke masjid untuk bersolat adalah sedekah, juga membuang yang menyakiti dari jalan laluan adalah sedekah.” (Maksud Hadis riwayat At-Tabrani dan Ibnu Hibban) Justeru, mengapakah perlu kita memilih jalan kejahatan, keburukan dan kemaksiatan sedangkan jalan yang dipandukan oleh Allah begitu indah dan terang bersinar.

Jangan kita ditewaskan oleh hasutan syaitan laknatullah yang sentiasa mengajak kita berbuat keburukan, sebaliknya bentenglah diri dengan keteguhan iman, takwa dan amal soleh agar kesudahan hidup kita di dunia mendapat keredaan Allah. Marilah kita renung dengan mata hati akan pesanan Allah ini, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.” (Surah Al-Bayyinah ayat 7).

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi