Wednesday, May 26, 2010

Ujian Penilaian Kelas Kafa setanding UPSR

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memantapkan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi membolehkan ia juga diambil kira setanding dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika pelajar memohon memasuki Tingkatan Satu sekolah menengah kebangsaan agama milik kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-51 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, semalam.


“Kita mahu menjadikan peperiksaan UPKK sebagai kayu ukur untuk pelajar memasuki Tingkatan Satu ke sekolah menengah kebangsaan agama yang akan dinilai bersama keputusan UPSR.


“Selama ini keputusan UPKK hanya menjadi sebahagian kecil daripada penilaian untuk memasuki sekolah menengah agama dan dengan cara memperkasa UPKK, ia akan memberi motivasi kepada pelajar supaya turut menumpukan kepada pengajian Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) kerana mereka tahu keputusannya akan mempengaruhi peluang mereka memasuki sekolah menengah agama,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata, peperiksaan UPKK akan menjadi pendorong kepada pelajar yang minat memasuki sekolah menengah kebangsaan agama supaya turut menumpukan kepada kurikulum kelas Kafa.


Katanya, perkara itu dibentangkan kepada majlis agama setiap negeri yang berkuasa terhadap hal-ehwal agama di negeri masing-masing sebelum dapat dilaksana.


“Kita berharap langkah memperkemaskan UPKK itu akan dapat dilaksanakan secara seragam selepas mendapat persetujuan setiap negeri,” katanya.


Selain itu, katanya, turut dibincangkan mengenai langkah menyeragamkan logo halal menerusi pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 1972 yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan.


Beliau berkata, kertas cadangan penyeragaman logo halal itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan kerana kuasa mengeluarkan taraf halal terletak pada bidang kuasa Sultan di negeri-negeri.


Sumber: Berita Harian

Saturday, May 22, 2010

Guru Perlu Lesen Perguruan

KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Pelajaran untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan seperti kerjaya profesional lain tidak sesuai dilaksanakan kerana memerlukan kos pengurusan tinggi.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata negara belum bersedia untuk mengamalkan perkara itu kerana masih ada perkara lain membabitkan pendidikan yang masih belum mencukupi, termasuk prasarana.

Katanya, mewajibkan guru mempunyai lesen bermakna perlu ada badan atau unit khas yang perlu memantau perjalanan kaedah itu, termasuk memastikan guru yang tiada lesen, kehilangan lesen atau lesen palsu.

“Keadaan ini memerlukan penguat kuasa di setiap negeri untuk memantau lebih 400,000 tenaga pengajar seluruh negara. Kira-kira 40 tahun lalu kerajaan memperkenalkan sistem sama yang dinamakan Buku Biru, tetapi dihentikan kerana kekangan ekonomi.

“NUTP berpendapat adalah lebih baik wang yang dicadangkan untuk membayar pekerja badan khas yang mengawal hal berkaitan lesen perguruan digunakan untuk memajukan bidang lain yang masih ketinggalan di sekolah terutama di luar bandar,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mencadangkan supaya mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan, seperti doktor, peguam dan akauntan, bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.

Katanya, perkara itu tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana guru berada di bawah seliaan Kementerian Pelajaran berbanding Kanada yang memerlukan setiap daerah menentukan pemilihan guru.
Sumber: Berita Harian
___________________________________________________________________
Bagaimanakah dengan status permit mengajar (Buku Biru) guru ? Adakah ianya tidak mempunyai apa-apa makna.

Thursday, May 20, 2010

Gaji 600,000 Kakitangan Awam Disemak

KUCHING: Kira-kira 600,000 kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan Satu dan Dua dijangka akan menerima durian runtuh apabila kerajaan difahamkan sedia menyemak tangga gaji mereka bagi membolehkan pendapatan melebihi RM40,000 setahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata berdasarkan Model Baru Ekonomi (MEB), kerajaan menetapkan pendapatan rakyat di negara perlu melepasi AS$15,000 (RM48,000) dan sebagai permulaan semakan gaji kakitangan dilakukan.

Katanya, semakan ini membabitkan cadangan penghapusan kelayakan akademik Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP) berikutan ia dinaikkan kepada sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini bermakna kakitangan Kumpulan Sokongan Satu dan Dua seperti pemandu, pembantu tadbir rendah, tukang masak, atendan haiwan, penolong jururawat akan menikmati kenaikan gaji sekali ganda atau sekurang-kurangnya RM1,500.

“Mereka yang mahu menyertai perkhidmatan awam selepas ini perlu memastikan memiliki kelayakan sekurang-kurangnya SPM seperti diperkenalkan polis baru-baru ini melalui skim pengstrukturan mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sumber: Berita Harian
___________________________________________________________________
Alhamdulillah...........sekiranya semakan tersebut terlaksana, diharap barangan dan perkhidmatan tidak turut naik.

Tuesday, May 18, 2010

Mengehadkan Hanya 25 Orang Murid Bagi Setiap Kelas


KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan.

Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan.

“Berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru.

“Bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya semalam.

Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.

Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi.

Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.

Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’

Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.

Sumber: Berita Harian
_________________________________________________________________
Mengehadkan Hanya 25 Orang Murid Bagi Setiap Kelas? .....sejak dari KBSR lagi mengehadkan murid bagi setiap kelas tapi tak dapat dilaksanakan dengan pelbagai kekangan seperti kekurangan kelas/bangunan dan kemudahan, guru tak cukup, jika ada tambahan guru akan melibatkan peruntukan kewangan dan pelbagai lagi. Sekarang ini, timbul pula cadangan baru? Kita lihat sejauh mana dan berapa lama pula masa akan diambil untuk melaksanakannya. Semoga terlaksana!


Monday, May 17, 2010

Ganjaran Lumayan Buat Semua Peringkat Guru

KUANTAN: Pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing serta mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pelajaran yang ditetapkan, bakal menerima ganjaran antara RM900 hingga RM7,500 mulai tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ganjaran kewangan itu satu suntikan baru kepada guru untuk bekerja dengan gigih lagi bagi meningkatkan prestasi sekolah dan kecemerlangan pelajar.


Menurutnya, pemberian itu juga tidak terbatas hanya sekali saja untuk setiap sekolah sebaliknya jika sekolah berkenaan meneruskan usahanya untuk tahun berikutnya, mereka akan memperoleh lagi ganjaran yang sama.


“Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, tawaran baru ini akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit iaitu 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.


“Pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan RM7,500, lima peratus guru sekolah berkenaan pula akan menerima RM1,800 dan guru selebihnya lagi akan menerima RM900,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan perayaan Hari Guru Ke-39 Peringkat Kebangsaan 2010 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, semalam.


Seramai lima bekas pendidik menerima anugerah Tokoh Guru 2010 termasuk seorang menerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010 melayakkan masing-masing menerima pingat, piala dan wang RM10,000.


Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi.


Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan beberapa insentif lain kepada golongan pendidik.

Sumber: Harian Metro

Thursday, May 13, 2010

KAJIAN BEBAN TUGAS BERLEBIHAN GURU

PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan guru kini di peringkat akhir dan laporan berhubung kajian itu bakal diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (gambar) yang mempengerusikan jawatankuasa itu, berkata beberapa cadangan sudah dikenal pasti bagi mengatasi masalah beban tugas guru.

“Jawatankuasa ini diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan kajian serta mengeluarkan cadangan mengatasi masalah beban guru.


“Ia sudah berada di tahap terakhir selepas dimulakan April lalu dan hasil perbincangan akan dikeluarkan tidak lama lagi dan diumumkan Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Guru 2010, semalam.


Beliau berkata, satu makmal khas yang disertai guru, guru besar, pengetua serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah diwujudkan selain membuat tinjauan dan mendapatkan maklum balas daripada guru.


“Hasilnya, beberapa cadangan sudah disediakan dan akan diserahkan kepada menteri dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.


Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu bagi mengkaji aduan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai isu berkenaan. Jawatankuasa yang ditubuhkan April lalu, diberi tempoh dua bulan untuk menyiapkan laporan berhubung masalah beban tugas berlebihan guru.


NUTP mendakwa selain tugas mengajar, guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.


Sementara itu, sempena sambutan Hari Guru yang akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UniMAP), Gambang, Kuantan Ahad ini, Alimuddin berkata, Muhyiddin akan mengumumkan Sistem Tawaran Baru sebagai menghargai jasa dan prestasi pengetua serta guru besar sekolah berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

“Ia turut meliputi guru kerana mereka turut menyumbang kepada prestasi dan pencapaian sekolah masing-masing, sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.


Menurutnya, sempena sambutan ke-39 itu, semua guru diminta memuhasabah diri.

Sumber: Harian Metro

Sunday, May 2, 2010

Kesatuan guru mohon ditimbang 11 insentif

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyenaraikan 11 insentif bagi golongan pendidik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Penetapan insentif berkenaan dibuat pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan yang diadakan oleh Kongres hari ini untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Kongres, Jamale Paiman berkata, insentif itu termasuk mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, penambahbaikan struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 dan penambahan staf sokongan.

Menurutnya, permohonan insentif itu telah dikemukakan dua tahun lepas dan pernah dibincangkan di peringkat menteri.

''Perkara yang dipohon merupakan kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan. Ia bertujuan mengurangkan beban tugas guru,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Tambah Jamale, Kongres turut bersetuju supaya Kementerian Pelajaran mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengesahan jawatan gred DGA34 dan DGA48, memperluaskan gred DG38 untuk guru besar dan pengelola cemerlang kepada semua jawatan manakala kedudukan pegawai pendidikan daerah (PPD) pada gred DG52 dan DG54.

''Di samping itu, kami berharap kementerian tidak meletakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam Kementerian Pelajaran serta mengambil semula guru bagi program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF).

''Kami juga berharap kerajaan mengkaji peruntukan tuntutan perjalanan para pegawai kerana jumlahnya yang rendah menjejaskan tugasan pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap,'' katanya.

sumber: Mingguan Malaysia

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi